PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Monday 23 July 2012

KEHALUSAN GODAAN SYAITAN DALAM MENYESATKAN MANUSIA


Pada zaman dahulu, terdapat seorang ahli ibadah dalam kalangan bani Israel yang amat tekun beribadah kepada Allah berpuluh-puluh tahun. Kerajinnya beribadah sudah diketahui oleh seluruh penduduk di kampung itu. Dia adalah yang paling banyak beribadat pada masa itu. Di sebelah rumahnya tinggal tiga lelaki bersaudara bersama-sama seorang saudarinya. Pada suatu hari, negara mereka mengalami peperangan dan kudrat orang muda diperlukan untuk mempertahankan negara. Seluruh  pemuda dikerah termasuk juga tiga lelaki bersaudara ini. Satu perkara bermain di fikiran saudara  yang sulung iaitu siapa yang akan menjaga kebajikan saudari perempuannya. Mereka sepakat untuk menyerahkan saudarinya kepada ahli ibadah itu.

Dengan penuh keyakinan terhadap amalan ahli ibadah itu, mereka meminta agar diterima amanah untuk menjaga saudari mereka. Pada mulanya ahli ibadah itu takut untuk menerima kerana bimbang akan kemurkaan Allah. Setelah dipujuk , ahli ibadah itu terpaksa menerima saudari mereka untuk tinggal bersama di rumah ahli ibadah tetapi di bilik dan tingkat yang berbeza. Mereka akan menjemput semula saudarinya selepas peperangan tamat. Akhirnya gadis tadi tinggal di bilik bawah biara ahli ibadah itu.

Syaitan cukup sabar dan sentiasa membuat ahli ibadah itu berasa senang melakukan kebaikan. Syaitan memulakan tipu muslihatnya dengan berkata, "Andai engkau meletakkan makanan di depan biliknya pasti pahalamu semakin banyak." Syaitan terus memujuknya sehingga dia berjalan mendekati bilik si gadis dan meletakkan makanan tanpa berbicara sepatah pun. 

Setelah beberapa lama melakukan hal sedemikian, syaitan menambah tipu dayanya untuk terus melakukan kebaikan dengan berbisik, "Andai engkau dapat meletakkan makanan sehingga ke dalam bilik gadis tersebut tetapi tanpa berbicara dengannya pasti engkau mendapat pahala yang lagi besar." Ahli ibadah itu terpedaya dengan pujukan syaitan sehingga perkara itu berlaku beberapa lama. Syaitan amat berpuas hati akan strateginya untuk menghancurkan ahli ibadah itu.

Selepas itu, syaitan menambah tipu daya seterusnya iaitu menganjurkannya menghantar makanan dan kemudian berbicara perihal agama dengan gadis tersebut. Syaitan menambah lagi, ini pasti akan membuatkan kamu dan gadis itu lebih bertambah ilmu pengetahuan dan pasti akan mengembirakan hatinya setelah lama berseorangan dalam bilik di bawah biara. Tipu daya syaitan diterima oleh ahli ibadah walaupun mereka berbicara dibatasi dengan dinding bilik yang memisahkan. Bermula dari perihal agama sehingga perihal peribadi diceritakan.

Pada ketika mereka mula-mula berbicara dan berbincang, mereka dibatasi dengan jarak jauh yang memisahkan, ahli ibadah akan duduk di depan pintu biara dan gadis itu akan keluar dari biliknya dan duduk di pintu untuk berbicara. Perkara itu berlaku beberapa lama. Dari permulaan berbicara di luar pintu biara, ahli ibadah digoda oleh syaitan supaya semakin dekat dengan pintu bilik gadis itu sedikit demi sedikit tanpa gadis itu keluar dari bilik. Godaan syaitan kepada ahli ibadah itu hanyalah mengajaknya tertipu dengan kebaikan yang dianjurkan syaitan.

Setelah sekian lama berbincang dari luar pintu bilik, syaitan menggoda lagi dengan berkata, “ Andai lebih baik jika engkau masuk ke dalam bilik gadis itu dan berbincang dengannya tanpa diketahui oleh seseorang pun pasti akan menggembirakan hatinya.” Sehari suntuk ahli ibadah itu menemani si gadis di dalam biliknya. Ketika hari beransur senja barulah dia naik ke tingkat atas untuk beribadat pula kepada Allah seperti hari kebiasaan.

Iblis masih mendatangi ahli ibadah dan memujuknya sehingga berani memegang dan memeluk gadis itu. Iblis terus menipu mengatakan hal itu adalah kebaikan sehingga dia berzina dengannya dan akhirnya gadis itu mengandung anak luar nikah. Selepas si gadis melahirkan anak, iblis membisik, "Apa pendapatmu sekiranya saudara-saudara lelaki mengetahui bahawa saudari mereka telah melahirkan anak kamu? Apa yang hendak engkau lakukan dan pastinya perkara ini akan menjatuhkan maruah kamu sebagai ahli ibadah kerana telah berzina jika melihat kelibat bayi itu. Oleh itu, hendaklah kamu membunuh bayi itu untuk menutup berita keaibanmu." Ahli ibadah itu menuruti arahan iblis.

Setelah itu, iblis sekali lagi mendatangi dan menghasut pula supaya membunuh gadis itu kerana bimbang akan gadis itu memberitahu kepada saudaranya tentang tindakanmu yang telah berzina dan membunuh anaknya. Iblis mengatakan pasti si gadis tidak akan menyembunyikan berita tersebut. Lantas sang ibadah terus membunuh si gadis pula dan menguburkannya bersama-sama anaknya. Ahli ibadah tadi berasa senang akan tindakannya dan iblis memberitahu supaya membuat helah jika saudara gadis itu bertanya tentang kematian saudarinya. Ahli ibadah kembali ke biaranya dan beribadat seperti biasa.

Setelah beberapa hari kemudian, saudara-saudara lelaki itu pun pulang dari peperangan dan bertanya perihal saudarinya. Ahli ibadah menangis dan menunjukkan belas kasihan lantas menunujukkan kuburnya. "Dia adalah seorang wanita yang paling baik", kata ahli ibadah. Mereka menziarahi kubur saudari mereka yang ditanam di dalam kawasan biara ahli ibadah.

Pada malam harinya, syaitan telah mendatangi mereka bertiga melalui mimpi. Syaitan menjelma sebagai seorang musafir dan menceritakan perihal sebenar yang berlaku. Syaitan memberitahu bahawa ahli ibadah telah menyetubuhi saudarinya sehingga melahirkan anak dan terus membunuh kedua-duanya. Pagi keesokkannya, tiga bersaudara ini bercerita perihal mimpi masing-masing dan terkejut kerana mimpi mereka bertiga sama. Lantas, saudara yang sulung bernekad untuk menyiasat dan mendapati bahawa mimpi mereka bertiga adalah benar. Mereka telah menjumpai mayat seorang bayi di sebelah mayat saudarinya di dalam kubur yang sama.

Mereka menemui ahli ibadah dan memaksa untuk menceritakan perkara sebenar. Tanpa sebab lain dia mengakuinya kerana godaan syaitan. Mereka membawa ahli ibadah itu untuk disalib. Tatkala ahli ibadah itu sedang diikat, syaitan datang menjalankan tugasnya yang terakhir. "Tentunya engkau mengetahui bahawa sebenarnya akulah yang telah menggodamu dengan kehadiran wanita itu, lalu engkau membuatnya mengandung, dan membunuh dia dan anaknya. Jika pada saat ini engkau tunduk kepadaku dan kufur kepada Allah, aku akan selamatkanmu dari bahaya", bisik syaitan.

Maka ahli ibadah itu menyatakan kufur kepada Allah mengharapkan syaitan melepaskannya tetapi syaitan terus meninggalkannya begitu sahaja. Tanpa membuang masa, tiga bersaudara telah menyalibnya dan ahli ibadah tadi mati dalam keadaan kufur.

Amirul Hakimi
Pelajar Tahun 2 Sains Bahan
Fakulti Sains dan Teknologi

Friday 13 July 2012

Dasyatnya neraka

Pernah tak terhirup sup yang amat panas. Panasnya sampai ke kerongkong. Kalau 'nasib baik' lidah pun terasa seperti melecur. Nak makan pun rasa tak selesa. Tapi sekejap je, InsyaAllah lepas sehari dua, lidah akan pulih.

Tapi tu kalau terhirup sup panas. Kalau terpaksa makan buah Zaqqum?

(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum,(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).(Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.
Surah Ad-Dukhan 44:43-46

Buah Zaqqum adalah makanan bagi mereka yang mendustakan Hari Kebangkitan dan juga Hari Pembalasan. Tempatnya sudah tentulah di neraka jahanam. Kita mempercayai akan berlakunya hari kiamat, namun adakah kepercayaan kita itu selari dengan amalan kita sebagai seorang Islam?

Nabi Muhammad ﷺ menangis

Diriwayatkan daripada Yazid Arraqqasyi daripada Anas bin Malik,

Rasulullah pernah bertanyakan perihal neraka kepada Jibril:
“Ya Jibril, jelaskan kepada aku bagaimana sifat neraka jahanam?”

Jawabnya:
“Ketika Allah menjadikan Jahanam, ia dinyalakan selama 1,000 tahun sehingga warnanya bertukar putih. Kemudian dinyalakan lagi sehingga 1,000 tahun sehingga warnanya hitam dan ia tidak pernah padam. “Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, jika ia terbuka walaupun hanya sebesar lubang jarum, seluruh penduduk dunia akan terbakar kerana kepanasannya!
“Jika baju ahli neraka digantung antara langit dengan bumi, manusia di dunia akan mati kerana panasnya dan jika satu pergelangan daripada rantai yang disebut dalam al-Quran itu diletakkan di atas bukit, ia akan cair sehingga ke bawah bumi yang ketujuh.
“Neraka jahanam sangat dalam dan perhiasannya daripada besi. Minuman untuk penghuninya campuran air panas dan nanah manakala pakaian mereka diperbuat daripada potongan api. Api neraka mempunyai tujuh pintu.
“Setiap pintu itu pula mempunyai bahagian tertentu daripada lelaki dan perempuan.”

Jibril juga telah menerangkan perihal 7 pintu api neraka serta golongan yang duduk di pintu-pintu tersebut.
Namun Jibril terdiam apabila sampai kepada pintu yang ketujuh sehingga Rasulullah bertanya:
“Mengapa kau tidak beritahu siapa yang akan menduduki pintu ketujuh?”

Jibril menjawab:
“Dalamnya adalah umatmu yang berdosa besar dan mati sebelum sempat bertaubat”.

Rasulullah pengsan apabila mendengar jawapan Jibril itu. Jibril kemudian meletakkan kepala Rasulullah pada pangkuannya hingga Baginda sedar dan bersabda:
“Ya Jibril, aku begitu risau dan sedih. Adakah akan ada seorang daripada umatku yang akan masuk neraka?”

Jawabnya: “Ya, iaitu orang yang berdosa besar daripada kalangan umatmu.”

Rasulullah kemudian menangis, begitu juga dengan Jibril. Baginda kemudian masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk pergi bersembahyang.

****************

Dasyat bukan api neraka? Sehinggakan Baginda Rasulullah turut risau dan sedih akan nasib umatnya yang akan menghuni neraka.

Mungkin sekali sekala tidak mengapa untuk lidah kita melecur dek kerana terhirup sup yang amat panas.
Sebagai peringatan, kepanasan di neraka jauh lebih hebat.

Nabi Muhammad ﷺ;bersabda: "Kamu boleh menyebut tentang neraka sesukamu, maka tiada kamu menyebut sesuatu melainkan api neraka itu jauh lebih ngeri dan lebih keras daripadanya."


Pencinta Haiwan
Sains Haiwan, UKM

Thursday 12 July 2012

Agama itu Nasihat


 

: قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي أَنَّ النَّبِيَّ

المُسْلِمِيْنَ، وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ،:قَالَ لِمَنْ؟ :قُلْنَا الدِّیْنُ النَّصِيْحَةُ ))

           (( وَعَامَّتِهِمْ

(HR Bukhari dan Muslim)

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, daripada Abu Ruqayah Tamim ad-Dari r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda,“Agama adalah nasihat.” Kami bertanya,“Untuk siapa?” Baginda bersabda,“Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan untuk pemimpin kaum muslimin dan rakyat-Nya.”

 Hadis ini menerangkan tentang maksud ad-Din (agama) yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w agar dapat dijadikan panduan dan amalan oleh setiap umat Islam yang mengaku dirinya telah beriman kepada Allah dan RasulNya. Ad-Din atau cara hidup yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam dan agama-agama yang lain kesemuanya tidak diterima oleh Allah.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 19 yang bermaksud:

 “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”

Menerusi hadis tersebut, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa salah satu daripada ciri-ciri agama adalah nasihat menasihati di antara satu sama lain. Nasihat ialah melafazkan kata-kata yang baik untuk tujuan kebaikan. Dalam konteks hadis di atas nasihat yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w merangkumi lima perkara iaitu nasihat bagi Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin kaum muslimin dan orang ramai. Antara contoh maksud nasihat bagi lima perkara tersebut:

-Bagi Allah s.w.t – Setiap orang Islam hendaklah benar-benar beriman kepadaNya dengan membesarkan dan mengagungkanNya, menjauhi daripada sebarang sifat yang boleh menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain.
 -Bagi kitabNya – Beriman sepenuh hati terhadap kebenaran Al-Quran serta sentiasa beramal menuruti petunjuk yang terkandung di dalamnya.
-Bagi Rasul – Membenarkan kerasulannya dengan penuh yakin, mempercayai semua risalah bawaannya, mematuhi suruhan dan larangannya , membela agamanya serta berusaha dan menegakkan sunnahnya.
-Bagi pemimpin – Menolong dan menyokong mereka dalam menegakkan kebenaran dan keadilan, akur kepada mereka dalam hal-hal yang menjurus kepada kebaikan, tegur mereka dengan cara yang sopan sekiranya mereka menyeleweng.
-Bagi manusia keseluruhannya – Memimpin mereka ke jalan yang benar, mengajar mereka jika tidak mengerti, menyuburkan budaya tolong-menolong  pada melakukan perkara –perkara yang baik dan mewujudkan rasa saling menghormati  dalam kalangan masyarakat.

Keberkesanan nasihat yang diberi oleh seseorang kepada seseorang yang lain berkait rapat dengan peribadi pemberi nasihat. Justeru, pemberi nasihat hendaklah lebih dahulu sentiasa menunjukkan contoh yang baik.

-NurCahaya-
Sains Makanan dan Pemakanan
UKM

Ramadhan Datang Lagi!!



Jumaat: 7.45 malam
Maka dengan ini, saya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Adalah dengan ini mengisytiharkan bahawa satu  Ramadan telah ditetapkan pada hari sabtu bersamaan dengan….

“Alhamdulillah esok puasa.” Ucapan syukur yang keluar dari setiap bibir akhawat yang mendengar pengumuman pada malam itu. Ramadan amat bermakna dan sangat dinanti-nantikan oleh setiap individu Muslim yang benar-benar ikhlas untuk berhijrah dan mencari keredaan semata-mata kerana-Nya. “Mari siap-siap kita ke masjid untuk solat Terawih”. Ujar salah seorang akhawat yang berada di rumah tersebut. Kesemua akhawat mempamerkan wajah yang ceria dan segera menuju ke masjid. Pada keesokan paginya, mereka bersahur bersama-sama. Kemudian…

11.30 pagi…
“Fatimah, petang ni enti plan nak masak apa ya.? Ana nak ke Econsave beli barang-barang dapur kejap lagi.” Soal Sofea yang sedang mengambil jubah dan tudungnya untuk bersiap-siap ke pasaraya. Sementara itu, Fatimah sedang duduk di kerusi meja tulisnya sambil mengadap komputer dan melayari internet. 
“Ana sedang cari menu yang sesuai ni. Semua resepi yang ada di internet sedap-sedap belaka sampai tak tahu nak pilih masakan yang mana.” jawab Fatimah sambil menggaru-garu kepalanya yang dalam kebingungan.
            Muncul Wardah yang baru sahaja keluar dari penjuru bilik menuju ke arah Fatimah lalu berkata, “Mari ana tolong pilihkan menu yang sesuai untuk kita petang ni. Memandangkan ini iftar pertama di bulan Ramadan dan kita pun ada menjemput adik-adik usrah yang lain, apa kata kita masak bubur lambuk yang paling sedap di dunia.” Sambil mengenyitkan mata ke arah Fatimah.
“Bubur lambuk? Ana kurang tahu masak bubur lambuk, selalunya kalau ana masak mesti bubur itu terpekat atau terlalu cair. Tak sedap nanti.” Balas Fatimah yang merasa ragu-ragu untuk memasak menu tersebut. “Jangan risau sahabatku, pasti Allah akan membantumu. Kita kan ramai akhawat yang hebat memasak. Betul tak Sofea?” ujar Wardah kemudian memaling ke arah Sofea. 
“Benar kata Wardah, akhawat kan saling membantu antara satu sama lain. Ingat Fatimah kita kan serumah, di sini tiada istilah nafsi-nafsi. Apa sahaja yang kita lakukan pasti akan dibantu yang lain bukan hanya dalam urusan pentarbiyahan saja.” Balas Sofea yang sedang menuju ke arah Fatimah dan Wardah kemudian meletakkan tangan ke atas bahu Fatimah sambil tersenyum.
Fatimah antara akhawat baru yang berpindah di rumah tersebut. Sebelum membuat keputusan berpindah ke rumah itu, Fatimah tinggal di asrama kolej pengajiannya. Di sebabkan yuran yang terlalu mahal dan ditambah pula dengan tuntutan dakwah yang menjulang, Fatimah reda untuk tinggal bersama akhawat walaupun keluarganya tidak suka dia tinggal di rumah sewa. Semangat ukhuwah dan dakwah yang melonjak membuatnya kuat untuk bersama-sama akhawat fillah menerajui arus kehidupan yang penuh pancaroba.

4.30 petang
(Di tingkat atas) Fatimah sedang turun ke bawah lalu melihat Wardah, Nafisah dan Sofea sedang tidur. Kemudian Fatimah membangunkan mereka. “Ukhti Wardah, bangun dah 4.30 ni. Jom sedia untuk masak iftar.” Wardah tetap tidak menyedarkan diri, kemudian Sofea dan Nafisah tersedar sebaik sahaja mendengar sahutan panggilan Fatimah terhadap Wardah. “Tak apa Fatimah, biarkan Wardah tidur sebentar lagi sebab tadi dia penat mengemas dapur.” Ujar Sofea. 
Fatimah asyik menghabiskan masanya dengan membaca al-Quran di dalam biliknya selepas zuhur kerana itu, dia tidak sedar bahawa Wardah sibuk mengemas dapur. “Oh kalau begitu, bila kita nak mulakan memasak kak Sofea?” Soal Fatimah. “Sebenarnya tadi, Wardah sudah memasak bubur lambuk sebaik sahaja selesai solat zuhur. Kemudian dia terus mengemas dapur. Masak bubur tu perlukan masa untuk tunggu ia mendidih dan supaya lebih lemak selepas dimasukkan santan. Lepas ini kita boleh masukan sayur dan bahan-bahan rencahan lain. Kemudian kita boleh sediakan juadah lain pula. Tadi kak Sofea ada belikan nugget, nanti kita goreng ya.” Balas Nafisah apabila melihat Fatimah yang merasa keliru untuk memulakan masakan. 
Fatimah masih belum mahir untuk memasak dan berdikari. Ini pertama kalinya dia tinggal sendiri. Kerana itulah ibunya kurang setuju apabila dia membuat keputusan untuk tinggal di rumah sewa. “Oh begitu? Ana minta maaf sebab tak bantu memasak tadi. Ana ingat kak Wardah nak masak waktu asar.” Ujar Fatimah yang kelihatan rasa bersalah kerana tidak turut serta memasak juadah berbuka puasa. “Tak apa Fatimah, enti tolong masak juadah yang lain ya.” Balas Sofea yang mahu menyedapkan hati Fatimah. Kemudian Wardah bangun sebaik sahaja azan Asar berkumandang.
“Hurm kenapa antunna semua, ada masalah ke? Bubur lambuk ana macam mana?” ujar Wardah secara tiba-tiba dan terus bangun menuju ke dapur. “Jangan risau Wardah, ana dan tengokkan tadi. Okey je nampak menarik dan sedap.” Ujar Nafisah sambil tersenyum. “Alhamdulillah, risau ana kalau bubur ni hangit.” 
Wardah menjawab dengan perasaan lega. “Mari solat asar!” celah Fatimah kepada akhawat yang lain. “Oh ya dah masuk waktu, mari kita jemaah sama-sama. Semoga di bulan yang mulia ni akan lebih bertambah pahala akhirat kita, insya-Allah.” Balas Sofea yang sedang mengambil telekung selepas berwudhu’.

Waktu berbuka 7.25..
7.00 petang…
Kesemua juadah telah terhidang. “Alhamdulillah selesai sudah semua juadah di masak untuk berbuka.” Ujar Wardah. “Akhawat semua, sementara tunggu waktu berbuka, mari kita sama-sama baca ma’thurat dan berdoa. Mudah-mudahan beberapa minit sebelum berbuka ni adalah waktu doa yang mustajab.” Celah Sofea yang sering mengetuai bacaan ma’thurat. Semua akhawat berkumpul dalam halaqah dan memulakan bacaan. Sementara itu, Nafisah keluar ke kampus untuk mengambil adik-adik usrah yang dijemput untuk iftar jamaie.

7.25 malam…
Allahu akbar Allahu akbar….
“Alhamdulillah, dah azan. Mari kita berbuka.” Ujar Fatimah kepada semua akhawat yang bersama-sama untuk berbuka puasa. Iftar dimulakan dengan sebiji kurma kerana mengikut sunah Nabi SAW. Kemudian semua akhawat memakan juadah berbuka puasa dan bersegera menunaikan solat maghrib berjemaah. Pada malam itu, akhawat telah menetapkan siapa yang akan menjadi imam untuk solat maghrib, isyak dan solat sunat terawih. Pada selang empat rakaat solat sunat terawih, rohani diisi dengan tazkirah ringan oleh Ukhti Zura yang menjadi undangan khas.

SubhanAllah. Sungguh indah tajuk yang dibawa pada malam itu. ‘Bulan Allah’. Seolah-olah setiap mujahidah yang berada di situ merasa sangat tawaduk dan merendah hati. Allahu Akbar. Indahnya Ramadan. Walaupun aktiviti seperti itu boleh sahaja dilakukan pada hari-hari biasa akan tetapi kelazatan nur Ramadan itu sungguh berbeza. Tiada tolok bandingnya. Bulan yang penuh barakah. Bulan yang di dalamnya pelbagai peristiwa yang berlaku. Bulan di mana Allah telah menurunkan al-Quran dan mensyariatkan solat Fadhu ke atas setiap umat Islam. Ia juga bulan yang terkandung di dalamnya malam seribu bulan yang semua makhluk di muka bumi ini akan rukuk dan sujud kepada Allahu Azzawajalla. Allahu Rabbi itulah Ramadan Kareem yang dinanti-nantikan oleh mujahid fi sabilillah.


Nurul Hajjar Binti Atan (Ukhti Ansarullah)
Komunkasi dan Dasar Awam
UKM

Tetamu Istimewa




“Amir, bulan depan kita ada tetamu tau,” ujar Fateh sambil menepuk bahu rakannya.
Spontan Amir menoleh, kerja menaipnya terhenti.
“Siapa?” Berkerut dahinya.
Fateh tersenyum. “Tetamu istimewa. 20 Julai nanti. Harap kau dapat buat persediaan,”jawab Fateh dan terus berlalu pergi.
Amir menggaru-garu kepalanya. ‘Tetamu istimewa?’


Keesokan paginya…

“Aku ada belikan kau jubah. Balik kelas nanti aku bagi kau,”kata Fateh pada Amir.
“Jubah?” Amir kehairanan .
“Hadiah persahabatan.”
“Thanks bro.”
“Weekend ni kita kemas rumah tau. Kan tetamu istimewa kita nak datang, kita kenalah buat preparation.”
“Siapa tetamu istimewa kita tu? Parents kau ke? Cuba kau beritahu aku siapa yang istimewa sangat tu.”
“Betul ke kau tak tahu?” tanya Fateh.
Pantas Amir menggeleng.
“Kau nak tahu?”
“Yup! Siapa dia?” tanya Amir. Menanti jawapan daripada sahabatnya.
“Tetamu istimewa kita yang bakal datang nanti bernama Ramadhan. Nah, aku dah senaraikan persediaan yang kita boleh buat untuk menyambut kedatangan Ramadhan dan amalan-amalan pada bulan Ramadhan nanti.” Fateh menghulurkan sehelai kertas berlipat kepada Amir.

Amir menyambutnya lalu membuka kertas tersebut. ‘Masha’ Allah macam mana aku boleh lupa ni. Ramadhan dah nak dekat. Aku nak raikan kedatangannya. Aku  tak nak lepaskan peluang beramal sebanyak-banyaknya dalam bulan yang mulia ini.’
Amir menadah tangannya.

“رمضان وبلغنا وشعبان رجب فى لنا بارك اللهم”


Amin. Amir tersenyum. Tidak sabar rasanya hendak menyambut tetamu istimewa itu.
Firman Allah s.wt:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah 9berjuanglah) di jalan-Nya agar kamu beruntung.”

(Surah Al-Maidah:35)


NurCahaya
Sains Makanan dan Pemakanan
UKM

Tuesday 10 July 2012

Bercinta Kerana Allah

Sesungguhnya,amat besar peranan cinta yang Allah hadirkan dalam diri kita.Ia bukan sekadar membolehkan kita merasai nikmat duniawi semata,malah ia lebih daripada itu.Cinta adalah satu anugerah yang menjadi pintu bagi kita menggapai kebahagian yang hakiki di akhirat,pintu rahmat yang membolehkan kita mengecap reda dan cinta-Nya.Naskhah ini menitipkan bait-bait indah agar cinta kita hanya ditujukan kepada-Nya. Tanda seseorang cinta kepada Allah SWT adalah tidak berlebih-lebihan dalam menjalankan ketaatan di saat keadaan diri lapang atau berada dalam kesenangan,juga tidak berkurang ketaatannyaketika dalam keadaan susah.Tidak pula mempertontonkan kealiman saat bersama orang lain,juga tidak rapuh dan malas beribadah saat bersendirian.Itulah sifat sejati seseorang yang cinta Allah SWT.

Amru ibnu Maimun berkata,Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
  
"Seseorang yang ingin mendapatkan kesenangan rasa nikmat iman,maka hendaknya dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah"

Cinta kerana Allah sama sekali tidak akan dilumuri kepentingan dunia.Sebaliknya ia adalah kepasrahan yang ikhlas kepada-Nya tanpa mengharapkan habuan dunia melainkan keredaan-Nya yang diharapkan.Demikian pula marah kerana Allah juga tidak didorong oleh amarah mahu pun gelojak nafsu.Sebaliknya marah kerana Allah adalah bersandarkan kepada garis sempadan yang telah ditetapkan oleh-Nya.

KAWAN yang jujur lebih berharga daripada dunia seisinya.
Barid ibnu Waraqa' meriwayatkan Umar ibnu Khatab berkata,
    
"Hendaknya engkau berkawan dengan teman yang jujur.Jika engkau belum mempunyainya, maka berusahalah untuk mendapatkan kawan yang jujur dan benar,sebab kawan yang jujur adalah peneduh jiwa dan pententeram hati di saat senang dan penghibur lara saat ditimpa musibah."

 Umar al Khatab merupakan salah seorang sahabat kesayangan Rasulullah SAW yang diberi gelaran al Faruq(pemisah antara hak dan batil).Beliau terkenal dengan sikapnya yang tegas dalam membanteras kemungkaran.Sangat lembut hatinya saat berkawan dengan sesama muslim.Umar tidak berkawan kecuali kerana Allah SWT.

 Abu Saleh meriwayatkan,Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, 

 "Demi Zat yang nyawaku berada dalam genggaman-Nya,kamu tidak akan masuk syurga kecuali telah beriman.Dan kamu belum disebut beriman kecuali saling mencintai. Mahukah kamu aku beritahu amalan yang apabila kamu kerjakan dapat menzahirkan rasa saling cinta antara kamu?Sebarkan salam antara sesama kamu!"

 Dalam wasiat berharga ini,Rasulullah bukan sahaja memberi peringatan terhadap iman kita malah menjelaskan cara terbaik untuk kita menumbuhkan rasa cinta keran Allah di dalam diri.Hal ini kerana,hanya cinta sedemikian yang mampu melayakkan diri kita untuk menjadi seorang yang beriman.Dan ternyata cara tersebut sangat mudah untu diamalkan iaitu memberi ucapan salam saat bersua dengan saudara seagama.Tidakkah ia terlalu mudah? 

Oleh itu,tumbuh kembangkan ketulusan mencintai sesama kita dan makhluk Allah yang lain,semata-mata menggapai reda-Nya.Landasi cintamu kepada-Nya mahupun sesama makhluk dengan nilai-nilai syariat.Pasti cinta itu diterjemahkan dalam apa sahaja tindakan yang berbuah syurga Allah SWT dan mampu meraih kasih-Nya.Sebarkan salam sebanyaknya kepada sesama muslim.Sesungguhnya,salam dapat menzahirkan kasih sayang dan cinta kita kepada penerima salam.Semoga kita dapat mengamalkan cinta iaitu CINTA KERANA ALLAH. 


Pembina UKM 
Sains Fizik
UKM

Thursday 5 July 2012

Tanpa Tarbiyah Tiadalah Ukhuwah Fillah (SIRI 2)


Bermulanya lingkungan usrah dan mengubah kehidupan…

Usrah bermula dengan sebuah perkenalan iaitu ta’aruf, kemudian diikuti dengan tafahum (saling memahami) dan takaful iaitu saling tolong-menolong. Konsep ini dipelajari dengan lebih mendalam dari semasa ke semasa setiap minggu bersama naqibah. Pada mulanya Nur berasa selesa berada di dalam lingkungan usrah kerana kebanyakan daripada kawan-kawannya juga terlibat. Walaupun keselesaan yang dirasai hanyalah sekadar suka-suka bukanlah kesedaran tarbiyah itu sendiri. Akan tetapi lama- kelamaan dia mula merasa kepentingan tarbiyah di dalam kehidupannya untuk disampaikan kepada orang lain. Faktor naqibah yang sungguh bersemangat dalam menyampaikan ilmu menyebabkan Nur bertambah yakin dengan apa yang dipelajarinya. Setiap hari, amalan yang dilakukannya semakin bertambah. Mutabaah yang dibekalkan oleh naqibah diisi dengan kerap. Istighfar, qiamullail, puasa sunat, ziarah, solat dhuha semua dilakukan oleh Nur. Nur  menjadi bertambah semangat apabila dikuatkan dengan sahabat seperti Dila yang banyak membantu dalam mengubah kehidupannya menjadi yang lebih baik. Dila sering mengajaknya berpuasa sunat dan menghabiskan masa di surau dengan mengulang kaji pelajaran dan qiamullail.


Sejak itu, Nur berubah. Nur mula menjumpai dirinya yang sebenar. Dirinya yang dahulunya senang dan bahagia melakukan kebaikan. Walaupun dahulu Nur merasa gembira dengan melakukan perkara yang melanggar peraturan akan tetapi hatinya tidak tenteram. Gelisah dan takut sering kali menghantui dan membelenggu dirinya kerana secara fitrahnya manusia sukakan perbuatan yang baik. Nur mula menjauhi kawan-kawan yang dahulunya mempengaruhi dirinya untuk melakukan kesalahan. Dia lebih banyak menghabiskan masa bersama Dila dan sahabat-sahabat usrah yang lain melakukan aktiviti berfaedah di surau.

Perubahan Nur menimbulkan tanda tanya kepada kawan-kawan ‘dorm’nya seperti Alia, Zai dan Ekin. Mereka hairan melihat perubahan Nur yang secara mendadak tidak lagi menyokong dan mengikut perbuatan yang sering mereka lakukan. “Wah Nur sekarang dah sombonglah. Dah tak nak berkawan dengan kami lagi, mentang-mentanglah dah masuk usrah.” Ujar Zai. Nur hanya mendiamkan diri kemudian, Nur menjawab “Tak adalah aku cuma nak lebih tenang dan tenteram je. Aku masih macam dululah, tak pernah berubahpun. (Sambil tersenyum) Eh dah 6.45 ni, jom pergi surau baca ma’thurat sama-sama lepas tu maghrib berjemaah. “Tak pelah kau pergi dulu, nanti kami datang.” Ujar Ekin yang agak periang dan suka tersenyum akan tetapi seorang yang kuat menyindir. Semakin hari, Nur semakin menjauhkan diri daripada kawan-kawan ‘dorm’nya kerana sindiran demi sindiran yang didengari daripada kawan-kawannya tentang perubahan dirinya semenjak mengikuti program usrah. Bukan hanya Nur yang disindir dan diperli akan tetapi sahabat usrah satu ‘dorm’nya juga Nadiah dan Fatimah mengalami hal yang sama. Nur dilantik sebagai imam surau dan tanggungjawabnya menjadi lebih besar apabila sebagai imam, Nur perlu lebih bijak menarik kawan-kawan ‘dorm’nya untuk solat di surau. Setiap hari, dua orang daripada ahli surau akan ditugaskan untuk memanggil semua jemaah di aras tersebut untuk sama-sama menunaikan solat di surau. Apa yang berlaku adalah ahli ‘dorm’ Nur sering kali mengabaikan ajakan tersebut dan tidak menghiraukannya. Ramai yang mengadu tentang sikap mereka yang agak biadap dan tidak menghormati orang lain. Nur berasa sedih dan terkilan dengan sikap kawan-kawan ‘dorm’nya itu. Dia merasakan bahawa perkara tersebut sangat tidak patut sebagai pelajar sekolah agama. Walaupun mereka hanya tidak solat di surau dan kesalahan itu tidaklah besar akan tetapi sepatutnya mereka lebih tahu bahawa solat berjemaah itu besar pahalanya di sisi Allah.

Kadang-kadang Nur diperli oleh kawan-kawan ‘dorm’nya apabila hendak tidur di surau untuk qiamullail bersama sahabat usrahnya. Pernah satu ketika Nur berasa tidak tahan dengan sindiran tersebut dan membuat keputusan untuk tidak tidur di ‘dorm’nya lagi. Akan tetapi perkara tersebut ditegah oleh sahabat-sahabatnya kerana perbuatan itu melanggar peraturan yang ditetapkan. Walau bagaimanapun Nur rasa bersyukur kerana walaupun pelbagai ujian yang dialaminya akan tetapi Allah menganugerahkan dia sahabat-sahabat yang saling menyayangi antara satu sama lain dan saling bantu-membantu dalam apa juga keadaan. Apa yang lebih penting adalah ukhuwah tersebut semata-mata kerana Allah (ukhuwah fillah). “Sabarlah Nur, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Allah tak akan membebani hambanya kalau mereka tidak mampu. Percaya dan yakinlah Allah pasti bersama kamu. Keputusan yang dibuat untuk berada dijalanNya bukan mudah dilalui. Ia memerlukan hubungan yang kuat dengan Allah. Aku doakan segala-galanya dipermudahkan.” Kata Dila kepada sahabatnya. Keakraban Dila dan Nur semakin padu dan Nur berasa sangat bersyukur dikurniakan sahabat seperti Dila.

Kini, Nur tetap tegar dengan pendirian dirinya. Dia berjanji tidak akan mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif ke dalam dirinya lagi. Kecekalannya dalam acuan tarbiyah menyebabkan dia bertambah tahu dan yakin mengapa Allah menjadikan manusia di muka bumi ini. Tanggungjawab sebagai seorang da’ie/khalifah dalam menyampaikan ilmu yang dipelajari dan mengamalkannya dengan cara yang betul dan menepati syariat Islam. Tugas umat Islam adalah penyambung risalah nabi bukanlah pemula atau pengakhir. Naqibahnya Ukhti Rita dan Ukhti Aisyah sangat menegaskan soal mutabaah dan apa yang perlu disumbangkan kepada agama. Ukhti Aisyah selalu berpesan, “ Janganlah kita fikirkan apa yang telah Islam beri kepada kita tapi fikirkanlah apa yang telah  kita beri kepada Islam?” Subhanallah. Persoalan itu sentiasa bermain dibenak fikiran Nur. Dia semakin kuat untuk berhujah kepada kawan-kawan kenapa dan apa pentingnya tarbiyah dalam kehidupan kita. Sedikit demi sedikit Nur cuba membetulkan keadaan. Nur cuba mengeratkan kembali jalinan mesra dengan kawan-kawan ‘dorm’nya seperti dahulu. Dia tidak mahu memutuskan silaturahim yang dibina. “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara” (al-Hujurat:10). Ayat itu yang dipegang oleh Nur apabila dia sering merasa geram dan sakit hati dengan sikap kawan-kawanya itu. Dia mahu menjadi seorang yang dapat mempengaruhi orang lain bukan lagi seorang yang mudah dipengaruhi. Apa sahaja ilmu yang diterima dalam usrah, Nur akan berkongsi dengan kawan-kawan ‘dorm’nya pada ketika  waktu senggang atau ketika waktu makan, dia akan membuka topik-topik yang lebih bermanfaat dan tidak semata-mata perkara yang lagha.

Ketika Nur sedang sibuk dengan program usrah dan sebagainya, dia sering mengabaikan pelajaran. Walaupun berada di kelas pertama iaitu kelas Mumtaz (cemerlang) akan tetapi Nur gagal untuk fokus dan sering tidur di dalam kelas. Perkara tersebut menjadi buah mulut kawan-kawannya yang tidak mengikuti program usrah, seolah-olah mereka mengatakan usrah banyak menyebabkan pelajaran pelajar terganggu. Sehingga satu ketika naqibah usrah menasihati Nur dan ahli usrah yang lain supaya menjaga nama usrah. Jangan biarkan orang lain (yang tidak masuk usrah) melihat kerja dakwah ini menyebabkan kita gagal. Tidak, sepatutnya kita perlu lebih cemerlang daripada mereka. Kita lebih mulia dan lebih disayangi Allah kerana membela agamanya. Bermula dari itu, Nur memegang pada ayat Allah, mafhumnya “ Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sehingga dia mengubah dirinya sendiri”. Nur merasakan sekiranya dia tidak mengubah dirinya yang dahulu maka terus meneruslah dia akan berada pada takuk yang sama. Mungkin akan jadi lebih teruk dari itu. Berkat kesungguhan Nur belajar dan mentalaah pelajaran bersama kawan-kawannya serta doa yang tidak pernah putus, pada peperiksaan akhir tahun tingkatan enam, Nur telah berjaya mendapat pangkat Mumtaz. Dia bersyukur kerana setiap kegagalan yang dialaminya sebelum ini menjadi penyuntik semangat kepada kecemerlangannya pada masa kini. Benarlah kata-kata hikmah orang Arab (hukama), “ Man jadda wa jada”. Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan berjaya.

Beberapa minggu sebelum tamat persekolahan (akhir tahun), Nur meminta maaf kepada kawan-kawan ‘dorm’nya atas segala perkara yang berlaku. Pada hari itu, kawan-kawannya juga merasa terharu dan mula meringankan langkah solat lima waktu di surau dan mulai berubah sedikit demi sedikit. Nur bersyukur kerana Allah telah membuka hati nurani mereka untuk cuba melangkah ke arah yang lebih baik. Kerana kejadian itu, sahabat-sahabat usrah Nur dan kawan-kawan yang lain juga bertambah senang dengan sikap mereka (kawan ‘dorm’ Nur). Jalinan mesra mulai berputik dan terus mekar sehingga penghujung akhir tahun persekolahan. Sehinggakan perpisahan yang bakal berlaku ketika itu sungguh menyakitkan. Subhanallah. Begitulah kalau ukhuwah yang dibina atas nama Allah pasti kemanisannya dapat dirasai. Malam terakhir di asrama sebelum para pelajar pulang ke rumah masing-masing, mereka telah mengadakan jamuan perpisahan dan lagu Doa Perpisahan dendangan kumpulan Brothers dinyanyikan beramai-ramai dengan penuh rasa hiba. Kenangan yang tercoret semasa di sekolah tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Bertemu dan berpisah kerana Allah. Ucapan Nur kepada Dila yang menjadi sahabat rapatnya “Selamat berjuang sahabatku semoga Allah berkatimu kenangan indah bersamamu takkan ku biar ia berlalu. Berjuanglah hingga ke akhirnya dan ingatlah semua ikrar kita (bait lagu Selamat Berjuang) .”

Bait-bait lagu Doa Perpisahan:

Pertemuan kita di suatu hari
Menitikkan ukhuwah yang sejati
Bersyukurku kehadap Illahi
Di atas jalinan yang suci
Namun kini perpisahan yang terjadi
Dugaan yang menimpa diri
Bersabarlah diatas suratan
Kutetap pergi jua
Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Allah bantulah hamba-Mu

Mencari hidayah dari pada-Mu
Dalam mendidikan kesabaranku
Ya Allah tabahkan hati hamba-Mu
Diatas perpisahan ini
O.. uwo.. ho..
Teman betapa pilunya hatiku
Menghadapi perpisahan ini
Pahit manis perjuangan
Telah kita rasa bersama
Semoga Allah meredhoi
Persahabatan dan perpisahan ini
Teruskan perjuangan
Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Allah bantulah hamba-Mu
Senyuman yang tersirat di bibirmu
Menjadi ingatan setiap waktu
Tanda kemesraan bersimpul padu
Kenangku di dalam doamu
Semoga… Tuhan berkatimu”
Oo.. ho.. o…

Nurul Hajjar Binti Atan (Ukhti Ansarullah)
Komunikasi dan Dasar Awam
UKM.

poster promo ikhwah
picture hosting