PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Wednesday 29 January 2014

Silat: Belia Muslim Kuat Lebih Dicintai Allah


Bangi, 27 Jan – “Silat merupakan seni mempertahankan diri nusantara dan telah menjadi warisan dari satu generasi ke satu generasi sejak zaman dahulu lagi. Dengan silat, kita mampu membina jati diri dengan tertanamnya sifat cintakan agama, bangsa dan tanah air.”

Demikian kata Najimuddin Bin Mohd Faudzir, aktivis PEMBINA UKM dan juga peserta silat dalam Kejohanan Pencak Silat Taming Sari terbuka IPT dan jemputan antarabangsa baru-baru ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM. Beliau bertanding dalam perlawanan kategori A, berat 40 -50 kg.

“Silat juga mampu menguatkan tubuh badan kita di samping mendisiplinkan diri kita. Bukankah muslim yang kuat itu lebih dicintai Allah.” ujar beliau.

Najimuddin turut berkata, sebagai seorang ‘daie’ dan juga mahasiswa, membahagikan masa antara silat, akademik dan dakwah tidaklah begitu sukar sebenarnya jika bijak menguruskan dan mengoptima masa. Hal ini demikian kerana latihan silat hanya berjalan dua kali seminggu, pada hari Selasa & Rabu. Hujung minggu pula boleh dimanfaatkan untuk program dakwah bersama badan Islam. Beliau tidak bersetuju dengan alasan mahasiswa yang tidak dapat aktif berdakwah kerana sibuk dengan akademik dan aktiviti dalam kampus atau sebaliknya.

“Bagi mengimbangkan (tawazun) antara dakwah, aktiviti sosial & akademik adalah tidak mustahil walaupun tidak dinafikan ada cabarannya. Apa yang paling penting ialah kita harus memilih keutamaan dalam hidup kita. Yang kedua, kita perlu sentiasa mentajdid (memperbaharui) niat bila berhubung sesuatu perkara. Hal ini untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara-perkara yang membazirkan masa” jelas Najimuddin.

Pada masa sama, beliau juga menjelaskan bahawa setiap potensi yang ada pada diri individu tidak perlu dilenyapkan begitu sahaja atau terus menjadi pasif apabila terlibat dengan badan dakwah. Seharusnya seorang ‘daie’ perlu mengembangkan potensinya yang sedia ada kerana itu juga adalah sebahagian aset untuk berdakwah.

Najimuddin merupakan seorang mahasiswa dan aktivis PEMBINA UKM yang aktif menjalankan aktviti usrah dan beraktivisma bersama PEMBINA. Beliau juga aktif bersilat dan pernah menyertai SUKEM 2013 pada bulan Oktober lepas.


Wartawan PEMBINA Bangi

Tuesday 21 January 2014

‘Kem Khalifah Muda’ Melahirkan Beliawanis Berjiwa Kental


HULU SELANGOR, 17 Jan – Bagi mengisi masa lapang pelajar UKM pada cuti semester ini, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UKM menganjurkan mukhayyam, khas kepada mahasiswi yang bertemakan ‘Kem Khalifah Muda (KEM)’, bertempat di Rasa, Hulu Selangor. Perkhemahan ini bertujuan membentuk ciri-ciri khalifah dalam jiwa peserta, di samping melahirkan muslimah yang berjiwa kental dalam mengharungi pelbagai cabaran.
 
Para peserta bertolak ke tempat program dengan menaiki KTM, bagi melatih mereka berdikari serta merancang perjalanan mengikut masa yang ditetapkan. Peserta juga diuji untuk berhadapan dengan masyarakat apabila mereka diberikan penanda buku untuk disampaikan kepada penumpang KTM.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini, bukan sahaja diisi dengan aktiviti yang berbentuk kerohanian mahupun menguji ketahanan fizikal serta jiwa, seperti aktiviti explorace dan sentuhan qalbu(muhasabah), malah turut mendedahkan para peserta kepada isu-isu semasa yang menjadi ancaman kepada umat Islam kini.

“Sepanjang program ini, saya memperoleh banyak manfaat, antaranya, dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman dalam isu semasa, seperti COMANGO dan isu Kalimah Allah.”

“Selain itu, program ini berjaya menambahkan keyakinan saya untuk berdakwah kepada masyarakat.”

Ujar seorang daripada peserta KEM, Norasyima Bt. Zaki. Selain itu, Ummu Sulaim yang juga peserta program, berpendapat bahawa pentingnya individu muslim dalam menyampaikan dakwah.

“Kem ini adalah satu inisiatif untuk menyedarkan seseorang itu akan peranannya sebagai individu muslim dalam menyebarkan dakwah.”

“Apa yang kita lihat sekarang, masyarakat mengehadkan kerja dakwah itu hanya kepada pendakwah dan mereka yang mengkhusus dalam bidang agama sahaja, sedangkan ini adalah peranan sebenar kepada setiap umat Islam.”


Antara aktiviti utama yang lain adalah, 5 rencah 5 rasa, Idola Khalifah, Ledakkan Potensi Dirimu (LDK), Tahajjud Cinta (Qiamullail), dan Duduk Membangun Iman, iaitu slot pengisian yang disampaikan oleh aktivis ISMA, Dr. Irfan. 



Wartawan PEMBINA UKM

TARBIYAH DZATIYAH ASAS PEMBENTUKAN KHALIFAH


HULU SELANGOR, 18 Jan – “Manusia mempunyai dua tujuan hidup di atas muka bumi ini, iaitu beribadah kepada Allah dan menjadi khalifah dengan cara menegakkan hukum-hakam serta memakmurkan bumi.”

Kata Dr. Irfan, aktivis ISMA, dalam slot ‘Duduk Membangun Iman’ sewaktu program ‘Kem Khalifah Muda (KEM)’ di Rasa, Hulu Selangor.

“Pembentukan khalifah bermula dengan membentuk individu muslim dan dari langkah pertama ini, matlamat seterusnya dapat dicapai, iaitu melahirkan keluarga muslim, masyarakat muslim, kerajaan Islam, Daulah Islam (negara yang mengamalkan nilai-nilai Islam), empayar Islam, dan akhirnya membentuk ustaziatul ‘alam.”

Sehubungan dengan itu, peserta didedahkan dengan kepentingan tarbiyah dan dakwah dalam usaha membentuk khalifah yang berkualiti.

“Seorang khalifah perlu melalui proses tarbiyah dan melibatkan diri dalam gerak kerja dakwah.”

“Bermula dengan tarbiyah dzatiyah, iaitu mendidik diri sendiri tanpa mengharapkan naqibah mahupun teman seperjuangan, seterusnya memantapkan ilmu, turun ke medan dakwah dan seterusnya berdakwah dan sampaikan fikrah kepada organisasi dan mahasiswa dengan cara mentajmik.”


Menurut beliau lagi, seorang khalifah bukan sahaja perlu memantapkan ilmu fardhu ain seperti aqidah, sirah, ibadah, quran dan sunnah, serta feqah, malah perlu cakna isu semasa supaya berjaya menjadi Islam yang profesional.


Wartawan PEMBINA UKM

Monday 13 January 2014

Fahaman Feminisme Melanggar Acuan Syariat



Wanita masih keliru, mana yang benar dan mana yang palsu. Sifat ingin memimpin dan menjadi penguasa dunia semakin membuak-buak di dalam kalbu sehingga sanggup menggadaikan pegangan yang menjadi bekalan sejak 1400 tahun dahulu lagi. Dewasa ini, wanita berlumba-lumba mengejar pangkat dan harta. Wanita bersengkang mata berusaha menjadi lebih hebat daripada lelaki dan wanita bersungguh-sungguh ingin mencapai kuasa yang setaraf dengan lelaki. Apakah itu salah di sisi syariat Islam?

Telah banyak hal ini diperbincangkan bahkan menjadi perdebatan antara ahli akademik dan agamawan tentang peranan dan tanggungjawab sebenar seorang wanita Islam. Rentetan sejarah mencatatkan ketinggian wanita itu diangkat oleh Islam daripada kemelut jahiliyah yang menghitam. Wanita ketika zaman jahiliyah sungguh hina, jijik dan dituduh pembawa bala kematian kepada keluarga. Namun apabila cahaya Islam datang, wanita Islam menjadi mulia dan diangkat martabatnya setara dengan lelaki. Kesetaraan apakah yang diangkat oleh Islam terhadap wanita dengan lelaki? Di dalam al-Quran sendiri, Allah telah mengkhususkan satu surah khas untuk kaum wanita iaitu Surah an-Nisa. Allah juga mencatatkan di dalam al-Quran tentang keserataan pahala dan amalan yang diberikan kepada wanita sama seperti lelaki iaitu, pahala membuat amal kebajikan, berdakwah, menuntut ilmu dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, apa yang menyedihkan hari ini, wanita semakin hilang rasa malu, wanita semakin hilang rasa izzah (bangga) dengan ketinggian mereka yang diangkat oleh Islam. Setiap inci hukum syariat dipertikaikan oleh mereka sehingga seolah-olah Islam sudah tidak adil lagi. Acuan fahaman liberal yang sedang diseludup masuk oleh barat ke dalam pemikiran wanita semakin membatasi ketinggian syariat. Bahkan hal ini telah menjadi normalisasi dalam masyarakat. Hukum menutup aurat dibahaskan, hukum mentaati suami diperdebatkan, dan hak memiliki harta menjadi untaian pertikaian. Apakah ini suatu perkara yang ‘normal’ pada pemikiran wanita Islam yang sebenar?

Barat, telah membawa fahaman liberalisme dengan menjadikan feminisme sebagai alat pertikaian. Sedikit rentetan sejarah tentang liberal feminism  bermula dari kurun ke 19 lagi, Elizabeth Cady Stanton antara feminist yang sungguh aktif memperjuangkan feminisme dari segi pendidikan dan hak-hak wanita yang sangat tidak adil ketika itu. Kemudian pada kurun ke 20 pula, di Amerika Syarikat, Betty Friedan antara pejuang feminisme moden yang kental dalam memperjuangkan hak wanita bekerja. Friedan menjadi pencetus kepada pemikiran feminisme moden kerana dia merasakan wanita yang telah berkahwin dan bekerja sangat terbeban dengan tanggungjawab untuk menjaga anak dan sebagainya, sedangkan lelaki tidak menanggung beban sebanyak itu. Selain itu, Friedan juga tidak bersetuju dengan John Stuart Mill yang mengatakan, wanita sepatutnya memilih untuk bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Pada pandangan Friedan, hal itu sungguh tidak adil bagi wanita. (Sumber: Women in Feminism and politics; New Directions Towards Islamization)

Belajar daripada sejarah. Itu ungkapan yang acapkali dilafazkan akan tetapi sejauh mana kita melihat ia sebagai pengajaran yang harus diambil iktibar. Ya, sejarah itu adalah sejarah dari barat. Tetapi adakah kita sedar bahawa sejarah feminisme yang berlaku di Amerika Syarikat pada kurun ke 20 itu telah berlaku di negara kita hari ini, bahkan lebih buruk lagi? Pergerakan feminisme Malaysia yang hangat memperjuangkan feminisme hari ini adalah Sister In Islam (www.sisterinislam.org.my) yang cuba bertopengkan dengan menggunakan nama Islam tetapi dasar pemikiran mereka adalah acuan barat bukan Syariat. Sedarkah kita, Sister In Islam yang berjuang dengan membawa nama Islam tetapi pejuang-pejuangnya adalah wanita-wanita yang tidak mengamalkan amar maaruf nahi mungkar. Ayat-ayat al-Quran diputar-belitkan dengan menggunakan logik akal dan hukum Islam dijadikan bahan sendaan.



Baru-baru ini, berkenaan isu COMANGO (gabungan NGO-NGO) Sister In Islam telah menjadi salah sebuah NGO yang terlibat dalam menandatangani UPR oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkenaan dengan Hak Asasi Manusia yang perlu dituntut di dalam sesebuah negara. Apa yang menyedihkan antara tuntutan hak asasi itu adalah secara terang-terangan bertentangan dengan Islam seperti kebebasan murtad, menghalalkan seks songsang, membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada kristian dan banyak lagi. Apakah ini masih belum jelas dengan agenda yang sedang dibawa untuk merosakkan Islam?



Ini bukan suatu tuduhan. Bukan juga satu stereotaip yang melampau terhadap golongan ini, akan tetapi apa yang harus kita lakukan adalah cakna dan mengambil tahu serta memahami fahaman feminisme yang sedang menyerang pemikiran kita hari ini. Apakah cukup hanya tahu dan cakna? Sudah tentu tidak, tugas kita adalah dengan menyampaikannya kepada orang lain supaya penyebaran maklumat yang bercanggah dengan syariat Islam diketahui umum. Isu ummat wajib digembar-gemburkan kerana kita tidak mahu saudara kita yang terlepas pandang tentang isu ini terkontang-kanting di dalam arus kejahilan. Usah biarkan jiwa dan minda kita menjadi selari dengan pegangan mereka tetapi selarikan diri kita dengan perisai syariat supaya dapat menepis fahaman-fahaman seumpama ini.

Wallahu alam




Nurul Hajjar Binti Atan

Aktivis PEMBINA
Team Media PEMBINA UKM

Monday 6 January 2014

ZON BELIAWANIS: KEM KHALIFAH MUDA

[PAKEJ TARBIYAH DAN REKREASI]

Jom sertai beliawanis PEMBINA UKM dalam pengembaraan sejauh 80km dengan menaiki komuter!
# Kem yang sarat dengan pelbagai aktiviti menarik yang mencabar kekuatan mental dan fizikal, mencungkil bakat yang terpendam dalam diri beliawanis dan membangun kekuatan iman melalui aktiviti yang mendidik jiwa.
# Tiket pergi disediakan!

Jangan lepaskan peluang anda!!!!!!

Tarikh : 17-19 Jan 2014 (Jumaat-Ahad)
Tempat : Rasa, Hulu Selangor
Yuran : RM 35 (AHLI)
RM 45 (BUKAN AHLI)
Hubungi : Solehah (013-3270573)



Sunday 5 January 2014

Aku, Kau dan FB


Kebiasaanya usaha untuk menyegarkan mata aku daripada tidur kembali selepas subuh adalah dengan online di pagi hari. Perkara pertama yang akan aku buka dari tab aku ialah Facebook (FB), walaupun aku tahu tidak ada kepentingan besar pun untuk buka Facebook. Di samping itu, aku baca artikel dari blog yang mampu memberi manfaat buat pembaca seperti aku.

Sambil menunggu blog loading, aku sempat menjenguk status-status di Facebook. Hatiku pun berkata, 

“Bagusnya deme ni bangun awal. Tak tidur lepas subuh. Mesti tiru cara aku untuk tidak tidur lepas subuh kembali.” Sambil kagum dan tersenyum (tak tahu kenapa senyum).

Aku ambil sedikit masa melihat status yang dikongsikan (shared) di FB. Ada status yang bagus. Antaranya, isu semasa seperti isu COMANGO, bahaya Liberalisme, bahaya LGBT, bahaya Syiah dan isu Mesir. Ada yang share ayat-ayat al-quran, di mana, ayat tersebut sekali-sekala terkena di batang hidung sendiri.

“Inilah salah satu cara Allah menegur hamba-hambanya,” getus hatiku seorang diri.

Namun, ada juga terbaca status seperti ini, 

“Hari-hari makan magi, selamat pagi.”
“Ngantuklah,ada sesiapa boleh tolong dodoi?”
“Kau ingat kau bagus sangat?!!”
“Takpe awak, hari ini hari awak,hari esok hari saya pulak.”

Erkkk??? Apa masalah mereka ini? Nak tidur, tidur je lah. Nak luah perasaan, tak perlu post di FB. Nak makan magi, makan je lah. Aku makan nasi goreng untuk sarapan bukan magi. Maggie kan boikot.

**FB dijadikan sebagai Tuhan.**

A : Kenapa pulak kau cakap macam tu?
B : Semua orang nak luah perasaan kat situ. Luahkanlah pada Allah, bukan pada FB dan semua orang tahu masalah mereka. Bukannya mereka boleh bagi penyelesaian, bahkan memang tak ada penyelesaian pun.Tidak kurang, ada juga yang masih ber'FB' walaupun sudah masuk waktu solat. Solat di FB?
A : Oh, macam tu. Bukan aku, mereka tau!
B : Yang kau terasa kenapa?

Tet…tet…

Inilah tabiat pemuda-pemuda zaman sekarang. Menjadikan FB sebagai medan bergaduh, meluahkan perasaan dan  jidal yang tidak sudah-sudah. Hal ini menunjukkan pemuda kita seakan-akan tiada tujuan hidup yang jelas. Ada yang sering upload gambar untuk menunjukkan wajah tampan dan cantik mereka di FB tanpa sebab. Lebih-lebih lagi yang baru lepas majlis makan malam (dinner) kolej. Ambil gambar dan post di FB. Ada juga yang seakan-akan rasa bangga menunjukkan auratnya dikhalayak. Selepas itu, ramailah yang akan komen,

Peng ‘komen’: Cantiknya awak ni
Peng ‘upload’: Eh,tak ada lah...tapi, terima kasih puji saya

Allahurabbi….


Ayuh sahabat-sahabat sekalian kita ubah semua ini. Kita lakukan anjakan paradigma. Sebaiknya kita gunakan medan FB sebagai medium menyebar kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sememangnya FB banyak kelebihan dan tidak kurang juga keburukannya. Namun, seeloknya kita pilih jalan yang betul dengan menyebarkan kebaikan pada orang lain. Kita kan umat terbaik!

Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana) kamu menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah.” (Ali Imran 3:110)     

Marilah sama-sama kita ikut adab-adab untuk ber'FB' selepas ini.


Sebelum buka FB, letakkan niat (sebab) yang memestikan anda buka FB

1. Kongsikan (share) perkara yang boleh mendatangkan manfaat bersama. (Kaji faktanya terlebih dahulu sebelum dikongsikan)

2. Elakkan dari memuat naik gambar-gambar yang tiada manfaat, seperti gambar diri sendiri sampai penuh FB dengan muka anda.

3. Letakkan hanya gambar kecil, menutup aurat dan gambar yang tidak mendatangkan fitnah pada diri sendiri, sekiranya niat hanya hendak dikenali orang. (professional)

4. Pastikan anda tidak terlalu lama melayani FB. Cukuplah sekadarnya menyelesaikan perkara-perkara yang memerlukan FB sebagai medan berbincang.

“Janganlah kamu berasa lemah, jangan kamu berasa sedih hati kerana kamu paling tinggi darjatnya jika kamu orang beriman”  (Ali Imran,3:139)   




Siti Asyuhra bt. Abdul Rahman
Biro Pembangunan Sumber Manusia
PEMBINA UKM                                                                                                                                                                                                      

Konflik? Hadapinya!

"Kadang-kadang saya agak cemburu dengan orang lain terutama sahabat-sahabat saya.

Saya cemburu apabila mereka adalah pelajar yang rajin dan semangat belajar, tapi saya TIDAK.

Saya cemburu apabila mereka dapat menunaikan amanah dengan baik, tapi saya TIDAK.

Saya cemburu apabila mereka dapat menghadapi masalah dengan baik, tapi saya TIDAK.

Saya cemburu apabila mereka ada hati yang tenang, tapi saya TIDAK.

Saya cemburu apabila mereka tak bersangka buruk kat orang lain,tapi saya TIDAK.

Saya cemburu apabila amalan ibadah mereka begitu banyak, tapi saya TIDAK.

Saya cemburu apabila mereka bijak merancang masa, tapi saya TIDAK.

Saya cemburu sangat apabila....
MEREKA berjaya dekat dengan Tuhan, tapi saya TIDAK.”

Jadi, pernahkah anda merasa seperti apa yang saya rasa? Jika ya, tidak mengapa wahai saudaraku. Janganlah kita berputus asa dengan setiap perkara yang berlaku ke atas diri kita. Jika kita merasa cemburu dengan orang lain, lihatlah kembali nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita selama ini.


Jika kita menghadapi konflik dalam kehidupan seharian kita, amalkan tiga konsep iaitu HADAPI, HAYATI dan NIKMATI konflik tersebut.

(i) HADAPI
Jangan lari dari masalah kerana jika kita lari, masalah akan mengejar kita kembali.

(ii) HAYATI 
Hayati kesan masalah tersebut terhadap kita. Hayati apakah punca kepada masalah tersebut. Apakah yang perlu kita buat ? Bagaimanakah cara kita menghadapi masalah tersebut.

(iii) NIKMATI 
Nikmati masalah kita dengan cuba menyelesaikan masalah kita dengan cara yang terbaik. Cuba dapatkan pandangan daripada mereka yang lebih berpengetahuan. Akhir sekali, jangan lupa kita memohon pada yang Maha Mengetahui.

“Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepadaNya lah kamu meminta pertolongan”  -Surah An-Nahl (16:53)-

Sebelum mengakhiri kalam, saya selitkan sedikit mutiara kata daripada Hamka :

Hidup terbina antara pahit dan manis,
Kalau selalu sahaja pahit,
Hati akan menjadi rawan,
Dan,
Kalau sentiasa manis,
Hati akan menjadi bosan

Maaf di atas segala kesilapan. Segala ilham yang datang adalah dari Allah Yang Maha Bijaksana. Selawat dan junjungan ke atas Nabi Muhammad SAW. Terima kasih juga kepada para pendidik yang mengajar saya erti kehidupan.


Nurul Farhana bt. Ahmad Termizi
Biro Aktivisme 
PEMBINA UKM


poster promo ikhwah
picture hosting