PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Tuesday 29 April 2014

Semangat, Jangan Pergi! #1 : Bangkit

Sungguh,
Berat yang aku rasakan kini. Tatkala beban mula menghempap tubuh, aku lemah, jatuh dan berpaling daripadaMu. Jauh...aku hilang arah. Walau hadirnya cahaya, aku buta. Tak nampak jalan yang mampu membawa ku keluar. Sesat. Saat ini, aku perlukan pendorong. 

"Allah akan menguji seseorang berdasarkan apa yang dia lemah, sehinggalah seseorang itu benar-benar bangkit dari kelemahannya."

Ya, sukar untuk kuat bila kita sendirian tetapi, sampai bila engkau mengharap ihsan manusia? Sampai bila engkau mahu bergantung kepada seorang insan yang bergelar manusia? Sampai bila?


Adakalanya Allah sengaja membiarkan kita sendiri. Ada perkara yang cuba disampaikan, ada hikmah yang Allah suruh kita renungi. Dia, al-Khaliq. Adalah menjadi haknya memberi dan menarik pemberianNya. Sesungguhnya, Dia mahu kita kembali padaNya.

Rasa berat? Tak mampu nak teruskan? Sedar tak, yang beri kau kesenangan, kelapangan, kesihatan dan pelbagai lagi nikmat tu siapa? Kenapa tidak menggunakan segala kesenangan itu pada jalan yang betul? Bila dah jatuh baru terngadah. Bila banyak sangat beban di belakang bahu, kau mengeluh. Mahu berundur dan jadi bebas, sebebas-bebasnya? 

Begitu mudahnya manusia mengeluh. Saat kesusahan, seribu, sejuta, billion, trillion nikmat yang Allah pernah bagi dulu, terus hilang dari ingatan. Mengenang nasib, meratap dan mengeluh. Betullah kata Allah dalam Al-Quran,

"...Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur." (As-Saba' 34:13)

Aku penat...tak tahan dah nak tanggung semua ni. Aku nak lepaskan semua. Cubalah faham. Sakit kau tahu tak? Amanah ni terlalu berat untuk aku.

Jalan ini bukanlah jalan main-main. Ya, ini bukan jalan yang penuh dengan plot cerita yang indah-indah. Di sini, kau akan diuji sejauh mana tahap kematanganmu. Benar, jalan ini bukan untuk orang yang manja. Namun, di sinilah kau berjaya menempuhi pelbagai halangan yang orang lain takkan rasa sehingga yang manja menjadi tabah.  

Ingat, kita adalah hamba yang dipilih Allah. Berbanggalah!

Ini adalah perniagaan yang menguntungkan. Bukan keuntungan materi, tapi keuntungan rohani. Itulah yang dapat menaikkan saham di akhirat kelak.

10. "Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? 
11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. 
12. Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang agung.
13. Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin." 

(As-Saff 61: 10-13)

Aku dah cuba untuk kuat, untuk berubah. Tapi, sampailah sekarang aku tak jumpa kekuatan tu. Walaupun lama ditarbiyah, aku tak mampu jadi sehebat orang yang seangkatan denganku.

Dengarkan ini wahai sahabat…

Tarbiyah itu adalah satu proses untuk mengubah diri kita menjadi insan yang lebih baik. Kadangkala, proses itu memakan masa yang lama, menyakitkan dan juga memeritkan. Jika lemah yang kau rasakan kini adalah kerana proses itu, maka bertahanlah. Kerana engkau berada di landasan yang betul. Koreksi diri, lihat hubunganmu dengan Allah. Mungkin kesukaran yang kau rasakan ini adalah kerana kurangnya pergantunganmu kepada Allah.

Usah terkejar-kejarkan menjadi orang yang hebat. Kerana orang yang hebat itu juga lahir daripada kegagalan hidup. Proses bangkit dari kejatuhan itu memakan masa dan sudah pastinya pelbagai halangan ditempuhi. 

Sudah takdirNya, kita lahir untuk berusaha mendapatkan sesuatu dan menjadi sunnatullah setiap yang berlaku menjalani prosesnya yang tersendiri. Jika kita hendak makan, kita perlu berusaha mencari duit, kemudian membeli bahan mentah, memprosesnya menjadi makanan, kemudian baru boleh dijamah. Tiada yang ekspres dalam hidup. Jika semua laluan ditempuhi dengan mudah, mungkin tiada langsung hambaNya yang bersyukur. Maka, berusahalah mendaki tangga mencapai redha Ilahi, insyaAllah kita menjadi hebat di mataNya.

Ya Allah, pemilik hati. Sucikanlah hati ini agar mudah ku menerima kebaikan yang Kau datangkan. Terangkan mata hati ini agar dapat ku mengutip setiap yang berlaku sebagai hikmah dalam menelusuri jalan yang penuh berliku. Kuatkan dan tetapkanlah aku di jalan-Mu. Ini rintihan hambaMu, dengarkan dan perkenankanlah ya Allah...

p/s: Ini adalah koleksi nasihat-nasihat orang disekeliling. Terima kasih atas nasihat yang membina



Aktivis PEMBINA UKM




Friday 18 April 2014

Semangat, Jangan Pergi! #2 : Teruskan Perjuanganmu


“Sehari dalam kehidupan individu adalah setahun dalam kehidupan ummat. Umat yang mengerti betul akan hakikat kehidupan mereka tidak akan pernah mati.”

Ayat yang sangat menyentap hati itu dibaca berulang kali. Cuba memahami maksudnya dan mengaitkan dengan kehidupan sendiri. Jauh, masih jauh dari diri. Bacaan diteruskan. Setiap bait-bait ayat di dalam buku tersebut cuba dihayati. Terasa seperti penulisnya sedang bercakap dengan diri ini. Benarlah kata seorang sahabat, buku ini sangat menyentuh hati.

Hampir beratus kali telinga kita sering mendengar kata-kata seperti
“Jalan ini panjang... Jalan ini bukan mudah, bukan jalan yang dihiasi dengan keindahan”

Ya. Noted, faham. Tetapi faham dan amal adalah perkara yang berbeza. Bila diuji, bila terkena diri sendiri, kadang kala kita akan menjadi lemah, sedih, marah, kecewa, malas.. Seringkali kita terdengar bahawa kita akan diuji dengan masa. Kemudian harta. Kemudian jiwa.. sejauh mana kita mampu berkorban? Masa, tenaga, perkara sia-sia yang kita cinta. Anda teringat sesuatu? Tidak kiralah masalah dunia mahupun akhirat, Allah akan uji kita dengan perkara yang kita lemah berkali-kali untuk mendidik kita belajar mengatasi masalah tersebut. Selagi kita tidak belajar, selagi itu kita akan berdepan dengan masalah yang sama.

Namun bila melihat bagaimana teman-teman sekeliling mampu berkorban, bagaimana teman-teman sekeliling hadir menguatkan...sedikit sebanyak kita akan mendapat kekuatan dan semangat. Hikmah mempunyai sahabat yang sentiasa mengingatkan diri kepada Allah. Kalau kita sibuk, sahabat-sahabat yang lain jauh lagi sibuk. Dan berbagai-bagai alasan lain, kita harus cuba positifkan diri bahawa Rasulullah dan para sahabat serta orang lain jauh lebih hebat ujian dan amal mereka berbanding kita.

Jatuh bangun adalah perkara biasa. Namun tindakan selepas itu menentukan kita hendak menjadi biasa atau luar biasa. Seperti ayat yang tercatat dalam sebuah buku, umat yang mengerti betul akan hakikat kehidupan mereka tidak akan pernah mati. Ya, back to basic; mengerti tujuan penciptaan diri.

Bukan mudah untuk benar-benar menghayati. Bukan mudah untuk kekal kuat apatah lagi bila berjauhan dengan suasana dan sahabat yang baik. Namun di mana ada kesungguhan, insyaAllah, Allah akan bantu. Yang penting adanya kesungguhan dan semangat di dalam diri untuk memungkinkan semua ini. Keazaman untuk benar-benar menjadi hamba yang bermanfaat kepada agamaNya.  Apabila saya mendengar kata-kata “Saya fed up lah kak. Saya dah penat” atau “Saya rasa dah tak mampu, rasa nak ‘keluar’....” Saya hanya mampu tersenyum. Siapa yang tidak rasa benda sama? 

TAPI...ingat akan satu perkara:

-Janganlah engkau putus asa kerana putus asa itu bukanlah akhlak seorang muslim-


Allahu Akbar!


Daripada buku Bagaimana Menyentuh Hati

NAMY
Aktivis PEMBINA UKM


Ada Apa dengan Usrah ?


Pernah dengar perkataan usrah ? Kadang-kadang dengar ada yang sibuk mengajak usrah, ada yang sibuk buat tugasan usrah dan ada juga yang sibuk pergi ke usrah. Usrah berasal dari bahasa arab yang membawa maksud keluarga atau dalam kata lain untuk menunjukkan adanya hubungan atau ikatan persaudaraan sesame manusia. Dari segi harakah islamiyah, satu unit keluarga yang diikat oleh kesatuan aqidah (kesatuan iman), kesatuan pemikiran (fikrah), kesatuan kesedaran tentang persamaan sejarah dan nasib dan kesatuan cita-cita perjuangan untuk berkerjasama dan bantu-membantu memperkukuh jemaah islamiyah. Usrah juga merupakan salah satu daripada institusi tarbiyah.

Usrah membawa matlamat untuk mencapai seluruh tujuan keislaman yang mulia bagi kemaslahatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Pada pendapat penulis, usrah memerlukan komitmen dan kesungguhan kerana Inshallah sesungguhnya mereka yang mengikuti usrah ini mempunyai matlamat yang sama iaitu mendekatkan diri kepada Allah dan ingin mendapatkan keredhaanNya.

Sesiapa sahaja yang mengikuti usrah akan diperkenalkan dengan 3 rukun usrah. Al-Syahid Imam Hassan Al-Banna menjelaskan 3 rukun usrah tersebut iaitu :


1. Al-Ta’aruf ( Berkenalan ) : Berkenalan dan berkasih sayang dengan semangat cinta kepada Allah serta memahami pengertian hakikat ukhuwwah ( persaudaraan) sejati di antara satu sama lain.

2. Al-Tafahum ( Bersefahaman ) : Bersefahaman untuk berpegang kepada kebenaran ; iaitu amal makruf nahi mungkar. Setelah itu, menasihati antara satu sama lain.

3. Al-Takaful ( Berseimbangan ) : Dasar memelihara nasib sesama sendiri supaya jangan ada yang terbiar dan terlantar. Hendaklah sentiasa bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, dan menolong di antara satu sama lain.

Bagi mereka yang tidak pernah mengikuti usrah, anda perlu tahu bahawa usrah ini bukanlah majlis sehala dan kebiasaanya jangka masa usrah tidaklah terlalu panjang. Sudah menjadi lumrah sistem pendidikan di negara kita, pendidikan Islam tidak ditekankan di peringkat menengah. Malah, di peringkat universiti hanya mereka yang mengambil subjek agama sahaja yang akan belajar tentang agama. Jadi, apa salahnya kita mengorbankan sedikit masa kita dalam satu minggu untuk duduk sebentar dan mengingati Allah melalui usrah yang kita ikuti. Jika tidak dapat mengikuti usrah, pilihlah mana-mana majlis ilmu yang ada.

Suka untuk penulis tekankan di sini, jika seseorang itu mengikuti usrah bukanlah bermakna dia lebih baik dari orang lain tetapi sekurang-kurangnya ada yang mengingatkan dan adanya usaha kita untuk dekat dengan Dia. Sama juga seperti pakaian, tidak bermakna seseorang itu menutup aurat dia lebih baik dari orang lain, namun harus diingat menutup aurat adalah WAJIB dan sesungguhnya sebaik-baik pakaian adalah TAQWA.

Penulis ingin memohon maaf dan silap jika ada yang tidak selesa dengan penggunaan kata dan jika ada kesilapan minta ditegur. Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah kepada kita.

Nota kaki : PEMBINA juga ada menyediakan usrah kerana termasuk dalam Pakej Tarbiyah. Hubungi kami jika berminat !

NURUL FARHANAH BINTI AHMAD TERMIZI
Aktivis Pembina UKM Bangi


Jihad Ilmu dan Pengijazahan

"Sesiapa yang inginkan dunia hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya hendaklah dia lebih berilmu.”

Jika dirujuk pada petikan di atas dan hadis nabi, maka akan terserlah banyak kelebihan dan ganjaran yang Allah sediakan bagi orang yang menuntut ilmu. Banyak hadis nabi yang membongkarkan fadhilat penuntut ilmu. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa tingginya kedudukan ilmu dan betapa pentingnya untuk menuntut ilmu. Antara fadhilatnya, Allah memudahkan jalan bagi penuntut ilmu untuk ke syurga, penuntut ilmu akan dipayungi oleh para malaikat, diangkat darjatnya lebih tinggi berbanding ahli ibadah yang jahil, penuntut ilmu dianggap sebagai pejuang Allah, semua penghuni langit dan bumi akan memohon keampunan buat orang yang sedang menuntut ilmu dan pelbagai lagi ganjaran yang Allah kurniakan. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan soal ilmu dalam setiap diri manusia.

Nabi pernah bersabda,

“ Sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah fardhu bagi setiap muslim.”
                
Ilmu yang bermanfaat ialah segala ilmu yang mendorong dan membimbing manusia untuk melakukan kebaikan serta mencegah daripada melakukan kejahatan. Ilmu yang tidak bermanfaat pula adalah ilmu yang tidak dapat membentuk penuntutnya menjadi seorang manusia yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama serta negara. Ilmu dunia yang terlalu luas ini memungkinkan manusia tersesat. Oleh kerana itu perlu diimbangi dengan ilmu agama untuk memilih mana yang benar, mana yang batil dan untuk mengetahui mana yang halal dan mana yang haram demi menyelamatkan diri dari lembah kebinasaan.


Jihad Ilmu


Apabila disebut jihad, ramai yang akan membayangkan mata pedang, peperangan, senjata dan pertumpahan darah. Ini sedikit sebanyak telah menyempitkan aspek jihad. Jihad merupakan satu syariat Islam, sedangkan syariat Islam itu adalah releven pada setiap masa.Tidak mungkin syariat Islam akan ketinggalan zaman. Maksud jihad dari sudut bahasa adalah bererti mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita sama ada yang mulia dan ideal ataupun tidak. . Manakala jihad ilmu bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk berkorban segala usaha dan tenaga demi meningkatkan ilmu pengetahuan yang dimiliki dan sentiasa berazam menjadikan menuntut ilmu itu sebagai amalan dalam kehidupan. 

Hilmy Bakar Al-Mascaty telah membahagikan jihad kepada 5 kategori iaitu Jihad Harta, Jihad Jiwa, Jihad Pendidikan, Jihad Politik dan Jihad Ilmu Pengetahuan. Jika dilihat pada zaman kemajuan sains dan teknologi sekarang ini, jihad ilmu pengetahuan hamper menyamai dengan kepentingan jihad di medan peperangan pada zaman lampau. Peperangan zaman moden tidak hanya menuntut penggunaan senjata sahaja tapi juga lebih mengutamakan pada ilmu pengetahuan dan teknologi sebagai senjata baru. Lihat saja pada zaman ini, negara yang menguasai teknologi mampu menguasai dunia seterusnya juga menguasai negara-negara yang lemah. Oleh itu, seharusnya kita semua sedar bahawa jihad mempunyai makna yang luas dan meliputi segenap aspek kehidupan manusia.

Merujuk kepada konteks jihad melalui ilmu ia mengajar pemiliknya kepada pengakuan tentang kedudukan yang tepat bagi Allah selaku pemilik dan pentadbir alam. Manakala kedudukan manusia ialah selaku hamba dan khalifahNya di muka bumi. Walaubagaimanapun, system pendidikan secular dari barat yang telah berjaya membenih masuk sekian lama dalam system pendidikan di Malaysia telah menghasilkan bunganya. Perhatikanlah hasilnya, dari pendidikan secular lahir ramai graduan Islam yang dapat melonjakkan produktiviti kepada masyarakat dan negara tetapi hilang adabnya kepada pencipta dan makhluk-makhluk lain. Inilah akibat apabila hanya pendidikan duniawi diutamakan, pendidikan ukhrawi diabaikan. 

Kepentingan jihad ilmu berlandaskan syariat Islam akan menjadikan penuntutnya seorang yang berguna kepada masyarakat sekeliling.  Konsep ilmu yang benar bukan sekadar diisi ke dalam akal fikiran tetapi juga dalam hati nurani manusia sehingga ilmu tersebut dapat dizahirkan dengan amalan praktikal melalui tingkah laku yang beradab dan berakhlak. Kalau dilihat pada zaman sekarang, pada setiap tahun akan lahirnya berpuluh-puluh ribu mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai instititusi pendidikan awam mahupun swasta di seluruh negara. Jika dilihat pula pada statistic jenayah negara, bilangan jenayah telah mengatasi bilangan mahasiswa yang bergraduasi. Amat sedih dengan ketidakseimbangan julat tersebut jika dibandingkan dengan jumlah penuntut ilmu. Ternyata ilmu yang dipelajari di peringkat kolej ataupun university masih belum cukup untuk mengelakkan atau mencegah berlakunya perkara mungkar. Atau mungkin juga kerana ilmu yang dimiliki oleh mahasiswa cetakan institusi pendidikan gagal membantu mereka untuk menyedarkan masyarakat dalam mengenal erti jenayah seterusnya dapat mengurangkan kadar jenayah negara.

Saidina Ali r.a pernah menukilkan katanya yang bermaksud,

Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjagakamu, manakala dengan harta, kamu pula yang menjaganya. Ilmu itu penghukum (hakim) manakala harta pula akan terhukum. Harta itu akan berkurang apabila dibelanjakan tetapi ilmu akan bertambah apabila dibelanjakan.

Kesimpulan dari jihad ilmu pengetahuan yang perlu diketahui bagi setiap mahasiswa ialah telah menjadi satu kewajipan baginya untuk menuntut ilmu dalam bidang yang dipelajari sesungguh-sungguhnya walau dalam apa jua bidang sekali pun sama ada bidang sains, teknologi, perundangan, perubatan, pemakanan, sastera, sejarah, ekonomi, politik, agama dan bidang lain-lain kerana, secara tidak langsung dia telah menjadi wakil umat Islam untuk menguasai bidang tersebut. Menjadi satu kesalahan bagi dirinya seandai dia gagal untuk menghadiri kuliah atau menyiapkan tugasan disebabkan oleh disibukkan dengan sesuatu perkara yang bukan dalam  bidang sepatutnya dia pelajari.

Makna majlis pengijazahan.

Sifat ilmu itu seharusnya melahirkan seorang manusia yang mengikut resmi padi, apabila berisi semakin tunduk. Begitulah realitinya dengan mahasiswa sekarang apabila melangkah sahaja keluar dari menara gading selepas pengijazahan, membawa segulung sijil dengan megah tetapi langsung tidak mengetahui apakah falsafah yang terkandung dalam majlis pengijazahan atau turut dikenali sebagai konvokesyen.

Majlis pengijazahan adalah bermakna seorang mahasiswa itu telah berjaya menamatkan pengajiannya. Ia juga adalah symbol seorang guru mengiktiraf ilmu yang diajar kepada anak muridnya. Majlis pengijazahan sebenarnya adalah merupakan satu petanda yang amat penting bagi setiap orang yang menerima dan member ijazahtersebut. Bagi penerima ijazah atau anak murid, mereka sebenarnya telah dibebani satu tanggungjawab baru iaitu untuk menyampaikan ilmu yang selama ini telah berpuluh-puluh tahun dituntut semenjak dari zaman kecil tadika sehinggalah saat pengijazahan terakhir doctor falsafah. Mereka seharusnya menyumbangkan segala ilmu dengan berbakti semula kepada masyarakat dan menunjukkan sebagai seorang ahli ilmu dengan contoh akhlak yang soleh bertepatan dengan nilai ilmu itu sendiri.

Bagi penganugerah ijazah atau juga dikenali seorang guru pula haruslah berterusan mendidik anak muridnya dengan sebaik-baiknya kerana guru bertanggungjawab terhadap apa yang diajar oleh mereka dan apa yang akan diajar oleh anak murid kepada masyarakat. Berat sebenarnya tanggungjawab seorang guru. Malangnya konvokesyen sekarang sudah tidak difahami oleh setiap graduan. Mereka menganggap ia hanya sebagai satu majlis untuk bergembira sambil meraikan kejayaan mereka sebagai seorang mahasiswa yang sudah menamatkan sukatan pelajaran dan akan berakhir di situ sahaja. Padahal dunia ilmu itu adalah luas dan langsung tidak akan pernah habis sehinggalah kamu menghirup nafas terakhir dan yang paling penting adalah tanggungjawab selepas tamat pengijazahan untuk membayar semula jasa kepada masyarakat di samping tidak lupa pada pinjaman tabung pendidikan.



Amirul Hakimi
Presiden PEMBINA UKM

Thursday 10 April 2014

Kita Adalah Iron Man!


Saya percaya ramai yang meminati watak Iron Man terutama dalam movie The Avengers. Bahkan mungkin ada pelajar sekolah rendah atau sekolah menengah yang menjadikan watak Iron Man atau Tony Stark ini sebagai idola mereka.

p/s: Siap beli poster dan mainan Iron Man lagi, walaupun umur sudah mencecah belasan tahun!

Namun, kebanyakan daripada kita tidak menyedari bahawa kita juga merupakan Iron Man.

HAH? IRON MAN??

Ya, kita adalah Iron Man. Tetapi ada syaratnya. Anda tidak percaya?

Kita lebih hebat dari Tony Stark sekiranya kita....


Rata-rata masyarakat, terutama pelajar yang mengambil subjek atau jurusan kimia mengetahui bahawa besi adalah logam yang sangat berguna untuk manusia. Contoh yang paling terdekat, emas atau dalam bahasa saintifiknya Aurum (Au). Emas adalah logam yang sangat bernilai, bahkan anti inflasi.

Selain itu, besi berani atau Magnet juga antara logam yang sangat unik, sehingga “diabadikan” dalam sebuah filem X-Men, iaitu watak Magneto yang mempunyai kuasa magnet. Bahkan senjata yang digunakan oleh tentera, ataupun pedang sekalipun dibuat daripada logam atau campuran logam.

TAHUKAH ANDA?

Allah telah mengiktiraf kelebihan logam di dalam al Quran, bahkan ada surah yang diberi khas nama logam, iaitu Surah al Hadid (Logam). Firman Allah dalam surah al Hadid,


Terjemahannya ;
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaanya mengandungi kekuatan yang handal serta pelbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya) ; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
(Surah al Hadid 57:25)

Begitu manfaatnya besi ini sehingga Rasulullah s.a.w. mengumpamakan manusia itu ibarat logam dalam sebuah hadis sohih:

Terjemahannya ;
Dari Abu Hurairah R.anhu meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. bersabda ;


“Manusia seperti logam, terpilihnya (bergunanya) mereka semasa jahiliyyah, terpilih (berguna) juga semasa Islam, sekiranya mereka faham.”

(HR Bukhari)

Tergaru-garu kepala tidak faham?

Baiklah, saya ambil contoh Saidina Umar al-Khattab r.anhu. Saidina Umar ini masa zaman jahiliyyah, dia adalah orang yang sangat ternama dikalangan kafir Quraisy. Bahkan jika orang menyebut nama Umar untuk berlawan, akan ketakutan orang tersebut mendengar nama Umar.

Namun selepas dia memeluk Islam, adakah dia mundur? Adakah dia terpinggir?

Sudah pasti tidak! Bahkan dia memimpin umat Islam dalam berperang dan menjadi Amirul Mukminin yang kedua selepas Saidina Abu Bakar r.anhu. Sehinggakan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud,

“Sekiranya Umar melalui satu jalan, maka Syaitan akan melalui jalan yang lain (kerana tidak berani jalan di laluan Umar atau bertembung dengannya)

(Riwayat al Bukhari)

Dan ada lagi beberapa contoh para sahabat agung seperti Sumayyah, Khalid al Walid r.anhu, Saidina Hamzah r.anhu, dan zaman selepas itu seperti Salahuddin al Ayyubi, Sultan Muhammad al Fateh dan lain-lain. Mereka bukannya ahli fiqh, tetapi mereka faham apa tuntutan Islam.

Sumayyah r.anha tidak pernah solat 5 waktu sehari semalam, tidak pernah berzakat, namun dia dikurniakan syurga atas dasar dia mempertahankan iman dan keyakinannya kepada Allah. Kerana apa? Kerana dia faham tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim!

Seperti logam, sifat seseorang manusia (apatah lagi Muslim!) seharusnya mudah dibentuk atau ditempa. Jika elok acuan, maka elok jugalah produknya. Namun jika sumbing acuan, maka sumbing juga produknya.

Dengan erti kata lain, kita akan jadi lebih hebat dari Tony Stark sekiranya kita faham tujuan kita dihidupkan dan faham apa yang Islam tuntut dari kita sebagai individu Muslim khususnya!

Di mana "Islamic Iron Man" hari ini?


Sejarah telah membuktikan Islam telah melakar sejarah agung dengan tinta emas dalam diari peradaban dunia. Namun zaman itu telah berlalu. Kita sudah kehilangan “Iron Man-Iron Man” agung yang telah mewarnai sejarah ummat Islam dalam diari peradaban dunia.

Kini sudah tiada lagi Umar al Khattab,
Kini sudah tiada lagi Umar Abdul Aziz,
Kini sudah tiada lagi Salahuddin al Ayyubi,
Kini sudah tiada lagi Sultan Muhammad al Fateh,
Kini sudah tiada lagi Sultan Abdul Hamid II,
Kini sudah tiada lagi Hassan al Banna,

Kini sudah tiada lagi Iron Man penyelamat ummah. Ummah sedang menanti kemunculan Iron Man baru yang akan hadir demi membangunkan semula ketamadunan Islam yang telah dirobek diari agung Islam yang di tulis dengan tinta emas dari kaca mata manusia sejagat.

Maka, siapa yang sanggup menjadi Iron Man yang seterusnya? Adakah kita? Atau kita sekadar “audiens” dalam “panggung wayang” yang sekadar menyaksikan kehebatan Iron Man tersebut?

Saya mencabar diri saya dan anda semua!!
  
Moga Allah redha

Ahmad Shukery B. Azizan
Aktivis PEMBINA UKM

Dipetik dari blog penulis: http://biskotmayat.blogspot.com/2012/11/kita-adalah-iron-man.html 

Friday 4 April 2014

Daie dan Medium Dakwah

~In The Name of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful~

Assalamualaikum sahabat.. harap awak, enti, antum, dan kome semua di bawah lindungan Allah.. =)

Kini, media merupakan salah satu metod atau medium yang pada pendapat saya sangat penting. Terutamanya bagi sasaran dakwah yang kerap duduk di hadapan komputer dan juga kerap menggunakan internet dalam kehidupan seharian. Jika kita lihat masyarakat sekarang, kebanyakannya menggunakan saluran internet untuk melakukan tugasan mereka atau pun berkomunikasi dengan sesiapa sahaja, malah bagi urusan kerja juga banyak institusi atau badan menggunakan saluran internet untuk berhubung sesama mereka bagi urusan kerja. Begitu juga dengan pelajar di institusi pengajian tinggi.

            Mengapa saya fokus terhadap internet, kerana melalui internet pelbagai capaian yang kita boleh perolehi seperti mendengar radio, menonton televisyen dan sebagainya. Pendek kata, jika ada saluran internet, segalanya boleh dicapai. Segalanya di hujung jari sahaja. Bagi para da’i, pelbagai metod yang boleh digunakan bagi meluaskan capaian dakwah mereka dalam ruang lingkup media hari ini. Antaranya, penyiaran televisyen, radio, kemahiran fotografi, kemahiran komputer dan lain-lain lagi.

            Bagi penyiaran televisyen, pelbagai saluran yang kita sebagai daie boleh kita ceburi contohnya, sebagai penceramah, ahli panel forum, usrah dan sebagainya. Bagi bidang penyiaran radio pun begitu juga. Bagi kemahiran fotografi kita boleh memainkan peranan sebagai jurufoto, edit gambar, dan ‘publish’ pada orang lain. Itu semua merangkumi kemahiran aplikasi computer dan internet. Untuk kemahiran aplikasi computer juga dengan ganbar yang ada itu kita boleh masukkan di dalam aplikasi ‘photoshop’ untuk peroleh gambar yang lebih cantik dan menarik untuk tatapan umum. Selain itu, kemahiran yang penting juga pada masa kini untuk para daie ialah kemahiran penulisan contohnya, menulis cerpen, skrip, blog, motivasi dan lain-lain. Semua jenis penulisan itu boleh dimuatkan sama ada dalam internet atau dijadikan novel atau buku. Yang penting segalanya tidak lari dari landasan syarak.

            Setiap manusia mempunyai minat dan kecenderungan yang berbeza. Begitu juga kita sebagai daie. Jadi untuk mencapai matlamat sebagai daie, pilihlah bidang yang sesuai dan kita lebih cenderung padanya atau pilih bidang media yang kurang di ceburi oleh para daie. Contohnya bidang penulisan skrip. Memandangkan masyarakat sekarang yang gemar menonton televisyen, pada pendapat saya ini adalah bidang yang patut para daie rebut dan kuasai untuk menarik minat masyarakat terhadap cerita yang lebih menampilkan unsur islamik.

            Akhir kalam, saya berpendapat kita sebagai daie jangan rasa rendah diri tidak bertempat. Sampai bila kita mahu berada di takuk lama. Gejala kristianisasi sentiasa bekerja keras siang dan malam untuk menyampaikan dakyah mereka. Sejauh mana usaha kita? Mari kita muhasabah diri, apa yang telah kita sumbang pada agama hari ini? Kita bermula dengan usaha yang kecil kemudian kita capai benda yang besar. Berilah tumpuan pada bidang media yang kita minati kemudian asah bakat perlahan-lahan. Insya-Allah suatu hari nanti bakat tersebut akan dapat digilap dan menjadi sinar pada masyarakat. Sekian, wallahua’lam..




Nur Farah Ain Bt. Ismail
Biro Tarbiyah PEMBINA UKM

Dipetik dari blog penulis: http://nukilanhamba.wordpress.com/2013/04/08/akhirnya/

poster promo ikhwah
picture hosting