BANGI, 6 Mac – Program Jom Bina Hati kali ini menjemput aktivis PEMBINA, Ustazah Wan Anisah bagi membincangkan tajuk ‘Antara Aku dan Dia’. Beliau menyifatkan ‘aku’ dan ‘dia’ merujuk kepada hubungan antara manusia dengan Pencipta. Manusia sebagai khalifah Allah berperanan untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menjalankan segala perintah dan menjauhi laranganNya.
Sebelum beliau mengupas dengan lebih lanjut tajuk ini, hadirin diperkenal kan dengan perkataan aqada yang bermaksud ikatan yang kukuh. Hubungan Pencipta dengan manusia diikat dengan aqidah. Aqidah itu sendiri bermaksud, kepercayaan dan keyakinan yang teguh akan kewujudan Allah S.W.T dan sifat-sifat kesempurnaanNya berdasarkan dalil naqli dan aqli.
“Terdapat empat aspek dalam ilmu aqidah iaitu Ar-Rububiyyah, Al-Uluhiyyah, As-Sam’iyyah dan An-Nubuwwah. Jika tiada salah satu, maka tidak lengkaplah aqidah seseorang.”
Hadirin juga dihidangkan dengan maklumat-maklumat yang dipetik daripada buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Bagi menghuraikan perhubungan manusia dengan Allah, beliau mengambil tiga sifat asas yang seharusnya ada pada diri seorang muslim. Antaranya, muslim di sudut aqidah, ibadah dan akhlak.
“Manusia perlu berusaha mengenal nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti hadis Rasulullah: Allah mempunyai 99 nama, 100 kurang satu, tidakseorangpun menghafaznya kecuali beliau akan masuk Syurga. Allah itu ganjil dan menyukai perkara yang ganjil.”
“Akhlak perlu ada dalam ibadah supaya ibadah kita tidak akan jadi retorik.”
Maka, sifat-sifat ini harus ada dalam diri setiap muslim supaya penggabungan dirinya ke dalam agama Islam merupakan penggabungan yang sah dan benar. Firman Allah di dalam surah Al-Hajj ayat78 :
“Dia telah menamakan kamu sekalian orang-orang muslimin dari dahulu dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas segenap manusia.”
Sebelum menutup bicara, beliau berkata, “Akhlak adalah method dakwah yang paling berkesan. Sebagai buktinya, ramai sahabat tertarik dengan Islam kerana akhlak Nabi. Sehinggakan Aisyah mengakui akhlaknya Nabi akhlak Al-Quran.”
“Akhlak adalah keinginan manusia, bukan fitrah. Maka, akhlak perlu dibentuk dan dipupuk.”
Program yang diadakan di bilik kuliah 3a506 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan ini merupakan program mingguan yang mengetengahkan tajuk-tajuk yang menarik berkenaan perubahan ke arah menjadi muslimah yang lebih sempurna.
PEMBINA berharap program ini dapat memberi manfaat rohani kepada siswi khususnya pelajar UKM untuk menongkah arus di zaman serba mencabar ini.
Maisarah binti Mohd Shahrain
Beliawanis PEMBINA UKM