PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, 9 December 2013

KHASIAT ISTIMEWA MADU LEBAH


MADU PILIHANKU

Antara makanan sunah yang terbaik adalah madu yang dijadikan Allah untuk manusia. Madu disebut di dalam Al-quran sebagai penawar bagi manusia yang dihasilkan lebah yang diberi ilham oleh Allah.
Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, 

“Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia,” kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan. (QS An Nahl [16]: 68-69)

Lebah bekerja berdasarkan wahyu dengan mengumpulkan nektar bunga. Kemudian ia diolah di dalam perut lebah sehingga keluar dari mulutnya berupa madu yang mana kaya dengan sari pati tumbuh-tumbuhan yang dapat menyembuhkan segala penyakit dengan izin Allah.

Sistem lebah  SMART

Pembuatan sarang lebah tidak dimulai dari tengah bahagian tetapi dilakukan dari dua atau tiga tempat yang berlainan dan dikerjakan secara serentak. Walaupun dimulakan dari tempat yang berbeza-beza, lebah yang sangat banyak ini membuat heksagonal secara simentri antara satu sama lain lalu dijadikan satu dan bertemu di tengah-tengah. Jika kita perhatikan tidak terdapat tanda-tanda penggabungan antara heksagonal ini.
Keajaiban heksagonal yang dihasilkan oleh lebah ini mempunyai struktur saiz yang sama walaupun dilakukan oleh lebah-lebah yang berbeza. Penggunaan heksagonal dalam sarang lebah adalah bentuk geometri yang paling tepat bagi penggunaan maksimum suatu ruang dalam penyimpanan manu dengan kapasiti terbesar.


  • Madu mudah diserap oleh tubuh badan manusia berbanding gula kerana diproses terus menjadi glikogen yang digunakan sebagai tenaga.
  • Madu baik untuk anak-anak kerana berfungsi sebagai disinfection, memperbaiki susunan darah, meningkatkan kadar hemoglobin dan menambah nafsu makan.
  • Nilai kalori 1 kg madu sama dengan 50 butir telur atau 5,575 l susu, atau 1,680 kg daging.
  • Madu kaya dengan antioksidan yang mampu memperbaiki keindahan kulit, melembutkan dan awet muda.

Banyak lagi khasiat madu di mana jika kita amalkan pemakanan madu setiap pagi dan malam mampu memberikan tubuh badan yang segar. Kadar penyerapan madu yang optimum di dalam darah dengan mencampurkan 3 sudu makan madu dengan segelas air suam.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu yang berkata : Rasulullah bersabda :
“ Kesembuhan itu terdapat dalam tiga hal: minum madu, berbekam (hijamah), dan kay (pemanasan) dengan api. Dan aku melarang ummatku berubat dengan kay “. (HR. Al Bukhari).

Madu mempunyai keseluruhan zat penting yang amat diperlukan oleh tubuh manusia. Kajian mendapati 100 gm madu mengandungi:

  • 79.5 gm karbohidrat
  • 0.2 mg asid pantosinik
  • 0.2 mg potassium
  • 294 kilo kalori
  • 0.16 mg fosfor
  • 50 mg asid sitrik
  • 20 gm air
  • 0.9 mg besi 
  • 0.3 gm protein
  • 4 mg vitamin C
  • 4 mg kalsium
  • 0.04 mg vitamin B2
  • 0.2 mg zink
  • 0.2 mg asid niasin






                                                                
Sebagai seorang pemuda-pemudi, kita wajib untuk menjaga pemakanan kita dan elakkan dari makanan yang haram dan syubhah. Pemakanan yang sihat, suci lagi halal sangat dituntut dan Islam sangat menitik beratkan soal pemakanan.

Jadi kita mesti meletakkan kesyukuran yang tinggi kepada Allah dengan keajaiban dan Kehebatan-Nya dengan ciptaan-ciptaanNya. Berterima kasihlah kepada lebah-lebah kerana setia melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberi oleh Allah.


Jadilah manusia yang selalu memberi manfaat kepada orang lain. J




Nurul Izzati Samudin
Biro Aktivisme
PEMBINA UKM


Friday, 8 November 2013

QAWWIYUL JISM: SUKAN DAN IBADAH


Gambar Hiasan

Islam adalah satu nikmat yg telah Allah SWT kurniakan kepada hamba yg disayangiNya, disampaikan kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril a.s lebih 1400 tahun yang lalu. Islam itu sifatnya syumul, yakni mencakupi seluruh genap kehidupan mahklukNya dalam pelayaran di dunia yang sementara menujuNya. Melalui kalamNya, Al-Quran yang mulia Allah menerangkan setiap inci bagaimana kehidupan ini perlu dilayari yang akhirnya memberikan pulangan syurga dan nikmat kebahagiaan ketika pertemuan denganNya.
Kesyumulan Islam ini terbukti melalui pensyariatan tentang urusan ibadah, politik, ekonomi, kekeluargaan, undang-undang, sukan dan banyak lagi. Hikmahnya adalah supaya kehidupan yang dilalui adalah selari dan tidak menyimpang dari tujuan asal penciptaan manusia itu sendiri iaitu beribadah kepada Allah SWT. Seperti yang termaktub dalam Al-Quran ;
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu”
(Az-Dzariyat : 56)
Bagi memenuhi tuntutan utama penciptaan manusia itu sendiri, maka pelbagai nikmat telah Allah kurniakan bagi memudahkan manusia ini melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Antara nikmat tersebut adalah kesihatan. Kesihatan adalah salah satu nikmat utama yang diamanahkan kepada setiap manusia. Menjadi tanggungjawab setiap manusia itu untuk menjaga amanah ini dan memeliharanya sebaik mungkin. Kesihatan yang baik akan membuahkan kualiti ibadah dan kehidupan yang lebih baik. Seperti dalam pesanan Wahab al-Munabbih, seorang Tabi’in yang hebat, :
Puncak kebahagiaan ada tiga, pertama ialah nikmat Islam, kedua nikmat kesihatan dan ketiga nikmat kekayaan.”
Sebagai contoh, seseorang yang terlantar sakit akan mempunyai pelbagai halangan dan kesusahan dalam mendirikan solat atau menunaikan ibadah-ibadah utama yang lain. Ini semestinya sedikit sebanyak mempengaruhi kualiti ibadah seseorang itu.
Di dalam Al-Quran surah al-Maarij ayat 34 dan 35, Allah SWT berfirman, “Dan orang-orang yang memelihara solatnya,mereka itu kekal di dalam syurga”
Allah SWT menegaskan kepentingan untuk hambaNya yang beriman dan mengimpikan syurga untuk berusaha memelihara solat mereka. Justeru itu, nikmat kesihatan yang di amanahkan haruslah di jaga sebaiknya dan disyukuri demi memperolehi nikmat kemanisan dalam beribadah kepada Allah SWT.
Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk memelihara nikmat kesihatan ini?
Berikut adalah antara cara yang dilakukan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW;
  • Bangun awal sebelum subuh
  • Aktif dalam menjaga kebersihan diri dan pakaian
  • Tidak pernah makan berlebihan
  • Gemar berjalan kaki
  • Tidak pemarah
  • Optimis dan tidak berputus asa
  • Tidak iri hati
  • Pemaaf
Imam As-Syafie juga ada menyatakan cara-cara menjaga kesihatan;
Empat perkara menguatkan badan
1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas
Empat perkara melemahkan badan
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam
Empat perkara menajamkan mata
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih
Empat perkara merosakan mata
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat
Empat perkara menajamkan fikiran
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama
Selain itu juga, bersukan merupakan salah satu cara yang efektif dalam usaha memelihara kesihatan tubuh badan. Seperti yang sedia maklum, bersukan membantu pengaliran darah menjadi lebih lancar maka dengan ini dapat mengelakkan penyakit-penyakit yang membahayakan seperti penyakit jantung, darah tinggi , angin ahmar dan juga menjadikan mental dan fizikal yang cergas. Dengan itu membantu membentuk otak yang cerdas kerana kita memerlukan otak yang cerdas untuk berfikir dan berfungsi dengan lebih baik.
Hal ini sangat penting terutama bagi yang bergelar aktivis dakwah, kerana setiap masa adalah diperuntukkan untuk berfikir mengenai penyelesaian akan perihal ummat. Maka dengan itu, kombinasi kesihatan tubuh badan dan otak yang cerdas akan membantu seorang daei itu cemerlang dalam urusan tarbiyah dan dakwahnya.
Malahan, terdapat hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Allah lebih menyukai mukmin yang kuat daripada mukmin yang lemah. Terdapat juga hadis Rasulullah S.A.W yang menggalakkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka berenang, memanah dan menunggang kuda. Hal ini turut diberi penekanan oleh Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyah al-Aulad sebagai salah satu bentuk pendidikan awal kepada kanak-kanak dari sudut pembinaan kekuatan fizikal. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa Islam juga sangat menitik beratkan pembentukan jasmani yang sihat sejak kecil lagi.
Namun begitu, terdapat adab-adab yang perlu dipatuhi dalam keseronokkan bersukan dan telah digariskan oleh Islam supaya bersukan ini juga boleh menjadi salah satu ibadah kita kepada Allah SWT. Sheikh ‘Atiyyah Saqr, bekas Ketua Jawatankuasa Fatwa Al- Azhar, menghuraikan adab sukan dengan menyatakan yang berikut;
  1. Seseorang Muslim tidak sepatutnya lalai dengan sukan sehingga sampai mendorong meninggalkan tugas-tugas agama dan yang lain.
  2. Seseorang Muslim tidak dibenarkan bersikap tidak peduli dalam bersukan dengan cara menimbulkan kecederaan kepada yang lain. Bersukan di atas jalan yang sesak misalnya, boleh menyebabkan kesesakan jalan, ini bukan cara Islam.
  3. Perasaan fanatik membabi-buta dalam menyokong atau menentang satu pasukan adalah tiada kaitan dengan Islam, kerana ini benar-benar becanggah dengan ajaran Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih-sayang.
  4. Tidak dibenarkan kata-kata kesat, perbuatan buruk dan fitnah semasa bersukan.
  5. Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan kedua-dua jantina, dengan cara membuka jalan hawa nafsu, syahwat dan keruntuhan akhlak.
  6. Islam menolak semua permainan dan sukan yang mendorong rangsangan seksual dan menggalakkan kejatuhan moral seperti wanita berlatih menari dan ditontoni oleh orang ramai.
  7. Lelaki hendaklah mengamalkan sukan yang sesuai dengan sifat mereka dan sebaliknya. Di dalam Islam, tidak dibenarkan bagi wanita mengamalkan sukan yang khas untuk lelaki.
Kesimpulannya, mukmin yang hebat itu adalah mukmin yang menjaga setiap nikmat yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan berusaha menjaga kualiti ibadahnya. Bersukan terbukti berkesan dalam membantu memperbaiki mutu ibadah seseorang mukmin melalui kepatuhan dengan adab-adab ketika bersukan dan meningkatkan kesihatan diri dalam ketaatan kepada Allah SWT. Oleh itu, bersama-samalah kita berazam menjadi mukmin yang kuat tubuh badannya dan juga kuat dalam beramal.

Tournament Inter-IPT
(Program akan datang anjuran PEMBINA Bangi)


[EHSAN ISMA EROPAH]
Norhayati Hasan
Penolong Ketua Perhubungan Ireland
Royal College of Surgeon Ireland

Sunday, 30 June 2013

YANG MANA ANDA?


Mahasiswa hebat!


A, B dan C merupakan mahasiswa yang masih menuntut di salah sebuah universiti yang terkemuka di Perlis dalam tahun yang terakhir. Mereka bersahabat baik sejak memulakan pengajian di tahun yang pertama lagi dan mereka tinggal serumah. Walaupun mereka teman rapat dan akrab, namun mereka mempunyai perbezaan dalam banyak perkara.

A seorang mahasiswa yang sering menghabiskan masa di hadapan komputer ribanya. Beliau lebih gemar duduk di dalam bilik tanpa menghiraukan apa yang berlaku di persekitarannya. Beliau hanya keluar untuk ke kuliah, mencari makanan dan membeli barang keperluan. Dan selebihnya, masa beliau dihabiskan dengan menghadap komputernya.

B juga gemar menghadap komputernya, namun beliau tidak menghabiskan masanya begitu sahaja. Kadang-kadang beliau mengambil sedikit masa untuk menjenguk-jenguk ke tingkap, melihat keadaan yang berlaku di luar rumahnya. Tetapi beliau hanya gemar menjenguk di balik tingkap sahaja dan jarang keluar rumah.

Manakala C pula seorang mahasiswa yang jarang berada di rumah. Beliau sering keluar dan bergaul dengan masyarakat sekelilingnya serta mengambil tahu setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Beliau hanya berada di rumah untuk menyiapkan tugasannya di hadapan komputer dan urusan-urusan yang penting. Selebihnya, beliau keluar untuk bersama-sama dengan masyarakat.

Suatu hari, berlaku sebuah kemalangan di hadapan rumah mereka. Ketika itu, A berada di dalam bilik menghadap komputernya, B pula sedang berehat sambil menjenguk ke tingkap, manakala C baru sahaja hendak keluar. Kemalangan tersebut menghasilkan bunyi dentuman yang kuat. A, B, dan C mendengar bunyi tersebut. Setelah mendengar bunyi tersebut, A terkejut buat seketika, namun selepas itu beliau meneruskan dengan menghadap komputernya. B juga terkejut dan beliau segera lantas bangun dan menjenguk ke tingkap untuk mengetahui apa yang berlaku. Beliau terus kaku di balik tingkap melihat kemalangan itu. Manakala C yang baru sahaja hendak keluar terus meluru ke tempat berlakunya kemalangan. Beliau segera bertindak dengan menelefon ambulans dan polis serta memanggil orang ramai untuk membantu mangsa yang kemalangan.

Dalam kemalangan tersebut, A, B, dan C telah memainkan peranan mereka masing-masing. A langsung tidak menghiraukan apa yang berlaku, B pula sekadar mengambil tahu tetapi tidak bertindak, manakala C pula mengambil tahu dan bertindak dengan situasi yang berlaku. Dan anda Mahasiswa, dalam kegawatan dan kepincangan yang berlaku dalam dunia Islam hari ini terutamanya di Malaysia, peranan manakah yang sepatutnya anda mainkan? A, B atau C?

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya.”
(Hadith riwayat Thabrani)

“Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya.”
(Hadith riwayat Bukhary)


Oleh: PEMBINA UNISZA

Link:http:
//www.facebook.com/photo.php?fbid=662602397087879&set=gm.610638512288017&type=1&theater

Wednesday, 19 June 2013

CUTI SEMESTER NI NAK BUAT APA?

Mutakhir ini, mahasiswa sibuk menghabiskan sisa-sisa kehidupan mereka di universiti dengan menjalani peperiksaan atau menyiapkan segala tugasan yang masih tertangguh. Tak kurang juga yang telah habis semua tugasan dan peperiksaan, hanya menghitung hari dan packing pakaian untuk pulang ke pangkuan ayahanda dan bonda.
            “Cuti semester? Wow, bestnya!” Siapa yang tak suka cuti. Cuti merupakan suatu nikmat yang sangat berharga. Kadang-kadang nikmat cuti ini disalahertikan. Ada yang menganggap cuti adalah tempat untuk membalas dendam kerana sudah penat bersusah payah di universiti. Waktu cuti adalah waktu untuk tidur dan tidak perlu memberatkan kepala untuk banyak berfikir. Cukuplah, sudah banyak berfikir dan menelaah di universiti. Betul ke mindsetting begini?


            Seorang mahasiswa yang proaktif di universiti tidak akan mensia-siakan waktu cuti mereka. Jadilah mahasiswa yang sentiasa bersyukur dan memanfaatkan masa cuti yang ada adalah untuk perkara yang berfaedah, lebih-lebih lagi cuti semester pada kali ini jatuhnya bersamaan dengan bulan yang Barakah iaitu Ramadan. Sedarlah akan hikmah yang Allah berikan tentang kemunculan Ramadan kali ini sangat bermakna bagi kita kerana ia hadir ketika waktu kita sangat lapang. Tiada tugasan, tiada peperiksaan dan tiada kenakalan rakan yang selalu mengajak kita untuk berbuat perkara yang kurang memberi manfaat.
            Didik diri untuk berkata, “Cukuplah, kali ini aku akan menguasai diriku bukan lagi nafsu yang menguasainya.” Tapi ingat, jangan sesekali menjadi hamba kepada Ramadan, jadilah hamba yang sebenar-benarnya kepada Azza wa jalla.
            Di samping menjalani hari-hari yang bermakna sepanjang bulan Ramadan kelak, masih banyak aktiviti lain yang boleh kita lakukan bagi memenuhi kelompangan masa yang belum ditutupi. Semasa cuti semester nanti, cubalah mencari pekerjaan separuh masa yang dapat menambah wang saku untuk diri kita sendiri bagi menampung kehidupan akan datang di universiti. Dengan itu, kita dapat mengurangkan beban ibu bapa sebelum wang pinjaman dan biasiswa masuk ke dalam akaun bagi semester akan datang.
            Seterusnya, membantu ibu bapa di rumah juga merupakan suatu perkara yang sangat bermanfaat. Apabila berada di rumah, ingatlah bahawa melihat wajah kedua ibu bapa juga akan diberikan pahala oleh Allah. Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah dan menghargai masa-masa kita bersama mereka sementara mereka masih ada.
            Akhir kalam, cuti semester adalah masa yang sangat produktif bagi mahasiswa. Sentiasa memperbaharui niat dan bermujahadah melawan nafsu adalah sebaik-baik perkara yang dituntut pada manusia. “Majulah mahasiswa demi Islam yang tercinta.”




NURUL HAJJAR BINTI ATAN
Universiti Kebangsaan Malaysia
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Friday, 29 March 2013

Di Sebalik Duri Jalanan

Di Sebalik Duri Jalanan



Kenapa ada golongan manusia sanggup bersusah payah melakukan kebaikan padahal perbuatan baik itu acapkali tidak mendapat balasan baik di dunia?

Kadang-kadang terasa ingin menyerah kalah dan tidak sanggup meneruskannya. Adakah kita pernah tertanya bahawa perbuatan kita akan di nilai oleh Allah s.w.t sama ada baik ataupun buruk? Perasaan yang tidak asing lagi bagi insan bernama manusia. Manusia yang sering berbolak balik hatinya. Manusia yang sering kali lupa akan tujuan dia dihidupkan di bumi dan perlu sentiasa di ingatkan.

Apabila iman rapuh, manusia akan mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan saudara Islamnya yang lain. Iman itu sesungguhnya berkadar terus dengan kasih sayang. Apabila iman mantap, pasti persaudaraan dan kasih sayang turut mantap.

Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara” – Al-Hujurat 49:10

Dan dalam menghadapi kehidupan dunia, manusia akan di uji. Ujian datang dengan banyak cara. Ada yang diuji dengan kemiskinan, bala bencana, ketakutan dan juga kekayaan. Setiap yang bernama manusia itu, tidak akan terlepas daripada ujian Allah saat hidup di muka bumi ini.
Cuma ujian bagi setiap insan berbeza dengan insan yang lain. Ada kalanya dalam melakukan perkara kebaikan pun kita akan di uji. Ada kalanya kita ditimpa musibah. Sesungguhnya Allah tidak akan membebani sesuatu kaum itu melainkan mereka mampu menghadapinya.

Bagaimana untuk menghadapi ujian yang datang. Sabar adalah kunci kehidupan yang tenteram. Musibah yang hadir tidak akan menggugat sekelumit iman yang tertanam di dalam hati. Rasulullah s.a.w bersabda:

..Dan apabila dia tertimpa kesusahan, dia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Seterusnya yakinlah akan ada hari pembalasan kelak dan setiap perbuatan yang dilakukan akan ditimbang. Sesungguhnya jalan menuju ke syurga dipagari dengan kesusahan dan jalan ke neraka dipenuhi dengan kesenangan.

Setiap kebaikan walau sebesar zarah akan mendapat pembalasan. Janji Allah bagi setiap kebaikan ialah pahala dan syurga serta keampunan-Nya pada hari akhirat. Biarlah manusia dan dunia tidak memberi pujian, ganjaran dan penghargaan tetapi Allah pasti akan membalasnya di ‘sana’.

Siti Solehah Bt Azaman
Aktivisme PEMBINA
UKM

Saturday, 24 November 2012

Etika Sosial Facebook


Saya merasa terpanggil untuk menulis artikel tentang etika laman sosial kerana saya juga merupakan pengguna laman sosial terutamanya facebook. Namun sedarkah kita akan etika kita ketika menggunakan facebook. Cuba kita muhasabah diri kita sejauh mana kita menggunakan facebook untuk perkara yang baik yang mampu menyumbang kebaikan pada orang lain ataupun selama ini facebook hanya digunakan untuk perkara yang sia-sia.

Cuba kita semak cuba kita teliti status-status dan gambar-gambar yang kita kongsikan dilaman sosial,adakah ianya patut dikongsikan?. Kadang-kadang ada orang suka mengeluh didalam facebook contohnya “ah aku give up”  ,”aduhhh stresssnyee” apa tujuan kita update status seperti ini? Mengharap simpati? Mengharap orang kasihan pada kita? Namun akhirnya kita hanya menarik lebih banyak perkara negatif dalam diri kita. Seeloknya mengadulah pada Allah bukan pada facebook.

Kita harus berfikir kenapa kita taip apa yang kita taip? Kenapa kita tunjuk gambar apa yang kita tunjuk? Haaa kita nak tunjukkan pada orang atau pada Allah. Ada orang tunjukkan pangkat dia apa kat facebook ,ada orang tunjukkan betapa cantiknya dia kat facebook namun hakikatnya Allah tak pandang semua tu Allah pandang niat kita, hati kita sejauh mana kita buat sesuatu kerana Allah. Ya semata-mata kerana Allah kerana hakikat kita hidup di dunia ini adalah menjadi hamba Allah. Jadi apabila Allah mengizinkan kita menggunakan facebook gunalah untuk kebaikan dan niat kerana Allah.

Kita mesti ingat setiap yang kita lakukan dibumi ini akan dikira ,walaupun sebuah perkataan kita boleh memberi kesan negatif pada orang lain ianya akan dikira, walaupun sekecil mana gambar yang kita upload boleh menyebabkan “DOSA” ianya akan dikira.

Oleh itu kita haruslah menggunakan facebook sebagai medium untuk kita mendapat pahala. Sebarkanlah kebaikan kadang-kadang bende tak elok cepat jek share bende elok berat sangat jari nak klik share “klik jek pon” tak sampai satu jam pon nak bandingkan kita buat bende-bende lain kat fb.

Jadi sebagai ringkasan kita
Janganlah mengeluh dalam fb
Guna perkataan tak elok
Sebarkan berita yang tak sahih
Memerli, mengumpat, dan perkara-perkara mazmumah yang memang tak elok

Sebagai muslim yang nak merebut pahala eloklah
Menyebarkan ilmu yang bermanfaat
Share atau kongsi item-item islamik
Update status yang membina akal bukan merepek
“Setiap perkara yang kita lakukan, Ianya menunjukkan siapa diri kita”

Amirul Husna
Universiti Kebangsaan Malaysia

Sunday, 11 November 2012

Dialog Sheikh Mutawalli As Sya'rowy Dengan Pelampau Agama



Pernah pada suatu hari, aku berdialog dengan seorang pemuda yang mengikuti aliran ‘pelampau’ dalam memahami Islam (Golongan Mutasyaddid) dan aku bertanya padanya :
“Perbuatan mengebom pusat hiburan yang beroperasi pada malam hari yang wujud di negara-negara Umat Islam Halal atau Haramkah hukumnya?”

Anak muda itu pun menjawab kepadaku : “Ya, sudah pasti ianya halal! Membunuh mereka yang berada di dalamnya juga halal hukumnya!”

Aku bertanya lagi padanya : “Apakah kesudahan mereka sekiranya ketika engkau membunuh mereka itu mereka berada dalam keadaan sedang melakukan maksiat pada Allah?"

Pemuda itu lantas menjawab : “Pastilah neraka buat mereka!”

Aku teruskan pertanyaanku padanya : “Ke manakah syaitan bermatlamat untuk membawa mereka?

Dia menjawab : “Sudah semestinyalah matlamat syaitan untuk membawa mereka ke neraka!”

Lantas aku pun berkata padanya : “Kalau begitu, kumpulan kamu dan syaitan sedang bekerjasama untuk mencapai matlamat yang satu – iaitu memasuk dan menjerumuskan manusia ke dalam neraka!”

Aku sebutkan padanya hadith Rasulullah S.A.W : Ketika lalunya jenazah seorang Yahudi di hadapan Rasulullah S.A.W maka Baginda S.A.W pun menangis. Lalu ditanyakan kepada Baginda S.A.W : Apakah yang telah membuatkan Engkau menangis wahai Rasulullah S.A.W? Baginda S.A.W menjawab : “Satu nyawa telah terlepas dariku dan telah pergi ke neraka”.

Aku nyatakan pada anak muda itu : “Lihatlah perbezaan yang amat ketara antara kamu semua dengan Baginda Rasulullah S.A.W yang bersungguh-sungguh berusaha untuk menyampaikan hidayah kepada manusia dan menyelamatkan mereka dari api neraka! Sesungguhnya kamu sedang berada di satu lembah dan Kekasih Agung Junjungan kita Rasulullah S.A.W pula berada di lembah yang lain dari kumpulanmu!"
---------------------------------------------------------------------
Lihatlah akhlak kita, adakah kita banyak menjatuhkan hukuman ataupun banyak memberikan nasihat?
Tidakkah kita lupa bahawa kita juga ada melakukan kesalahan, kerana sifat manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Andaikan kita juga dihukum sama seperti itu, maknanya itu tidak adil kerana kita tidak sempat untuk bertaubat atas maksiat yang dilakukan. Ingat, tanggungjawab semua muslim adalah berdakwah dan memberikan nasihat kepada semua manusia, bukan sebagai penghukum kerana Allah sahaja lah yang berhak menghukum.

Amirul Hakimi
Pelajar Tahun 2 Sains Bahan
Fakulti Sains dan Teknologi

Wednesday, 7 November 2012

Ada Apa Dengan Hati?

Tanya pada hati, apa sebab resah,
Nanti jawab hati, kurang ingat Allah… ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Apa khabar hatimu? Sihatkah ia? Sudah buat rohani check-up? Jika belum mari sama-sama muhasabah diri.
     
     Kenapa hati sangat penting untuk dijaga? Tak boleh ke kalau tak jaga? Jawapannya boleh. Boleh, bagi sesiapa yang tidak takut akan seksaan Allah S.W.T. Segala amal perbuatan kita akan dihitung di akhirat kelak, sama ada yang baik mahupun yang buruk dan kita akan mendapat balasan setimpal  daripada perbuatan-perbuatan tersebut.  
     
Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya. (Surah Al-Isra’:36)

‘Hati itu ibarat raja, akal adalah perdana menterinya.’ Dalam diri manusia itu, hati dianggap seperti seorang raja. Dimana semua keputusan dibuat olehnya, perintahnya perlu ditaati oleh rakyat, dilayan sebaik-baiknya, makan yang sedap-sedap dan dikawal keselamatannya. Begitulah juga dengan hati, semua anggota tubuh akan dikawal olehnya dan apa jua keputusan ditentukannya. Akal hadir sebagai pembimbing dan penasihat. Lihat, hati perlu ada pembantu tapi tidak bagi Allah. Hebat bukan Allah? 
    
     Tapi mahukah kita taat pada raja yang tidak adil, kejam dan mempunyai akhlak yang buruk? Tidak mahu bukan. Samalah seperti hati, jika hati kotor, sentiasa ada dendam dan mempunyai sifat yang tidak baik maka anggota yang lain juga akan menjadi tidak elok. Akhirnya pelbagai masalah akan timbul terutamanya masalah dalam kalangan umat Islam itu sendiri.
 
     Nabi bersabda dalam hadis Ibnu Mas’ud:
    “Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh terdapat segumpal daging yang jika daging itu baik maka akan baik pula seluruh tubuh itu. Sebaliknya, jika daging itu buruk, maka buruklah seluruh anggota tubuh. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati.” (Muttafaqun ‘alaih)

     Manusia itu diciptakan bersifat lemah.
     Dalam Surah An-Nisa’ ayat 28, “Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah.”

     Sebagai manusia yang bukan tergolong dalam kalangan para Nabi, para Rasul, para Sahabat dan para Wali, sudah tentu kita agak sukar menjaga hati. Sudah tentu akan ada yang menghidap penyakit ‘sindrom down’ dalam waktu-waktu tertentu. ‘Sindrom down’ di sini bermaksud ‘Iman down’ dan pastinya hati juga akan dihidapi penyakit iaitu penyakit hati. Seperti seorang raja tadi, yang perlu dilayan sebaiknya, dihidangkan makanan yang lazat dan dijaga keselamatannya, hati juga perlu dirawat, diberi vitamin-vitamin iman dan dibekalkan dengan antibodi rohani sebagai perisai daripada anasir-anasir jahat.

      Penyakit hati perlulah dirawat segera agar tidak merebak ke anggota yang lainnya. Hal ini kerana, apabila diri dijangkiti virus penyakit hati, anggota-anggota yang lain akan terdorong untuk melakukan maksiat dan kemungkaran kepada Allah serta yang paling utama sekali timbul rasa malas untuk beribadah. Analoginya, kita sakit gigi geraham yang amat sangat sehingga gusi dan pipi membengkak. Adakah kita akan membiarkan kesakitan tersebut atau memilih untuk merawatnya? Pasti kita akan mencari ikhtiar untuk merawatnya bukan? Apabila gigi sakit, anggota yang lain juga akan terasa sakit seterusnya tiada selera makan serta tidak mahu membuat sebarang aktiviti atau kerja. Oleh sebab itu, hati yang sakit perlu dirawat segera bukan tunggu sehingga kronik.

     Kata Imam Ghazali, “Carilah hati di tiga tempat. Carilah ketika membaca Al-Quran. Sekiranya tidak menjumpai hatinya di situ, carilah ketika sedang menunaikan solat. Sekiranya tidak menjumpainya, carilah ketika sedang duduk bertafakur mengingati mati. Sekiranya masih tidak jumpa, maka mintalah hati yang baru daripada Allah kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.”

 Cara-cara merawat hati :-

 -Mujahadah dalam memperbaikinya
-Banyak mengingat kematian dan hari akhirat
-Bergaul dengan orang-orang yang soleh
 -Hatinya selalu berdamping dengan Penciptanya
-Mengerjakan amalan soleh
-Memanfaatkan penciptaan hati sesuai dengan tujuan penciptaannya
-Berzikir kepada Allah

Hidup di dunia ini adalah sebagai jalan atau ruang untuk kita melaksanakan misi-misi kita sebagai khalifahNya bagi mencapai visi utama iaitu mardhotillah, mendapat keredhaan Allah. Hati adalah suis utama dalam litar badan kita. Semaikanlah baja-baja takwa dan hiasilah hati dengan iman supaya dapat melahirkan individu muslim yang hebat dari segi akhlaknya, ibadahnya, pemikirannya dan kehidupannya.

 “Wahai manusia! Sungguh , telah datang kepadamu pelajaran (Al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus:57)

 Nur Cahaya
Pembina UKM

Monday, 5 November 2012

TARBIYAH SEPARUH MASAK



Pernah atau tidak kita terfikir, kenapa kita perlu di tarbiyyah? Kemudian kita tanya diri kita lagi, sejauh mana kita membumikan tarbiyyah yang kita terima dalam kehidupan seharian? Seterusnya kita tanya lagi diri kita, sejauh mana kita telah menjadi qudwah (ikutan) dan contoh kepada orang lain?

Kita yang terlupa

Sebahagian besar aktivis dakwah atau pendakwah jika berbicara mengenai sirah Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para pejuang Islam, maka meluncur laju bibir bercerita apa yang di fahami dan di hafal daripada pembacaan. Ayat-ayat suci al Quran dan hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w. di hafal dengan elok ibarat ada hard disk drive  didalam kepalanya. Jika ada usrah atau program-program tarbiyyah, maka dialah orang pertama yang berada di situ. Jika dalam mukhayyam atau tamrin, maka dia lah orang yang paling sabar dan cekal dalam menghadapi segala rintangan. Dan apabila di lihat dokumen penilaian, penuh dengan angka-angka positif yang memenuhi ruang-ruang yang ada.

Tetapi kita terlupa suatu perkara, adakah semua itu cukup untuk membuktikan dia sudah lengkap di tarbiyyah? Bagaimana pula dengan alam realiti?

Apalah ertinya sekiranya mahir berbicara mengenai sirah Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para pejuang Islam, tetapi bila akhlaq mereka tidak di contohi, apabila berada di medan dan ketika berseorangan, futhur gugur lalu tersungkur.

Apalah ertinya sekiranya menghafal ayat Quran dan hadis dengan baik, namun amal kurang atau tidak di lakukan.

Apalah ertinya sekiranya menepati masa menghadiri program tarbiyyah, namun apabila solat berjemaah dan berjanji, tidak dapat menepatinya dengan baik.

Apalah ertinya sekiranya mampu bersabar dan cekal ketika dalam program tarbiyyah,namun apabila berhadapan masyarakat, apabila di fitnah dan di hina, hilang semua kesabaran yang di pelajari.

Apalah ertinya dokumen penilain penuh dengan angka-angka positif, namun angka-angka itu hanya sekadar angka yang kosong.

Apalah ertinya mengetahui dan memahami mengenai tarbiyyah ukhuwwah, namun apabila di kritik, di marahi, dan sebagainya, hilang semua sifat berlapang dada dan bersangka baik.

Kita tidak mendidik malaikat

Ya, manusia bukan malaikat. Iman akan ada turun dan naik. Namun jika pendakwah itu mengikut jalan tarbiyyah, maka jika futhur sekalipun tidak lah jatuh tersungkur sampai tidak mampu untuk bangun.

Tarbiyyah ini bukan hanya retorik, ia adalah pembuktian dengan amal. Kita dapat lihat sirah para sahabat bagaimana mereka membuktikan tarbiyyah yang mereka hadam di medan amal. Contohnya ketika perang Ahzab ketika mana berduyun-duyun musuh Islam datang menyerang. Namun keyakinan kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi segala-galanya. Tidak lari dari medan perang, bahkan mara sedia untuk syahid.

Cerita mengenai sirah Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para pejuang Islam bukan sekadar cerita untuk memenuhi masa lapang dan mengisi program sahaja, tetapi ia adalah cerita untuk di ambil iktibar daripadanya. Ia bukan seperti kisah Alice in Wonderland!

Inilah jalan kita.

Saya sedar dan yakin bahawa kemenangan Islam itu pasti akan hadir. Pasti dan pasti, tinggal lagi sama ada kita mahu atau tidak menjadi sebab kepada kebangkitan dan kemenangan Islam. Namun sebelum menerima semua itu, perlu kita lalui jalan dakwah dan tarbiyyah ini. Dan jalan ini bukan seperti jalan raya ataupun jalan yang di hamparkan red carpet ataupun di tabur dengan bunga-bunga, tetapi jalan ini di tabur dengan duri dan paku, di hamparkan dengan sweat, tears and blood.

Tarbiyyah kita bukan tarbiyyah separuh masak, hanya hebat teori namun gagal praktikal. Hanya sekadar hebat berbicara namun gagal beramal. Hanya cantik di luaran namun cacat di dalam. Namun tarbiyyah kita adalah tarbiyyah yang sejati, yang melahirkan insan yang meletakkan dunia di tangan dan akhirat di hati, dan mengimpikan kemenangan atau mati syahid.

Semoga kita kekal dan thabat dalam jalan ini sehingga ke akhirnya. Amin.

Moga Allah redha.


Ahmad Shukery Bin Azizan
Sains Kimia Tahun 2
UKM BANGI




Monday, 23 July 2012

KEHALUSAN GODAAN SYAITAN DALAM MENYESATKAN MANUSIA


Pada zaman dahulu, terdapat seorang ahli ibadah dalam kalangan bani Israel yang amat tekun beribadah kepada Allah berpuluh-puluh tahun. Kerajinnya beribadah sudah diketahui oleh seluruh penduduk di kampung itu. Dia adalah yang paling banyak beribadat pada masa itu. Di sebelah rumahnya tinggal tiga lelaki bersaudara bersama-sama seorang saudarinya. Pada suatu hari, negara mereka mengalami peperangan dan kudrat orang muda diperlukan untuk mempertahankan negara. Seluruh  pemuda dikerah termasuk juga tiga lelaki bersaudara ini. Satu perkara bermain di fikiran saudara  yang sulung iaitu siapa yang akan menjaga kebajikan saudari perempuannya. Mereka sepakat untuk menyerahkan saudarinya kepada ahli ibadah itu.

Dengan penuh keyakinan terhadap amalan ahli ibadah itu, mereka meminta agar diterima amanah untuk menjaga saudari mereka. Pada mulanya ahli ibadah itu takut untuk menerima kerana bimbang akan kemurkaan Allah. Setelah dipujuk , ahli ibadah itu terpaksa menerima saudari mereka untuk tinggal bersama di rumah ahli ibadah tetapi di bilik dan tingkat yang berbeza. Mereka akan menjemput semula saudarinya selepas peperangan tamat. Akhirnya gadis tadi tinggal di bilik bawah biara ahli ibadah itu.

Syaitan cukup sabar dan sentiasa membuat ahli ibadah itu berasa senang melakukan kebaikan. Syaitan memulakan tipu muslihatnya dengan berkata, "Andai engkau meletakkan makanan di depan biliknya pasti pahalamu semakin banyak." Syaitan terus memujuknya sehingga dia berjalan mendekati bilik si gadis dan meletakkan makanan tanpa berbicara sepatah pun. 

Setelah beberapa lama melakukan hal sedemikian, syaitan menambah tipu dayanya untuk terus melakukan kebaikan dengan berbisik, "Andai engkau dapat meletakkan makanan sehingga ke dalam bilik gadis tersebut tetapi tanpa berbicara dengannya pasti engkau mendapat pahala yang lagi besar." Ahli ibadah itu terpedaya dengan pujukan syaitan sehingga perkara itu berlaku beberapa lama. Syaitan amat berpuas hati akan strateginya untuk menghancurkan ahli ibadah itu.

Selepas itu, syaitan menambah tipu daya seterusnya iaitu menganjurkannya menghantar makanan dan kemudian berbicara perihal agama dengan gadis tersebut. Syaitan menambah lagi, ini pasti akan membuatkan kamu dan gadis itu lebih bertambah ilmu pengetahuan dan pasti akan mengembirakan hatinya setelah lama berseorangan dalam bilik di bawah biara. Tipu daya syaitan diterima oleh ahli ibadah walaupun mereka berbicara dibatasi dengan dinding bilik yang memisahkan. Bermula dari perihal agama sehingga perihal peribadi diceritakan.

Pada ketika mereka mula-mula berbicara dan berbincang, mereka dibatasi dengan jarak jauh yang memisahkan, ahli ibadah akan duduk di depan pintu biara dan gadis itu akan keluar dari biliknya dan duduk di pintu untuk berbicara. Perkara itu berlaku beberapa lama. Dari permulaan berbicara di luar pintu biara, ahli ibadah digoda oleh syaitan supaya semakin dekat dengan pintu bilik gadis itu sedikit demi sedikit tanpa gadis itu keluar dari bilik. Godaan syaitan kepada ahli ibadah itu hanyalah mengajaknya tertipu dengan kebaikan yang dianjurkan syaitan.

Setelah sekian lama berbincang dari luar pintu bilik, syaitan menggoda lagi dengan berkata, “ Andai lebih baik jika engkau masuk ke dalam bilik gadis itu dan berbincang dengannya tanpa diketahui oleh seseorang pun pasti akan menggembirakan hatinya.” Sehari suntuk ahli ibadah itu menemani si gadis di dalam biliknya. Ketika hari beransur senja barulah dia naik ke tingkat atas untuk beribadat pula kepada Allah seperti hari kebiasaan.

Iblis masih mendatangi ahli ibadah dan memujuknya sehingga berani memegang dan memeluk gadis itu. Iblis terus menipu mengatakan hal itu adalah kebaikan sehingga dia berzina dengannya dan akhirnya gadis itu mengandung anak luar nikah. Selepas si gadis melahirkan anak, iblis membisik, "Apa pendapatmu sekiranya saudara-saudara lelaki mengetahui bahawa saudari mereka telah melahirkan anak kamu? Apa yang hendak engkau lakukan dan pastinya perkara ini akan menjatuhkan maruah kamu sebagai ahli ibadah kerana telah berzina jika melihat kelibat bayi itu. Oleh itu, hendaklah kamu membunuh bayi itu untuk menutup berita keaibanmu." Ahli ibadah itu menuruti arahan iblis.

Setelah itu, iblis sekali lagi mendatangi dan menghasut pula supaya membunuh gadis itu kerana bimbang akan gadis itu memberitahu kepada saudaranya tentang tindakanmu yang telah berzina dan membunuh anaknya. Iblis mengatakan pasti si gadis tidak akan menyembunyikan berita tersebut. Lantas sang ibadah terus membunuh si gadis pula dan menguburkannya bersama-sama anaknya. Ahli ibadah tadi berasa senang akan tindakannya dan iblis memberitahu supaya membuat helah jika saudara gadis itu bertanya tentang kematian saudarinya. Ahli ibadah kembali ke biaranya dan beribadat seperti biasa.

Setelah beberapa hari kemudian, saudara-saudara lelaki itu pun pulang dari peperangan dan bertanya perihal saudarinya. Ahli ibadah menangis dan menunjukkan belas kasihan lantas menunujukkan kuburnya. "Dia adalah seorang wanita yang paling baik", kata ahli ibadah. Mereka menziarahi kubur saudari mereka yang ditanam di dalam kawasan biara ahli ibadah.

Pada malam harinya, syaitan telah mendatangi mereka bertiga melalui mimpi. Syaitan menjelma sebagai seorang musafir dan menceritakan perihal sebenar yang berlaku. Syaitan memberitahu bahawa ahli ibadah telah menyetubuhi saudarinya sehingga melahirkan anak dan terus membunuh kedua-duanya. Pagi keesokkannya, tiga bersaudara ini bercerita perihal mimpi masing-masing dan terkejut kerana mimpi mereka bertiga sama. Lantas, saudara yang sulung bernekad untuk menyiasat dan mendapati bahawa mimpi mereka bertiga adalah benar. Mereka telah menjumpai mayat seorang bayi di sebelah mayat saudarinya di dalam kubur yang sama.

Mereka menemui ahli ibadah dan memaksa untuk menceritakan perkara sebenar. Tanpa sebab lain dia mengakuinya kerana godaan syaitan. Mereka membawa ahli ibadah itu untuk disalib. Tatkala ahli ibadah itu sedang diikat, syaitan datang menjalankan tugasnya yang terakhir. "Tentunya engkau mengetahui bahawa sebenarnya akulah yang telah menggodamu dengan kehadiran wanita itu, lalu engkau membuatnya mengandung, dan membunuh dia dan anaknya. Jika pada saat ini engkau tunduk kepadaku dan kufur kepada Allah, aku akan selamatkanmu dari bahaya", bisik syaitan.

Maka ahli ibadah itu menyatakan kufur kepada Allah mengharapkan syaitan melepaskannya tetapi syaitan terus meninggalkannya begitu sahaja. Tanpa membuang masa, tiga bersaudara telah menyalibnya dan ahli ibadah tadi mati dalam keadaan kufur.

Amirul Hakimi
Pelajar Tahun 2 Sains Bahan
Fakulti Sains dan Teknologi

Friday, 13 July 2012

Dasyatnya neraka

Pernah tak terhirup sup yang amat panas. Panasnya sampai ke kerongkong. Kalau 'nasib baik' lidah pun terasa seperti melecur. Nak makan pun rasa tak selesa. Tapi sekejap je, InsyaAllah lepas sehari dua, lidah akan pulih.

Tapi tu kalau terhirup sup panas. Kalau terpaksa makan buah Zaqqum?

(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum,(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).(Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.
Surah Ad-Dukhan 44:43-46

Buah Zaqqum adalah makanan bagi mereka yang mendustakan Hari Kebangkitan dan juga Hari Pembalasan. Tempatnya sudah tentulah di neraka jahanam. Kita mempercayai akan berlakunya hari kiamat, namun adakah kepercayaan kita itu selari dengan amalan kita sebagai seorang Islam?

Nabi Muhammad ﷺ menangis

Diriwayatkan daripada Yazid Arraqqasyi daripada Anas bin Malik,

Rasulullah pernah bertanyakan perihal neraka kepada Jibril:
“Ya Jibril, jelaskan kepada aku bagaimana sifat neraka jahanam?”

Jawabnya:
“Ketika Allah menjadikan Jahanam, ia dinyalakan selama 1,000 tahun sehingga warnanya bertukar putih. Kemudian dinyalakan lagi sehingga 1,000 tahun sehingga warnanya hitam dan ia tidak pernah padam. “Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, jika ia terbuka walaupun hanya sebesar lubang jarum, seluruh penduduk dunia akan terbakar kerana kepanasannya!
“Jika baju ahli neraka digantung antara langit dengan bumi, manusia di dunia akan mati kerana panasnya dan jika satu pergelangan daripada rantai yang disebut dalam al-Quran itu diletakkan di atas bukit, ia akan cair sehingga ke bawah bumi yang ketujuh.
“Neraka jahanam sangat dalam dan perhiasannya daripada besi. Minuman untuk penghuninya campuran air panas dan nanah manakala pakaian mereka diperbuat daripada potongan api. Api neraka mempunyai tujuh pintu.
“Setiap pintu itu pula mempunyai bahagian tertentu daripada lelaki dan perempuan.”

Jibril juga telah menerangkan perihal 7 pintu api neraka serta golongan yang duduk di pintu-pintu tersebut.
Namun Jibril terdiam apabila sampai kepada pintu yang ketujuh sehingga Rasulullah bertanya:
“Mengapa kau tidak beritahu siapa yang akan menduduki pintu ketujuh?”

Jibril menjawab:
“Dalamnya adalah umatmu yang berdosa besar dan mati sebelum sempat bertaubat”.

Rasulullah pengsan apabila mendengar jawapan Jibril itu. Jibril kemudian meletakkan kepala Rasulullah pada pangkuannya hingga Baginda sedar dan bersabda:
“Ya Jibril, aku begitu risau dan sedih. Adakah akan ada seorang daripada umatku yang akan masuk neraka?”

Jawabnya: “Ya, iaitu orang yang berdosa besar daripada kalangan umatmu.”

Rasulullah kemudian menangis, begitu juga dengan Jibril. Baginda kemudian masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk pergi bersembahyang.

****************

Dasyat bukan api neraka? Sehinggakan Baginda Rasulullah turut risau dan sedih akan nasib umatnya yang akan menghuni neraka.

Mungkin sekali sekala tidak mengapa untuk lidah kita melecur dek kerana terhirup sup yang amat panas.
Sebagai peringatan, kepanasan di neraka jauh lebih hebat.

Nabi Muhammad ﷺ;bersabda: "Kamu boleh menyebut tentang neraka sesukamu, maka tiada kamu menyebut sesuatu melainkan api neraka itu jauh lebih ngeri dan lebih keras daripadanya."


Pencinta Haiwan
Sains Haiwan, UKM

Thursday, 12 July 2012

Agama itu Nasihat


 

: قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي أَنَّ النَّبِيَّ

المُسْلِمِيْنَ، وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ،:قَالَ لِمَنْ؟ :قُلْنَا الدِّیْنُ النَّصِيْحَةُ ))

           (( وَعَامَّتِهِمْ

(HR Bukhari dan Muslim)

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, daripada Abu Ruqayah Tamim ad-Dari r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda,“Agama adalah nasihat.” Kami bertanya,“Untuk siapa?” Baginda bersabda,“Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan untuk pemimpin kaum muslimin dan rakyat-Nya.”

 Hadis ini menerangkan tentang maksud ad-Din (agama) yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w agar dapat dijadikan panduan dan amalan oleh setiap umat Islam yang mengaku dirinya telah beriman kepada Allah dan RasulNya. Ad-Din atau cara hidup yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam dan agama-agama yang lain kesemuanya tidak diterima oleh Allah.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 19 yang bermaksud:

 “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”

Menerusi hadis tersebut, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa salah satu daripada ciri-ciri agama adalah nasihat menasihati di antara satu sama lain. Nasihat ialah melafazkan kata-kata yang baik untuk tujuan kebaikan. Dalam konteks hadis di atas nasihat yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w merangkumi lima perkara iaitu nasihat bagi Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin kaum muslimin dan orang ramai. Antara contoh maksud nasihat bagi lima perkara tersebut:

-Bagi Allah s.w.t – Setiap orang Islam hendaklah benar-benar beriman kepadaNya dengan membesarkan dan mengagungkanNya, menjauhi daripada sebarang sifat yang boleh menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain.
 -Bagi kitabNya – Beriman sepenuh hati terhadap kebenaran Al-Quran serta sentiasa beramal menuruti petunjuk yang terkandung di dalamnya.
-Bagi Rasul – Membenarkan kerasulannya dengan penuh yakin, mempercayai semua risalah bawaannya, mematuhi suruhan dan larangannya , membela agamanya serta berusaha dan menegakkan sunnahnya.
-Bagi pemimpin – Menolong dan menyokong mereka dalam menegakkan kebenaran dan keadilan, akur kepada mereka dalam hal-hal yang menjurus kepada kebaikan, tegur mereka dengan cara yang sopan sekiranya mereka menyeleweng.
-Bagi manusia keseluruhannya – Memimpin mereka ke jalan yang benar, mengajar mereka jika tidak mengerti, menyuburkan budaya tolong-menolong  pada melakukan perkara –perkara yang baik dan mewujudkan rasa saling menghormati  dalam kalangan masyarakat.

Keberkesanan nasihat yang diberi oleh seseorang kepada seseorang yang lain berkait rapat dengan peribadi pemberi nasihat. Justeru, pemberi nasihat hendaklah lebih dahulu sentiasa menunjukkan contoh yang baik.

-NurCahaya-
Sains Makanan dan Pemakanan
UKM

poster promo ikhwah
picture hosting