PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Monday 28 November 2016

ARTIKEL : DUKA UMMAH


Sakit telinga kerana sering terdengar dek tangisan anak-anak kecil di sekelilingku dan terdengar sayup tangisan sengsara penuh derita anak-anak di Rohingya., yang mengharapkan pengakhiran sebuah penderitaan. Hati rapuh tak tertahan sedih, pilu, duka mendengar tangisan mujahid dan mujahidah.

Allah, kuatkan fizikal mereka, kuatkan iman mereka, kuatkan hati mereka supaya mereka  diberi kudrat, kekuatan, dan kemenangan bagi menangkis kezaliman sang pemerintah yang angkuh.

Allah. Rimbunan nikmat yang Kau Berikan saat ini menjerumuskan aku kepada lautan kelekaan. Aku malah tidak cakna dengan masalah ummatku sendiri.

Rohingya kini terus berdarah bersulam tangisan airmata. Di tanah Myanmar, hak dan kebebasan dinafikan dek kerana manusia yang berhati syaitan, rakus dengan nafsu binatang. Anak kecil dibunuh, darjat wanita direndahkan, warga emas, pemuda dizalimi semahunya.

Allah, Tuhanku yang Maha Melihat lagi Maha mendengar, Kau tekadkanlah hati mujahid dan mujahidah Rohingya agar terus bertahan dan berjuang demi mempertahankan akidah mereka kepadaMu. Sesungguhnya aku di sini tidak mampu menyumbang tenaga, apatah lagi mengangkat senjata demi bersama mereka berjuang menghapus derita.

            Allah, betapa Islam semakin tenat. Islam hari ini dizalimi, Islam hari ini ditindas seakan tiada nilai. Sakitnya di hati melihat Islam agama nan suci diperkotak-katikkan, dihina, dikeji bahkan dituduh ekstrim dan bahaya. Namun, di sebaliknya tuduhan yang melampau, umat Islam sedang menderita.

Allah, aku hanya mampu tunduk sayu, mengenangkan nasib anak kecil, wanita-wanita yang lemah, dan pemuda harapan negara Rohingya yang jauh bezanya dengan kanak-kanak di negara aku sendiri.

            Allah, terdetik keraguan di hatiku. Di manakah pihak yang menghujahkan peranan mereka itu penting sehingga ke tahap global dunia? Di mana? Terus dan terus diam membisu, tanpa bicara. Membutakan mata dan hati isu Muslim di Rohingya. Ditindas seperti tiada titik penghujung. Di mana perginya mereka yang membela hak-hak manusia? Allah, aku kecewa asbab yang harus diperjuangkan, dipinggirkan.

Wahai insan yang bergelar manusia, jangan dibiarkan ZOPFAN membunuh kepedulian ummah. Parah lah ummah jika terbiar. Kembalilah kepada sejarah.

            Masihkah kau ingat? Tahukah engkau wahai khalifah ciptaan Tuhan? Saat pemerintahan Islam yang dinaungi kerajaan Moghul masih subur gagah dek kerana pemerintahan yang adil memaut nurani manusia kepada agama fitrah ini. Saat itu, nasib saudaraku tidak sepedih ini. Mereka hidup aman dan harmoni. Namun sayangnya suntikan Pax-Britannica menjatuhkan empayar Islam. Ketidakadilan berlaku.

            Wahai hamba Allah, saudara kita saat ini dimusuhi, menjadi orang asing di tanah sendiri. Mereka dipinggarkan, pendidikan, perniagaan tidak dipedukan. Hak sebagai seorang manusia diperlekehkan.

            Allah, Kau berikanlah mereka kekuatan dalam jihad sepertimana yang telah Kau Berikan kepada kekasih-Mu, Muhammad S.A.W. Allah, Kau berikanlah mereka sinar harapan untuk terus berjuang dan terus bernafas di atas bumi-Mu ini dan Kau datangkanlah kepada meraka yang mempunyai kuasa dan daya untuk membebaskan mereka dari belenggu kezaliman.

Hasbunallah wa ni’mal maula, wa ni’mal wakil, wa ni’man nazhir..


Siti Zulaikha Rashid
PEMBINA UKM

Saturday 26 November 2016

PUISI | ROHINGYA


Rohingya,
Engkau berdarah lagi,
Dek manusia yang tidak berhati nurani menzalimi,
Kerana Islam engkau dimusuhi.

Rohingnya,
Tangisanmu tidak dapat kami dengari,
Kesakitanmu tidak dapat kami rasai,
Dek dua destinasi jauh memisahi.

Rohingya,
Maafkan kami kerana lalai dengan duniawi,
Kadang kami lupa akan tangismu memanggil kami,
Maafkan umat seluruh duniawi.

Rohingya,
Tabahlah engkau menghadapi dugaan ini,
Sayang Allah buatmu lebih dari kami,
Moga imanmu menjadi benteng buat kezaliman ini.

Rohingya,
Tiap hari kau meniti dibibir kami,
Tiap hari doa kami pohon dari Ilahi,
Mendoakan engkau sejahtera dalam lindungan Rabbi.

Ya Rabbi,
Kami pohon padaMu,
Berilah kekuatan pada mereka; hambaMu,
Sesungguhnya tiada upaya melainkan kudrat-Mu.

Nur Safriani Yunus,
PEMBINA UKM

Tuesday 25 October 2016

DAIE PILIHAN TUHAN



Jika langkah mula longlai
Hati mulai gelisah
Semangat kian menghilang
Resah menyelubungi badan
tanda Allah sedang beri ujian,...

Jangan
jangan kau terus menghilang
tenggelam dalam kegelapan, kejahilan juga kemaksiatan..
futur..

Konon ?
Konon tak tahan dengan ujian
Sedangkan Allah tak bebankan, sekadar kemampuan .
Tanamkan kekuatan agar terus maju kehadapan.
Berlari, jangan berhenti,
Tiada masa untuk menoleh lagi,
Gagahkan diri,
Cuba untuk bertahan,  
agar penghujungnya,
dapat kau rasai teguk kan
manisnya iman..

Ujian dan dugaan,
bukan sekadar picisan kehidupan
yang hadir sebagai asbab kepedihan jiwa dan tangisan,
melainkan ianya adalah batu loncatan
untuk kau mengerti apa erti kebergantungan
Hai Rijal !
Bangunlah dan mara kehadapan,
Jadikan Saidina Umar sebagai ikutan
Siangnya disinari kewibawaan kepimpinan,
Namun malamnya ditemani tangisan kerinduan

Alahai rijal !
Jangan kau hanya menjadi,
pimpinan di siang hari
Gayanya gah, nampak hebat disana sini !
Dipuji disanjung tanpa henti .
Tapi malamnya ?
Hanya terbongkang dikatil usang,
Subuhnya Gajah
Qiamnya tak pernah .
tiada lagi dengusan rintihan, tanda hati yang rindu.
Kerana air mata mulai membeku!
barangkali hati bertukar hitam,
mungkin juga terbakar legam,
Dimamah riak, ujub dan takabbur
Lantaran al-Quran menjadi peneman, hanya dibulan Ramadan.

Hijrahlah,
Mengapa berhenti dipertengahan,
Sedangkan destinasi belum kau temukan..
Pastinya
syurga destinasi pilihan
Atau cita-citamu sekadar berhenti di persimpangan.

Wahai daie : – daie pilihan Tuhan,
Selagi nyawa dikandung badan,
Moga tetap dalam perjuangan
Menuju Allah dambaan hati orang beriman
Semoga sentiasa dalam pimpinan

Allah dan Rasul jadikan sandaran !

Anjum Zainal Abidin
Biro Kepimpinan PEMBINA UKM

Friday 21 October 2016

Sayonara Hijrah..Bangkit Sebelum Rebah!


UKM, 17 OKT – ‘Sayonara Hijrah, Bangkit Sebelum Rebah!,’ begitulah tema yang dibawa pada Sambutan Hari Ahli PEMBINA (HAP) kali ke-2 yang dijalankan seiring dengan sambutan Maal Hijrah. Program yang telah berlangsung ini mengumpulkan seramai lebih 80 peserta yang terdiri dari ahli PEMBINA UKM itu sendiri.

Majlis pada awalnya dimulakan dengan tayangan video aktiviti yang telah dianjurkan oleh PEMBINA UKM sepanjang semester lepas dan pada awal semester ini.  Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan presiden PEMBINA UKM , saudara Wafiq Azman yang menerangkan mengenai  objektif HAP di mana beliau sedikit sebanyak menyentuh tentang sindrom ‘4K’.

 “Perubahan itu tidak akan berlaku melainkan kita sendiri yang menginginkannya,” begitulah sedikit ungkapan perasmi, Dr Hazlin Hazrin Chong iaitu merupakan salah seorang pensyarah di UKM sendiri.

Selesai upacara perasmian, ceramah mega dimulakan oleh Ustaz Syed Israa di mana dalam isi ceramah beliau mengajak para mahasiswa untuk mengambil pengajaran daripada sejarah yang lalu bermula dari zaman sahabat-sahabat Rasulullah lagi iaitu ketika mana ramai golongan yang masih muda tetapi berjuang membawa agama Islam itu sendiri.

“Apa kata kalau kita tukarkan 4K itu kepada 4M?,” begitulah seruan beliau dalam ceramah yang disampaikan di mana beliau merujuk 4M itu kepada murabbi, mutarabbi, manhaj, dan muhib. Malah, beliau juga berharap mahasiswa yang hadir kelmarin mampu memegang prinsip masing-masing.

Program yang dijalankan ditutup dengan tayangan video pengenalan majlis tertinggi dan ketua-ketua biro PEMBINA UKM kemudian diikuti dengan cabutan bertuah dan sesi fotografi.

“Pengisian yang disampaikan sangat menarik dan pada saya PEMBINA ini bukan sekadar gah pada namanya sahaja tetapi program yang dianjurkan ini turut membina semangat saya untuk terus bangkit dan maju,” kata salah seorang peserta yang pertama kali mengikuti program yang dianjurkan PEMBINA ini.


Disediakan oleh,
Siti Nur Fatin bt Azni
Media PEMBINA UKM

Saturday 15 October 2016

ARTIKEL I PEMUDA ITU WARGA EMAS


Kita sering kali mendengar perkataan warga emas dalam bualan masyarakat. Warga emas yang dimaksudkan ialah warga tua. Betul tak ? Tapi pada saya maksudnya lain.

Nak tahu apa tak apa yang saya maksudkan ? Kalau nak tahu,  ayuh ikut bersama-sama saya melayari bahtera warga emas ini.

Baiklah,  warga emas yang maksudkan di sini ialah orang muda.

Warga Emas orang muda ? Biar betul ! Betul lah.

Usia emas ialah usia muda. Kenapa saya berkata begitu  ? Ini kerana apa yang dimiliki oleh seorang pemuda itu,  tidak ada pada golongan atau warga lain.

Ada empat perihal yang diperkatakan oleh Hassan Al-Banna berkenaan ciri pemuda yang tidak apa pada orang lain.  Empat ciri tersebut ialah keimanan,  keikhlasan,  semangat dan usaha.

Malah,  terdapat satu potongan hadis Nabi S.A.W berkenaan rebutlah lima perkara sebelum lima perkara. Salah satunya ialah ‘Muda sebelum Tua.’ Kenapa muda sebelum tua juga diperkatakan sedangkan perkara hidup sebelum mati sudah cukup menyimpulkan keseluruhan kehidupan manusia? Ini kerana pentingnya memanfaatkan usia muda.

Dalam era modenisasi ini, kita lihat bagaimana pemuda kita memanfaatkan masa dalam kehidupannya? Adakah berada pada tahap yang baik atau sebaliknya?  Saya berpandangan keadaan pemuda pada hari ini semakin menuju ke arah yang buruk kerana banyak gejala sosial yang berleluasa,  budaya ‘couple’,  dan budaya hiburan yang melampau.

Pernah suatu ketika, ditanyakan kepada seorang pemuda berkenaan lafaz syahadah,  pertanyaan tersebut dibalas dengan jawapan ‘tidak tahu’. Apabila ditanyakan pula soal rukun iman,  juga ‘tidak tahu’. Ini baru seorang, bagaimana pemuda yang lain? Adakah mereka sama atau lebih baik atau lebih menyedihkan lagi.

Suatu kata-kata yang sehingga hari ini terpahat di fikiran saya ialah ‘untuk melihat generasi akan datang, maka lihatlah generasi hari ini’. Bagaimanakah keadaan generasi hari ini?
Usia muda seharusnya diisikan dengan hal-hal atau amal-amal kebaikan yang banyak. Bukannya dipenuhi dengan perkara mungkar. Makanya,  beruntunglah orang yang usia mudanya lagi dipilih oleh Allah untuk menempatkan dirinya dalam kehidupan dakwah dan tarbiyyah iaitu dikelilingi oleh biah solehah.

Bila mana kita berada dalam persekitaran tarbiyyah yang betul,  ianya akan membentuk kepercayaan dan tindakan kita terhadap Islam yang sebenar. Contohnya kisah Ashabul Kahfi, golongan muda yang lari bersembunyi dari kekejaman pemerintah pada waktu itu, demi menyelamatkan akidah mereka.

Dari kisah itu, Allah menurunkan dalam surah Al-Kahfi ayat 13, yang bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk."

Bukan sekadar kisah Ashabul Kahfi tetapi Allah juga telah membawakan kepada kita kisah-kisah para rasul dan nabi yang pada usia mudanya sudah diterima amanah, dugaan dan segala macam kepayahan hidup. Akan tetapi kehebatan mereka menjangkaui realiti masyarakat pada ketika itu.

Contohnya kisah Nabi Ibrahim yang berselisih faham dengan ayahnya sendiri dalam soal ketuhanan sehinggakan beliau disisih oleh ayahnya. Nabi Yusuf turut mendapat cubaan yang hebat iaitu disisihkan oleh adik-beradiknya, dijadikan hamba, difitnah oleh wanita dan juga dimasukkan dalam penjara. Apatah lagi nabi kita iaitu Nabi Muhammad yang sejak dari kecilnya telah banyak dugaan yang dihadapi. Walau bagaimanapun tanda kasih dan sayang Allah, Allah telah memberikan wahyu, mukjizat dan kelebihan kepada rasul-rasul dan nabi-nabiNya.

Wahai warga emas, wahai pemuda! Adakah  kamu ingin dihanyuti nikmat duniawi semata-mata? 

Masihkah lagi kamu ingin menempah ke lembah binasa? Masihkah lagi kamu ingin mengikuti jalan yang sesat selamanya?

Bangunlah! Jangan biarkan dirimu dibayangi mimpi. Jangan biarkan masa emasmu ini tenggelam dalam sepi. Teruskan perjalanan membina kekuatan diri dan mencari identiti dirimu yang sebenar. 

Siapa lagi kalau bukan dirimu? Kamu lah pemudah yang bakal mewarisi pemerintahan dunia kerana pemuda hari ini adalah cerminan kepimpinan akan datang.


Muhammad Firdaus Hamdan,
Timbalan Presiden PEMBINA UKM.

Sunday 25 September 2016

CERPEN I HIDAYAH ITU MILIK ALLAH


Dalam mencari keredhaan manusia, perlu mencari keredhaan-Nya dahulu. Itulah ayat yang disemat di dalam lubuk hati Putri. Sebak dan sendu terasa hatinya bila dapat meluahkan segalanya kepada yang Maha Mengetahui.
Hidupnya dahulu sentiasa dikelilingi orang yang tidak pernah melihat agama sebagai sesuatu yang tiada ukurannya jika dibandingkan dengn harta benda. Pernah suatu ketika, ibu dan bapanya pulang ke rumah dengan keadaan yang tidak waras akal fikirannya disebabkan oleh minuman yang telah jelas haram di dalam Al-Quran. Melihat yang demikian dia lantas terus memeluk erat kedua ibu bapanya sambil berdoa kepada-Nya supaya mereka meninggalkan perbuatan yang dilaknat itu. Walaupun dia jahil tentang identitinya sebagai seorang muslim, dia masih lagi boleh berfikir baik dan buruk sesuatu perkara.
Bagaikan tersedar dari lena yang panjang sambil dibuai dengan alunan muzik, ketika itulah dia telah dikejutkan dengan suatu perasaan aneh yang tidak dapat digambarkan. Perasaannya, di mana dia menginginkan belajar tentang agama yang dia tidak pernah ambil peduli sebelum ini. Akan tetapi, dia masih terasa kosong tanpa kehadiran keluarga di sisi dalam perjalanan menuju Ilahi.
Ibu bapanya masih seperti dahulu dan tidak dapat menerima perubahan puteri tunggal mereka  itu. Sudah berbuih mulutnya berusaha menasihati kedua ibu bapanya, namun perkara yang sama kerap berulang. Putri telah redha akan ketentuan ini, namun dia tidak pernah mengalah untuk memohon hidayah kepada-Nya.
Sehingga, suatu hari, kedengaran sayup suara kedua ibu bapanya mengalunkan bait-bait daripada Al-Quran yang diajar oleh seorang ustaz. Terduduk tanpa kata dia dibalik pintu yang dikuak sedikit itu. Kini, mereka telah bersama-sama berada dalam jalan perjuangan agama yang penuh panca roba ini tanpa menoleh kebelakang walaupun seringkali diungkit kisah silam mereka, dimaki dan dicaci.
Tidakkah kita ingin hidup seperti keluarga Putri masa kini? Ramai yang berkata, “aku tak kuat”, “aku tak mampu”, “kau boleh la keluarga kau baik-baik”. Jangan! Jangan sama sekali berputus asa sebelum mencuba. Bukankah kita telah diajar untuk tidak putus asa? Sejak bayi, kita telah jatuh berkali-kali, namun kita cuba bangkit walaupun dalam keadaan menangis.
Betapa cekalnya kita dahulu, adakah kita mahu kalah dengan bayi yang masih tidak tahu apa-apa? Jangan disebabkan ego diri kita sendiri membuatkan kita sombong kepada Tuhan kita. Jangan patah semangat, cuba lihat kembali. Adakah kita terpelihara dari segala ujian sebelum ini?
Jangan pernah mengatakan “engkau tak rasa apa yang aku rasa”, ya! Ini kerana dia telah merasakan sesuatu ujian yang lebih hebat daripada dirimu wahai saudaraku. Di sini rumus mudahnya,
Ujian dari Allah = Iman
Apa maksudnya? Jika bertambah ujian, maka makin tinggi keimanan seseorang. Ini kerana Allah ingin melihat apakah benar kita ini seorang hamba yang taat ataupun hanyalah sekadar ingin mendapatkan sesuatu. Jangan risau, Allah tak akan membebani hamba-Nya dengan ujian yang tidak tertanggung. Jadi sabarlah walaupun seberat manapun ujian hidup kita. Jika kita merasakan hidup ini berat, fikirkanlah bagaimana umat zaman dahulu yang lagi berat ujiannya.


Nur Nadirah Binti Yohyi
Biro Rekreasi PEMBINA UKM.

Thursday 15 September 2016

CERPEN I APLIKASI PENGORBANAN




“Cepat kejar!” pekik satu suara yang berada di keliling orang ramai.

Dalam sekelip mata, keadaan telah menjadi riuh-rendah. Beberapa orang pemuda yang berbadan sasa berusaha sebaik mungkin mendapatkan apa yang ingin dihajati. Keadaan yang sepatutnya berjalan lancar telah melewati masa bagi menyelesaikan perkara yang telah terjadi tanpa diduga. Debu tanah kering yang mula naik ke kepala telah menyebabkan orang ramai mula berpecah mencari tempat yang selesa.

“Atuk, bagaimana? terasa sakit?” Tanya Rozmi yang mula mendapatkan datuknya yang sedang menepuk-nepuk belakang orang tua itu yang sedikit kotor selepas tubuhnya terbaring ke tanah disebabkan oleh satu daya tolakan yang kuat. Mujur sebilah parang tajam yang terlepas dari genggaman Tok Mat tidak terpelanting mengenai orang ramai.

“Alhamdulillah, aku tiada apa-apa. Memang liat benar binatang ni nak dikerjakan.” Ujar Tok Mat sambil menghela nafas. Tok Mat mencapai parangnya dan terus melabuhkan punggungnya di sebuah pangkin yang berhampiran. Sebaik sahaja terlihat datuknya sedang duduk, seorang kanak-kanak yang memakai baju bergambar “Super Man” mula merapati datuknya dengan mempunyai tujuannya yang tersendiri.

“Atuk, kenapa semua orang nak ganggu lembu itu? Lembu tu bukannya kacau orang. Kalau dia tidak kacau kita, kenapa kita nak kacau dia?” Tanya Safwan seolah-olah berasa tidak puas hati akan apa yang sedang dilakukan oleh orang-orang kampung. Belum sempat Tok Mat membuka mulut, Rozmi yang berada di sisi Tok Mat itu mula mengusik adiknya.

“Kamu selalu leka di dalam kelas semasa cikgu sedang mengajar. Sekarang sudah tidak tahu apa itu korban dan mula menuduh yang bukan-bukan. Alamatnya, memang jadi super hero nak selamatkan lembu!” Rozmi gelak sendirian.

“Janganlah! Adik tak kacau abang pun.” Marah Safwan lalu menepis tangan abangnya yang mengusut-gusut rambutnya yang pendek itu. Safwan sedar, tingginya yang hanya mencecah paras pinggang abangnya itu pasti tidak akan mampu dilawannya. Dia hanya mampu mengelak apabila Rozmi ingin menyakatnya.

“Sudah-sudahlah. Baik-baik lembu yang nak dikorbankan, kamu berdua pula yang terkorban nanti. Tak baik bergaduh. Pergaduhan hanya akan mendatangkan mudarat pada diri kamu.” Tegur Tok Mat.

Kedua-dua cucu Tok Mat itu terdiam seketika dan memohon maaf atas keterlanjuran yang dilakukan di hadapan datuknya. Pastinya mereka takut apabila datuknya itu mula naik darah.

“Rozmi, kamu tahu kenapa kita perlu membuat korban?” Tanya Tok Mat.

“Cikgu ada beritahu semasa dalam kelas bahawa korban ini pada mulanya berlaku semasa zaman Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya itu melalui mimpi Nabi Ibrahim. Perintah Allah terhadap baginda sangat berat untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun, Nabi Ismail sendiri meyakinkan bapanya supaya menjalankan perintah Allah tersebut. Atas keikhlasan dan kesetiaan dalam menjalankan perintahNya, Allah S.W.T. telah menggantikan Nabi Ismail dengan haiwan ternakan sebagai korban. Betul tak, atuk?”

“Betul, pandai cucu atuk. Kalau kita tahu sahaja tapi tak aplikasikan dan dalam kehidupan diri kita, tidak bergunalah ilmu yang kita peroleh macam pepatah Arab ada kata ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah.” Kata Tok Mat sambil menghadapkan wajahnya ke arah kedua-dua orang cucunya itu.

“Aplikasi yang ada dalam handphone tu?” Tanya Safwan sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

Rozmi dan Tok Mat tergelak seketika. Manakala Safwan pula hairan apabila mendapat tindak balas yang sedemikian di atas soalan yang dilontarkan.

“Maksud aplikasi yang atuk katakan tadi adalah perbuatan dan amalan yang kita lakukan dalam kehidupan harian kita sama ada kerap kali atau jarang ataupun makna lain sebagai satu pengorbanan.” Rozmi membetulkan kefahaman adiknya.

Safwan hanya tersenyum sinis. Dirinya yang baru sahaja setahun jagung dan mula memasuki alam persekolahan perlu banyak yang dia pelajari dan ketahui.

“Berkorban itu tidak semestinya kita membeli seekor lembu atau haiwan ternakan lain lalu kita sembelih tetapi berkorban itu meliputi segala hal, sedangkan kalau kita nak minum air pun ada situasinya dianggap korban.” Terang Tok Mat sambil mengusap janggutnya yang sudah berwarna putih.

“Eh, minum air pon dikira berkorban?” Tanya Rozmi dengan reaksi muka yang ingin tahu.

“Ada satu kisah ketika mana tentera Muslim sedang berperang. Apabila keadaan telah menjadi sedikit tenang, ada seorang Muslim ini ingin meminum air yang dibawanya. Belum sempat diminum air tersebut, tiba-tiba dia terdengar satu suara meminta air. Maka dia terus ke arah suara itu dan dijumpai seorang tentera yang berada dalam keadaan tenat. Belum sempat tentera yang berada dalam keadaan tenat itu tadi minum, terdengar pula satu suara lain meminta air. Maka tentera ini tadi menyuruh pemilik air itu untuk memberi air tersebut kepada pemilik suara yang mereka dengar tadi. Apabila sampai sahaja ke arah tentera yang kedua ini, belum sempat diberi minum, terdengar pula satu suara lain yang meminta air. Hal yang sama turut berlaku dalam keadaan tersebut. Sehinggalah apabila pemilik air ini datang kepada pemilik suara berkenaan, didapati pemilik suara itu sudah syahid. Maka beliau berpatah balik sehinggalah kepada orang yang mula-mula dijumpainya meminta air dan kesemuanya syahid.”

Rozmi dan Safwan seolah-olah sudah dipukau oleh Tok Mat apabila mendengarkan kisah yang diceritakan kepada mereka.

“Oh, begitu rupanya. Bagaimana pula kalau Safwan pergi belajar di sekolah, perkara itu dianggap berkorban juga?” Tanya Safwan sambil memandang tepat ke arah wajah yang sudah mula berkedut.

“Benar, wahai cucuku. Kamu dianggap berkorban masa dan jiwa. Ibu bapa kamu yang bekerja mencari nafkah, lagi besar pengorbanan mereka. Mereka mencari rezeki untuk membesarkan kamu, memberi kamu makan, membelikan kamu pakaian dan memberikan yang terbaik untuk kamu berdua. Jadi sebagai seorang anak kamu berdua wajib menghormati ibu bapa kamu dan berbuat baik terhadapnya.” Jelas Tok Mat yang cuba memberikan kefahaman kepada kedua-dua cucunya itu.

“Jika kamu ingin mengaplikasikan pengorbanan dalam hidup kamu, kamu hendaklah mempunyai sikap terbuka, ikhlas dan yang paling penting adalah tidak bersikap pentingkan diri dan bangga diri. Istiqamah dalam amalan adalah merupakan kunci kejayaan yang terbesar dalam aplikasi pengorbanan buat diri kamu.” Tambah Tok Mat.

Rozmi tunduk seketika, dia sedar bahawa adiknya adalah amanah yang dititpkan dari kedua orang tuanya. Dia sepatutnya banyak memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada Safwan bukannya cuba mentertawakan dan memperlekehkan adiknya itu. Manakala Safwan pula yang mula merindui ibu bapanya, merasakan satu anugerah yang terindah jika dia dapat berbuat baik dan berbakti kepadanya.

“Insya-Allah, selepas ini Rozmi akan membimbing Safwan dan mengajar perkara yang baik. Rozmi dan adik akan berusaha berbuat baik kepada ibu dan ayah.”

“Jika kamu benar-benar faham dan dapat aplikasikan istilah pengorbanan dalam diri kamu, insya-Allah, Allah akan sentiasa tolong dan merahmati kamu.” Jelas Tok Mat sambil mengukir senyuman.

“Tok Mat, kita dah dapat tangkap lembu yang lari tadi. Sekarang ni semuanya sudah diikat dan dipegang dengan kuat, hanya tinggal disembelih lembu itu.” Kata seorang pemuda yang datang ke arah Tok Mat dengan berpakaian agak buruk sebagai persiapan menyembelih dan seterusnya melapah  binatang korban tersebut.

“Jom!” Sahut Safwan yang lebih bersemangat seolah-olah dia pula yang ingin menyembelih haiwan tersebut.

Tok Mat mencapai parangnya dan tersenyum melihat gelagat cucunya itu.    

TAMAT~

Yusre Zulhamize Bin Zainuddin
Biro Tarbiyyah PEMBINA UKM

Tuesday 17 May 2016

KUALITI GAMBAR SEBAGAI WARTA MENCAKNA UMMAH


UKM, 14 MEI – Keindahan Ciptaan Tuhan, begitulah tema bagi program Media Circle Slot Fotografi yang berlangsung di Bilik Seminar, Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM kelmarin. Program anjuran Biro Media PEMBINA UKM ini dihadiri seramai 12 orang peserta yang terdiri dari pelajar UKM dan juga seorang peserta dari UiTM Shah Alam.

Program yang diadakan ini mempunyai tiga slot yang mana slot pertama merupakan slot pengisian yang disampaikan oleh saudara Wafiq Azman selaku Presiden PEMBINA UKM. Dalam slot pengisian ini, beliau sangat menekankan kepada tema yang dibawa program ini iaitu Keindahan Ciptaan Tuhan.

 Beliau berkata, kemahiran dalam bidang fotografi ini merupakan satu medium yang penting bagi kita menghasilkan gambar yang menzahirkan keindahan alam ciptaan Tuhan. Jadi, disebabkan itu sangat penting teknik dan kemahiran dalam fotografi supaya melalui gambar tersebut maka akan timbulnya rasa kesyukuran dengan keindahan ciptaan Tuhan.

Slot yang kedua adalah slot fotografi yang disampaikan oleh saudara Najmuddin yang merupakan mantan Ketua Biro Media PEMBINA UKM sesi 2014/2015. Dalam slot ini, para peserta banyak didedahkan dengan segala kemahiran yang perlu  ada bagi menjadi seorang jurugambar yang terlatih.

 “Kalaulah jurugambar di Syria itu tidak pandai mengambil posisi gambar yang betul mana mungkin ada rasa simpati bagi orang yang melihatnya,” ujar saudara Najmuddin dalam slot fotografi berkenaan kepentingan posisi dan komposisi yang disampaikan.

Program ini kemudiannya disambung dengan slot praktikal di mana para peserta diberikan tugasan mengambil gambar-gambar yang memaparkan keindahan ciptaan Tuhan. Jelas dalam slot ini, para peserta kelihatan teruja menjalankan tugasan yang diberikan.

“Saya rasa ini adalah satu program yang sangat menarik di samping kita menambah ilmu pengetahuan dalam bidang fotografi, kita juga sedar bahawa sangat pentingnya gambar yang berkualiti itu sebagai medium menyampaikan maklumat.”, ujar  salah seorang peserta yang hadir iaitu saudari Nur Haazimah, pelajar dari jurusan undang-undang UKM.

Program berakhir dengan sesi ‘review’ dan kemudian sesi penyampaian cenderamata kepada pengisi.
Sesi penyampaian cenderamata kepada pengisi


Nordiana Mat Salleh
Wartawan PEMBINA UKM.

Monday 25 April 2016

SYAHADAH TERAKHIR TANGGUNGJAWAB KITA


Kajang, 23 April - “Tanggungjawab kita sebagai seorang muslim adalah untuk mengajar syahadah kepada orang yang hampir kepada kematian,”ujar Puan Asral Widad,40 sewaktu berucap kepada mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sewaktu lawatan mereka ke rumah jagaan warga tua Darul Insyirah.


Puan Asral Widad (kiri) bersama Sumayyah (kanan) sebagai wakil peserta program Kasih D'Insyirah menghulurkan sumbangan
   Lambakan warga tua muslim yang dihantar ke rumah jagaan warga tua non-muslim menyuntik semangatnya untuk menubuhkan rumah jagaan warga tua muslim yang bersih,sihat sistematik dan mampu berdikari bagi menjaga kebajikan warga tua muslim yang kian dipinggir semakin hari.

   Beliau berucap di dalam program Kasih D’Insyirah anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kebangsaan Malaysia yang berlangsung di Darul Insyirah 2, Sungai Ramal Dalam, Kajang yang dihadiri 17 peserta mahasiswa dari pelabagi fakulti.

   “Selain Darul Insyirah, kami juga menubuhkan program pendidikan seperti kelas hafazan dan tuisyen untuk anak yatim  di bawah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Umah (PACU),” kata Puan Asral Widad yang menjadi Pengerusi bagi kedua-dua agensi PACU dan Darul Insyirah.

   “Kami di PACU  menawarkan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan sumbangan dari segi idea, tenaga dan wang ringgit untuk sama-sama menjaga kebajikan masyarakat seperti golongan anak yatim dan warga tua,”tambahnya lagi.



Najmuddin M. Faudzir
Wartawan PEMBINA UKM


MAHASISWA BELAJAR MENYELAMI HATI WARGA EMAS


Kajang, 23 April-Sebuah program bakti kemasyarakatan bernama ‘Kasih D’Insyirah’ anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung di rumah kebajikan warga emas Darul Insyirah bertempat di Sungai Ramal Dalam, Kajang.

                Program ini bertujuan menggerakkan aktivisme mahasiswa untuk kembali berkhidmat kepada masyarakat warga emas secara khususnya selari dengan hasrat asal penubuhan UKM iaitu dari masyarakat kepada masyarakat.

“Program bakti ini sangat menepati hasrat saya yang ingin berdakwah kepada masyarakat pelbagai lapisan sesuai dengan jurusan saya dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan,” ujar Suhail Sukri, 22 sebagai salah seorang peserta program yang hadir.

                “Kami mengalu-alukan sebarang idea  bagi menggalakkan mahasiswa agar beraktivisme secara sihat disamping menambah nilai jati diri dalam hidup mahasiswa,” kata pengarah program Rais Borhan, 22 sewaktu ditemubual.

                “Kami berharap agar program ini dijadikan program jangka masa panjang dan berimpak tinggi bukan sahaja kepada Darul Insyirah malah kepada peserta jua,” tambahnya lagi.

                Program yang membabitkan 17 mahasiswa dari pelbagai fakulti termasuk Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Fakulti Sains dan Teknologi ini memberi impak positif kepada para peserta mengenai kesedaran sosial kebajikan warga tua di Malaysia terutama masyarakat islam.

Wartawan PEMBINA UKM,
Najmuddin M. Faudzir

poster promo ikhwah
picture hosting