PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Thursday 27 February 2014

Anugerah Dekan: Satu Tuntutan Bagi Mahasiswa Islam


BANGI, 26 Feb – “Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, jadi kita harus berusaha bersungguh-sungguh dan menjadi hebat dalam segenap aspek.”

Ulas Dr. Muhammad Faysal Bin Tajurudin di dalam Usrah Umum bertajuk ‘Kalau Aku Dekan’ yang berlangsung di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), UKM selepas solat maghrib berjemaah.

Beliau yang merupakan lulusan Sarjana Muda Perubatan di Mesir dan juga aktivis ISMA turut berkata, “Cara kita dalam membalas jasa Rasulullah selain mengamalkan sunnahnya, adalah dengan berjuang sehingga termasuk dalam golongan umat yang terbaik, serta menjadi contoh kepada masyarakat.”

“Rahsia paling penting dalam berjaya adalah hubungan kita dengan Allah.”

“Semakin kuat hubungan kita dengan Allah, semakin bertambah kekuatan untuk belajar dan kita perlu rasa, Allahlah yang memegang kejayaan, sebaliknya usaha hanyalah asbab sahaja kerana jika Dia tidak mengizinkan, kita tidak akan berjaya.”

“Barangsiapa menuju ke jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan jalannya ke syurga”, tambah beliau lagi.

Walaubagaimanapun, indikator kedekanan itu bukan hanya terletak kepada cemerlang belajar sahaja, malah seseorang itu harus cemerlang dari aspek rohani, jasmani, emosi dan akhlak.

Beliau turut berkata lagi, untuk cemerlang seseorang itu perlu bergaul dengan masyarakat atau lebih baik, menjadi pemimpin dalam satu-satu persatuan supaya kita mampu mempengaruhi masyarakat. Di saat itulah seseorang itu layak mendapat anugerah dekan.

Beliau juga sempat menyuntik semangat hadirin, supaya pemuda bangkit dari kegelapan dan lahirkan pemuda yang mempunyai ciri-ciri Islam yang soleh, berjiwa besar dan bercita-cita tinggi.


Wartawan PEMBINA UKM

Mahasiswa Perlu Sedar, COMANGO Bukan Isu Politik


BANGI, 21 Feb – “Hak Asasi Manusia (HAM) menurut Islam sangat jauh berbeza dengan Barat iaitu seperti yang dituntut COMANGO.”

Demikian kata aktivis PEMBINA UKM, Hanafi B. Muidnudin selaku panel ketiga dalam Forum ‘COMANGO Pengkhianat Negara’ yang berlangsung di Dataran Panggung Seni, UKM.

“Hak asasi yang dituntut oleh COMANGO adalah salah kerana ia sangat bertentangan dengan syarak Islam, di mana tuntutan-tuntutan yang mereka bawa ini memang sah menunjukkan kebebasan mereka dalam membuat rujukan tanpa panduan dan pegangan kepada agama”, tambah beliau lagi.

Saudara Hanafi turut berkata, tuntutan COMANGO yang bersifat liberal pada hakikatnya memberi mudarat yang sangat besar kepada negara Malaysia, menghancurkan jati diri pemuda dan pewaris bangsa.

Beliau berkata, pertubuhan-pertubuhan liberal seperti Sister in Islam (SIS), Institut Kajian Dasar (IKD) dan Islamic Renaissance Front (IRF) sedang berusaha keras mensasarkan ideologi liberal pada golongan mahasiswa. Contohnya, IRF yang menganjurkan Forum ‘Homosexual: Rights or Crime?’ di UIA seolah-olah hendak mempertikai hukum Tuhan yang sudah jelas jawapannya.

“Jadi, kita sebagai mahasiswa perlu sedar, isu COMANGO ini bukanlah isu politik yang kita nak bawa, tetapi, ianya adalah isu akidah. Mahasiswa perlu bangkit kerana masa depan negara bergantung kepada pemuda hari ini”, ujar beliau kepada hadirin.

Beliau menyeru semua belia dan mahasiswa mencakna isu COMANGO dan masalah-masalah umat di serata dunia. Beliau berkata jika belia dan mahasiswa hari ini masih tidak berubah, kemungkinan negara Malaysia akan mundur dalam masa 10 tahun akan datang.



Wartawan PEMBINA UKM

Wednesday 26 February 2014

TUNTUTAN COMANGO SEPERTI BUDAK KECIL


BANGI, 21 Feb –  ”Kalau kita baca satu persatu tuntutan COMANGO, mereka  seperti budak kecil yang suka mengadu. Mereka seolah-olah ‘mengada-ngada’ pada UN, menceritakan satu persatu apa yang telah berlaku dalam Malaysia.”

Demikian komentar oleh Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd. Hassan sewaktu membaca beberapa petikan dalam laporan penuh COMANGO ketika berlangsungnya Forum ‘COMANGO Pengkhianat Negara’ di Dataran Panggung Seni, UKM.

“Contohnya, dalam isu kebebasan agama, mereka mengadu bahawa pihak gereja tidak dibenarkan menggunakan Kalimah Allah dalam ‘Herald Weekly’, mereka mendakwa larangan ini mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama” tambah beliau lagi.

Ustaz Ibrahim berkata, tidak dinafikan sememangnya terdapat beberapa tuntutan COMANGO yang benar-benar memperjuangkan hak asasi manusia seperti gaji minimum pekerja dan sebagainya. Walaubagaimana pun, beliau mengingatkan supaya umat Islam perlu memahami tabiat musuh Islam yang tidak akan menyerang Islam secara terang-terangan, sebaliknya mereka akan menggunakan muslihat.

Di samping meletakkan tuntutan  hak asasi manusia yang benar, COMANGO juga mengambil kesempatan dengan meletakkan  tuntutan yang mengancam Islam seperti tuntutan kebebasan beragama yang bertujuan membenarkan orang Islam murtad sewenang-wenangnya.

Beliau turut menyentuh isu NGO yang terlibat dalam COMANGO ini, antaranya ialah Sisters In Islam (SIS). Perjuangan mereka dalam menghapuskan hukum syariah ini jelas sewaktu mereka membela kes seorang model yang beragama Islam, Sri Kartika Dewi. Walaupun Kartika menuntut supaya dirinya dihukum mengikut syariat, namun golongan SIS tegas menghalang tindakan JAKIM melaksanakan hukuman terhadap model terbabit.

“Sebenarnya, badan-badan NGO ini menerima dana yang berpuluh-puluh ribu USD untuk mempromosikan liberal kepada seluruh negara”

“Taktik mereka juga sangat halus, iaitu dengan menggunakan proksi dalaman untuk bawa agenda barat dalam kalangan masyarakat di Malaysia supaya orang kita tak nampak ianya adalah sebuah ancaman”, jelas beliau lagi tentang penyebaran fahaman liberal di Malaysia.

Ustaz Ibrahim juga menyeru kepada seluruh umat Islam terutamanya golongan belia dan mahasiswa supaya manfaatkan laman media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menyebarkan maklumat mengenai ancaman COMANGO terhadap Islam di Malaysia.




 Wartawan PEMBINA UKM

Umat Islam Perlu Bersatu Sebagaimana COMANGO Bersatu


BANGI, 21 Feb – “Jika kita ingin melihat masa depan negara tersebut, lihatlah pemuda-pemudi pada zaman tersebut”, ujar Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni , Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang merupakan ahli panel di dalam Forum ‘COMANGO Pengkhianat Negara’ yang berlangsung di Dataran Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ustaz Fauzi telah menerangkan kedudukan Islam yang kukuh di Malaysia dari sudut perlembagaan, institusi agama dan pembudayaan. Beliau menyifatkan tuntutan COMANGO benar-benar mengancam Negara.
Beliau juga menyeru agar masyarakat Islam terutamanya golongan belia supaya menghadkan masa melayari laman media sosial seperti Facebook dan Twitter, sebaliknya lebih peka dan serius dalam memahami strategi jahiliyah yang halus dan penuh muslihat seperti tuntutan COMANGO, yang merupakan kesinambungan tuntutan IFC sebelum ini.

Beliau berkata Saidina Umar r.a. pernah menyebut, “akan terungkai rungkaian Islam satu demi satu, apabila lahir dalam Islam satu generasi yang tidak faham jahiliyah”.

Ustaz Fauzi turut berkata belia sekarang lebih berminat dengan dua perkara, iaitu politik dan cinta, di mana perkara ini tidak terlalu berat untuk mereka fikirkan berbanding permasalahan ummah.

“Sedangkan politik itu adalah pengurusan untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan, akan tetapi, orang sekarang ini melihat politik sebagai sesuatu yang berpuak-puak dan lebih fokus kepada parti politik jika dibandingkan dengan apa yang diperjuangkan.”

“Umat Islam perlu bersatu sebagaimana COMANGO bersatu!”, saran Naib Presiden ISMA kepada hadirin yang hadir.

Forum ini dianjurkan bersama oleh Kelab Penyayang UKM, Rakan Muda IPT dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Bangi dalam Karnival Kembara Islam di UKM. Forum ini telah mendapat perhatian daripada mahasiswa dan mahasiswi UKM. Kira-kira 100 orang telah menghadiri forum ini  untuk mencakna isu COMANGO.


Wartawan PEMBINA UKM

Thursday 20 February 2014

Minda Liberal Perosak pemikiran Belia




Terkejut apabila seorang sahabat memberikan link artikel yang bertajuk ‘Liberalisme, Pluralisme anak muda semakin melebar’. Kemudian terpampang pula wajah anak muda yang diketengahkan iaitu Khalid Ismath dan Adam Adli. Apa yang bermain difikiran saya ketika itu, mereka ini adalah anak muda yang sangat berani. Berani melontarkan ideologi liberal yang merosakkan. Di sini tiada keraguan yang ingin saya katakan tentang Khalid Ismath yang terang-terangan mengaku dirinya sebagai pengikut ajaran sesat Syiah. Manakala Adam Adli yang menjadi anak muda sanjungan parti pembangkang Pakatan Rakyat yang sering mengungkapkan kata-kata yang berbaur hasutan.

Malaysia Gazzate telah menemuramah kedua anak muda ini tentang pandangan mereka terhadap Hak Asasi Manusia dan perlunya agama lain diberi kebebasan menyebarkan agama masing-masing. Apa jawapan mereka? Sila baca di link ini, http://malaysiagazette.com/nasional/liberalisme-pluralisme-anak-muda-semakin-melebar#ixzz2tq1T5dY0

Saya menulis bukanlah untuk mengulang kembali jawapan-jawapan yang dikatakan ‘minda terbuka’ oleh mereka akan tetapi tujuan saya adalah untuk membangkitkan suara anak muda Islam yang menolak ideologi dan fahaman liberal yang dicanang-canangkan oleh mereka berdua. Sungguh tidak adil sekiranya hanya golongan seperti mereka sahaja yang menyuarakan pendapat sebegitu. Walhal ramai yang sedia maklum, apa yang dibawa dan diperkenalkan oleh mereka hanyalah  sebuah ideologi kotor yang  jelas cuba mengaburi pemikiran cetek anak-anak muda masa kini.

Mengulas sedikit fahaman dan pendapat yang disuarakan Khalid Ismath iaitu mengapa harus dirisaukan masalah murtad jika meyakini Islam adalah agama yang benar. Biar saya meletakkan analogi seperti ini, mengapa kita mengangkat pakaian bila awan sudah mendung sedangkan kita tahu yang matahari akan muncul, Tuhan akan keluarkan kepanasan agar pakaian itu kering kembali. Apa yang boleh saya katakan di sini ialah, sikap percaya pada Islam itu sesuatu yang baik, tapi ini bukan bererti yang kita boleh menutup mata membiarkan masalah yang mengecam nasib Islam, memurtadkan penganutnya, dibiarkan begitu saja. Allah menyuruh hamba-Nya berusaha untuk menegakkan kalimah-Nya, mempertahankan agama-Nya. Bukan sekadar berdakwah tetapi apabila ummat dalam kemelut dilema untuk dimurtadkan kita hanya biarkan saja. Tiada usaha di situ. Ibarat kita membawa harta yang banyak tetapi beg yang kita bawa itu terkoyak. Dan kita hanya membiarkan saja kerana yakin pada takdir yang kita masih ada rezeki. Tidakkah itu kerja yang sia-sia? Menyampaikan dakwah tetapi tidak mempertahankan agama. Jika Khalid Ismath mendakwa orang yang cuba mempertahankan Islam daripada dimurtadkan dengan memerangi dakyah kristian sebagai takut pada bayang-bayang sendiri.

Seterusnya, beliau juga menyebut tentang hak kesamarataan di mana agama lain juga mempunyai hak untuk berdakwah, saya tidak mahu mengulas lanjut tentang hal ini. Tetapi izinkan saya meletakkan soalan ini untuk pembaca fikirkan. Apakah yang telah kita lakukan untuk mengekang masalah dakyah kristian yang memurtadkan ummat Islam dengan wang ringgit, penulisan dan pujukan? Adakah dengan bersangka baik dan teruskan dengan dakwah itu sahaja mencukupi? Apa yang akan kita jawab pada Tuhan satu hari nanti bila ditanya tentang usaha kita mengekang masalah ini? Silakan jawab wahai pembaca budiman. Adakah berbaloi membiarkan begitu sahaja hanya dengan pegangan yang semua manusia ada hak yang sama rata untuk menyebarkan agama masing-masing, seperti perjuangan hak kesamarataan yang dilaung-laungkan oleh dua anak muda ini?

Sama-sama kita fikirkan.

Sebagai belia yang berilmu dan inteletual, kita hendaklah mendalami dan memahami setiap inci percakapan yang diutarakan oleh golongan liberal seperti ini. Benar, kita harus berfikiran terbuka dan mempelbagaikan cara dalam berdakwah akan tetapi bukan dengan cara memutar-belitkan fakta dan memanipulasikan kisah-kisah Rasulullah untuk hujahan umum.

Islam itu adalah agama yang benar dan tiada agama yang diterima di sisi Allah melainkan Islam seperti mana yang telah dirakamkan di dalam al-Quran, surah ali-Imran ayat 19, firman Allah SWT, yang bermaksud, “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”



Sabrina Zaifulizan & Nurul Hajjar Atan
Aktivis PEMBINA Bangi

















poster promo ikhwah
picture hosting