PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Wednesday 30 October 2013

Puisi: Tanpa Dia?


Duhai hati,
alangkah sunyi tanpa Dia,
alangkah punah tiada Dia,
alangkah binasa juga tanpa Dia.

Duhai hati,
benarkah ada bahagia,
benarkah ada gembira,
tanpa Dia yang mencipta?

Duhai hati,
bila senang, kau lupa Dia,
bila suka, kau tinggalkan Dia,
bila duka, kau cari Dia,
adakah itu sifat yang sebenarnya?

Tarbiyah itu,
suatu entiti,
bukan fantasi,
tapi realiti.

Tarbiyah itu,
perlu dicari,
perlu diamati,
dan perlu dihargai.

Dakwah itu,
sambungan tugas para nabi,
memperjuang agama yang hakiki,
Onak dan liku tiada henti,
balasan syurga sedia menanti.

Wahai ikhwah dan akhawat,
jika kau bergelar pendakwah,
gegarkan hujah,
tegakkan wasilah,
dan jadilah pemimpin ummah.


Nurul Hajjar Atan
Aktivis PEMBINA


Lirik: Tetap Mengharap padaMu

(Cover: Nomad- Tetap Menantimu)



Aku menyedari akan dosaku
Tapi aku sering mengulanginya
Terasa kesal atas kesalahanku
Tapi aku yakin akan keampunanMu

Engkau di sana kan selalu menunggu
Yang selalu ada di setiap waktuku
Sering mendengar rintihanku
Untuk setiap masa dan waktu

Selangkahku cuba mendekatiMu
Semakin dekat Kau menghampiri
Dari setiap sudut zat kewujudanMu
Kau selalu ada untuk hambaMu

Tak akan pernah hilang rasaku
Cinta yang membawa dalam hatiku
Bagai mata yang tak terpejam
Aku tetap mengharapkanMu


Engkau di sana kan selalu menunggu
Yang selalu ada di setiap waktuku
Sering mendengar rintihanku
Untuk setiap masa...


Tak akan pernah hilang rasaku
Cinta yang membawa dalam hatiku
Bagai mata yang tak terpejam
Aku tetap mengharapkanMu

Aku tetap MengharapkanMu


Aku kan tetap MengharapkanMu...


Lagu original Nomad: Tetap Menantimu


Nurul Hajjar Atan
Aktivis PEMBINA





Tuesday 29 October 2013

Sakit Penghapus Dosa

Kadang-kadang rasa ingin putus asa untuk berusaha mengubati penyakit yang menimpa diri. Bahkan timbul tanda tanya mengapa diri ini diuji sedemikian. Pelbagai cara dan ikhtiar telah dilakukan, baik dari segi rawatan moden atau rawatan kampung. Terbit rasa kasihan kepada orang-orang yang telah banyak berkorban serta ambil berat terhadap diri.

Namun, pernahkah kita sedar bahawa sakit itu boleh menghapuskan dosa-dosa kita. Mungkin dengan sakit jugalah Allah ingin menegur kita agar tidak terus terlalai dan terleka dengan dunia semata. Mungkin kita lupa bahawa Allah telah berfirman :

“Dan apa jua bencana, kesakitan yang menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri ( dari perbuatan salah dan dosa) dan ( dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu”

( Surah Asy-Syura :30)

Bukankah sakit itu juga hasil daripada perbuatan kita sendiri? Sama ada kita sedar ataupun tidak, mungkin kita terlupa untuk meminta kepada Pencipta kita. Lupa untuk berdoa dan meminta kesembuhan dariNya.

"Apabila seorang hamba mukmin sakit, maka Allah mengutus 4 malaikat untuk datang padanya."




Allah memerintahkan :

1. Malaikat pertama untuk mengambil kekuatannya sehingga menjadi lemah.
2. Malaikat kedua untuk mengambil rasa lazatnya makanan dari mulutnya
3. Malaikat ketiga untuk mengambil cahaya terang di wajahnya sehingga berubahlah     wajah si sakit menjadi pucat.
4. Malaikat keempat untuk mengambil dosanya

Tatkala Allah akan menyembuhkan hamba mukmin itu, Allah memerintahkan kepada malaikat pertama, kedua dan ketiga untuk mengembalikan kekuatannya, rasa lazat, dan cahaya di wajah hambanya. Namun untuk malaikat keempat, Allah tidak memerintahkan untuk mengembalikan dosa-dosanya kepada hamba mukmin. Betapa Allah sangat menyayangi hamba-hambanya.


Usah rasa kesal dan berputus asa dengan sakit yang menimpa. Adakalanya dengan sakit,kita akan lebih mengingati Allah dan melakukan kebaikan. Berbaik sangka dengan Allah adalah yang sebaiknya. Tanamkan azam untuk sentiasa meminta pertolongan dariNya disamping berusaha. 



Solehah Azaman
Aktivis PEMBINA

Friday 25 October 2013

PERUTUSAN TAHNIAH BUAT MPP UKM 2013/2014


  • Beribu tahniah dan sekalung takziah PEMBINA UKM ucapkan kepada setiap calon MPP UKM yang menang bertanding pada pilihanraya kampus sesi 2013/2014 kali ini. Syabas kepada setiap pemimpin muda. Kepada calon yang tewas bukan bermakna tewas seluruhnya. Kalian juga sebenarnya adalah pemimpin kerana sudah berani ke hadapan untuk sanggup memikul tugas sebagai pemimpin.
  • PEMBINA UKM mengingatkan kepada setiap ahli MPP UKM yang dipilih oleh mahasiswa/i UKM agar berkhidmat dengan penuh amanah, adil, dan rasa penuh bertanggungjawab. Setiap MPP perlu untuk lebih terkehadapan dalam usaha untuk melonjakkan nama UKM di persada antarabangsa di samping tidak lupa untuk merealisasikan setiap manifesto yang telah dilafazkan.
  • Kesemua 27 orang ahli MPP UKM kali ini perlu memulakan satu sejarah baru sebagai satu kumpulan pimpinan mahasiswa yang kesemua ahli MPP dapat bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira wakil dari calon GMUKM atau Aspirasi Mahasiswa. MPP UKM perlu membuktikan bahawa walau berbeza kumpulan, setiap MPP boleh bekerjasama dalam perkara yang boleh menyumbang kepada nama baik UKM. Tunjukkan pimpinan anak muda sekarang membawa arus perubahan baru yang lebih baik untuk politik akan datang. Ini juga adalah bertepatan dengan suruhan Islam yang menyuruh setiap umat Islam untuk sama-sama menolong kearah kebaikan dan tidak menolong kearah kejahatan.
  • Di samping membawa isu kebajikan mahasiswa, MPP UKM juga sepatutnya cakna isu semasa kerana isu serangan pemikiran pada masa kini banyak mensasarkan golongan mahasiswa sebagai target utama penyebaran ideologi sesat. Antara ideologi sesat yang dimaksudkan ialah fahaman liberalisme, hendonisme, pluralisme, sosialisme, syiah dan LGBT.
  • Andai MPP tidak mampu mengetengahkan isu serangan pemikiran ini, maka sebenarnya MPP telah gagal untuk memanfaatkan sepenuhnya kedudukan mereka untuk melindungi kebajikan warga kampus. Malah MPP juga gagal untuk membuat suatu perubahan yang baru yang sejak kebelakangan ini hanya mengikut skrip dan modul pentadbiran yang sama dengan sesi-sesi yang lepas. Kebajikan bukanlah sekadar soal material seperti masalah internet, masalah ketiadaan air, yuran kolej mahal dan sebagainya tetapi juga meliputi isu keintelektualan dan prinsip agama Islam yang syumul bagi setiap warga. PEMBINA UKM  berharap akan ada pelan tindakan untuk memberi pencerahan dari pihak MPP UKM untuk menyedarkan masyarakat kampus tentang agenda barat yang telah sekian lama rancak untuk menghancurkan Islam.
  •     PEMBINA UKM mengucapkan selamat bertugas kepada semua MPP UKM sesi 2013/2014. Laksanakan mandat yang diserahkan dengan sebaiknya. Terbitkan dari dalam diri perasaan memimpin masyarakat kampus sebagai satu minat yang mendalam bukan merasakan ia sebagai satu tugasan yang membebankan. Berkhidmatlah dengan penuh keadilan kepada semua warga kampus.



“Meneraju Arus Mahasiswa”



Amirul Hakimi
Presiden PEMBINA UKM





Tuesday 22 October 2013

Pilihanraya Kampus : Undi Atau Tidak Undi?




Esok (23/10/2013) akan bermulanya pengundian calon sempena Pilihanraya Kampus di UKM. “Acara” ini menjadi tradisi hampir setiap tahun bagi memilih pucuk pimpinan PMUKM dari kalangan mahasiswa/i (izinkan saya menggunakan istilah PMUKM selain daripada MPPUKM kerana saya lebih selesa dengan PMUKM).

Mahasiswa/i yang bertanding majoritinya mewakili dua entiti yang berpengaruh di UKM, iaitu Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dan Aspirasi UKM serta calon bebas (bebas dari entiti GMUKM dan Aspirasi UKM).

Saya menulis bukan untuk mengulas mengenai hala tuju politik kampus UKM, mengenai Aspirasi mahupun GMUKM, kerana sudah ramai tokoh-tokoh yang mengulas mengenai isu ini, termasuklah dua orang sahabat saya, Saudara Khalid B. Jimat (Pengasas Kelab Sahabat Aqsa UKM) dan Saudara Abdillah (Pengasas Kelab Rakan Siswa IZISH). Tetapi saya ingin memberi sedikit komentar saya mengenai kepentingan turun mengundi untuk mahasiswa/i di UKM.

Kenapa Perlu Mengundi?

Sepanjang pengalaman saya menuntut di UKM, Alhamdulillah saya tidak pernah terlepas untuk mengikuti perkembangan pilihanraya kampus dan tidak terlepas untuk mengundi. Kenapa saya bersusah payah untuk turun mengundi?

Sebenarnya tidak susah pun untuk turun mengundi, pergi ke lobi kolej masing-masing atau di pusanika, kemudian ikut prosedur yang di suruh, buang undi, dan boleh pergi ke mana-mana yang anda suka.

Tetapi kenapa perlu mengundi?

Saya tidak mahu membahaskannya dari segi hukum fiqh atau apa jua jenis hukum. Saya mahu berkongsi dari aspek mahasiswa itu sendiri berdasarkan pengalaman saya sendiri. Turun mengundi adalah salah satu aspek pembelajaran luar kuliah yang mana ia sebagai salah satu simulasi kepada pengundian Pilihanraya Umum Malaysia kelak.

Jika di kampus kita sudah tidak mahu mengambil tahu hal ehwal kampus atau paling kurang turun mengundi, bagaimana pula dengan perkara yang lebih besar?

Undi Siapa? Aspirasi? GMUKM? Atau Bebas?

Ini antara persoalan yang bermain di minda saya semasa berhadapan kertas undi satu ketika dulu.

Saya keliru, nak undi siapa?

Sebab itu diadakah minggu berkempen agar calon mahasiswa/i yang bertanding dapat mengenalkan diri masing-masing dan apa yang cuba mereka bawa.  Pada pandangan saya, pilih CALON yang kita yakin mampu membawa kebaikan bersama untuk mahasiswa dan universiti. Bukan sekadar retorika tetapi praktikal.

Lihat manifesto yang cuba dibawa oleh calon-calon, mana yang dirasakan relevan dan praktikal. Selain itu, lihat juga kemampuan calon. Saya menyeru agar kita keluar dari kepompong “memilih berdasarkan parti”.

Saya tidak mahu untuk melihat PMUKM seolah “dikuasai” oleh satu pihak. Tetapi biarlah ada wakil dari kedua-dua belah pihak seperti sebelum ini, dan menjadi lebih baik, iaitu tidak wujud blok antara kedua-dua pihak untuk bekerjasama.

Ayuh kita doakan moga setiap calon yang menang esok dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada mahasiswa/i dan universiti. Moga UKM terus mara kehadapan dalam mengilham harapan mencipta masa depan.



Ahmad Shukery Azizan

Aktivis PEMBINA

Cakna ancaman COMANGO terhadap kita!




Isu COMANGO. Saya pun baru saja ikuti perkembangannya sejak beberapa minggu lalu. Apabila membaca sebanyak mungkin fakta dan tuntutan yang dikemukakan, darah saya menyirap sehingga ke hulu kepala. Tangan saya sudah “menggatal” untuk menaip  mengenai isu ini, tetapi saya tangguhkan dulu untuk melihat respon dan “ngauman” suara Gerakan Mahasiswa yang menentang isu ini.

Hari demi hari, minggu demi minggu saya terus menanti. Dan lusa (24/10/13) akan berlangsungnya proses semakan berpenggal (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva. Tetapi masih tiada lagi sebarang tanda-tanda suara mereka naik ke pentas dan mengaum menentang hal ini. Samada dari pihak Pro-Mahasiswa ataupun Aspirasi.

Saya sebagai mahasiswa sungguh kecewa.

Yang terus menerus respon isu ini adalah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), PEMBELA, MACMA, JAKIM, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), YADIM, Yayasan Nassar dan beberapa lagi NGO yang namanya kurang dikenali.

Persoalan yang bermain diminda saya, di mana suara Gerakan Mahasiswa? Sudah serak? Ataupun mungkin sekarang sedang berlangsung pilihanraya kampus (PRK), maka isu ini seolah “tidak relevan” untuk diperjuangkan?

Isu COMANGO Untuk Dummies.

COMANGO adalah singkatan kepada Coalition of Malaysia NGO’s in the UPR Process atau bahasa Malaysianya Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia adalah sebuah gerakan yang menuntut beberapa tuntutan semasa berlangsungnya proses semakan berpenggal (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.

COMANGO di anggotai sekitar 54 pertubuhan-pertubuhan yang menganggap diri mereka sebagai pejuang Hak Asasi Manusia iaitu seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), SIS Forum (Sister In Islam) dan Merdeka Seksualiti.

Apa Itu UPR?

Situasi hak asasi manusia di negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) diteliti masyarakat antarabangsa melalui mekanisme unik Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) yang memantau dan menilai rekod hak asasi manusia dan menangani pencabulan hak asasi manusia.

Mekanisme ini dikenali sebagai “Universal Periodic Review” atau UPR (Semakan Berkala Sejagat) yang harus ditempuhi setiap 192 negara anggota PBB setiap empat tahun.

Proses UPR ini memberi peluang kepada semua negara anggota untuk mengisytiharkan tindakan-tindakan yang telah diambil untuk memperbaiki keadaan hak asasi manusia dan untuk mengatasi cabaran dalam menikmati hak asasi manusia. Empat puluh lapan negara dinilai setiap tahun dalam tiga sesi yang berbeza.

Ulasan yang dijalankan oleh kumpulan kerja UPR yang terdiri daripada 47 ahli HRC adalah berdasarkan laporan nasional yang disediakan oleh kerajaan yang sedang menjalani semakan, maklumat yang terkandung di dalam laporan hak asasi manusia oleh pakar dan kumpulan bebas (seperti prosedur khas, Badan-badan perjanjian hak asasi manusia dan lain-lain entiti PBB) dan maklumat daripada pihak berkepentingan yang lain, termasuk institusi hak asasi manusia kebangsaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

UPR akan menilai sejauh mana negara yang disemak menghormati hak kewajipan manusia yang ditetapkan dalam Piagam PBB, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia, instrumen hak asasi manusia yang ditandatangani sesebuah kerajaan, janji dan komitmen sukarela yang dibuat kerajaan (dasar hak asasi manusia nasional dan/atau program yang dilaksanakan), dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang terpakai.

Malaysia menerima 62 cadangan dalam laporan hasil, yang termasuk, antara lain, ratifikasi triti antarabangsa, kajian semula undang-undang yang sedia ada dan sistem kehakiman, dasar-dasar negara dan strategi hak asasi manusia, hak ekonomi, sosial dan budaya, hak asasi manusia golongan mudah terjejas, pekerja asing dan pemerdagangan orang.

Malaysia menolak 22 cadangan dan tidak menyatakan komen pada 19 cadangan. Respons kepada 19 perkara yang tidak diberi komen telah disediakan pada Jun 2009, bersempena dengan pembentangan laporan hasil UPR mengenai Malaysia, di Sesi Biasa Majlis Hak Asasi Manusia ke-11

Apa Tuntutan COMANGO Dalam UPR?

Malaysia semakin menghampiri sesi UPR pusingan kedua pada 24 Oktober 2013 di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva. Terdapat beberapa laporan yang dihantar secara berasingan kepada majlis tersebut oleh badan-badan seperti Becket Fund for Religious Liberty, Human Rights Watch, Amnesty International, Majlis Peguam, International Commission of Jurists dan lain-lain NGO hak asasi manusia, tetapi isi kandungan laporan COMANGO (iaitu gabungan NGO-NGO Malaysia dalam proses UPR) membentuk sebahagian besar tuntutan yang terkandung di dalam dokumen-dokumen yang menjadi asas rujukan rekod hak asasi Malaysia pada pusingan kali ini.

Tetapi sangat dikesali bahawa COMANGO mengambil kesempatan untuk memanipulasi sesi semakan ini dengan memberikan persepsi yang salah tentang Malaysia, khususnya berkaitan kedudukan sebenar pencapaian hak asasi manusia (HAM).

COMANGO juga mengemukakan beberapa tuntutan berbahaya yang ternyata bertentangan dengan realiti budaya dan sejarah masyarakat Malaysia, serta pada hakikatnya menzahirkan percubaan mereka untuk mengikis kedudukan istimewa Islam sebagai agama negara seperti yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Di antara tuntutan-tuntutan berbahaya di dalam laporan tersebut adalah:

i. Perenggan 1: Malaysia dituntut untuk menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Contoh unsur berbahaya yang terkandung dalam ICCPR terdapat pada Perkara 18 iaitu berhubung hak kebebasan beragama. Lihat komentar berikut: “The Committee observes that the freedom to “have or to adopt” a religion or belief necessarily entails the freedom to choose a religion or belief, including the right to replace one’s current religion or belief with another or to adopt atheistic views, as well as the right to retain one’s religion or belief…”. Implikasi penerimaan ICCPR ini bakal mengizinkan pemurtadan berlaku secara berleluasa.

ii. Perenggan 6.8 berkenaan tuntutan untuk Malaysia menandatangani dan memeterai International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) yang didakwa “menyediakan rangka kerja undang-undang untuk mengadaptasi obligasi antarabangsa ke dalam undang-undang domestik”.

Pematuhan terhadap ICERD ini hanya akan menyebabkan Malaysia mengikut telunjuk dan acuan sekular Barat yang memaksakan penafsiran istilah racism atau perkauman ke atas sesuatu negara berdaulat. Hal ini mengenepikan tindakan-tindakan domestik yang pada hakikatnya mengambil kira realiti dan sejarah serta aspek keagamaan dan sosio-budaya tempatan. Justeru tidak sepatutnya diberikan label negatif dan bersifat stereotaip khususnya oleh media yang berniat jahat terhadap sesebuah negara.

iii. Malaysia ditekan untuk mengiktiraf hak-hak berlandaskan SOGI – Sexual Orientation & Gender Identity iaitu hak-hak LGBTIQ (Lesbian, Bisexual, Gays, Transgender, inter-sexed & queer-persons). Dakwaan-dakwaan kononnya golongan ini dinafikan hak-hak mereka ditimbulkan pada perenggan 6.1.1 dan 6.1.2 laporan tersebut. Terdapat juga tekanan-tekanan untuk menghapuskan seksyen 377A Kanun Kesiksaan berhubung jenayah liwat.

iv. Malaysia juga dipaksa tunduk pada kandungan di dalam Prinsip-prinsip Yogjakarta 2006 yang memberikan kebebasan mutlak kepada mereka yang mempraktikkan amalan seks songsang. Sekiranya hak-hak LGBT ini diizinkan, maka langkah pertama yang mesti dilakukan Kerajaan Malaysia ialah menghapuskan undang-undang berhubung kesalahan jenayah liwat.

Ini adalah langkah yang membuka ruang untuk pengenalan undang-undang perkahwinan sesama jenis yang setakat ini telah dibenarkan di 14 buah negara seluruh dunia, dan negara jiran Thailand sedang menimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang yang sama.

v. Perenggan 6.2 mendakwa bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak-hak istimewa kaum Melayu adalah bersifat perkauman dan diistilahkan sebagai ‘alat politik’. Ini bersalahan dengan kontrak sosial dan juga ciri-ciri utama yang membentuk Perlembagaan Persekutuan.

vi. Perenggan 9 mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, dan khususnya perenggan 9.5 mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa ”mengganggu hak peribadi.”

vii. Perenggan 10 mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama di Malaysia. Di antaranya termasuk kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang sudah diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah tertinggi di Malaysia. Laporan tersebut juga mempersoalkan larangan terhadap penganut ajaran syiah menyebarkan fahaman mereka dalam kalangan orang Islam. Selain itu, hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur UMUR juga dijadikan isu hak asasi manusia.

Saya ringkaskan secara mudah tuntutan yang memberi ancaman kepada kedaulatan perlembagaan Malaysia malah lebih dari itu iaitu memberi ancaman kepada Islam di Malaysia.

1. Menuntut untuk kebebasan jenayah murtad.
2. Memaksa tafsiran “racism” mengikut kerangka liberal-demokratik Barat.
3. Memaksakan pengiktirafan terhadap LGBT.
4. Menghapuskan seksyen 377A Kanun Kesiksaan berhubung jenayah liwat.
5. Malaysia dipaksa tunduk untuk mengiktiraf kebebasan mutlak yang mana memberi keizinan untuk perkahwinan sejenis dan menghapuskan seksyen kesalahan liwat.
6. Mendesak untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu.
7. Mendesak untuk pemansuhan atau pemindaan terhadap enakmen-enakmen kesalahan jenayah Syariah.
8. Mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap kebebasan beragama di Malaysia.

Apa Kita Boleh Buat Untuk Menentang?

Isu tuntutan COMANGO ramai tidak ambil peduli, malah tidak tahu pun apa tuntutan COMANGO.

Ahli politik dan sebahagian aktivis Mahasiswa pun kebanyakkannya diam membisu, seolah isu ini isu picisan. Mungkin ada yang diam sebab tidak pernah tahu pun kewujudan tuntutan ini.

Sekarang sudah jelas mengapa tuntutan COMANGO ini berbahaya. Kalau ia dirasakan sekadar “biasa-biasa” sahaja, atau menganggap itu hak mereka, maka ada sesuatu masalah pada diri sebagai seorang Muslim dan Melayu.

Apa yang kita boleh buat ketika dan saat ini hanyalah berdoa kepada delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) yang diketuai oleh Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Azril Mohd Amin akan berada di Geneva sejak bermula proses semakan 24 Oktober sehingga ia tamat pada bulan November.

Kita tidak mampu untuk menyertai delegasi tersebut, tetapi sekurang-kurangnya kita cakna dan menunjukkan solidariti kita kepada delegasi ini serta mengirimkan doa agar mereka menang dengan hujah mereka di sana.

Saya mewakili PEMBINA khususnya PEMBINA UKM mengutuk dan menentang sekeras-kerasnya tuntutan COMANGO ini.

Moga umat Islam tidak menjadi mangsa “korban” oleh pihak tidak bertanggungjawab..

Moga Allah Redha

Ahmad Shukery Azizan
Aktivis PEMBINA cawangan UKM.

poster promo ikhwah
picture hosting