PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Friday 30 March 2012

Apa anda faham dengan takwa..??

Sekadar Gambar Hiasan - Di dunia, kita begitu berhati-hati supaya tidak ditipu,tapi adakah kita berhati-hati supaya tidak tertipu dengan muslihat syaitan di Akhirat?

Mungkin sejak dari kecil kita pernah mendengar perkataan takwa, malah dalam khutbah jumaat setiap minggu yang kita hadiri, perkara pertama yang ditekankan oleh khatib adalah bertakwa (kerana itu salah satu syarat sah solat jumaat). Jika ditanya saya, saya akan menyatakan sejak di bangku sekolah lagi sudah mendengar takwa, cuma masalahnya TIDAK TAHU apa itu takwa. Sejak melangkah ke alam universiti barulah saya mengetahui dan memahami apa itu takwa setelah di pilih Allah untuk melalui beberapa proses tarbiyyah.

Maka, apa itu takwa?

Sebelum ini, mari saya bawa anda semua ke sebuah kisah para sahabat r.ajamain yang masyur yang mana satu hari, Umar r.anhu bertanya kepada Ubayy b. Kaab r.anhu,

Apakah yang kamu faham tentang takwa?”
Ubayy berkata, “Wahai Umar, pernahkah engkau berjalan di kawasan yang dipenuhi duri?”
Umar menjawab , “Ya, aku pernah.”
Kemudian Ubayy bertanya semula, “apakah yang kamu lakukan?”
Umar pun berkata, “Aku akan selak sedikit kainku dan akan berjalan dengan cukup berhati-hati untuk mengelakkan terkena duri-duri itu.”
Kemudian Ubayy memberitahu, “Ya, itulah takwa…”

Ya, itulah takwa.

Ketika di bangku sekolah, kita sering diberitakan oleh para asatizah yang mendidik kita bahawa kita wajib takut kepada Allah melebihi segala-galanya. Dengan erti kata lain, inilah takwa. Namun, Syeikh Yawar Baig menyatakan ia tidak berapa adil untuk seorang hamba takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya.

Dimudahkan seperti ini, ibaratnya seperti kita takut pada seekor ular, sudah pasti kita tidak mahu berjumpa dengan ular ketika di perjalanan atau di rumah. Atau contoh lain, jika kita takut pada hantu, sudah pasti kita tidak mahu berjumpa dengan hantu. Tengok cerita hantu barangkali sudah takut.mMaka, tidak mungkin sama sekali seorang manusia atau hamba tidak mahu bertemu dengan Tuhannya? Oleh itu, maksud yang paling tepat untuk takwa adalah TAKUT untuk MENDERHAKAINYA.

Begitu pentingnya takwa ini sehingga banyak kali di sebut oleh Allah supaya suruh bertakwa, sudah pasti tinggi nilaian takwa ini.

Kita sudah sedia maklum mengenai khutbah terakhir baginda Rasulullah s.a.w. , baginda ada bersabda yang bermaksud:

“Kamu semua adlah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh..”

Subhanallah!
Walau sehebat mana seorang manusia itu,
walau sekaya mana seorang manusia itu,
walau segagah mana manusia itu,
walau semiskin mana manusia itu,
walau selemah mana manusia itu,
perbezaan antara mereka hanyalah pada 2 perkara, iaitu TAKWA dan AMAL SOLEH.

Kerana jika seorang manusia itu kaya, mungkin dia akan bongkak atau angkuh dengan kekayaan tersebut.
Jika seseorang itu gagah, kemungkinan dia akan sombong dengan kegagahan tersebut. Jika seseorang itu miskin, kemungkinan dia akan kufur atau menyalahkan takdir akan kemiskinan tersebut.  Jika dia seorang yang lemah, kemungkinan dia akan menyalahkan orang lain atau mencari alasan dengan kelemahan tersebut.

Namun jika dia seorang yang bertakwa dan beramal soleh? Tiada istilah angkuh, atau sombong, mahupun menyalahkan takdir untuk di ungkapkan oleh orang yang bertakwa ini.

Hebat bukan?

Dalam surah al Baqarah ayat 1-5, Allah sudah menjelaskan kepada kita mengenai siapa orang yang bertakwa ini dan apa ganjarannya.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah yang bermaksud:

“Alif Laam Mim”. (1)
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa” (2)
“(Iaitu) bagi mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka”.(3)
“dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.” (4)
“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.” (5)

Maka tinggal lagi bagaimana pula untuk kita meraih takwa ini?

Allah telah memberi tahu mengenai siapa orang yang bertakwa melalui banyak firmannya. Antaranya surah ali Imran ayat 133 sehingga 135.
Firman Allah yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa (133)”
“(iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (134)
“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) megingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tida meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.” (135)

Lihat, daripada ayat ini kita dapat rungkaikan bahawa ciri-ciri orang bertakwa itu adalah :
1) Orang yang berinfak(bersedekah) di waktu lapang (kaya) atau sempit (miskin).
2) Orang-orang yang menahan amarah (sabar)
3) Orang-orang yang memaafkan orang lain.
4) Orang yang suka berbuat kebaikan.
5) Orang-orang yang apabila buat kesalahan/kejahatan, maka segera bertaubat.

Subhanallah, ini baru beberapa potong ayat, belum lagi jika kita mencari ciri-ciri orang bertakwa dalam al Quran ini.

Dan salah satu cara lagi untuk meraih takwa adalah dengan menolak atau menghindari kejahatan dan kemaksiatan dengan erti kata lain, mencegah kemungkaran.

Untuk menyatakan ingin mencegah kemungkaran, memang suatu perkara yang mudah, tetapi sejauh mana pengaplikasiannya dalam reality masyarakat hari ini?

Contohnya, sebagai mahasiswa/i, kita melihat seorang sahabat kita sedang berdua-duaan dengan kekasihnya di tempat yang sunyi ataupun membonceng kekasihnya dengan motosikal.

Apa yang anda akan lakukan ketika itu?

Jawapan ada pada anda semua. Tepuk dada tanya iman. Jika anda pilih untuk mencegahnya, yakinlah bahawa anda akan merasai suatu nikmat yang anda tidak dapat gambarkan dengan projector mahupun Microsoft word.

Terakhir sekali, syaitan ni lebih takut kepada orang yang berani menolak maksiat dan kemungkaran berbanding orang yang tak terlibat dengan maksiat dan kemungkaran. 
Syaitan akan sentiasa memasang strategi untuk manusia agar tidak berkesempatan berfikir untuk ummah dan berfikir untuk mencegah kemungkaran juga maksiat.


Penulis : Ahmad Shukery Azizan (UKM)

BERSEDERHANALAH, USAH BERMEWAH..!

Hadith akhir zaman – BAHAYA KEMEWAHAN


Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".

Hadith riwayat Tarmizi

Hadith ini menerangkan bahawa umat Nabi Muhammad s.a.w. pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan waktu dalam kehidupan. Sebagai contoh dalam hadis di atas bahawa pakaian kita silih berganti antara pagi dan petang, makanan yang tidak putus-putus iaitu selepas diangkat satu hidangan akan datang hidangan yang lain pula dan rumah-rumah yang tersergam indah dengan bermacam-macam hiasan yang cantik diibaratkan cantiknya kelambu kaabah. 

Mungkin kita akan berkata seperti sahabat baginda pada waktu itu iaitu “tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini” seterusnya mengatakan bahawa mereka akan lebih menumpukan kepada ibadah sahaja dan tidak perlu mencari rezeki lagi. Tetapi Rasulullah s.a.w. menyangkal kerana baginda tahu bahawa keadaan yang seperti dikatakan oleh mereka tidak akan terjadi, justeru keadaan mereka pada hari yang mereka lalui sekarang adalah lebih baik dari hari yang mereka jangkakan itu.

Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa keadaan yang serba kekurangan adalah lebih baik untuk kita untuk istiqamah dalam beribadah kerana kekurangan lebih memungkinkan kita untuk beribadah dan memgingati Allah dengan lebih banyak tanpa lalai dari Allah. Lazimnya kemewahan hidup banyak menghalang kita dari tunduk kepada Allah dan beribadat kepada Allah seperti yang berlaku zaman ini. Hal ini disebabkan manusia sering leka dan sibuk mengejar kekayaan dunia tanpa pernah merasa cukup. 

Malah kadangkala apa yang kita miliki melebihi dari keperluan berbanding dengan kehidupan ketika zaman sahabat, namun ibadat kita jauh ketinggalan dan kurang daripada mereka. Seharusnya kita mencari harta dunia pada batas-batas keperluan. Harta yang berlebihan mestilah digunakan untuk membantu orang lain yang kurang bernasib baik, menderma dan bersedekah kerana setiap harta yang kita miliki mengandungi harta orang lain. 

Oleh sebab itu kita diwajibkan membayar zakat untuk membersihkan harta seterusnya sebagai saham di akhirat kelak. Sesungguhnya mencari dunia itu perlu untuk akhirat. Carilah bekalan untuk akhirat, maka allah akan mencukupkan dunia. 

Kumpulan hadis oleh Abu Ali Al-Banjari




Penulis: Siti Norainie Bt Pitri, Pelajar Tahun 2, Jurusan Sains Bahan (UKM), Ahli PEMBINA UKM

Wednesday 28 March 2012

Syahadah Tak Serupa Bikin



Kisah ini tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati.

Budin adalah seorang mahasiswa Muslim yang berusia dalam lingkungan dalam 20-an yang melanjutkan pengajian ijazah di sebuah universiti tempatan. Keislamannya bukanlah semata-mata kerana agama di dalam kad pengenalannya tertera “Islam” tetapi kerana dia mengaku akan keEsaan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W itu adalah pesuruh Allah melalui kalimah syahadah.

Jika ditanya apa itu kalimah syahadah sudah pasti dia akan melenting dengan berkata:

Common la bro! Itu soalan tahap budak tadika lah…budak tadika pun boleh jawab…apa susah sangat, simple je kot…Asyhadu an lailaha illaAllah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasullullah”.

Begitulah…begitu mudah jawapan dari mulutnya.

Sepanjang pengajian berjalan, seakan ada beberapa perkara yang tidak kena dengan tingkah laku Budin yang membingungkan rakan roommatenya, Hafis. Pelbagai persoalan bermain di fikiran Hafis untuk mentafsirkan tindak tanduk Budin sepanjang berkawan dengannya.

Hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi azan subuh akan bergema, jam loceng berbunyi dengan nyaring. Hafis terjaga daripada tidurnya. Melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 5.55 pagi, lantas Hafis bangun membersihkan muka dan bersugi. Disusuli kemudian dengan mengambil air wuduk.

Tidak lama kemudian, azan subuh pun berkumandang. Hafis gegas mengejutkan Budin untuk bangun solat subuh berjemaah di surau. Namun, Budin tetap terus lena dibuai mimpi. Hafis agak tertekan melihat rakannya kaku tidak bangun, lalu menarik selimut Budin. Hafis pelik, kali ini Budin bergerak pula tapi hanya menarik semula selimutnya dan menyambung tidurnya. Memandangkan iqamah telahpun berbunyi, Hafis pasrah dan segera menuju ke surau.

Setelah selesai solat, Hafis pulang ke biliknya. Apabila pintu dibukanya, Hafis menggelengkan kepalanya melihat Budin yang masih enak tidur diselubungi dengan selimutnya. Melihat fajar semakin cerah, Hafis tidak berputus lalu terus berusaha membangunkan Budin dari tidurnya namun ternyata tidak membuahkan hasil.

Hari sudah kian cerah, semua mahasiswa sedang sibuk dengan kuliah masing-masing. Tidak lama kemudian, Hafis pulang ke biliknya setelah selesai kuliah di fakultinya. Apabila pintu dibukanya, Hafis sangkakan Budin masih tidur, rupanya dia sudah terpacak di hadapan  komputernya bermain game. Hafis pun bertanya…

“Kau tak ada kuliah ke Din pagi ni?”

Jawab Budin dengan slumber

“Ada….tapi aku suruh kawan aku je yang sign attendance untuk aku…tak ada mood la nak pergi kuliah hari ni”

Budin mengajak Hafis ke kafe. Kebetulan Hafis tidak sempat untuk bersarapan sebelum dia pergi ke kuliah pagi tadi. Hafis menerima ajakan Budin dan berkata “Jomlah bro…aku belanja kau makan free!”. Kata Hafis itu membuatkan Budin bertambah teruja untuk pergi ke kafe.

Tetapi, lain hal pula yang terjadi di kafe. Ketika di kaunter pembayaran, Hafis dengan tanpa segan silu berkata “Bro, ko bayar sendiri lah!” Wajah Budin yang tersenyum lebar tadi berubah menjadi kusam.

Sebaik sahaja meletakkan makanan di meja, Budin dengan rasa tidak puas hati meluahkan “Apa ni bro? Tadi kat bilik kau kata nak belanja makan free. Elok-elok sampai depan kaunter kafe…kau pusing cerita pula. CAKAP TAK SERUPA BIKIN!!”

Hafis tersenyum dengan sinis lalu membalas…

“Bro!…marah ke? Tapi Allah punya marah lagi dahsyat kalau SYAHADAH TAK SERUPA BIKIN”

Budin pelik dan tertanya-tanya apa yang cuba disampaikan Hafis padanya. Hafis menerangkan lagi…

“Aku hairan sebab kau ucap kalimah syahadah, kau yakin dan mengaku tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah TAPI kau tak mahu bangun subuh untuk sembah Allah yang kau katakan layak disembah dalam kalimah syahadah yang kau dah ucap…bukan ke ini SYAHADAH TAK SERUPA BIKIN?”

Kali ini, Budin diam tak terkata. Hafis menambah lagi..

“Aku tambah hairan lagi sebab kau ucap kalimah syahadah, kau yakin dan mengaku Nabi Muhammad S.A.W itu adalah utusan Allah TAPI kau tak follow apa Nabi Muhammad S.A.W sampaikan daripada Allah. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Barangsiapa menipu maka ia bukan dari (golongan) ku.” (Muslim no. 102).

“Tapi kau ponteng kelas lepas tu suruh kawan kau yang tandatangankan untuk kau, kau menipu pula pensyarah kau dan mak ayah kau,…bukan ke ini SYAHADAH TAK SERUPA BIKIN?

Begitulah al-kisahnya sedikit gambaran tentang 'Syahadah Tak Serupa Bikin'. Ia bukan sahaja terjadi pada Budin sahaja tetapi terjadi juga pada rata-rata masyarakat Islam sekarang. Begitu ramai yang mengucap kalimah syahadah tetapi  hanya sedikit sahaja yang perbuatannya mencerminkan kalimah syahadahnya. Begitu mudah mengucap kalimah syahadah tetapi tidak semudah apa yang diucapkan untuk menterjemahkannya kepada perbuatan (amal).

Tidak logik apabila kita mengucap kalimah syahadah, tetapi akhlak dan perbuatan kita tidak berpandukan akhlak dan sunnah Rasulullah S.AW. Tidak logik juga apabila kita mengucap kalimah syahadah, tetapi pemikiran kita mirip kepada pemikiran liberalismepluralisme dan yang sebanding dengannya.

Di sinilah perlunya 'Syahadatul Haq' (pengakuan dan penyaksian sebenar bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah). Dalam erti kata lain, kita bukan sahaja mengucap kalimah syahadah dengan mulut sahaja tetapi harus disertai dengan hati (keyakinan teguh tanpa ragu-ragu), dan diterjemah dalam bentuk pemikiran dan perbuatan berlandaskan Quran & Hadith, bukan berlandaskan ideologi barat.

Firman Allah S.W.T dalam Surah As-saff Ayat 2-3 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Marilah sama-sama kita muhasabah, dalam setiap hal seperti sosial, ekonomi, muamalat dan lain-lain lagi adakah SYAHADAH KITA SERUPA BIKIN?



Penulis: Mohd Hazwan Harun (UKM)

Monday 26 March 2012

Tengok IC sekejap!





"Kau bila nak berubah?"

"Nantilah.." ujar saya sambil memandang pinggan yang sudah kosong. Pinggan sahabat saya itu juga telah licin. Kami baru saja selesai menikmati hidangan tengah hari. Saya terdengar lafaz syukur dari bibirnya.  Dia memandang wajah saya, tampang, bila mendengar jawaban saya tadi.

"Kau nak tunggu bila?"dia tak jemu memujuk. Bukan hari ini saja. Sudah lama. Tak cukup dengan lafaz jelas, dia berkias. Saya faham semua ayatnya. Saya sangat faham. Tapi..

"Aku nak berubah lah ni.. Tunggu lah bila aku dah betul-betul bersedia."

"Ya..hari tu, kau cakap nak berubah masa bulan Ramadhan, sekarang dah maulid pun, apa cerita?"

"Kan  aku cakap, aku tak sedia lagi.." saya menegaskan kembali ayat saya sebentar tadi. dengan nada suara terkawal.

Saya hormatkan dia, dia memang tak jemu untuk suruh saya berbuat kebaikan, dan yang penting berhijrah. Apa pun, dia tak boikot saya, sekalipun saya tahu, saya dan dia sangat berbeza. Tengoklah sekarang, dia baru belanja saya makan. Jadi, saya tak berhasrat untuk mempertikaikan ayatnya atau melawan kata-katanya. dia nak berkawan dengan saya sudah cukup baik. Dia memang seorang yang bersahaja, dan mungkin agak kasar, yang penting, sikapnya kena dengan jiwa saya.

"Tengok  IC sekejap!" suruhnya tiba-tiba.

"Ha?" saya dah terpinga-pinga. Apa, dia ingat saya ini PATI kah?

"Tunjuk saja, Mykad kau.."katanya separuh mendesak.

Saya segera mengeluarkannya...

"Kau tengok ni!"

Ketika itu saya mengagak, yang dia ingin saya memastikan perkataan Islam yang tertera di kad berwarna biru itu.Halah..klise sangatlah..

"Mana?" ujar saya bena-tak bena.

"Tengok nombor ni.. baca." jari telunjuknya tepat pada deretan nombor di bahagian atas kad itu.

"890122-08-8***" ujar saya,mengikut saja rentaknya.

"Kau tahu ni nombor apa?"

"Tarikh lahir akulah!" saya sudah bengang. Berani berani dia seolah memperbodohkan mahasiswa seperti saya!


"Oh, tarikh lahir kau.. Kau tengok betul-betul atas kad ni.. tengok.." suaranya juga sudah naik satu oktaf. Hairannya saya menurut saja suruhannya itu. Memerhati seluruh permukaan kad kecil itu. Seolah baru hari ini saya menatap kad yang sudah lebih sedekad bersama saya itu.

"Cuba kau cari, ada tarikh mati kau?"

Saya tersentak. Terdiam. Rasa seperti degup jantung terberhenti.

Mungkin ayat ini dituturkan dengan nada yang tidak setinggi penyanyi opera cina. Atau leteran yang selalu saya dengar dari ibu saya bila saya pulang lewat sehingga santak maghrib ketika kecil dahulu. Tapi suara yang SANGAT BERSAHAJA ini berjaya menyentap jantung saya. Mengejutkan saya dari lena yang panjang.


"Cuba cari tarikh mati kau" suara itu seakan dimain semula diminda. Berkali-kali, sekalipun dia sudah lama berlalu. Aduh, saya rasa macam baru saja dilempang.

Mati. Satu perkara pasti yang kita tak tahu bila. Tarikh lahir semua orang tahu, tapi tarikh mati, siapa tahu? Siapa tahu? Kecuali Yang Maha Tahu?

Jadi, apa yang saya tunggu? Menangguh-nangguh dari berbuat kebaikan? Menangguh dari berhijrah? Menandakan tarikh-tarikh sesuai untuk berubah? Bagaimana kalau maut hadir sebelum sempat saya berbuat apa-apa? Saya nak bentangkan apa pada Allah? Allah, tiba-tiba saya rasa malu.  Saya tidak akan bersedia untuk berubah jika saya tidak menyediakan diri saya untuk berubah. hanya menunggu rasa 'betul-betul sedia' datang sendiri. tidak! saya harus SELALU SEDIA DAN BERUBAH!

Allah.. Ampunilah hambaMu ini..Aku mahu berubah HARI INI, aku mahu bertaubat HARI INI, aku mahu dekat denganMu HARI INI,kerana tarikh matiku tiada dalam IC!

(catatan diari imaginasi, namun selalu berlaku pada manusiawi)


Penulis: Zubaidah Abd. Rahim (UKM)

Sunday 25 March 2012

KLIK CONNECT UNTUK CINTA

Love chemistry.  Mengapa love chemistry? Bukan love biology atau love physic? Atau mungkin love psychology? Ini adalah bait kata-kata yang diungkapkan oleh penulis buku ‘Online dengan Tuhan’, Zulkifli Khair. Tajuk artikel ini juga merupakan salah satu wadah yang terkandung di dalam buku beliau. Sungguh besar maknanya jikalau kita mengamati maksud sebenar istilah yang digunakan oleh penulis tentang cinta. Cinta adalah fitrah bagi diri yang bergelar manusia. Cinta adalah anugerah terindah yang diberikan oleh Allah kepada insan yang bernama manusia. Hanya manusia sahaja yang mampu merasai kehebatan cinta kerana keistimewaan dan kelebihan yang ada pada mereka bukan pada makhluk lain.

Bicara soal cinta, ramai yang menganggap cinta itu hanya pada manusia seperti ibu ayah, adik-beradik, dan juga suami. Akan tetapi adakah cukup dengan hidup kita di dunia ini hanya mencintai makhluk sahaja? Bukankah ada yang lebih agung, lebih hebat, lebih gagah dan lebih perkasa yang nama-namanya sentiasa di sebut oleh lidah manusia seperti al-Rahim, al-Rahman, al-Khahar, al-Ghafur dan banyak lagi. Imam al-Ghazali telah mengungkap satu syair yang sangat menyentuh jiwa bagi sesiapa yang menghayati dan menilai maksud cinta yang sebenar. Syair beliau berbunyi:

            Cintakan bunga akan layu,

            Cintakan manusia akan mati,

            Cintakan Allah kekal abadi,

            Itulah cinta, cinta yang hakiki.

Begitulah betapa indahnya bait-bait syair yang dilafazkan oleh Imam al-Ghazali, beliau merasakan begitu indah dan manisnya mencintai Allah yang pasti kekal tiada penghujung.

Ayuh kawan, tanamkan cintamu pada yang layak, pada yang selalu Merinduimu, pada yang tak jemu Memberi nikmat padamu, pada yang tak pernah Lupa padamu, pada yang cemburu andai kau terus jauh dengan dunia tipu daya,  pada yang selalu bersama saat kau layu, pada yang tak pernah jemu memanggil mu, 'Wahai hambaku, kembalilah padaKu.  Sesungguhnya Aku sangat dekat, malah lebih akrab dari urat lehermu!'

 Ayuh berdoa, agar cintamu pada mahluk, tidak melebihi cinta Khalik!



Penulis: Siti Hajar Atan (UKM)

Saturday 17 March 2012

Kerana segumpal darah itu..




 
Ertinya:
Diriwayatkan daripada Amirul Mukminin, Abi Hafs Umar Bin Al-Khattab r.a., kata beliau, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang(akan dibalas) berdasarkan apa yang diniatkannya. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan ) Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa hijrahnya kerana menginginkan kehidupan dunia atau wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang diniatkannya”

Riwayat dua imam hadith, Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Bukhari dan Abu Al-Husain, Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusyairi An-Naisaburi di dalam dua kitab Sahih, yang merupakan kitab yang paling sahih pernah dikarang. 

SEBAB-SEBAB WURUD/LAHIRNYA HADITH
Di dalam kitab Al-Mu’jam Al-Kabir Tabrani meriwayatkan menerusi sejumlah perawi yang thiqah(dipercayai), menerusi Ibnu Mas’ud, Katanya dikalangan kami terdapat seorang lelaki melamar seorang wanita bernama Ummu Qais tetapi ia menolak jika tidak mahu berhijrah.
           
Bagi memenuhi keinginan Ummu Qais, lelaki itu bersedia untuk berhijrah mengikuti wanita itu dan menikahinya. Kamipun memanggilnya dengan gelaran Muhajin Ummu Qais kerana ia ikut berhijrah semata-mata kerana mahu berkahwin dengan wanita itu

KETERANGAN
  • Para ulama’ bersependapat bahawa perbuatan seorang mukmin tidak akan diterima dan tidak mendapat pahala jika tiada niat. Jadi, niat merupakan syarat sah sesuatu ibadah
  • Orang yang berniat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak kesampaian( sakit parah, meninggal dunia), maka tetap mendapat pahala dengan niatnya.
  • Hadith ini mendorong supaya kita sentisa ikhlas dan sentiasa  memperbaharui niat dalam melakukan apa sahaja perkara.
  • Setiap amal kebaikan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah, semuanya digolongkan sebagai ibadah.

SENTIASALAH MEMPERBAHARUI NIATMU AGAR NIATMU ITU BENAR  UNTUK  ALLAH SEMATA-MATA

Sumber rujukan: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi
                          Penterjemah & Syarah: Ibnu Amrullah Yusuf





Penulis: Annasehah Bt. Mohd Sahid (UKM)

Kenali Bilal Bin Rabah

Bilal bin Rabah dilahirkan di daerah as-Sarah yang terletak di pinggir Kota Mekah, 43 tahun sebelum hijrah. Ayahnya bernama Rabah dan ibunya bernama Hamamah, seorang wanita berkulit hitam. Kerana itu, Bilal dipanggil dengan gelaran Ibnus-Sauda’ atau putera wanita hitam. Bilal merupakan seorang hamba milik Umayyah bin Khalaf, tokoh terkenal kaum Quraisy. Beliau juga merupakan hamba pertama yang memeluk Islam dan yang terawal meyakini risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w secara bersembunyi. Begitu besar dugaan dan ujian yang dilalui oleh Bilal apabila keimanannya diketahui oleh Umayyah dan beliau diseksa dengan sangat kejam dan zalim. Mula-mula beliau dipukul, kemudian diarak keliling Kota Mekah.

Oleh sebab Bilal masih berdegil dan mempertahankan keimanannya, beliau dijemur di atas pasir tanpa diberi makan dan minum. Ketika matahari tegak di atas kepala, dan padang pasir panas membara, Bilal dipakaikan baju besi lalu dibiarkan berjemur di bawah terik cahaya matahari. Keadaan Bilal amat lemah dan tidak berdaya akan tetapi apabila ditanya oleh Umayyah, adakah beliau ingin berhenti daripada beriman kepada Muhammad, bibir Bilal tidak berhenti menyebut “ahad” iaitu Tuhan yang satu (Allah). Kekejaman itu berakhir apabila seorang hartawan yang dermawan iaitu Abu Bakar as-Siddiq telah melihat kejadian tersebut dan membeli Bilal daripada Umayyah dengan bayaran sebanyak sembilan uqiyah emas.


 
Sekadar Gambar Hiasan - Sehingga kini sesiapa yang mengumandangkan azan dipanggil sebagai 'Bilal' khususnya di Malaysia.

Selepas peristiwa itu, kehidupan Bilal semakin baik dan bahagia. Daripada seorang hamba menjadi seorang manusia merdeka yang disanjung dan dikasihi. Kecintaan Bilal terhadap Rasulullah s.a.w begitu mendalam sehingga selepas kewafatan Rasulullah, Bilal tidak mampu melaungkan azan kerana apabila tiba pada kalimah ‘Muhammad’ beliau berasa sebak. Ekoran kejadian itu, Bilal berhasrat dan bertekad untuk berhenti menjadi tukang azan. Sehingga Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab sendiri tidak mampu untuk memujuk beliau daripada menarik balik keputusan yang dibuat.

Umar al-Kattab telah bertanya kepada Bilal, “Adakah kamu seorang sahaja yang merasa sedih dengan kehilangan Rasulullah s.a.w? Air mata saya juga sudah kering kerana menangis! Jika boleh, saya mahu serahkan nyawa saya ini sebagai gantinya”. Bilal menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, kesedihan saya melebihi kesedihan tuan. Tuan lahir sebagai seorang merdeka. Berbanding saya seorang hamba. Tuan tidak pernah merasai bagaimana gembiranya seorang hamba apabila dimerdekakan. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membebaskan kami dari perhambaan. Dia memuliakan saya ketika orang lain menghina saya. Kemudian Rasulullah s.a.w melantik saya sebagai tukang azan. Rasulullah s.a.w juga pernah mengatakan, baginda terdengar hentakan sepatu saya di dalam syurga”. Kata Bilal dengan nada yang sedih dan hiba.






Penulis: Mariam Malek (UKM)

Surah Al-Kahfi Ayat 1-8

  

“Segala pujian kepada Allah yang telah menurunkan kitab Al Quran kepada hamba Nya dan tidak menjadikan padanya ajaran yang berbelit-beli. Sebuah kitab yang lurus untuk memberi amaran keseksaan yang amat keras dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang mukminin yang mengerjakan amalan soleh bagi mereka ganjaran pahala yang baik …………….dan sesungguhnya ketika Qiamat kelak, Kami akan jadikan segala apa yang ada di atas bumi ini tanah rata yang keras dan tandus”. [ayat 1-8.]

18:1 

Ayat ini bemula dengan menonjolkan sifat lurus dan tegas didalamnya memuji Allah S.W.T yang menurunkan kitab suci al Quran kepada hamba Nya.Di dalamnya mengandungi ajaran yang lurus lagi istiqamah, tidak berbelit-belit dan tidak menyeleweng malah tidak bertujuan mencari helah dan tidak berusaha untuk menipu bahkan bertujuan “untuk memberi amaran yang amat keras dari sisi Allah”.

Sejak ayat pertama lagi sudah nyata garis-garis sifatnya yang jelas, tidak ada sebarang kekeliruan, tidak ada sebarang kesamaran dan kerumitan dalam aqidah. Segala pujian hanya kepada Allah S.W.T yang telah menurunkan al Quran.Muhammad adalah hamba Allah. Semua makhluk adalah hamba Nya belaka. Allah S.W.T sama sekali tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu.

Al Quran tidak membawa sebarang ajaran yang berbelit-belit. Ajarannya adalah “qayyiman”. Konsep istiqamah al Quran dijelaskan dengan;

Menafikan sifat berbelit-belit dalam ungkapan “laa i’waja fihi”
Menegaskan sifat kelurusan dalam ungkapan “qayyiman”


18:2 
18:3
18:4 


Tujuan penurunan Al Quran amat jelas sekali dengan firman Nya “untuk memberi amaran keseksaan yang amat keras dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang mukminin yang mengerjakan amalan soleh bagi mereka ganjaran pahala yang baik” [ayat;2.]

Suasana amaran yang amat keras itu merangkumi seluruh penjelasan ayat ini.Bermula amaran secara umum dan diikuti amaran secara khusus. Ini dapat diperhatikan dalam firman Allah;

Amaran umum “untuk memberi amaran keseksaan yang amat keras dari sisi Allah” [ayat;2]
Amaran khusus “dan untuk memberi amaran kepada orang-orang yang telah berkata bahawa Allah mempunyai anak” [ayat;4]


Di antara dua amaran itu diselit pula dengan berita gembira kepada orag-orang yang beriman dengan firman Allah

“yang mengerjakan amalan-amalan soleh” [ayat;2.]

Ikatan inilah yang menjadikan iman mempunyai bukti-bukti yang amali bersandarkan realiti yang kuat.

Selepas itu al Quran mula menjelaskan manhaj yang salah, yang mereka ambil dalam memutuskan persoalan yang amat besar dan amat penting dalam kehidupan mereka iaitu ‘isu aqidah’ dengan firman Allah ;

18:5 

“Sebenarnya mereka tidak mempunyai sebarang ilmu pengetahuan mengenai perkataan itu dan datuk nenek mereka juga tidak mempunyai ilmu” [ayat;5]

Alangkah keji dan buruknya perbuatan mereka meluahkan perkataan itu, tanpa berpandukan ilmu pengetahuan, malah secara sangkaan yang melulu. Perhatikan firman Allah yang bermaksud;

“Alangkah besar kata-kata yang terkeluar dari mulut mereka sedangkan apa yang dikatakan mereka tidak lain, melainkan hanya dusta semata-mata”. [ayat;5]

Semua perkataan dalam susunan ungkapan ayat ini dan semua bunyinya dalam pertuturan adalah saling berkait rapat untuk membesar-besarkan kejilikan perkataan yang mereka ucapkan. Ini dapat kita perhatikan perkataan;

Perkataan “Kaburat” untuk menunjukkan kepada pendengar betapa besar dan jeliknya perkataan itu sehingga memenuhi suasana. Perkataan itu juga sebagai tamyiz dengan ungkapan “kaburat kalimatan” untuk menambah tekanan bagi menarik perhatian mereka. Ia menjadikan perkataan itu terlepas keluar dari mulut mereka secara spontan dan terburu-buru.


Perkataan “takhruju min afwaahihim” kata-kata ini memyumbang bunyi yang istimewa dalam membesarkan kejilikan kata-kata yang terkeluar dari mulut mereka. Ini kerana orang yang melafazkan “afwaahihim” akan membuka mulutnya untuk menyebut mad pada potongan pertamanya “afwaa..” kemudian menyebut dua Ha’ yang berturut-turut menyebabkan seluruh mulut dipenuhi dua Ha’ sebelum ditutup mulut kerana mematikan huruf Mim diakhir perkataan “afwaahihim”. Semua susunan dan bunyi ayat ini menggambarkan maksud dan suasana.


Perkataan “In yakuuluuna illaa kaziban” Ini adalah satu kenyataan yang tegas melalui penafian ‘an nafi’ dan pengecualian ‘al istisnaa’. Pemilihan kata “In” bukan “maa” kerana “in” bunyi mati yang keras dan jelas. Sedangkan “ma” mempunyai bunyi lembut sebab mad. Tujuan pemilihan itu adalah untuk menambahkan kekerasan kecaman dan menegaskan pembohongan yang amat besar.


Ayat 6 seakan-akan ayat teguran. Allah S.W.T berbicara dengan Rasulullah s.a.w yang sedang kesedihan kerana kaumnya mendustakan al Quran, menolak hidayah dan memilih jalan yang membawa mereka pada kebinasaan. Allah berfirman kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

18:6 

“Mungkin engkau hendak membunuh dirimu kerana dukacita terhadap perbuatan mereka yang tidak mahu beriman dengan al Quran” [ayat;6]

Maksudnya mengapa engkau hendak membunuh dirimu kerana sedih dan berdukacita terhadap mereka yang tidak beriman pada al Quran. Memang sepatutnya kamu tidak wajar bersedih dan berdukacita terhadap mereka. Biarkan mereka begitu, kerana Kami telah menjadikan semua keindahan dan kenikmatan yang ada di atas bumi ini, termasuk harta kekayan dan anak –anak sebagai ujian dan cubaan, siapakah di antara mereka dan penghuni-penghuni nya yang melakukan amalan-amalan yang baik di dunia ini. Mereka wajar menerima nikmat dunia dan wajar pula menerima nikmat di akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud;

18:7 

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang lebih baik amalannya”. [Ayat;7]

Hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui siapakah mereka? Allah tetap akan membalas setiap perbuatan dan amalan yang telah dilakukan oleh para hamba Nya dalam kehidupan dunia ini. Al Quran tidak menyebut apa-apa tentang mereka yang tidak mengerjakan amalan-amalan yang baik kerana pengertian itu dapat difahami dengan jelas melalui ungkapan “li nabluwa hum aiyuhum ahsanu amalan”.

Penyudah bagi keindahan dan perhiasan dunia telah pun ditetapkan. Bumi akan menjadi kosong, semua penghuninya akan hancur dan binasa. Bumi akan jadi tandus, gersang, keras dan kering kontang menjelang hari Qiamat. Firman Allah yang bermaksud;

18:8 

“dan sesungguhnya Kami akan jadikan segala apa yang ada di atas bumi ini menjadi tanah tandus lagi kosong”. [Ayat;8]

Pada ungkapan dan pemandangan ayat ini mebayangkan satu keadaan yang dahsyat. Perkataan “juruzan” menggambarkan pengertian tandus dengan bunyi perkataan itu sendiri. Begitu juga perkataan “saie’dan’ menggambarkan pemandangan tanah yang keras dan kontang.






Penulis: Halimatun Saadiah (UKM)

Friday 16 March 2012

Khalifah Umar Sudah Tidak Waras?

Kota Madinah hari ini heboh. Satu persoalan menganggu fikiran orang ramai. Benarkah Khalifah Umar Al Khattab telah gila? Ramai yang sudah menyaksikan sendiri mertua Rasulullah ini berkelakuan seperti orang kurang waras.

Adakah kerana dosa-dosa lampau  yang membuatkan Khalifah Umar menjadi begitu? Bukankah dulu beliau menyembah berhala, minum arak, membunuh bukan menjadi perkara besar baginya. Bahkan anak perempuannya sendiri ditanam hidup-hidup.

Mungkin masa lalunya yang mendera jiwa Khalifah Umar. Bukan sedikit yang menyaksikan tingkah pemimpin ini yang berkelakuan tidak normal. Tidak jarang yang melihat Umar tiba-tiba menangis sendirian selepas  usai solat. Lalu kemudiannya tertawa terbahak-bahak, walhal tidak ada hal yang lucu.

Dari sekalian sahabat, Abdul Rahman Auf termasuk yang paling akrab dengan Umar.  Tersinggunglah perasaan sang sahabat bila mendengar tuduhan terhadap rafiqnya itu. Kelihatan wajahnya murung, apa lagi bila hampir semua orang di Madinah mempercayai khabar itu; menganggap Khalifah Umar sudah benar-benar gila. Lebih jauh lagi, kredibiliti Umar sebagai khalifah mula dipertikaikan.

Hari ini, Khalifah Umar kelihatannya semakin pelik perilakunya. Suatu ketika Umar sedang memimpin solat Jumaat. Semasa beliau sedang berkhutbah di mimbar, tiba-tiba sahaja Umar bertempik lantang.

“Hai pasukan, bukit itu,bukit itu!”

Mendengar keanehan itu, hadirin pun terkejut. Terpinga-pinga.  Seruan Umar ternyata tidak selari dengan isi khutbah yang sedang disampaikan.

“Wah, khalifah sudah benar-benar sudah tidak waras” kata beberapa jemaah ketika selesai solat Jumaat hari itu.

Hal itu tidak terjadi pada Abdul Rahman Auf. Semakin sedih dan murunglah hatinya bila mendengar sahabat akrabnya dituduh begitu. Dia tidak berani menuduh Umar gila dan seharusnya dia perlu jelas penyebab Umar berteriak sedemikian. Lalu dengan penuh rasa ingin tahu, beliau mendatangi Umar Radiyallahu anhu.

“Amirul Mukminin, sebelum saya bertanya, saya memohon maaf seandainya Tuan tersinggung” kata Ibnu Auf berhati-hati menutur bicara.

“Jangan bimbang. Katakan saja apa yang ingin kau sampaikan” Umar menjawab tenang.
“Begini Amirul Mukminin, pada saat khutbah tadi, mengapa tiba-tiba sahaja tuan berseru lantang sambil menatap ke tempat yang jauh?”

“Begini sahabatku, aku telah menghantar pasukan beberapa hari yang lepas. Mereka memikul tugas untuk membanteras pengacau. Ketika berkhutbah, aku melihat pasukan itu mendapat kesulitan. Mereka dikepung musuh dari segala penjuru. Satu-satunya lokasi yang dapat dijadikan benteng pertahanan mereka ialah satu bukit di belakang mereka. Oleh itu aku berseru, bukit itu! Bukit itu!”

Dahi Abdul Rahman berkerut. Apa benar ungkapan Umar ini. Bahkan dia punya kesangsian mendengar penjelasan Umar. Namun rasa tidak percaya ini tidak diungkapkan kepada Umar.

“Seperkara lagi, mengapa Tuan suka menangis dan tertawa sendirian apabila selesai solat?”

“Aku menangis kerana teringatkan dosa-dosaku sebelum memeluk Islam.  Aku pernah menanam anak perempuanku hidup-hidup. Anak perempuanku yang masih kecil. Aku sangat sedih apabila teringatkan anak yang masih kecil itu” beritahu Umar.

“Lalu apa yang membuatkan tuan tertawa?”

“Aku teringat akan kebodohanku . Bagaimana tidak, aku membuat patung berhala daripada kurma, lalu aku menyembahnya seperti Tuhan. Satu ketika aku lapar, lalu, aku memakannya.” Ujar Umar r.a sambil tersenyum.

Sambil mengukir senyum dan jiwa yang lapang, Ibnu Auf pun berlalu. Namun ada satu perkara yang masih menganggau fikirannya. Dia belum dapat memastikan ucapan Umar mengenai ucapan yang dikirimnya, atau Khalifah Umar benar-benar tidak waras?  Sungguh tidak masuk akal Umar dapat melihat keadaan pasukan dari jauh.

Selang beberapa ketika, pasukan kembali ke Madinah. Mereka tersenyum berseri-seri dengan kibaran panji kemenangan.

Keesokan harinya komandan pasukan bercerita. Di hadapan orang ramai,dia melukiskan kedahsyatan peperangan yang mereka alami.

“Kami dikepung oleh tentera musuh. Rasanya tidak ada harapan untuk dapat keluar dari kepungan musuh dengan selamat.”

“Lalu, apa yang terjadi? “ tanya seorang yang berada di situ.

“Tentera musuh semakin mara. Kami diserang dari segala sudut. Dalam masa yang singkat barisan pasukan kami menjadi kucar-kacir. Sampai tibalah ketika waktu solat Jumaat tiba. Saat itulah kami mendengar seruan ‘Bukit itu, Bukit itu! Bukit tu!”

Sejenak komandan terdiam. Orang ramai saling berpandangan dan teringat akan seruan Umar ketika solat Jumaat tempoh hari.

“Tiga kali kami mendengar seruan itu dengan begitu jelas. Serta merta kami berlari ke arah bukit tersebut, dan berlindung di sebalik bukit tersebut. Bukit itu dijadikan benteng oleh kami. hal demikian membenarkan kami menghadapi serangan musuh dari bahagian hadapan sahaja. Akhirnya, kami dapat menguasai keadaan."

Kini, Abdul Rahman bin Auf mengerti. Dia mengangguk penuh kekaguman. Demikian juga dengan orang ramai. Mereka yang dulunya menuduh Umar tidak siuman,kini kembali memuji dan menyanjungi beliau.


Penulis: Zubaidah Abd. Rahman (UKM)

Tuesday 6 March 2012

PEMBINA tegas dengan pendirian: Membantah resolusi PBB

 


KUALA LUMPUR 2 Mac –Saudara Ibrahim Mohd Hasan, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) merupakan  salah seorang wakil daripada 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang turut serta dalam  perhimpunan aman di Masjid Negara di sini bagi membantah resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf kedudukan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurutnya, beliau menyokong sepenuhnya tindakan kerajaan untuk bertegas dalam pendirian untuk tidak mengiktiraf LGBT dan menggesa PBB untuk tidak memberi sebarang bentuk tekanan supaya Malaysia tunduk kepada resolusi mereka. Ini merupakan campur tangan kuasa asing dan memberi amaran bahawa kita akan bertindak lebih dari ini sekiranya PBB terus mengiktiraf kedudukan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Tambah beliau lagi, ada dua sebab utama mengapa kita perlu untuk menolak kedudukan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Pertamanya, firman Allah dalam Al Quran jelas menyatakan bahawa golongan-golongan ini tidak diiktiraf bahkan dilaknat dan meraka dihumban ke dalam bumi. Perbuatan ini juga bertentangan dengan naluri dan norma kemanusiaan dan tiada manusia yang berfikiran waras boleh menerima golongan ini.
“Sebagai belia, perkara ini amat merisaukan kerana golongan ini akan menjadi ancaman kepada generasi akan datang. Sekarang pun mereka sudah mula bergerak menerusi media arus baru. Saya khuatir sekiranya meraka diiktiraf hari ini, meraka akan lebih berani menuntut hak. Apa yang lebih membimbangkan, sekiranya mereka diiktiraf hari ini, bala Allah akan turun di bumi Malaysia,” begitulah pesanan Saudara Ibrahim Mohd Hasan apabila ditemui media semalam.


Sumber: Pembina Pusat

poster promo ikhwah
picture hosting