Monday, 26 March 2012

Tengok IC sekejap!





"Kau bila nak berubah?"

"Nantilah.." ujar saya sambil memandang pinggan yang sudah kosong. Pinggan sahabat saya itu juga telah licin. Kami baru saja selesai menikmati hidangan tengah hari. Saya terdengar lafaz syukur dari bibirnya.  Dia memandang wajah saya, tampang, bila mendengar jawaban saya tadi.

"Kau nak tunggu bila?"dia tak jemu memujuk. Bukan hari ini saja. Sudah lama. Tak cukup dengan lafaz jelas, dia berkias. Saya faham semua ayatnya. Saya sangat faham. Tapi..

"Aku nak berubah lah ni.. Tunggu lah bila aku dah betul-betul bersedia."

"Ya..hari tu, kau cakap nak berubah masa bulan Ramadhan, sekarang dah maulid pun, apa cerita?"

"Kan  aku cakap, aku tak sedia lagi.." saya menegaskan kembali ayat saya sebentar tadi. dengan nada suara terkawal.

Saya hormatkan dia, dia memang tak jemu untuk suruh saya berbuat kebaikan, dan yang penting berhijrah. Apa pun, dia tak boikot saya, sekalipun saya tahu, saya dan dia sangat berbeza. Tengoklah sekarang, dia baru belanja saya makan. Jadi, saya tak berhasrat untuk mempertikaikan ayatnya atau melawan kata-katanya. dia nak berkawan dengan saya sudah cukup baik. Dia memang seorang yang bersahaja, dan mungkin agak kasar, yang penting, sikapnya kena dengan jiwa saya.

"Tengok  IC sekejap!" suruhnya tiba-tiba.

"Ha?" saya dah terpinga-pinga. Apa, dia ingat saya ini PATI kah?

"Tunjuk saja, Mykad kau.."katanya separuh mendesak.

Saya segera mengeluarkannya...

"Kau tengok ni!"

Ketika itu saya mengagak, yang dia ingin saya memastikan perkataan Islam yang tertera di kad berwarna biru itu.Halah..klise sangatlah..

"Mana?" ujar saya bena-tak bena.

"Tengok nombor ni.. baca." jari telunjuknya tepat pada deretan nombor di bahagian atas kad itu.

"890122-08-8***" ujar saya,mengikut saja rentaknya.

"Kau tahu ni nombor apa?"

"Tarikh lahir akulah!" saya sudah bengang. Berani berani dia seolah memperbodohkan mahasiswa seperti saya!


"Oh, tarikh lahir kau.. Kau tengok betul-betul atas kad ni.. tengok.." suaranya juga sudah naik satu oktaf. Hairannya saya menurut saja suruhannya itu. Memerhati seluruh permukaan kad kecil itu. Seolah baru hari ini saya menatap kad yang sudah lebih sedekad bersama saya itu.

"Cuba kau cari, ada tarikh mati kau?"

Saya tersentak. Terdiam. Rasa seperti degup jantung terberhenti.

Mungkin ayat ini dituturkan dengan nada yang tidak setinggi penyanyi opera cina. Atau leteran yang selalu saya dengar dari ibu saya bila saya pulang lewat sehingga santak maghrib ketika kecil dahulu. Tapi suara yang SANGAT BERSAHAJA ini berjaya menyentap jantung saya. Mengejutkan saya dari lena yang panjang.


"Cuba cari tarikh mati kau" suara itu seakan dimain semula diminda. Berkali-kali, sekalipun dia sudah lama berlalu. Aduh, saya rasa macam baru saja dilempang.

Mati. Satu perkara pasti yang kita tak tahu bila. Tarikh lahir semua orang tahu, tapi tarikh mati, siapa tahu? Siapa tahu? Kecuali Yang Maha Tahu?

Jadi, apa yang saya tunggu? Menangguh-nangguh dari berbuat kebaikan? Menangguh dari berhijrah? Menandakan tarikh-tarikh sesuai untuk berubah? Bagaimana kalau maut hadir sebelum sempat saya berbuat apa-apa? Saya nak bentangkan apa pada Allah? Allah, tiba-tiba saya rasa malu.  Saya tidak akan bersedia untuk berubah jika saya tidak menyediakan diri saya untuk berubah. hanya menunggu rasa 'betul-betul sedia' datang sendiri. tidak! saya harus SELALU SEDIA DAN BERUBAH!

Allah.. Ampunilah hambaMu ini..Aku mahu berubah HARI INI, aku mahu bertaubat HARI INI, aku mahu dekat denganMu HARI INI,kerana tarikh matiku tiada dalam IC!

(catatan diari imaginasi, namun selalu berlaku pada manusiawi)


Penulis: Zubaidah Abd. Rahim (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting