Friday, 30 March 2012

Apa anda faham dengan takwa..??

Sekadar Gambar Hiasan - Di dunia, kita begitu berhati-hati supaya tidak ditipu,tapi adakah kita berhati-hati supaya tidak tertipu dengan muslihat syaitan di Akhirat?

Mungkin sejak dari kecil kita pernah mendengar perkataan takwa, malah dalam khutbah jumaat setiap minggu yang kita hadiri, perkara pertama yang ditekankan oleh khatib adalah bertakwa (kerana itu salah satu syarat sah solat jumaat). Jika ditanya saya, saya akan menyatakan sejak di bangku sekolah lagi sudah mendengar takwa, cuma masalahnya TIDAK TAHU apa itu takwa. Sejak melangkah ke alam universiti barulah saya mengetahui dan memahami apa itu takwa setelah di pilih Allah untuk melalui beberapa proses tarbiyyah.

Maka, apa itu takwa?

Sebelum ini, mari saya bawa anda semua ke sebuah kisah para sahabat r.ajamain yang masyur yang mana satu hari, Umar r.anhu bertanya kepada Ubayy b. Kaab r.anhu,

Apakah yang kamu faham tentang takwa?”
Ubayy berkata, “Wahai Umar, pernahkah engkau berjalan di kawasan yang dipenuhi duri?”
Umar menjawab , “Ya, aku pernah.”
Kemudian Ubayy bertanya semula, “apakah yang kamu lakukan?”
Umar pun berkata, “Aku akan selak sedikit kainku dan akan berjalan dengan cukup berhati-hati untuk mengelakkan terkena duri-duri itu.”
Kemudian Ubayy memberitahu, “Ya, itulah takwa…”

Ya, itulah takwa.

Ketika di bangku sekolah, kita sering diberitakan oleh para asatizah yang mendidik kita bahawa kita wajib takut kepada Allah melebihi segala-galanya. Dengan erti kata lain, inilah takwa. Namun, Syeikh Yawar Baig menyatakan ia tidak berapa adil untuk seorang hamba takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya.

Dimudahkan seperti ini, ibaratnya seperti kita takut pada seekor ular, sudah pasti kita tidak mahu berjumpa dengan ular ketika di perjalanan atau di rumah. Atau contoh lain, jika kita takut pada hantu, sudah pasti kita tidak mahu berjumpa dengan hantu. Tengok cerita hantu barangkali sudah takut.mMaka, tidak mungkin sama sekali seorang manusia atau hamba tidak mahu bertemu dengan Tuhannya? Oleh itu, maksud yang paling tepat untuk takwa adalah TAKUT untuk MENDERHAKAINYA.

Begitu pentingnya takwa ini sehingga banyak kali di sebut oleh Allah supaya suruh bertakwa, sudah pasti tinggi nilaian takwa ini.

Kita sudah sedia maklum mengenai khutbah terakhir baginda Rasulullah s.a.w. , baginda ada bersabda yang bermaksud:

“Kamu semua adlah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh..”

Subhanallah!
Walau sehebat mana seorang manusia itu,
walau sekaya mana seorang manusia itu,
walau segagah mana manusia itu,
walau semiskin mana manusia itu,
walau selemah mana manusia itu,
perbezaan antara mereka hanyalah pada 2 perkara, iaitu TAKWA dan AMAL SOLEH.

Kerana jika seorang manusia itu kaya, mungkin dia akan bongkak atau angkuh dengan kekayaan tersebut.
Jika seseorang itu gagah, kemungkinan dia akan sombong dengan kegagahan tersebut. Jika seseorang itu miskin, kemungkinan dia akan kufur atau menyalahkan takdir akan kemiskinan tersebut.  Jika dia seorang yang lemah, kemungkinan dia akan menyalahkan orang lain atau mencari alasan dengan kelemahan tersebut.

Namun jika dia seorang yang bertakwa dan beramal soleh? Tiada istilah angkuh, atau sombong, mahupun menyalahkan takdir untuk di ungkapkan oleh orang yang bertakwa ini.

Hebat bukan?

Dalam surah al Baqarah ayat 1-5, Allah sudah menjelaskan kepada kita mengenai siapa orang yang bertakwa ini dan apa ganjarannya.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah yang bermaksud:

“Alif Laam Mim”. (1)
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa” (2)
“(Iaitu) bagi mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka”.(3)
“dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.” (4)
“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.” (5)

Maka tinggal lagi bagaimana pula untuk kita meraih takwa ini?

Allah telah memberi tahu mengenai siapa orang yang bertakwa melalui banyak firmannya. Antaranya surah ali Imran ayat 133 sehingga 135.
Firman Allah yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa (133)”
“(iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (134)
“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) megingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tida meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.” (135)

Lihat, daripada ayat ini kita dapat rungkaikan bahawa ciri-ciri orang bertakwa itu adalah :
1) Orang yang berinfak(bersedekah) di waktu lapang (kaya) atau sempit (miskin).
2) Orang-orang yang menahan amarah (sabar)
3) Orang-orang yang memaafkan orang lain.
4) Orang yang suka berbuat kebaikan.
5) Orang-orang yang apabila buat kesalahan/kejahatan, maka segera bertaubat.

Subhanallah, ini baru beberapa potong ayat, belum lagi jika kita mencari ciri-ciri orang bertakwa dalam al Quran ini.

Dan salah satu cara lagi untuk meraih takwa adalah dengan menolak atau menghindari kejahatan dan kemaksiatan dengan erti kata lain, mencegah kemungkaran.

Untuk menyatakan ingin mencegah kemungkaran, memang suatu perkara yang mudah, tetapi sejauh mana pengaplikasiannya dalam reality masyarakat hari ini?

Contohnya, sebagai mahasiswa/i, kita melihat seorang sahabat kita sedang berdua-duaan dengan kekasihnya di tempat yang sunyi ataupun membonceng kekasihnya dengan motosikal.

Apa yang anda akan lakukan ketika itu?

Jawapan ada pada anda semua. Tepuk dada tanya iman. Jika anda pilih untuk mencegahnya, yakinlah bahawa anda akan merasai suatu nikmat yang anda tidak dapat gambarkan dengan projector mahupun Microsoft word.

Terakhir sekali, syaitan ni lebih takut kepada orang yang berani menolak maksiat dan kemungkaran berbanding orang yang tak terlibat dengan maksiat dan kemungkaran. 
Syaitan akan sentiasa memasang strategi untuk manusia agar tidak berkesempatan berfikir untuk ummah dan berfikir untuk mencegah kemungkaran juga maksiat.


Penulis : Ahmad Shukery Azizan (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting