Friday, 30 March 2012

BERSEDERHANALAH, USAH BERMEWAH..!

Hadith akhir zaman – BAHAYA KEMEWAHAN



Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".

Hadith riwayat Tarmizi

Hadith ini menerangkan bahawa umat Nabi Muhammad s.a.w. pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan waktu dalam kehidupan. Sebagai contoh dalam hadis di atas bahawa pakaian kita silih berganti antara pagi dan petang, makanan yang tidak putus-putus iaitu selepas diangkat satu hidangan akan datang hidangan yang lain pula dan rumah-rumah yang tersergam indah dengan bermacam-macam hiasan yang cantik diibaratkan cantiknya kelambu kaabah. 

Mungkin kita akan berkata seperti sahabat baginda pada waktu itu iaitu “tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini” seterusnya mengatakan bahawa mereka akan lebih menumpukan kepada ibadah sahaja dan tidak perlu mencari rezeki lagi. Tetapi Rasulullah s.a.w. menyangkal kerana baginda tahu bahawa keadaan yang seperti dikatakan oleh mereka tidak akan terjadi, justeru keadaan mereka pada hari yang mereka lalui sekarang adalah lebih baik dari hari yang mereka jangkakan itu.

Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa keadaan yang serba kekurangan adalah lebih baik untuk kita untuk istiqamah dalam beribadah kerana kekurangan lebih memungkinkan kita untuk beribadah dan memgingati Allah dengan lebih banyak tanpa lalai dari Allah. Lazimnya kemewahan hidup banyak menghalang kita dari tunduk kepada Allah dan beribadat kepada Allah seperti yang berlaku zaman ini. Hal ini disebabkan manusia sering leka dan sibuk mengejar kekayaan dunia tanpa pernah merasa cukup. 

Malah kadangkala apa yang kita miliki melebihi dari keperluan berbanding dengan kehidupan ketika zaman sahabat, namun ibadat kita jauh ketinggalan dan kurang daripada mereka. Seharusnya kita mencari harta dunia pada batas-batas keperluan. Harta yang berlebihan mestilah digunakan untuk membantu orang lain yang kurang bernasib baik, menderma dan bersedekah kerana setiap harta yang kita miliki mengandungi harta orang lain. 

Oleh sebab itu kita diwajibkan membayar zakat untuk membersihkan harta seterusnya sebagai saham di akhirat kelak. Sesungguhnya mencari dunia itu perlu untuk akhirat. Carilah bekalan untuk akhirat, maka allah akan mencukupkan dunia. 

Kumpulan hadis oleh Abu Ali Al-Banjari




Penulis: Siti Norainie Bt Pitri, Pelajar Tahun 2, Jurusan Sains Bahan (UKM), Ahli PEMBINA UKM

poster promo ikhwah
picture hosting