Saturday 16 June 2012

Habib Bin Zaid R.A



HABIB BIN ZAID R.A. – Lambang Kecintaan dan Pengorbanan

            Habib bin Zaid r.a. merupakan seorang mukmin generasi pertama yang bersama-sama ayahandanya, Zaid bin ‘Ashim dan ibundanya, Nusaibah binti Ka’ab terlibat dalam baiah Aqabah kedua. Semenjak hijrah Rasulullah ke Madinah, Habib sentiasa di samping baginda dan tidak pernah ketinggalan dalam satu peperangan dan tidak pernah lalai dalam menunaikan kewajipan.

            Pada suatu ketika, muncullah golongan yang mendakwa diri mereka sebagai nabi di Selatan Jazirah Arab. Seorang di antara mereka muncul di San’a iaitu Al-Aswad bin Ka’ab Al-‘Ansi dan seorang lagi di Yamamah iaitu musailamah Al-Kazzab. Kedua-dua pendusta ini menghasut manusia untuk memusuhi orang beriman. Lebih dahsyat lagi, mereka mendustai serta memandang ringan kenabian itu sendiri, dan membuat bencana serta menyebar kesesatan di muka bumi.

            Pada suatu hari, Rasulullah didatangi seorang utusan yang dihantar oleh si pendusta Musailamah. Utusan itu membawa sepucuk surat yang tertulis:

“Dari Musailamah Rasulullah kepada Muhammad Rasulullah, terkirim salam… Kemudian, ketahuilah bahawa saya telah diangkat sebagai sekutu engkau dalam hal ini, hingga kami beroleh separuh bumi sedang bagi Quraisy separuhnya lagi. Tetapi ternyata orang-orang Quraisy bersikap aniaya….!”

Rasulullah membalas surat itu sebagai jawapan kepada Musailamah:

“Bismillahirrahmanirrahim…Dari Muhammad s.a.w. kepada Musailamah si pendusta. Salam bagi orang yang mahu mengikuti petunjuk...

Kemudian daripada itu, ketahuilah bahawa bumi itu milik Allah, diwariskanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNYa, sedang akhir kesudahan akan berada di pihak orang-orang yang bertaqwa…”

Namun, Musailamah tidak mengendahkannya dan tetap menyebarkan kebohongan serta kepalsuan kerasulannya. Hasutan dan penganiayaan terhadap orang-orang beriman dilakukan tanpa henti.

            Maka Rasulullah s.a.w. menghantar surat kepada Musailamah bagi menyuruhnya menghentikan pendustaan dan penyelewengannya. Pembawa utusan yang dipilih Rasulullah adalah Habib bin Zaid r.a. Berangkatlah Habib melangkahkan kakinya dengan cepat dan berbesar hati menerima tugasan yang diamanahkan oleh Rasulullah s.a.w. tercinta. Dalam pada menyusun langkah menuju Yamamah, Habib menaruh harapan besar agar Musailamah terbuka hatinya untuk menerima kebenaran.

            Sesampai Habib ke tempat tujuannya, diserahkan surat itu kepada Musailamah. Namun, Musailamah tetap ingkar, semakin tenggelam dalam kesesatan. Tanpa perikemanusiaan, Musailamah si pendusta itu menawan Habib dan menyeksanya dengan seksaan yang keras. Musailamah mengarahkan rakyatnya untuk berkumpul, lalu Habib bin Zaid dengan kesan seksaan yang dahsyat dibawa kehadapan khalayak ramai dengan tujuan menjatuhkan semangatnya dan terus kalah pada pendustaan Musailamah.

Habib dipaksa mengakui beriman kepada Musailamah bagi membuktikan mukjizat palsu kerasulannya. Kata Musailamah kepada Habib:

“Apakah kamu mengakui bahawa Muhammad itu utusan Allah?”
“Benar.” Jawab Habib. “Saya mengakui bahawa Muhammad itu utusan Allah.”

Merah membakar wajah Musailamah. Lalu ditanya lagi kepada Habib:


“Dan kamu mengakuiku sebagai utusan Allah?”
“Tidak pernah saya mendengar tentang itu!” kata Habib.
            
Musailamah menjadi sangat marah. Dia gagal menjatuhkan keimanan Habib kepada Muhammad Rasulullah dan tindakannya menyeksa utusan itu sia-sia. Musailamah bagaikan menerima tamparan hebat yang menjatuhkan wibawanya di hadapan rakyatnya sendiri. Musailamah bangun dengan kemarahan dan memanggil orang suruhannya agar segera datang dan membunuh Habib. Tertusuklah hujung pedang ke tubuh Habib. Kebuasannya menyayat dan memotong tubuh Habib dengan rakusnya tanpa ada secebis rasa simpati dan perikemanusiaan. Pahlawan sejati itu terus-menerus mengulang-ulang ucapan “Lailahaillallah MuhammadurRasulullah” sehingga ke akhir hayatnya.

            Berita tentang syahidnya utusan Rasulullah sampai kepada baginda. Dengan hati yang tabah, baginda menyerahkan kepada Allah kesudahan Musailamah pendusta itu. Namun, ibunda Habib, Nusaibah binti Ka’ab, berjanji akan menuntut bela atas kematian puteranya. Ketika perang Yamamah yang diketuai Khalifah Abu Bakar r.a., Musailamah si pendusta berjaya dibunuh dan Nusaibah turut serta dalam peperangan itu. Nusaibah berdiri dengan tubuh penuh luka akibat tebasan pedang dan tusukan tombak. Ia melihat wajah puteranya tercinta Habib, tersenyum penuh kemenangan pada panji-panji Islam yang berkibar dengan megahnya.

Pesanan buat sahabat…
Dan dia antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya. (Al-Baqarah:207)
Sama-sama kita menelusuri sirah tokoh besar Islam dalam pada kita mempersiapkan diri mengikuti langkah mereka sampai masanya nanti. Moga diri dan sahabat sekalian mampu menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur dengan kurniaan dan rahmat Allah serta terus tegar dalam memperjuangkan agama suci ini. Wallahualam.

Mariam Malek (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting