Wednesday, 6 June 2012

APA PENGORBANAN KITA?

Mungkin sering kali kita membaca atau murabbi kita memetik kata-kata Imam Hassan al Banna mengenai pengorbanan, “Yang aku maksudkan dengan “tadhiyyah” (pengorbanan) adalah:  mengorbankan harta, waktu, kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat yang ingin dicapai.  Tidak ada jihad di dunia ini yang tidak disertai dengan pengorbanan.  Jangan sekali-kali unsur pengorbanan ini digugurkan dalam jalan fikrah ini kerana sesungguhnya di sana ada balasan dan pahala yang besar dan indah untuknya.  Sesiapa yang berhenti dari memberikan pengorbanan maka dia adalah berdosa.  

"Sesungguhnya Allah telah membeli nyawa dan harta dari mukminin."
"Katakan bahawa jika sekiranya ayah-ayah kamu dan anak-anak kamu..."
"Demikian itu kerana mereka tidak ditimpa dahaga dan kekurangan..."
"Jika kamu taat maka Allah akan memberikan kepadamu balasan yang baik"

Dengan yang demikian, kamu akan memahami makna slogan abadimu :  “Mati Syahid Di Jalan Allah adalah Setinggi Cita-cita”. Ya, pengorbanan yang kadang kala mengorbankan perasaan kita demi ummah. Ada sesetengah para kader dakwah yang mula perlahan rentak perjuangan hanya kerana tidak mampu untuk berkorban. Sedangkan pengorbanan ini di tuntut terutama sekali apabila berada di pentas dakwah. 

Teringat penulis mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s terutama mengenai pengorbanan baginda yang sangat agung. Semasa baginda remaja, ayahnya menjual patung berhala dan selalu menyuruh baginda menjual patung-patung itu. Namun, kerana Allah ingin melindungi baginda, baginda tidak bersemangat menjual patung tu malah diejek lagi patung-patung itu pada pembeli dengan berkata: “siapa yang nak beli patung-patung tak berguna ni?”. Pengorbanan dan kesungguhan baginda dalam mencari kebenaran dapat dilihat ketika waktu malam, semasa melihat bintang bersinar-sinar, baginda akan berkata “inikah tuhanku?”, kemudian bila bintang itu hilang, baginda kata “aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”. Begitu juga dengan waktu siang, apabila melihat matahari, dia akan berkata:  “inikah tuhanku?” Selepas hilang sahaja, beliau berkata “wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan”. Sehinggalah Allah mewahyukan kepada baginda mengenai Zat yang sebenar iaitu “Akulah Allah tuhan sekelian alam.”

Di pendekkan cerita, Nabi Ibrahim a.s ditakdirkan tiada anak sehingga umur sekitar 80 tahun dan kemudian barulah Allah kurniakan anak. Maka sangat gembira baginda yang memang tidak sangka baginda akan mendapat anak. Kemudian Allah menguji ketaatan baginda dengan meninggalkan anak dan isteri kat padang pasir selama 7 tahun.

7 tahun kemudian...

Baginda pulang dengan perasaan yang tidak sabar untuk berjumpa anaknya. Namun, Allah ingin menguji baginda lagi untuk buktikan iman dan cintanya serta pengorbanannya kepada Allah, di perintahkan untuk keluar selama 3 tahun pula. Siti hajar menangis dan membasuh kaki suami tercinta dengan air zam-zam dan berkata (lebih kurang) : “Allah yang sama menjaga tuan dalam api, Allah yang sama juga menjaga saya dan anak tuan, maka pergilah. Apabila ini perintah Allah maka janganlah bimbang, kerana ALLAH BERSAMA KITA, ALLAH TIDAK AKAN SIA-SIAKAN KITA..

3 tahun kemudian...

Baginda pulang dengan hati yang rindu pada anak dan isteri baginda, namun sekali lagi Allah mahu menguji Nabi Ibrahim a.s untuk membuktikan cinta baginda kepada Allah melebihi segala-galanya dengan mengorbankan anaknya iaitu dengan menyembelih anaknya. Nabi ibrahim a.s diperintah bukan untuk mnyembelih seekor haiwan, tetapi diperintah untuk sembelih seorang manusia. Manusia itu bukanlah manusia yang tiada kaitan dengan baginda, tapi manusia itu adalah anak baginda yang baginda ingin berjumpa. Dan baginda melakukannya.

Baginda menjalankan perintah bersungguh-sungguh. Anak baginda, Nabi Ismail a.s berkata (lebih kurang): “Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu , agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaianku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya.”

Tetapi kekuasaan Allah melebihi segalanya, walaupun telah di cuba sembelih beberapa kali, namun anak baginda tidak cedera walau sedikit pun. Baginda mengulangi sehingga wahyu Allah dengan firmannya yang bermaksud: ”Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah Kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikan”.

Maka sebagai hadiah Allah hadiahkan seekor kibas dari langit. Subhanallah… Maha suci Allah yang menguasai setiap segala sesuatu. Menjelang minggu peperiksaan ini, telah banyak kita korbankan masa untuk belajar yang kebanyakkannya ingin mencapai keputusan cemerlang. Namun, penulis tertanya, pernah tidak kita “sembelih” perasaan cinta kita pada dunia demi Allah? Mungkin bagi pendakwah, sering kali di uji dan sering berkorban banyak perkara. Namun kita harus sedar dan ingat, banyak lagi orang sebelum kita telah berkorban demi Allah sehingga tahap kita tidak mampu memikirkannya dengan logik akal. Persoalan saya untuk di jawab sendirian, sejauh mana kita telah berkorban masa, harta, tenaga, fikiran hatta jiwa demi agama Allah? Wallahua’lam.

Ahmad Shukery Bin Azizan
Sains Kimia Tahun 2
UKM BANGI


poster promo ikhwah
picture hosting