Tuesday, 12 June 2012

Surah Al-Haqqah-Hari Kiamat!! (Bahagian 1)



Kiamat! Apakah yang tergambar di benak kalian apabila perkataan ini muncul? Adakah "Kiamat! Kiamat la! Lambat lagi. Apa masalah nya?" atau hati kalian tergetar mendengar perkataan ini? Untuk itu, Suka untuk saya kongsikan bersama kalian tentang tafsir surah Al-Haqqah ayat 1-12 kerana pada pendapat saya, ia sangat berkaitan dengan keadaan yang berlaku kala ini. Apa kaitan nya? Sudahkah anda bersedia? 
‘Al-haqqah’ (saat atau kiamat yang pasti berlaku). Apakah ‘al-haqqah’ itu? Dan tahukah kamu apakah ‘al-haqqah’ itu?(1-3)
Hampir keseluruhan surah ini menceritakan tentang pemandangan pada hari Kiamat serta peristiwa pada hari yang ‘dahsyat’ itu. Oleh itu, surah ini dinamakan dengan nama kiamat iaitu Al-Haqqah iaitu suatu yang berhak berlaku dan pasti akan berlaku! Ia merupakan sesuatu ketetapan yang muktamad.

 Kemudian, ayat kedua merupakan suatu pertanyaan yang tegas dan memandang besar apakah peristiwa itu. “ Apakah ‘al-haqqah’(saat atau kiamat yang pasti berlaku) itu?”. Kemudian bertambah rasa dahsyat tentang peristiwa itu dengan muncul soalan yang bersifat memaksa rasa jahil, mengeluarkan masalah ini daripada sempadan ilmu pengetahuan iaitu “ Dan tahukah kamu apakah ‘al-haqqah’ itu?”.

Suka untuk saya bertanya kalian. Apakah kalian mempunyai jawapannya? Masih lagi berfikir saat ini? 

Kedua-dua persoalan itu tidak terjawab sebaliknya Allah taala memulakan bicara tentang kedahsyatan dan kemusnahan yang menimpa para pendusta hari Kiamat. Hal ini menunjukkan perkara ini adalah sangat serius dan tidak dapat didustakan kerana sesiapa yang mendustakannya tidak akan dapat menyelamatkan diri. 
(Kaum) Samud dan ‘Ad telah mendustakan hari (Kiamat) yang menggemparkan dan mengharukan itu. Adapun (kaum) Samud, maka mereka telah dibinasakan dengan (jeritan) yang melampau dahsyatnya. Adapun (kaum) ‘Ad, maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang. Ditimpakan ke atas mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus, maka kamu melihat kaum itu padanya mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul-tunggul tamar yang telah lapuk. Maka adakah kamu melihat seseorang yang tinggal antara mereka? (4-8) 
Al-Haqqah adalah satu nama dari hari kiamat. Dari segi bahasa ia bermaksud mengetuk dan memukul satu benda yang ‘keras’ dengan sesuatu yang sama sepertinya. Mengetuk hati dengan kedahsyatan dan kegerunan serta mengetuk alam dengan kehancuran dan kemusnahan. Kaum Samud merupakan kaum nabi Soleh. Mereka dimusnahkan dengan jeritan yang kuat. Dalam ayat ini, jeritan tersebut hanya disebut sifatnya iaitu ‘melampau dahsyatnya’. Ribut yang sangat dahsyat sehingga tiada tempat berlindung. 

Manakala kemusnahan kaum Aad’diperincikan kisahnya. Kemusnahan kaum tersebut berlarutan sehingga 7 malam 8 hari berturut-turut dengan angin yang sejuk dan kencang bersesuaian dengan kedegilan dan keganasan kaum Aad’. Maka ayat tersebut membayangkan seolah-oleh peristiwa tersebut berlaku di hadapan mata. “maka kamu melihat kaum itu padanya mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul-tunggul tamar yang telah lapuk. Maka adakah kamu melihat seseorang yang tinggal antara mereka?“(untuk mengetahui lebih lanjut tentang kemungkaran kaum Aad’, sila baca surah Hud: 50-60 ) 
Dan telah datang Fir’aun dan orang yang sebelumnya, dan negeri-negeri yang diterbalikkan kerana kesalahan. Maka mereka menderhakai rasul (yang diutuskan oleh) Rab (Tuhan) mereka, lalu Dia (Allah) menyeksa mereka dengan seksaan yang sangat keras.(9) 

Firaun merupakan zaman nabi Musa manakala ‘negeri-negeri’ ialah penduduk kampung Nabi Lut yang dimusnahkan. Dalam ayat tersebut, Allah taala menyebut secara ringkas bahawa mereka melakukan perbuatan yang salah yang menyebabkan mereka menderhakai rasul. terdapat ramai rasul namun mereka membawa risalah yang satu maka mereka seolah-olah rasul yang satu, membawa hakikat yang satu. Kemudian Allah menyebut kesudahan mereka dalam ungkapan yang tegas 

“ lalu Dia (Allah) menyeksa mereka dengan seksaan yang sangat keras.”(10) 

Seterusnya Allah Taala melakarkan pemandangan angin taufan dan bahtera yang berlayar, yang mengisahkan kemusnahan kaum Nabi Nuh yang mendustakan rasul dan mengingatkan manusia tentang nikmat Allah apabila menyelamatkan sekumpulan manusia bersama Nabi Nuh. Kisah ini diceritakan agar menjadi pengajaran bagi telinga yang bebal dan menyetuh hati-hati yang mati. 
Sesungguhnya Kami (Allah), tatkala air telah naik melimpah-limpah, Kami (Allah) angkut kamu di dalam bahtera. Agar Kami (Allah) menjadikannya peringatan bagi kamu, dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.(11) 

Kesemua kisah ini membuatkan saya terfikir akan pelbagai bencana alam yang kerapkali menimpa bumi sejak akhir-akhir ini. Tsunami, ribut taufan, banjir, gempa bumi dan banyak lagi. 

Dan jika diamati, pada masa dahulu kes-kes keruntuhan akhlak jarang berlaku namun pada masa kini kesemua itu sudah menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat. Banyak kemungkaran berlaku ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. 

Banyak persoalan yang timbul. Apakah kesemua ini ada kaitannya? Adakah tuhan sedang memberikan amaran bahawa kemungkaran sedang berleluasa? Apakah kita juga merupakan penyumbang kepada kemurkaan tuhan sehingga bencana demi bencana silih berganti? 

Baru-baru ini, negara kita digemparkan dengan kebangkitan Lesbian, Gay, transgender, Biseksual (seperti kemungkaran kaum terdahulu) yang menuntut hak mereka. Apa tindakan kita? Perhatikan saja! Dan apakah kita ingin menjadi senasib dengan kaum-kaum yang diceritakan dalam surah ini? Sama-sama renungkan dan koreksi diri… 

Suka untuk saya bertanya kembali apakah itu Al-Haqqah. Jawapannya ada pada ayat yang berikutnya dalam surah ini. Nantikan sambungannya… 

Sumber : Husam Hamidah. 2010. Keluasan Islam. Modul Pembangunan Insan. 



Pohon Semalu Berduri, 
Fakulti Sains dan Teknologi, UKM

poster promo ikhwah
picture hosting