Thursday, 5 July 2012

Tanpa Tarbiyah Tiadalah Ukhuwah Fillah (SIRI 2)


Bermulanya lingkungan usrah dan mengubah kehidupan…

Usrah bermula dengan sebuah perkenalan iaitu ta’aruf, kemudian diikuti dengan tafahum (saling memahami) dan takaful iaitu saling tolong-menolong. Konsep ini dipelajari dengan lebih mendalam dari semasa ke semasa setiap minggu bersama naqibah. Pada mulanya Nur berasa selesa berada di dalam lingkungan usrah kerana kebanyakan daripada kawan-kawannya juga terlibat. Walaupun keselesaan yang dirasai hanyalah sekadar suka-suka bukanlah kesedaran tarbiyah itu sendiri. Akan tetapi lama- kelamaan dia mula merasa kepentingan tarbiyah di dalam kehidupannya untuk disampaikan kepada orang lain. Faktor naqibah yang sungguh bersemangat dalam menyampaikan ilmu menyebabkan Nur bertambah yakin dengan apa yang dipelajarinya. Setiap hari, amalan yang dilakukannya semakin bertambah. Mutabaah yang dibekalkan oleh naqibah diisi dengan kerap. Istighfar, qiamullail, puasa sunat, ziarah, solat dhuha semua dilakukan oleh Nur. Nur  menjadi bertambah semangat apabila dikuatkan dengan sahabat seperti Dila yang banyak membantu dalam mengubah kehidupannya menjadi yang lebih baik. Dila sering mengajaknya berpuasa sunat dan menghabiskan masa di surau dengan mengulang kaji pelajaran dan qiamullail.


Sejak itu, Nur berubah. Nur mula menjumpai dirinya yang sebenar. Dirinya yang dahulunya senang dan bahagia melakukan kebaikan. Walaupun dahulu Nur merasa gembira dengan melakukan perkara yang melanggar peraturan akan tetapi hatinya tidak tenteram. Gelisah dan takut sering kali menghantui dan membelenggu dirinya kerana secara fitrahnya manusia sukakan perbuatan yang baik. Nur mula menjauhi kawan-kawan yang dahulunya mempengaruhi dirinya untuk melakukan kesalahan. Dia lebih banyak menghabiskan masa bersama Dila dan sahabat-sahabat usrah yang lain melakukan aktiviti berfaedah di surau.

Perubahan Nur menimbulkan tanda tanya kepada kawan-kawan ‘dorm’nya seperti Alia, Zai dan Ekin. Mereka hairan melihat perubahan Nur yang secara mendadak tidak lagi menyokong dan mengikut perbuatan yang sering mereka lakukan. “Wah Nur sekarang dah sombonglah. Dah tak nak berkawan dengan kami lagi, mentang-mentanglah dah masuk usrah.” Ujar Zai. Nur hanya mendiamkan diri kemudian, Nur menjawab “Tak adalah aku cuma nak lebih tenang dan tenteram je. Aku masih macam dululah, tak pernah berubahpun. (Sambil tersenyum) Eh dah 6.45 ni, jom pergi surau baca ma’thurat sama-sama lepas tu maghrib berjemaah. “Tak pelah kau pergi dulu, nanti kami datang.” Ujar Ekin yang agak periang dan suka tersenyum akan tetapi seorang yang kuat menyindir. Semakin hari, Nur semakin menjauhkan diri daripada kawan-kawan ‘dorm’nya kerana sindiran demi sindiran yang didengari daripada kawan-kawannya tentang perubahan dirinya semenjak mengikuti program usrah. Bukan hanya Nur yang disindir dan diperli akan tetapi sahabat usrah satu ‘dorm’nya juga Nadiah dan Fatimah mengalami hal yang sama. Nur dilantik sebagai imam surau dan tanggungjawabnya menjadi lebih besar apabila sebagai imam, Nur perlu lebih bijak menarik kawan-kawan ‘dorm’nya untuk solat di surau. Setiap hari, dua orang daripada ahli surau akan ditugaskan untuk memanggil semua jemaah di aras tersebut untuk sama-sama menunaikan solat di surau. Apa yang berlaku adalah ahli ‘dorm’ Nur sering kali mengabaikan ajakan tersebut dan tidak menghiraukannya. Ramai yang mengadu tentang sikap mereka yang agak biadap dan tidak menghormati orang lain. Nur berasa sedih dan terkilan dengan sikap kawan-kawan ‘dorm’nya itu. Dia merasakan bahawa perkara tersebut sangat tidak patut sebagai pelajar sekolah agama. Walaupun mereka hanya tidak solat di surau dan kesalahan itu tidaklah besar akan tetapi sepatutnya mereka lebih tahu bahawa solat berjemaah itu besar pahalanya di sisi Allah.

Kadang-kadang Nur diperli oleh kawan-kawan ‘dorm’nya apabila hendak tidur di surau untuk qiamullail bersama sahabat usrahnya. Pernah satu ketika Nur berasa tidak tahan dengan sindiran tersebut dan membuat keputusan untuk tidak tidur di ‘dorm’nya lagi. Akan tetapi perkara tersebut ditegah oleh sahabat-sahabatnya kerana perbuatan itu melanggar peraturan yang ditetapkan. Walau bagaimanapun Nur rasa bersyukur kerana walaupun pelbagai ujian yang dialaminya akan tetapi Allah menganugerahkan dia sahabat-sahabat yang saling menyayangi antara satu sama lain dan saling bantu-membantu dalam apa juga keadaan. Apa yang lebih penting adalah ukhuwah tersebut semata-mata kerana Allah (ukhuwah fillah). “Sabarlah Nur, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Allah tak akan membebani hambanya kalau mereka tidak mampu. Percaya dan yakinlah Allah pasti bersama kamu. Keputusan yang dibuat untuk berada dijalanNya bukan mudah dilalui. Ia memerlukan hubungan yang kuat dengan Allah. Aku doakan segala-galanya dipermudahkan.” Kata Dila kepada sahabatnya. Keakraban Dila dan Nur semakin padu dan Nur berasa sangat bersyukur dikurniakan sahabat seperti Dila.

Kini, Nur tetap tegar dengan pendirian dirinya. Dia berjanji tidak akan mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif ke dalam dirinya lagi. Kecekalannya dalam acuan tarbiyah menyebabkan dia bertambah tahu dan yakin mengapa Allah menjadikan manusia di muka bumi ini. Tanggungjawab sebagai seorang da’ie/khalifah dalam menyampaikan ilmu yang dipelajari dan mengamalkannya dengan cara yang betul dan menepati syariat Islam. Tugas umat Islam adalah penyambung risalah nabi bukanlah pemula atau pengakhir. Naqibahnya Ukhti Rita dan Ukhti Aisyah sangat menegaskan soal mutabaah dan apa yang perlu disumbangkan kepada agama. Ukhti Aisyah selalu berpesan, “ Janganlah kita fikirkan apa yang telah Islam beri kepada kita tapi fikirkanlah apa yang telah  kita beri kepada Islam?” Subhanallah. Persoalan itu sentiasa bermain dibenak fikiran Nur. Dia semakin kuat untuk berhujah kepada kawan-kawan kenapa dan apa pentingnya tarbiyah dalam kehidupan kita. Sedikit demi sedikit Nur cuba membetulkan keadaan. Nur cuba mengeratkan kembali jalinan mesra dengan kawan-kawan ‘dorm’nya seperti dahulu. Dia tidak mahu memutuskan silaturahim yang dibina. “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara” (al-Hujurat:10). Ayat itu yang dipegang oleh Nur apabila dia sering merasa geram dan sakit hati dengan sikap kawan-kawanya itu. Dia mahu menjadi seorang yang dapat mempengaruhi orang lain bukan lagi seorang yang mudah dipengaruhi. Apa sahaja ilmu yang diterima dalam usrah, Nur akan berkongsi dengan kawan-kawan ‘dorm’nya pada ketika  waktu senggang atau ketika waktu makan, dia akan membuka topik-topik yang lebih bermanfaat dan tidak semata-mata perkara yang lagha.

Ketika Nur sedang sibuk dengan program usrah dan sebagainya, dia sering mengabaikan pelajaran. Walaupun berada di kelas pertama iaitu kelas Mumtaz (cemerlang) akan tetapi Nur gagal untuk fokus dan sering tidur di dalam kelas. Perkara tersebut menjadi buah mulut kawan-kawannya yang tidak mengikuti program usrah, seolah-olah mereka mengatakan usrah banyak menyebabkan pelajaran pelajar terganggu. Sehingga satu ketika naqibah usrah menasihati Nur dan ahli usrah yang lain supaya menjaga nama usrah. Jangan biarkan orang lain (yang tidak masuk usrah) melihat kerja dakwah ini menyebabkan kita gagal. Tidak, sepatutnya kita perlu lebih cemerlang daripada mereka. Kita lebih mulia dan lebih disayangi Allah kerana membela agamanya. Bermula dari itu, Nur memegang pada ayat Allah, mafhumnya “ Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sehingga dia mengubah dirinya sendiri”. Nur merasakan sekiranya dia tidak mengubah dirinya yang dahulu maka terus meneruslah dia akan berada pada takuk yang sama. Mungkin akan jadi lebih teruk dari itu. Berkat kesungguhan Nur belajar dan mentalaah pelajaran bersama kawan-kawannya serta doa yang tidak pernah putus, pada peperiksaan akhir tahun tingkatan enam, Nur telah berjaya mendapat pangkat Mumtaz. Dia bersyukur kerana setiap kegagalan yang dialaminya sebelum ini menjadi penyuntik semangat kepada kecemerlangannya pada masa kini. Benarlah kata-kata hikmah orang Arab (hukama), “ Man jadda wa jada”. Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan berjaya.

Beberapa minggu sebelum tamat persekolahan (akhir tahun), Nur meminta maaf kepada kawan-kawan ‘dorm’nya atas segala perkara yang berlaku. Pada hari itu, kawan-kawannya juga merasa terharu dan mula meringankan langkah solat lima waktu di surau dan mulai berubah sedikit demi sedikit. Nur bersyukur kerana Allah telah membuka hati nurani mereka untuk cuba melangkah ke arah yang lebih baik. Kerana kejadian itu, sahabat-sahabat usrah Nur dan kawan-kawan yang lain juga bertambah senang dengan sikap mereka (kawan ‘dorm’ Nur). Jalinan mesra mulai berputik dan terus mekar sehingga penghujung akhir tahun persekolahan. Sehinggakan perpisahan yang bakal berlaku ketika itu sungguh menyakitkan. Subhanallah. Begitulah kalau ukhuwah yang dibina atas nama Allah pasti kemanisannya dapat dirasai. Malam terakhir di asrama sebelum para pelajar pulang ke rumah masing-masing, mereka telah mengadakan jamuan perpisahan dan lagu Doa Perpisahan dendangan kumpulan Brothers dinyanyikan beramai-ramai dengan penuh rasa hiba. Kenangan yang tercoret semasa di sekolah tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Bertemu dan berpisah kerana Allah. Ucapan Nur kepada Dila yang menjadi sahabat rapatnya “Selamat berjuang sahabatku semoga Allah berkatimu kenangan indah bersamamu takkan ku biar ia berlalu. Berjuanglah hingga ke akhirnya dan ingatlah semua ikrar kita (bait lagu Selamat Berjuang) .”

Bait-bait lagu Doa Perpisahan:

Pertemuan kita di suatu hari
Menitikkan ukhuwah yang sejati
Bersyukurku kehadap Illahi
Di atas jalinan yang suci
Namun kini perpisahan yang terjadi
Dugaan yang menimpa diri
Bersabarlah diatas suratan
Kutetap pergi jua
Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Allah bantulah hamba-Mu

Mencari hidayah dari pada-Mu
Dalam mendidikan kesabaranku
Ya Allah tabahkan hati hamba-Mu
Diatas perpisahan ini
O.. uwo.. ho..
Teman betapa pilunya hatiku
Menghadapi perpisahan ini
Pahit manis perjuangan
Telah kita rasa bersama
Semoga Allah meredhoi
Persahabatan dan perpisahan ini
Teruskan perjuangan
Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Allah bantulah hamba-Mu
Senyuman yang tersirat di bibirmu
Menjadi ingatan setiap waktu
Tanda kemesraan bersimpul padu
Kenangku di dalam doamu
Semoga… Tuhan berkatimu”
Oo.. ho.. o…

Nurul Hajjar Binti Atan (Ukhti Ansarullah)
Komunikasi dan Dasar Awam
UKM.

poster promo ikhwah
picture hosting