Thursday, 12 July 2012

Agama itu Nasihat


 

: قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي أَنَّ النَّبِيَّ

المُسْلِمِيْنَ، وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ،:قَالَ لِمَنْ؟ :قُلْنَا الدِّیْنُ النَّصِيْحَةُ ))

           (( وَعَامَّتِهِمْ

(HR Bukhari dan Muslim)

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, daripada Abu Ruqayah Tamim ad-Dari r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda,“Agama adalah nasihat.” Kami bertanya,“Untuk siapa?” Baginda bersabda,“Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan untuk pemimpin kaum muslimin dan rakyat-Nya.”

 Hadis ini menerangkan tentang maksud ad-Din (agama) yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w agar dapat dijadikan panduan dan amalan oleh setiap umat Islam yang mengaku dirinya telah beriman kepada Allah dan RasulNya. Ad-Din atau cara hidup yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam dan agama-agama yang lain kesemuanya tidak diterima oleh Allah.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 19 yang bermaksud:

 “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”

Menerusi hadis tersebut, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa salah satu daripada ciri-ciri agama adalah nasihat menasihati di antara satu sama lain. Nasihat ialah melafazkan kata-kata yang baik untuk tujuan kebaikan. Dalam konteks hadis di atas nasihat yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w merangkumi lima perkara iaitu nasihat bagi Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin kaum muslimin dan orang ramai. Antara contoh maksud nasihat bagi lima perkara tersebut:

-Bagi Allah s.w.t – Setiap orang Islam hendaklah benar-benar beriman kepadaNya dengan membesarkan dan mengagungkanNya, menjauhi daripada sebarang sifat yang boleh menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain.
 -Bagi kitabNya – Beriman sepenuh hati terhadap kebenaran Al-Quran serta sentiasa beramal menuruti petunjuk yang terkandung di dalamnya.
-Bagi Rasul – Membenarkan kerasulannya dengan penuh yakin, mempercayai semua risalah bawaannya, mematuhi suruhan dan larangannya , membela agamanya serta berusaha dan menegakkan sunnahnya.
-Bagi pemimpin – Menolong dan menyokong mereka dalam menegakkan kebenaran dan keadilan, akur kepada mereka dalam hal-hal yang menjurus kepada kebaikan, tegur mereka dengan cara yang sopan sekiranya mereka menyeleweng.
-Bagi manusia keseluruhannya – Memimpin mereka ke jalan yang benar, mengajar mereka jika tidak mengerti, menyuburkan budaya tolong-menolong  pada melakukan perkara –perkara yang baik dan mewujudkan rasa saling menghormati  dalam kalangan masyarakat.

Keberkesanan nasihat yang diberi oleh seseorang kepada seseorang yang lain berkait rapat dengan peribadi pemberi nasihat. Justeru, pemberi nasihat hendaklah lebih dahulu sentiasa menunjukkan contoh yang baik.

-NurCahaya-
Sains Makanan dan Pemakanan
UKM

poster promo ikhwah
picture hosting