Monday, 23 July 2012

KEHALUSAN GODAAN SYAITAN DALAM MENYESATKAN MANUSIA


Pada zaman dahulu, terdapat seorang ahli ibadah dalam kalangan bani Israel yang amat tekun beribadah kepada Allah berpuluh-puluh tahun. Kerajinnya beribadah sudah diketahui oleh seluruh penduduk di kampung itu. Dia adalah yang paling banyak beribadat pada masa itu. Di sebelah rumahnya tinggal tiga lelaki bersaudara bersama-sama seorang saudarinya. Pada suatu hari, negara mereka mengalami peperangan dan kudrat orang muda diperlukan untuk mempertahankan negara. Seluruh  pemuda dikerah termasuk juga tiga lelaki bersaudara ini. Satu perkara bermain di fikiran saudara  yang sulung iaitu siapa yang akan menjaga kebajikan saudari perempuannya. Mereka sepakat untuk menyerahkan saudarinya kepada ahli ibadah itu.

Dengan penuh keyakinan terhadap amalan ahli ibadah itu, mereka meminta agar diterima amanah untuk menjaga saudari mereka. Pada mulanya ahli ibadah itu takut untuk menerima kerana bimbang akan kemurkaan Allah. Setelah dipujuk , ahli ibadah itu terpaksa menerima saudari mereka untuk tinggal bersama di rumah ahli ibadah tetapi di bilik dan tingkat yang berbeza. Mereka akan menjemput semula saudarinya selepas peperangan tamat. Akhirnya gadis tadi tinggal di bilik bawah biara ahli ibadah itu.

Syaitan cukup sabar dan sentiasa membuat ahli ibadah itu berasa senang melakukan kebaikan. Syaitan memulakan tipu muslihatnya dengan berkata, "Andai engkau meletakkan makanan di depan biliknya pasti pahalamu semakin banyak." Syaitan terus memujuknya sehingga dia berjalan mendekati bilik si gadis dan meletakkan makanan tanpa berbicara sepatah pun. 

Setelah beberapa lama melakukan hal sedemikian, syaitan menambah tipu dayanya untuk terus melakukan kebaikan dengan berbisik, "Andai engkau dapat meletakkan makanan sehingga ke dalam bilik gadis tersebut tetapi tanpa berbicara dengannya pasti engkau mendapat pahala yang lagi besar." Ahli ibadah itu terpedaya dengan pujukan syaitan sehingga perkara itu berlaku beberapa lama. Syaitan amat berpuas hati akan strateginya untuk menghancurkan ahli ibadah itu.

Selepas itu, syaitan menambah tipu daya seterusnya iaitu menganjurkannya menghantar makanan dan kemudian berbicara perihal agama dengan gadis tersebut. Syaitan menambah lagi, ini pasti akan membuatkan kamu dan gadis itu lebih bertambah ilmu pengetahuan dan pasti akan mengembirakan hatinya setelah lama berseorangan dalam bilik di bawah biara. Tipu daya syaitan diterima oleh ahli ibadah walaupun mereka berbicara dibatasi dengan dinding bilik yang memisahkan. Bermula dari perihal agama sehingga perihal peribadi diceritakan.

Pada ketika mereka mula-mula berbicara dan berbincang, mereka dibatasi dengan jarak jauh yang memisahkan, ahli ibadah akan duduk di depan pintu biara dan gadis itu akan keluar dari biliknya dan duduk di pintu untuk berbicara. Perkara itu berlaku beberapa lama. Dari permulaan berbicara di luar pintu biara, ahli ibadah digoda oleh syaitan supaya semakin dekat dengan pintu bilik gadis itu sedikit demi sedikit tanpa gadis itu keluar dari bilik. Godaan syaitan kepada ahli ibadah itu hanyalah mengajaknya tertipu dengan kebaikan yang dianjurkan syaitan.

Setelah sekian lama berbincang dari luar pintu bilik, syaitan menggoda lagi dengan berkata, “ Andai lebih baik jika engkau masuk ke dalam bilik gadis itu dan berbincang dengannya tanpa diketahui oleh seseorang pun pasti akan menggembirakan hatinya.” Sehari suntuk ahli ibadah itu menemani si gadis di dalam biliknya. Ketika hari beransur senja barulah dia naik ke tingkat atas untuk beribadat pula kepada Allah seperti hari kebiasaan.

Iblis masih mendatangi ahli ibadah dan memujuknya sehingga berani memegang dan memeluk gadis itu. Iblis terus menipu mengatakan hal itu adalah kebaikan sehingga dia berzina dengannya dan akhirnya gadis itu mengandung anak luar nikah. Selepas si gadis melahirkan anak, iblis membisik, "Apa pendapatmu sekiranya saudara-saudara lelaki mengetahui bahawa saudari mereka telah melahirkan anak kamu? Apa yang hendak engkau lakukan dan pastinya perkara ini akan menjatuhkan maruah kamu sebagai ahli ibadah kerana telah berzina jika melihat kelibat bayi itu. Oleh itu, hendaklah kamu membunuh bayi itu untuk menutup berita keaibanmu." Ahli ibadah itu menuruti arahan iblis.

Setelah itu, iblis sekali lagi mendatangi dan menghasut pula supaya membunuh gadis itu kerana bimbang akan gadis itu memberitahu kepada saudaranya tentang tindakanmu yang telah berzina dan membunuh anaknya. Iblis mengatakan pasti si gadis tidak akan menyembunyikan berita tersebut. Lantas sang ibadah terus membunuh si gadis pula dan menguburkannya bersama-sama anaknya. Ahli ibadah tadi berasa senang akan tindakannya dan iblis memberitahu supaya membuat helah jika saudara gadis itu bertanya tentang kematian saudarinya. Ahli ibadah kembali ke biaranya dan beribadat seperti biasa.

Setelah beberapa hari kemudian, saudara-saudara lelaki itu pun pulang dari peperangan dan bertanya perihal saudarinya. Ahli ibadah menangis dan menunjukkan belas kasihan lantas menunujukkan kuburnya. "Dia adalah seorang wanita yang paling baik", kata ahli ibadah. Mereka menziarahi kubur saudari mereka yang ditanam di dalam kawasan biara ahli ibadah.

Pada malam harinya, syaitan telah mendatangi mereka bertiga melalui mimpi. Syaitan menjelma sebagai seorang musafir dan menceritakan perihal sebenar yang berlaku. Syaitan memberitahu bahawa ahli ibadah telah menyetubuhi saudarinya sehingga melahirkan anak dan terus membunuh kedua-duanya. Pagi keesokkannya, tiga bersaudara ini bercerita perihal mimpi masing-masing dan terkejut kerana mimpi mereka bertiga sama. Lantas, saudara yang sulung bernekad untuk menyiasat dan mendapati bahawa mimpi mereka bertiga adalah benar. Mereka telah menjumpai mayat seorang bayi di sebelah mayat saudarinya di dalam kubur yang sama.

Mereka menemui ahli ibadah dan memaksa untuk menceritakan perkara sebenar. Tanpa sebab lain dia mengakuinya kerana godaan syaitan. Mereka membawa ahli ibadah itu untuk disalib. Tatkala ahli ibadah itu sedang diikat, syaitan datang menjalankan tugasnya yang terakhir. "Tentunya engkau mengetahui bahawa sebenarnya akulah yang telah menggodamu dengan kehadiran wanita itu, lalu engkau membuatnya mengandung, dan membunuh dia dan anaknya. Jika pada saat ini engkau tunduk kepadaku dan kufur kepada Allah, aku akan selamatkanmu dari bahaya", bisik syaitan.

Maka ahli ibadah itu menyatakan kufur kepada Allah mengharapkan syaitan melepaskannya tetapi syaitan terus meninggalkannya begitu sahaja. Tanpa membuang masa, tiga bersaudara telah menyalibnya dan ahli ibadah tadi mati dalam keadaan kufur.

Amirul Hakimi
Pelajar Tahun 2 Sains Bahan
Fakulti Sains dan Teknologi

poster promo ikhwah
picture hosting