Thursday, 12 July 2012

Ramadhan Datang Lagi!!



Jumaat: 7.45 malam
Maka dengan ini, saya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Adalah dengan ini mengisytiharkan bahawa satu  Ramadan telah ditetapkan pada hari sabtu bersamaan dengan….

“Alhamdulillah esok puasa.” Ucapan syukur yang keluar dari setiap bibir akhawat yang mendengar pengumuman pada malam itu. Ramadan amat bermakna dan sangat dinanti-nantikan oleh setiap individu Muslim yang benar-benar ikhlas untuk berhijrah dan mencari keredaan semata-mata kerana-Nya. “Mari siap-siap kita ke masjid untuk solat Terawih”. Ujar salah seorang akhawat yang berada di rumah tersebut. Kesemua akhawat mempamerkan wajah yang ceria dan segera menuju ke masjid. Pada keesokan paginya, mereka bersahur bersama-sama. Kemudian…

11.30 pagi…
“Fatimah, petang ni enti plan nak masak apa ya.? Ana nak ke Econsave beli barang-barang dapur kejap lagi.” Soal Sofea yang sedang mengambil jubah dan tudungnya untuk bersiap-siap ke pasaraya. Sementara itu, Fatimah sedang duduk di kerusi meja tulisnya sambil mengadap komputer dan melayari internet. 
“Ana sedang cari menu yang sesuai ni. Semua resepi yang ada di internet sedap-sedap belaka sampai tak tahu nak pilih masakan yang mana.” jawab Fatimah sambil menggaru-garu kepalanya yang dalam kebingungan.
            Muncul Wardah yang baru sahaja keluar dari penjuru bilik menuju ke arah Fatimah lalu berkata, “Mari ana tolong pilihkan menu yang sesuai untuk kita petang ni. Memandangkan ini iftar pertama di bulan Ramadan dan kita pun ada menjemput adik-adik usrah yang lain, apa kata kita masak bubur lambuk yang paling sedap di dunia.” Sambil mengenyitkan mata ke arah Fatimah.
“Bubur lambuk? Ana kurang tahu masak bubur lambuk, selalunya kalau ana masak mesti bubur itu terpekat atau terlalu cair. Tak sedap nanti.” Balas Fatimah yang merasa ragu-ragu untuk memasak menu tersebut. “Jangan risau sahabatku, pasti Allah akan membantumu. Kita kan ramai akhawat yang hebat memasak. Betul tak Sofea?” ujar Wardah kemudian memaling ke arah Sofea. 
“Benar kata Wardah, akhawat kan saling membantu antara satu sama lain. Ingat Fatimah kita kan serumah, di sini tiada istilah nafsi-nafsi. Apa sahaja yang kita lakukan pasti akan dibantu yang lain bukan hanya dalam urusan pentarbiyahan saja.” Balas Sofea yang sedang menuju ke arah Fatimah dan Wardah kemudian meletakkan tangan ke atas bahu Fatimah sambil tersenyum.
Fatimah antara akhawat baru yang berpindah di rumah tersebut. Sebelum membuat keputusan berpindah ke rumah itu, Fatimah tinggal di asrama kolej pengajiannya. Di sebabkan yuran yang terlalu mahal dan ditambah pula dengan tuntutan dakwah yang menjulang, Fatimah reda untuk tinggal bersama akhawat walaupun keluarganya tidak suka dia tinggal di rumah sewa. Semangat ukhuwah dan dakwah yang melonjak membuatnya kuat untuk bersama-sama akhawat fillah menerajui arus kehidupan yang penuh pancaroba.

4.30 petang
(Di tingkat atas) Fatimah sedang turun ke bawah lalu melihat Wardah, Nafisah dan Sofea sedang tidur. Kemudian Fatimah membangunkan mereka. “Ukhti Wardah, bangun dah 4.30 ni. Jom sedia untuk masak iftar.” Wardah tetap tidak menyedarkan diri, kemudian Sofea dan Nafisah tersedar sebaik sahaja mendengar sahutan panggilan Fatimah terhadap Wardah. “Tak apa Fatimah, biarkan Wardah tidur sebentar lagi sebab tadi dia penat mengemas dapur.” Ujar Sofea. 
Fatimah asyik menghabiskan masanya dengan membaca al-Quran di dalam biliknya selepas zuhur kerana itu, dia tidak sedar bahawa Wardah sibuk mengemas dapur. “Oh kalau begitu, bila kita nak mulakan memasak kak Sofea?” Soal Fatimah. “Sebenarnya tadi, Wardah sudah memasak bubur lambuk sebaik sahaja selesai solat zuhur. Kemudian dia terus mengemas dapur. Masak bubur tu perlukan masa untuk tunggu ia mendidih dan supaya lebih lemak selepas dimasukkan santan. Lepas ini kita boleh masukan sayur dan bahan-bahan rencahan lain. Kemudian kita boleh sediakan juadah lain pula. Tadi kak Sofea ada belikan nugget, nanti kita goreng ya.” Balas Nafisah apabila melihat Fatimah yang merasa keliru untuk memulakan masakan. 
Fatimah masih belum mahir untuk memasak dan berdikari. Ini pertama kalinya dia tinggal sendiri. Kerana itulah ibunya kurang setuju apabila dia membuat keputusan untuk tinggal di rumah sewa. “Oh begitu? Ana minta maaf sebab tak bantu memasak tadi. Ana ingat kak Wardah nak masak waktu asar.” Ujar Fatimah yang kelihatan rasa bersalah kerana tidak turut serta memasak juadah berbuka puasa. “Tak apa Fatimah, enti tolong masak juadah yang lain ya.” Balas Sofea yang mahu menyedapkan hati Fatimah. Kemudian Wardah bangun sebaik sahaja azan Asar berkumandang.
“Hurm kenapa antunna semua, ada masalah ke? Bubur lambuk ana macam mana?” ujar Wardah secara tiba-tiba dan terus bangun menuju ke dapur. “Jangan risau Wardah, ana dan tengokkan tadi. Okey je nampak menarik dan sedap.” Ujar Nafisah sambil tersenyum. “Alhamdulillah, risau ana kalau bubur ni hangit.” 
Wardah menjawab dengan perasaan lega. “Mari solat asar!” celah Fatimah kepada akhawat yang lain. “Oh ya dah masuk waktu, mari kita jemaah sama-sama. Semoga di bulan yang mulia ni akan lebih bertambah pahala akhirat kita, insya-Allah.” Balas Sofea yang sedang mengambil telekung selepas berwudhu’.

Waktu berbuka 7.25..
7.00 petang…
Kesemua juadah telah terhidang. “Alhamdulillah selesai sudah semua juadah di masak untuk berbuka.” Ujar Wardah. “Akhawat semua, sementara tunggu waktu berbuka, mari kita sama-sama baca ma’thurat dan berdoa. Mudah-mudahan beberapa minit sebelum berbuka ni adalah waktu doa yang mustajab.” Celah Sofea yang sering mengetuai bacaan ma’thurat. Semua akhawat berkumpul dalam halaqah dan memulakan bacaan. Sementara itu, Nafisah keluar ke kampus untuk mengambil adik-adik usrah yang dijemput untuk iftar jamaie.

7.25 malam…
Allahu akbar Allahu akbar….
“Alhamdulillah, dah azan. Mari kita berbuka.” Ujar Fatimah kepada semua akhawat yang bersama-sama untuk berbuka puasa. Iftar dimulakan dengan sebiji kurma kerana mengikut sunah Nabi SAW. Kemudian semua akhawat memakan juadah berbuka puasa dan bersegera menunaikan solat maghrib berjemaah. Pada malam itu, akhawat telah menetapkan siapa yang akan menjadi imam untuk solat maghrib, isyak dan solat sunat terawih. Pada selang empat rakaat solat sunat terawih, rohani diisi dengan tazkirah ringan oleh Ukhti Zura yang menjadi undangan khas.

SubhanAllah. Sungguh indah tajuk yang dibawa pada malam itu. ‘Bulan Allah’. Seolah-olah setiap mujahidah yang berada di situ merasa sangat tawaduk dan merendah hati. Allahu Akbar. Indahnya Ramadan. Walaupun aktiviti seperti itu boleh sahaja dilakukan pada hari-hari biasa akan tetapi kelazatan nur Ramadan itu sungguh berbeza. Tiada tolok bandingnya. Bulan yang penuh barakah. Bulan yang di dalamnya pelbagai peristiwa yang berlaku. Bulan di mana Allah telah menurunkan al-Quran dan mensyariatkan solat Fadhu ke atas setiap umat Islam. Ia juga bulan yang terkandung di dalamnya malam seribu bulan yang semua makhluk di muka bumi ini akan rukuk dan sujud kepada Allahu Azzawajalla. Allahu Rabbi itulah Ramadan Kareem yang dinanti-nantikan oleh mujahid fi sabilillah.


Nurul Hajjar Binti Atan (Ukhti Ansarullah)
Komunkasi dan Dasar Awam
UKM

poster promo ikhwah
picture hosting