PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Friday 29 March 2013

Di Sebalik Duri Jalanan

Di Sebalik Duri Jalanan



Kenapa ada golongan manusia sanggup bersusah payah melakukan kebaikan padahal perbuatan baik itu acapkali tidak mendapat balasan baik di dunia?

Kadang-kadang terasa ingin menyerah kalah dan tidak sanggup meneruskannya. Adakah kita pernah tertanya bahawa perbuatan kita akan di nilai oleh Allah s.w.t sama ada baik ataupun buruk? Perasaan yang tidak asing lagi bagi insan bernama manusia. Manusia yang sering berbolak balik hatinya. Manusia yang sering kali lupa akan tujuan dia dihidupkan di bumi dan perlu sentiasa di ingatkan.

Apabila iman rapuh, manusia akan mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan saudara Islamnya yang lain. Iman itu sesungguhnya berkadar terus dengan kasih sayang. Apabila iman mantap, pasti persaudaraan dan kasih sayang turut mantap.

Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara” – Al-Hujurat 49:10

Dan dalam menghadapi kehidupan dunia, manusia akan di uji. Ujian datang dengan banyak cara. Ada yang diuji dengan kemiskinan, bala bencana, ketakutan dan juga kekayaan. Setiap yang bernama manusia itu, tidak akan terlepas daripada ujian Allah saat hidup di muka bumi ini.
Cuma ujian bagi setiap insan berbeza dengan insan yang lain. Ada kalanya dalam melakukan perkara kebaikan pun kita akan di uji. Ada kalanya kita ditimpa musibah. Sesungguhnya Allah tidak akan membebani sesuatu kaum itu melainkan mereka mampu menghadapinya.

Bagaimana untuk menghadapi ujian yang datang. Sabar adalah kunci kehidupan yang tenteram. Musibah yang hadir tidak akan menggugat sekelumit iman yang tertanam di dalam hati. Rasulullah s.a.w bersabda:

..Dan apabila dia tertimpa kesusahan, dia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Seterusnya yakinlah akan ada hari pembalasan kelak dan setiap perbuatan yang dilakukan akan ditimbang. Sesungguhnya jalan menuju ke syurga dipagari dengan kesusahan dan jalan ke neraka dipenuhi dengan kesenangan.

Setiap kebaikan walau sebesar zarah akan mendapat pembalasan. Janji Allah bagi setiap kebaikan ialah pahala dan syurga serta keampunan-Nya pada hari akhirat. Biarlah manusia dan dunia tidak memberi pujian, ganjaran dan penghargaan tetapi Allah pasti akan membalasnya di ‘sana’.

Siti Solehah Bt Azaman
Aktivisme PEMBINA
UKM

Sebuah Pertemuan #Bhg 1


SEBUAH PERTEMUAN



Dari kejauhan, mataku mencari-cari bayangan ‘kak Fatimah’. Langkah terus dihayun ke arah kafe, tempat perjumpaan seperti yang dijanjikan semalam. ‘Kak Fatimah’. Tergelak bila teringat nama itu. Hanya aku yang memanggilnya dengan nama itu tapi tanpa pengetahuannya. Wajahnya seiras senior di sekolahku, sangat seiras dan pertemuan dengannya semalam menjadi sebab mengapa diri ini keluar pagi-pagi menuju ke kafe D yang mengambil masa 10 minit berjalan kaki dari blokku.

*********************************************************************************
“Akak dah nak balik ke?” tanyaku sewaktu terserempak dengan ‘Kak Fatimah’ di lorong wing B. Fasi-fasi sudah mula sibuk untuk pulang setelah hampir seminggu menguruskan minggu orientasi kami. Aku jangka begitu juga ‘kak Fatimah’.
Senyuman berbalas senyuman. “A’ah, akak dah nak balik. Siapa nama ni?”
“Insyirah” jawabku dan “Iman Sofia” jawab rakanku.
“Nama akak siapa?” tanya Iman.
“Nama akak Hidayah. Panggil kak Dayah je,” ujarnya sambil tersenyum.
“Nak nombor telefon Insyirah dan Iman boleh?” tanya kak Fatimah a.k.a kak Hidayah.

*********************************************************************************

“Insyirah!” Ada suara memanggil. Kelihatan seorang perempuan berjaket melambai-lambai tangannya ke arahku.
Ada beberapa orang perempuan selain kak Hidayah di situ dan aku rasa mereka adalah pelajar matrik juga, sama denganku. “Kak Dayah,” aku menyahut panggilannya tadi dan menghulurkan tangan kepadanya. Kami bersalaman.
“Ini kak Nur, Dia yang akan bawa usrah nanti,” ujar kak Hidayah sambil tangan kanannya ditujukan kepada sesusuk tubuh. Senyuman ikhlas kak Nur disambut mesra olehku.

*********************************************************************************

Lagu ‘Open Your Eyes’ tiba-tiba memecah kesunyian. Telefon bimbitku bergetar. Itu tandanya ada yang menelefonku. ‘Siapalah agaknya yang call ni?’ Aku mencapai telefon dan melihat ke skrin telefon. Tertera tulisan ‘Hq-kak Nur’. Cepat-cepat aku menekan butang untuk menjawab panggilan.
“Assalamualaikum Insyirah.” Kudengar nada ceria dihujung sana.
“Waalaikumussalam kak Nur,” jawabku gembira.
“Sobahannur!”
“Alhamdulillah………”
“Eh…”
“…….Sobahul khoir,” balasku.
Ketawanya kedengaran. “Akak ingatkan Insyirah nak jawab Alhamdulillah sihat.”
“Hari ni macam biasa ye ada usrah. Dalam pukul 12.30 nanti akak sampai. Kita makan dulu dan solat zohor berjemaah baru buat usrah ye. Akak dah beritahu yang lain juga. Datang ye,” ujar kak Ummi.

‘Alamak assignment banyak ni. Tutorial pun tak siap lagi. Macam mana ni?’ Hatiku berat untuk pergi kerana banyak kerja yang perlu disiapkan. Tinggal hari ini sahaja, esok sudah mula kelas.

“Ermm.. kak Nur, saya tak dapat pergilah kak.” Rasa serba salah ingin memberitahunya.
“Kenapa? Ada apa-apa hal ke?” tanya kak Ummi.
“Saya nak siapkan assignment. Banyak lagi tak siap.”
“Oh ye ke. Nak kena hantar next week ye? Ok akak janji hari ini kita buat usrah sekejap je. Lepas solat kita buat dalam 1 jam je. Bolehkan Insyirah?” Pertanyaannya mengharapkan aku bersetuju. Hatiku seperti diikat. Dan akhirnya, “Ok kak.”

Bukan sekali sahaja aku pernah berniat untuk tidak datang ke usrah tapi berkali-kali. Memang berat untuk tinggalkan homework yang menimbun. Lagi berat hatiku untuk ke usrah bila waktu peperiksaan semakin hampir. Walaupun niat untuk tidak ke usrah sentiasa ada tapi aku gagahkan juga untuk ke sana. Tak sanggup menolak ajakan kak Nur setiap minggu. Setiap kali datang ke usrah, ayat ini sentiasa diulangnya, ‘Mari kita tajdid niat, sama-sama refresh niat. Antunna datang usrah kerana Allah bukan kerana kasihan pada akak sebab akak datang dari jauh, bukan untuk saja-saja mengisi waktu lapang, bukan atas rasa keterpaksaan.’ Sangat tersentuh dengan ayat itu. Niat perlu sentiasa diperbetulkan.

                                                                                                                       akan bersambung..............

Monday 11 March 2013

JBH#2-ANTARA AKU DAN 'DIA'



BANGI, 6 Mac – Program Jom Bina Hati kali ini menjemput aktivis PEMBINA, Ustazah Wan Anisah bagi membincangkan tajuk ‘Antara Aku dan Dia’. Beliau menyifatkan ‘aku’ dan ‘dia’ merujuk kepada hubungan antara manusia dengan Pencipta. Manusia sebagai khalifah Allah berperanan untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menjalankan segala perintah dan menjauhi laranganNya.

Sebelum beliau mengupas dengan lebih lanjut tajuk ini, hadirin diperkenal kan dengan perkataan aqada yang bermaksud ikatan yang kukuh. Hubungan Pencipta dengan manusia diikat dengan aqidah. Aqidah itu sendiri bermaksud, kepercayaan dan keyakinan yang teguh akan kewujudan Allah S.W.T dan sifat-sifat kesempurnaanNya berdasarkan dalil naqli dan aqli.

“Terdapat empat aspek dalam ilmu aqidah iaitu Ar-Rububiyyah, Al-Uluhiyyah, As-Sam’iyyah dan An-Nubuwwah. Jika tiada salah satu, maka tidak lengkaplah aqidah seseorang.”

Hadirin juga dihidangkan dengan maklumat-maklumat yang dipetik daripada buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Bagi menghuraikan perhubungan manusia dengan Allah, beliau mengambil tiga sifat asas yang seharusnya ada pada diri seorang muslim. Antaranya, muslim di sudut aqidah, ibadah dan akhlak.

“Manusia perlu berusaha mengenal nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti hadis Rasulullah: Allah mempunyai 99 nama, 100 kurang satu, tidakseorangpun menghafaznya kecuali beliau akan masuk Syurga. Allah itu ganjil dan menyukai perkara yang ganjil.”

“Akhlak perlu ada dalam ibadah supaya ibadah kita tidak akan jadi retorik.”
Maka, sifat-sifat ini harus ada dalam diri setiap muslim supaya penggabungan dirinya ke dalam agama Islam merupakan penggabungan yang sah dan benar. Firman Allah di dalam surah Al-Hajj ayat78 :

“Dia telah menamakan kamu sekalian orang-orang muslimin dari dahulu dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas segenap manusia.”

Sebelum menutup bicara, beliau berkata, “Akhlak adalah method dakwah yang paling berkesan. Sebagai buktinya, ramai sahabat tertarik dengan Islam kerana akhlak Nabi. Sehinggakan Aisyah mengakui akhlaknya Nabi akhlak Al-Quran.”

“Akhlak adalah keinginan manusia, bukan fitrah. Maka, akhlak perlu dibentuk dan dipupuk.”
Program yang diadakan di bilik kuliah 3a506 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan ini merupakan program mingguan yang mengetengahkan tajuk-tajuk yang menarik berkenaan perubahan ke arah menjadi muslimah yang lebih sempurna.

PEMBINA berharap program ini dapat memberi manfaat rohani kepada siswi khususnya pelajar UKM untuk menongkah arus di zaman serba mencabar ini.


Maisarah binti Mohd Shahrain
Beliawanis PEMBINA UKM

Friday 8 March 2013

JBH #1-PERLU KE JADI BAIK?



“Jangan pernah takut untuk jadi baik, kerana Allah akan utuskan kepada kita orang yang baik-baik.”

Itu antara kata-kata Pn. Zatil sewaktu program mingguan anjuran PEMBINA UKM ;Jom Bina Hati.

Penyataannya itu menjawab persoalan yang juga tajuk untuk minggu ini iaitu Perlu ke Jadi Baik?
Program yang dikhaskan untuk siswi sahaja ini Berjaya mengumpulkan seramai 60 orang pelajar siswi seluruh UKM.

Puan Zatil menjelaskan lagi, tiada istilah ‘terlewat’ untuk mencari keampunan dari Allah kerana Allah Maha Pengampun.

“Kita mempunyai pilihan dalam kehidupan ini” jelas beliau sambil membacakan makna surah As-Syams

“Maka Dia mengilhamkan kepadanya(jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntung orang yang mensucikan (jiwa)nya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya. (Kaum) Tsamud telah mendustakan (rasulnya) karena mereka melampaui batas(zalim).”

( 91:8-11)

Oleh itu, pilihlah dengan meletakkan iman di hadapan nafsu.
Dalam situasi hari ini, masyarakat melihat seseorang yang berpakaian menurut syariat itu seolah-olah pelik dan dianggap kolot oleh segelintir masyarakat ataupun dikatakan tidak mengikut peredaran zaman. “Pelik” atau istilah Arabnya ghuraba telahdisabdakan oleh Rasulullah saw yang bermaksud

"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing".

HR Muslim

“Jangan takut menjadi pelik sekiranya pelik kamu itu benar”
Itu antara nasihat PuanZatil kepada kami yang sempat saya rakamkan

Dapat disimpulkan di sini bahawa mereka yang ingin berubah kini berhadapan dengan segelintir masyarakat yang sepertinya mendiskriminasi perubahan individu kearah kebaikan sehinggakan mereka takut untuk berubah. Tetapi, keazaman yang kuat untuk berubah perlu ada supaya kita tidak mudah berpatah semula apabila diuji.

Program yang diadakan di bilik kuliah 3a506 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan ini merupakan program mingguan yang mengenengahkan tajuk-tajuk yang menarik berkenaan perubahan kearah menjadi muslimah yang lebih sempurna.

PEMBINA berharap lebih program ini dapat memberi manfaat rohani kepada siswi khususnya pelajar UKM untuk menongkah arus di zaman serba mencabar kini.

Maisarah binti Mohd Shahrain,
Beliawanis PEMBINA UKM,

ADAKAH KAU LUPA?


Adakah kau lupa?

Ingatkah kita, bahawa hari ini genap 89 tahun keruntuhan Khilafah Islamiyyah, iaitu Daulah Turki Uthmaniah pada 3 Mac 1924 dulu?

Ingat?

Lupa?

Atau,

“Eh, baru tahu la. Tak terfikir pula ada khalifah dulu. Ingatkan dalam buku teks je.”

Garu kepala.

Bagaimana boleh runtuh?

Alhamdulillah, saya diberi kekuatan oleh Allah untuk mengkaji beberapa faktor bagaimana Khilafah Turki Uthmaniyyah ini boleh runtuh dengan begitu tragis dan sadisnya, walaupun sebelum itu Khilafah ini pernah menjadi mimpi ngeri bagi negara Eropah khususnya kaum Nasrani dan Yahudi.

Banyak faktor yang menyumbang ke arah keruntuhan khilafah, daripada ;

1. Kelemahan kepimpinannya (tanpa saya menafikan bahkan saya kagum dan terinspirasi sumbangan khalifah terakhir Turki Uthmaniah, iaitu Sultan Abdul Hamid II antaranya mengenai isu mempertahankan tanah Palestin)

2. Konspirasi dan perancangan rapi musuh-musuh Allah (antaranya Lawrence Arabia)

3. Pemberontakan dan pengkhianatan dari dalam Turki (gerakan Al-Ittihad wal Taraqqi, gerakan Turki Muda, Mustafa Kamal, dan lain-lain),

4. Penyelewengan fatwa daripada sebahagian ulama’ ketika itu,

5. Pergaduhan dan perpecahan antara umat Islam (Penentangan orang Arab ke atas Khalifah dan lain-lain),

6. Sehinggalah kelemahan akidah dan iman kaum muslimin itu sendiri.


Persoalan di sini, salah siapa?

Musuh-musuh Allah?

Pemerintah?

Ulama’?

Orang Arab?

Orang Turki?

Jawapannya, tak perlu salahkan sesiapa!

Saya yakin dan percaya, 95% orang yang hidup ketika zaman itu sudah meninggal dunia. Bahkan mungkin kesemuanya. Biarlah mereka dengan urusan mereka di hadapan Allah. Tamat sudah kehidupan mereka, maka usah kita sibuk persalahkan mereka walaupun mereka bersalah.

Yang paling penting sekali, tanya pada diri kita,

“Apa aku dah lakukan untuk hidupkan kembali Khilafah Islam?”

Mari mulakan dari sekarang!

Selepas keruntuhan secara rasmi Khilafah Islam ketika itu, maka ramai umat Islam yang memahami Islam menangis tak berirama. Bumi seolah-olah bergegar menangisi keruntuhan Khilafah Islam. Langit seolah-olah menjerit kesedihan.

Di celah-celah kesedihan umat serta tangisan bumi dan langit, muncul seorang Ulama Agung, Syarkib Arsalan menggariskan langkah ;

“Kita wajib memulakan usaha Islam dari bawah; iaitu melalui tarbiyah individu. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri, dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apakah faedah berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”

Kata-kata ini lahir semasa menjawab beberapa pertanyaan tentang muktamar dan perhimpunan yang diadakan untuk memilih Khalifah yang baru. Tetapi beliau sangat memahami kaedah kebangkitan umat ini.

Kekalahan umat Islam tika dan saat itu bukan saja kalah dari segi pemerintahan dan Khilafah, bahkan lebih teruk dari itu, iaitu kekalahan akidah dan iman kaum Muslimin seluruh dunia!

Ya, walaupun pahit, itulah yang kita alami satu ketika dahulu walaupun Khilafah telah memayungi dunia selama beratus-ratus tahun!

Dan hari ini, genap sudah 89 tahun keruntuhan khalifah. Pelbagai usaha di lakukan demi meninggikan semula kalimah Allah di muka bumi ini, antaranya gerakan Ikhwanul Muslimin, Jamaat Islami, Tabligh, Salafi, Jamaah an Nur dan pelbagai lagi. Masing-masing mempunyai cita-cita yang sama, meninggikan kalimah Allah sehingga hilanglah fitnah ke atas agama Allah ini.

Terjemahan : “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”
(Surah al Baqarah 2 : 193)

Jadi apa yang perlu kita lakukan terutama generasi Gen-Y ni?

Mari sama-sama kita menyahut seruan Syeikh Syarkib Arsalan iaitu tarbiyah individu atau dengan erti kata lain, kita islah diri kita menjadi mukmin sejati selaras dengan saranan al Quran dan as Sunnah!

Antaranya ;

1. Menuntut ilmu agama Islam sedalam mungkin dan sefaham yang mungkin bagi memahami kehendak Allah dan Rasul-Nya terhadap umat Islam.

2. Menguasai sebaik mungkin bidang yang kita ada samada bidang sains, sastera, komputer, atau lain-lain, dan kemudian salurkan ke semua kemahiran kita untuk kebangkitan Islam.

3. Mengamalkan setiap ilmu yang dipelajari sama ada secara bersendiri mahupun berkumpulan (berjemaah). Hindarkan dari mencerca amalan orang lain (selagi mana tidak bercanggah dengan syara’)

4. Memahami agenda dan jenis serangan musuh-musuh Islam seperti Humanisme, Sekularisme, Liberalisme, Hedonisme, dan lain-lain.

5. Menjadi agen penerangan kepada orang ramai tentang bahaya ancaman-ancaman musuh-musuh Islam dan ideologi sesat, serta menyeru kaum Muslimin agar kembali mengamalkan Islam yang syumul selaras dengan al Quran dan as Sunnah (dakwah dan tarbiyyah).

6. Menjadi agen penyatu atau pendamai sekiranya terdapat sahabat-sahabat kita yang Muslim ataupun kaum muslimin bergaduh dan berselisih. Sahutlah seruan Allah dalam al Quran,

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

                                                                                                                                (Al Hujurat,49:10)

7. Mengambil berat isu-isu semasa terutama berkaitan umat Islam seperti di Palestin, Syria, Mali, dan sebagainya.

8. Tunjukkan akhlak Islamiyah seperti mana yang di tunjukkan oleh Rasulullah saw tidak kira dalam apa jua situasi samaada sedang berdebat, bermuamalat, dan sebagainya.

9. Dan terakhir sekali (sebenarnya bukan akhir sekali), sentiasa istiqomah dalam beramal dan sentiasa bersama kumpulan atau gerakan yang memperjuangkan Islam.


Sebenarnya banyak lagi langkah yang boleh dilakukan, cuma ini antara cadangan saya kepada diri saya dan orang lain. Usah kita keluarkan pelbagai langkah dan solusi, tetapi satu perkara pun kita tidak lakukan.

Jadi bila kita hendak lakukannya?

Lakukan sekarang!



سيروا على بركة الله
Seeru ala barakatillah!

Moga amal diterima Allah.


Ahmad Shukeri Bin Azizan
PRESIDEN PEMBINA UKM

poster promo ikhwah
picture hosting