Friday 8 March 2013

ADAKAH KAU LUPA?


Adakah kau lupa?

Ingatkah kita, bahawa hari ini genap 89 tahun keruntuhan Khilafah Islamiyyah, iaitu Daulah Turki Uthmaniah pada 3 Mac 1924 dulu?

Ingat?

Lupa?

Atau,

“Eh, baru tahu la. Tak terfikir pula ada khalifah dulu. Ingatkan dalam buku teks je.”

Garu kepala.

Bagaimana boleh runtuh?

Alhamdulillah, saya diberi kekuatan oleh Allah untuk mengkaji beberapa faktor bagaimana Khilafah Turki Uthmaniyyah ini boleh runtuh dengan begitu tragis dan sadisnya, walaupun sebelum itu Khilafah ini pernah menjadi mimpi ngeri bagi negara Eropah khususnya kaum Nasrani dan Yahudi.

Banyak faktor yang menyumbang ke arah keruntuhan khilafah, daripada ;

1. Kelemahan kepimpinannya (tanpa saya menafikan bahkan saya kagum dan terinspirasi sumbangan khalifah terakhir Turki Uthmaniah, iaitu Sultan Abdul Hamid II antaranya mengenai isu mempertahankan tanah Palestin)

2. Konspirasi dan perancangan rapi musuh-musuh Allah (antaranya Lawrence Arabia)

3. Pemberontakan dan pengkhianatan dari dalam Turki (gerakan Al-Ittihad wal Taraqqi, gerakan Turki Muda, Mustafa Kamal, dan lain-lain),

4. Penyelewengan fatwa daripada sebahagian ulama’ ketika itu,

5. Pergaduhan dan perpecahan antara umat Islam (Penentangan orang Arab ke atas Khalifah dan lain-lain),

6. Sehinggalah kelemahan akidah dan iman kaum muslimin itu sendiri.


Persoalan di sini, salah siapa?

Musuh-musuh Allah?

Pemerintah?

Ulama’?

Orang Arab?

Orang Turki?

Jawapannya, tak perlu salahkan sesiapa!

Saya yakin dan percaya, 95% orang yang hidup ketika zaman itu sudah meninggal dunia. Bahkan mungkin kesemuanya. Biarlah mereka dengan urusan mereka di hadapan Allah. Tamat sudah kehidupan mereka, maka usah kita sibuk persalahkan mereka walaupun mereka bersalah.

Yang paling penting sekali, tanya pada diri kita,

“Apa aku dah lakukan untuk hidupkan kembali Khilafah Islam?”

Mari mulakan dari sekarang!

Selepas keruntuhan secara rasmi Khilafah Islam ketika itu, maka ramai umat Islam yang memahami Islam menangis tak berirama. Bumi seolah-olah bergegar menangisi keruntuhan Khilafah Islam. Langit seolah-olah menjerit kesedihan.

Di celah-celah kesedihan umat serta tangisan bumi dan langit, muncul seorang Ulama Agung, Syarkib Arsalan menggariskan langkah ;

“Kita wajib memulakan usaha Islam dari bawah; iaitu melalui tarbiyah individu. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri, dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apakah faedah berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”

Kata-kata ini lahir semasa menjawab beberapa pertanyaan tentang muktamar dan perhimpunan yang diadakan untuk memilih Khalifah yang baru. Tetapi beliau sangat memahami kaedah kebangkitan umat ini.

Kekalahan umat Islam tika dan saat itu bukan saja kalah dari segi pemerintahan dan Khilafah, bahkan lebih teruk dari itu, iaitu kekalahan akidah dan iman kaum Muslimin seluruh dunia!

Ya, walaupun pahit, itulah yang kita alami satu ketika dahulu walaupun Khilafah telah memayungi dunia selama beratus-ratus tahun!

Dan hari ini, genap sudah 89 tahun keruntuhan khalifah. Pelbagai usaha di lakukan demi meninggikan semula kalimah Allah di muka bumi ini, antaranya gerakan Ikhwanul Muslimin, Jamaat Islami, Tabligh, Salafi, Jamaah an Nur dan pelbagai lagi. Masing-masing mempunyai cita-cita yang sama, meninggikan kalimah Allah sehingga hilanglah fitnah ke atas agama Allah ini.

Terjemahan : “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”
(Surah al Baqarah 2 : 193)

Jadi apa yang perlu kita lakukan terutama generasi Gen-Y ni?

Mari sama-sama kita menyahut seruan Syeikh Syarkib Arsalan iaitu tarbiyah individu atau dengan erti kata lain, kita islah diri kita menjadi mukmin sejati selaras dengan saranan al Quran dan as Sunnah!

Antaranya ;

1. Menuntut ilmu agama Islam sedalam mungkin dan sefaham yang mungkin bagi memahami kehendak Allah dan Rasul-Nya terhadap umat Islam.

2. Menguasai sebaik mungkin bidang yang kita ada samada bidang sains, sastera, komputer, atau lain-lain, dan kemudian salurkan ke semua kemahiran kita untuk kebangkitan Islam.

3. Mengamalkan setiap ilmu yang dipelajari sama ada secara bersendiri mahupun berkumpulan (berjemaah). Hindarkan dari mencerca amalan orang lain (selagi mana tidak bercanggah dengan syara’)

4. Memahami agenda dan jenis serangan musuh-musuh Islam seperti Humanisme, Sekularisme, Liberalisme, Hedonisme, dan lain-lain.

5. Menjadi agen penerangan kepada orang ramai tentang bahaya ancaman-ancaman musuh-musuh Islam dan ideologi sesat, serta menyeru kaum Muslimin agar kembali mengamalkan Islam yang syumul selaras dengan al Quran dan as Sunnah (dakwah dan tarbiyyah).

6. Menjadi agen penyatu atau pendamai sekiranya terdapat sahabat-sahabat kita yang Muslim ataupun kaum muslimin bergaduh dan berselisih. Sahutlah seruan Allah dalam al Quran,

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

                                                                                                                                (Al Hujurat,49:10)

7. Mengambil berat isu-isu semasa terutama berkaitan umat Islam seperti di Palestin, Syria, Mali, dan sebagainya.

8. Tunjukkan akhlak Islamiyah seperti mana yang di tunjukkan oleh Rasulullah saw tidak kira dalam apa jua situasi samaada sedang berdebat, bermuamalat, dan sebagainya.

9. Dan terakhir sekali (sebenarnya bukan akhir sekali), sentiasa istiqomah dalam beramal dan sentiasa bersama kumpulan atau gerakan yang memperjuangkan Islam.


Sebenarnya banyak lagi langkah yang boleh dilakukan, cuma ini antara cadangan saya kepada diri saya dan orang lain. Usah kita keluarkan pelbagai langkah dan solusi, tetapi satu perkara pun kita tidak lakukan.

Jadi bila kita hendak lakukannya?

Lakukan sekarang!



سيروا على بركة الله
Seeru ala barakatillah!

Moga amal diterima Allah.


Ahmad Shukeri Bin Azizan
PRESIDEN PEMBINA UKM

poster promo ikhwah
picture hosting