PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Saturday 25 March 2017

CERPEN: PERLU KE USRAH?



“Jom usrah!”, itulah ungkapan yang pada aku 'common'. Ada orang yang beranggapan bahawa usrah itu ‘kolot’. Usrah itu hanya untuk orang-orang yang baik-baik sahaja. Dari sini ingin aku ceritakan pengalaman aku sendiri mengikuti usrah. Jom, ikuti kisah aku.

Hampir sebulan sahaja lagi untuk aku mendaftarkan diri sebagai seorang mahasiswa universiti, yang pada aku sebuah ianya sebuah universiti yang unggul di Malaysia.

Apa lah yang akan aku belajar nanti? Apa agaknya nak kerja nanti? Apa pandangan orang terhadap kos yang aku ambil nanti?

Ya, soalan-soalan ini lah yang bermain-main di minda dan fikiran aku sebelum mendaftarkan diri di universiti. Apabila munculnya persoalan seperti ini, tiba-tiba aku menerima permintaan untuk menjadi rakan di laman sosial, Facebook.

Aku sebenarnya agak 'strict' dalam berkawan di laman sosial ini, inikan pula orang yang tidak aku kenali. Aku selidik dahulu latar belakang orang itu di 'facebook' kemudian menyedari bahawa dia sama kos pengajian denganku, aku terus 'pm' orang yang tidak dikenali itu, jadi aku gelarkan dia di sini sebagai si A.

"Assalamualaikum. Hai, ini ‘student’  tahun 2 kos A ya?"

Begitulah soalan pertama aku kepada Si A. Kemudian, Si A pun membalas.

"Waalaikumsalam. Hai. Ha'ah. Awak ni junior saya eh? Salam perkenalan."

"Ya, saya. Salam kenal. So nak panggil apa ya?"

"Boleh je. Panggil si A.."

Aku segera menerima permintaannya sebagai rakan di 'facebook'. Kemudian kami berbual berkaitan kos pengajian aku ini dan juga perkara yang bermain-main di minda dan pemikiran aku ini berkaitan 'universiti' berkenaan.

Sehingga kemudiannya, aku menjemput Si A untuk menyukai satu halaman di 'facebook' yang aku ciptakan sendiri.

Ya, dulunya di sekolah aku memang meminati subjek pendidikan Islam. Aku suka dan berminat menyelusuri subjek berkaitan agama. Disebabkan itu, timbul inisiatif untuk aku buka satu halaman berbentuk islamik yang mana tujuan utama aku buka halaman itu adalah bukan untuk wang atau publisiti semata-mata tetapi untuk menyampaikan kepada orang lain.

Disambungkan lagi cerita, setelah menjemput Si A menyukai halaman itu. Dia terus bertanyakan kepadaku.

"Nak tanya, kat Pra-U dulu ada join Usrah tak?"

"Usrah? Takde usrah pulak masa Pra-U dulu."

"Ooo ye ke.. Nanti masuk uni nak join Usrah tak?"

"Usrah tu camne eh?"

Ya, itulah persoalan aku pada awalnya bila ditanyakan tentang usrah. Kemudian si A menerangkan selanjutnya tentang usrah dan apa yang dibincang dalam usrah.

"Usrah tu maksudnya keluarga. Dalam usrah kita ada murabbi untuk lelaki dan murabbiah untuk perempuan. Mereka ini lah ketua untuk usrah tu. Tapi kita tak gabung pun usrah lelaki dengan perempuan. Dalam usrah banyak benda kita bincangkn bab-bab agama, kongsi cerita, dan tadarus quran. Usrah ni juga membentuk diri kita jadi lebih baik. In shaa Allah."

"Macam mana nak join usrah?"

"Akak join usrah dengan 'persatuan' ni. Awak nak join pun boleh."

"Ok boleh. In shaa Allah."

"Tapi yang penting, niat kita nak join usrah kerana Allah."

Begitulah perbualan aku dengan Si A berkaitan usrah.

Setelah masuk di 'universiti' itu, aku bertemu dan berjumpa dengan Si A dan kemudian aku terus mendaftar sebagai ahli untuk 'persatuan' tersebut.

Tidak lama kemudian, aku mengikuti 'usrah' yang diperkenalkan itu.

Usrah pertamaku, dibuat pada petang hari. Aku akui, aku masih jahil dan tidak tahu, was-was dan ragu-ragu. Betul ke usrah ni? Patutkah aku teruskan? Meskipun, telah diperjelaskan oleh Si A tentang usrah tetapi aku masih meraguinya.
Hari itu, aku menemui orang yang aku gelar, Si B. Aku bersalaman dengan Si B lalu kawan kepada Si B muncul dan aku bersalaman dengan Si C.

Kemudian, usrah kami bermula. Kami membacakan Al-Quran kemudian menafsirkan ayat demi ayat. Habis sahaja tilawah, topik perbincangan pada masa itu adalah berkaitan ‘niat yang ikhlas’. Si B memberikan hujah-hujah beliau berkaitan kepentingan niat merujuk dan berpandu kepada dalil-dalil Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. Habis sahaja pembentangan dari beliau, dibuka pula peluang untuk bertanyakan soalan dan pendapat kemudian usrah tamat.

Habis sahaja usrah, aku terus bertanyakan perasaan was-was aku tentang usrah. Memang aku akui, awalnya aku takut untuk mengikuti sebarang jemaah kerana kekhuatiran mendapat ilmu yang menyimpang. Setiap keraguan aku diperjelaskan oleh Si B dan Si C.

"Usrah ni sebenarnya apa? Perlu ke usrah?"

Itulah persoalan-persoalan yang aku tanyakan. Lalu, Si B dan Si C menjawab satu persatu.

"Usrah itu diambil dari kata keluarga. Ya, usrah itu keluarga. Dalam keluarga, kita banyak bincangkan permasalahan dan solusinya. Dalam keluarga juga, kita kuatkan ukhuwah antara kita. Kerana itu, kita memerlukan 'usrah' sebagai kekuatan bukan hanya untuk diri kita malah menjadi kekuatan untuk orang lain juga. Usrah itu macam jantung. Macam mana jantung kita berdegup, macam itu jugalah usrah."

 Akhirnya, aku rasa aku sudah tahu, jelas, faham, dan yakin dengan apa yang dibawa oleh 'persatuan' ini.

Sejak dari itu, aku mula memberi komitmen dalam usrah setiap minggu. Walaupun, kengkadang itu usrah itu bertempat di lokasi yang jauh dari tempatku tetapi aku masih berjihad untuk ke sana.

Aku tidak tahu kenapa muncul perasaan tekad seperti itu, tapi aku tahu usrah itu satu kepentingan. Perasaan itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Ya, usrah itu jantung kepada tarbiah. Tarbiah itu proses pembentukan diri untuk menjadi lebih baik dan mencapai individu muslim. Bukan hanya solat, puasa ramadhan tetapi isilah rohani dengan usrah. Bagaimana kita tarbiah diri kita? Ikutlah usrah, maka kau akan faham dan yakin.

Usrah bukan hanya perbincangan biasa. Usrah bukan hanya perjumpaan biasa. Tetapi usrah itu tunjang kekuatan untuk muslim sendiri memahami dan meyakini lafaz dan ikrar seorang muslim itu sendiri untuk mencapai matlamat 'Ustazatul Alam'.

Sehingga ke hari ini, telah hampir 3 tahun aku berada di jalan tarbiah ini. Usrah menjadi tunjang utama aku. Jika tiada alasan, aku tak akan menidakkan untuk tidak hadir ke usrah. Malah, aku juga semakin yakin dan jelas kepentingan tarbiah itu sendiri.

Pada aku jika usia 3 tahun itu masih mentah. Belum cukup matang, banyak lagi kejahilan aku. Walhal, kanak-kanak yang berumur 3 tahun baru sahaja boleh berkata-kata memanggil gelaran ibu dan ayah mereka. Mereka masih belum mengenal huruf A B C lagi. Masih banyak lagi ilmu yang belum diteroka.

Akhir kata dari aku yang masih jahil ini, bagi mereka yang masih belum ada tarbiah. Carilah, ketahuilah, dalamilah dan fahamilah 'ia' kerana 'tarbiah adalah jantung kepada dakwah'.


Ya, ramai yang beranggapan bahawa dakwah itu hanya untuk orang yang alim-alim sahaja. Tahukah anda, dakwah itu satu fardhu kifayah? Bacalah Al-Quran dan rujuklah surah ke 3, ayat 104. Tahukah anda dakwah itu satu fardhu ain? Bacalah Al-Quran dan rujuklah surah ke 22, ayat 39-41.

Jika hati kau masih rasa was-was kepada sesuatu, mohon doalah kepada Allah supaya Allah buang keraguan itu dan jangan sampai keraguanmu itu disuntik oleh jarumnya syaitan. Kerana, saat hatimu disuntik was-was dan keraguannya syaitan, saat itu juga kamu sebenarnya telah kalah dengannya. Nauzubillahi min zalik.

Pegang teguhlah pada satu kata-kata ini.

Kalau kau masih ada masa lapang untuk diri kau, makan 2 jam, tidur 8 jam, mandi setengah jam, tidakkah ada masa untuk kau tarbiah diri kau? Sibuk sangatkah engkau? Kasihanilah hati engkau yang bukan menghendakkan tetapi menagih pengisian rohani...

Muhasabahlah wahai hamba Allah.. Muhasabahlah wahai khalifah Allah..


-Hamba Pendosa-
Top of Form
Bottom of Form


Wednesday 15 March 2017

ARTIKEL: REMAJA BERKETRAMPILAN ASET NEGARA




“Berikan aku sepuluh orang pemuda, nescaya aku mampu menggegarkan dunia” merupakan kata-kata presiden Indonesia yang pertama, iaitu Soekarno. Ungkapan tersebut menunjukkan betapa hebatnya penangan generasi muda sebagai pemangkin masa depan sesebuah negara. Frasa menggegarkan itu menunjukkan bahawa mereka mampu menghasilkan satu kejutan yang mampu membuka mata rakyat seantero dunia. Namun demikian, untuk melahirkan generasi yang mampu menempatkan diri dalam kategori sepuluh pemuda tersebut bukanlah mudah. Usaha yang mapan perlulah diambil untuk membentuk dan memenuhi ciri-ciri remaja yang berketerampilan. Persoalannya, apakah kriteria-kriteria remaja yang berketerampilan dan apakah prakarsa yang perlu diguna pakai bagi membentuk golongan tersebut?

            Antara ciri remaja yang berketerampilan ialah remaja yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dan berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipikul. Bagi membentuk kriteria tersebut, remaja hendaklah melibatkan diri secara aktif dalam organisasi kepimpinan di sekolah seperti Lembaga Disiplin dan Pengawas dan Majlis Pemimpin Asrama. Hal ini demikian kerana, setiap anggota dalam organisasi tersebut akan diklasifikasikan mengikut exco-exco yang dibentuk, sesuai dengan perwatakan yang dimiliki. Penglibatan tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat kepimpinan, bahkan mampu menjadi entiti dalam membentuk kemahiran insaniah dalam diri para pelajar. Sememangnya harimau ditakuti kerana giginya. Jadi, pemimpin pelajar hendaklah menggunakan kuasa yang dimiliki dengan penuh amanah, bukannya memanipulasi peraturan yang ada untuk kepentingan peribadi. Jika tugas dijalankan dengan penuh amanah, nescaya statistik masalah disiplin di sekolah akan menurun di samping melahirkan generasi yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dalam diri.

            Di samping itu, prihatin dan mempunyai sifat empati dalam diri juga merupakan salah satu perwatakan yang dimiliki oleh remaja yang berketerampilan. Selain peranan pihak sekolah dalam mengadakan aktiviti kemasyarakatan, ibu bapa turut  memainkan peranan yang dominan dalam membentuk peribadi tersebut. Hal ini demikian kerana, anak-anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya. Justeru, antara langkah awal yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah dengan menyemai sifat kasihkan anak yatim dari peringkat akar umbi lagi. Ibu bapa haruslah menjadikan lawatan ke rumah anak yatim sebagai acara berkala ataupun acara bulanan. Seperti kata bijak pandai, “hidup di dunia hendaklah menekur ke bawah, pandang bagaimana kesusahan orang lain berpuluh kali daripada kita”. Besesuaianlah dengan jiwa anak kecil yang penuh dengan kejujuran dan keluhuran, jika sajak kecil lagi sudah diajarkan untuk bersimpati dengan nasib anak yatim, nescaya sifat empati akan semakin memekar dalam jiwa mereka apabila mereka dewasa kelak. Maka, akan terlahirlah generasi yang bersifat asertif dan sentiasa mengambil berat tentang masyarakat sekeliling seterusnya meningkatkan lagi keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita.

            Disingkap dari perspektif yang lain, remaja yang berketerampilan mestilah cakna dengan perkembangan isu semasa baik dari dalam mahupun luar negara. Hal ini demikian kerana, isu semasa merupakan salah satu wadah yang tepat untuk kita teladani kebijaksanaan seseorang pemimpin dalam menangani permasalahan yang timbul. Sebagai tamsilan, ketika peristiwa cubaan rampasan kuasa di Turki, Recep Tayyib Erdogan selaku presiden Turki telah merakam video dengan menggunakan aplikasi Face Time Apple bagi menggesa rakyat Turki untuk turun ke jalan bagi menyekat kemaraan kudeta. Video tersebut telah disiarkan secara langsung melalui CNN Turk. Bukan itu sahaja, gesaan tersebut turut diperluas melalui jaringan rangkaian Facebook dan Twitter. Memang tidak dapat disangkal bahawa media sosial umpama pisau bermata dua, boleh mendatangkan maslahat dan impak negatif dalam satu-satu masa. Justeru, remaja hendaklah bijak menggunakan dunia maya untuk pekara yang bermanfaat. Remaja perlulah bijak dalam memilih laman-laman yang perlu diikuti untuk mendapatkan maklumat yang terkini seperti mengikuti Astro Awani, CNN News, The New York Times, The Wall Street Journal dan lain-lain lagi. Hasilnya, bakal pewaris negara kita tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung di samping melahirkan generasi yang mampu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.

            “Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah”. Sesuai dengan kata mutiara tersebut, remaja yang berketerampilan ialah remaja yang mampu menghayati ilmu yang dipelajari dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Dalam usaha melahirkan remaja yang perwatakannya sedemikian, penghayatan para pelajar terhadap ilmu yang dipelajari hendaklah dipertingkat. Jika dilihat isi kandungan subjek Pendidikan Agama Islam tingkatan lima yang bertajuk Adab Memelihara Alam, antara elemen yang ditekankan adalah cara-cara menjaga alam sekitar daripada kekotoran dan pencemaran. Antara sikap yang perlu diamalkan oleh para pelajar adalah membuang sampah di tempat yang disediakan. Malangnya, isu sampah dibuang merata-rata masih lagi menjadi permasalahan di sekolah malahan perbuatan tersebut bertentangan dengan visi sekolah untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi sesi pembelajaran. Hal tersebut membuktikan bahawa penghayatan para pelajar terhadap ilmu yang dipelajari masih lagi rapuh kerana sifat ihsan terhadap alam sekitar masih belum berjaya diterapkan. Oleh itu, guru-guru hendaklah bijak menangani situasi tersebut dengan mengaitkan perbuatan membuang sampah merata-rata dengan silibus yang dipelajari di samping mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya. Jika penghayatan tersebut dapat diterapkan ke dalam diri para pelajar sejak di bangku sekolah, nescaya sikap ihsan terhadap alam sekitar akan diamalkan biarpun berada di luar kawasan sekolah. Hasilnya, interaksi antara manusia dan alam sekitar dapat dimurnikan lagi di samping meningkatkan lagi ekonomi negara dek kelestarian alam yang boleh dijadikan tarikan kepada para wisata.
            
                Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat banyak kriteria yang dimiliki oleh remaja yang berketerampilan dan terdapat pelbagai langkah yang pragmatik boleh diambil bagi membentuk golongan tersebut. Remaja yang berketerampilan merupakan permata yang amat berharga buat negara kerana mereka bukan sahaja mendatangkan impak positif kepada rakan sebaya, malahan mampu memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada pembangunan negara kelak, seiring dengan pertambahan usia dan kematangan mereka. Oleh hal yang demikian, semua pihak tanpa mengira usia mahupun pangkat, hendaklah bergabung sinergi bagi memastikan pewaris yang berkredibiliti tinggi dan berkemampuan untuk memacu negara ke persada global dapat dihasilkan. Andai semua pihak bersatu menggembleng tenaga, nescaya negara kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain dan disegani oleh seluruh dunia.

Pemikir Kritis, 2017.

poster promo ikhwah
picture hosting