PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Showing posts with label Tafsir. Show all posts
Showing posts with label Tafsir. Show all posts

Wednesday, 7 November 2012

Surah As-Saff:Penyokong Agama Allah

       Jika dibuka Al-Quran yang mempunyai terjemahan,surah As-Saff, pasti kita akan menemukan banyak ayat yang sangat menyentuh hati dan menjentik kesedaran terutamanya bagi para du’at ataupun mereka yang menyeru ke arah kebaikan. Antaranya, ayat 2-3, ayat 4, dan ayat 10-14.

     “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu para penyokong agama Allah sebagaimana ‘Isa putera Maryam berkata kepada sahabat-sahabat setianya: Siapakah yang sanggup menjadi para penyokongku untuk menegakkan agama Allah? Jawab sahabat-sahabat setia itu: Kamilah para penyokong Allah. Lalu berimanlah segolongan dari Bani Israel dan segolongan yang lain pula menjadi kafir. Lalu kami bantukan orang-orang yang beriman itu mengalahkan musuh mereka dan mereka telah mendapat kemenangan.” (As-Saff,61:14)

      Menurut tafsir Fi Zilalil Quran oleh As-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, tujuan ayat tersebut ialah untuk menggambarkan satu pendirian, bukannya untuk memperincikan sebuah kisah. Mari kita renungi kembali ayat “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu para penyokong agama Allah…” . ‘Penyokong’ yang disebutkan sebenarnya merupakan sifat yang membawa satu penghormatan yang lebih besar dari syurga dan nikmat yang melimpah!

 Dan para sahabat Nabi Isa menyahut,
 “Kamilah para penyokong Allah.” 



     Ini menunjukkan betapa mereka ini sanggup memikul tugas tersebut dan telah mendapat penghormatan gelaran ‘penyokong’ Allah. Dalam ayat 6 surah yang sama, jelas Nabi Isa telah datang menyampaikan berita gembira akan kedatangan seorang nabi dan agama yang baru namun apabila datangnya nabi yang dimaksudkan iaitu Nabi Muhammad, baginda diperangi dan dilemparkan tuduhan. Jadi jika Nabi Isa yang setia menyeru ke arah kebaikan dan sahabat Nabi Isa sanggup membela agama Allah, adalah lebih wajar untuk ummat Nabi Muhammad itu sendiri memikul tugas menyampaikan dan menegakkan agama Islam. Dan ayat yang seterusnya telah dijelaskan di dalam tafsir tersebut iaitu lalu mereka yang beriman dan berpegang teguh dengan aqidah yang benar telah dibantu oleh Allah mengalahkan mereka yang tidak beriman dan menyeleweng dari aqidah tauhid.

     Dan apakah balasan dari Allah atas pengorbanan itu? “...dan mereka telah mendapat kemenangan.”

      Dengan kekuatan hujah dan alasan yang kukuh, atau aqidah tauhid yang dipegang mereka itulah Allah telah mengurniakan kepada mereka kemenangan. Selaklah lembaran sirah, kisah Perang Uhud, Hijrah Rasulullah, kemaraan Sultan Al-Fateh menawan Konstatinopel dan banyak lagi siri perjuangan dan pengorbanan hamba-hamba Allah yang telah dibalasNya dengan kejayaan samada di dunia mahupun disimpan untuk ganjaran di akhirat kelak.

     Akhir kata, moga kita dapat mencontohi para nabi dan sahabat yang bersusah payah berkorban apa sahaja demi menegakkan syiar Islam. Semoga yang menulis lebih mempraktikkan penulisannya, begitu juga dengan pembaca.

Mari bersama berusaha menjadi PENYOKONG Allah!

Penulis bebas,
Pembina UKM,
UKM

Tuesday, 12 June 2012

Surah Al-Haqqah-Hari Kiamat!! (Bahagian 1)



Kiamat! Apakah yang tergambar di benak kalian apabila perkataan ini muncul? Adakah "Kiamat! Kiamat la! Lambat lagi. Apa masalah nya?" atau hati kalian tergetar mendengar perkataan ini? Untuk itu, Suka untuk saya kongsikan bersama kalian tentang tafsir surah Al-Haqqah ayat 1-12 kerana pada pendapat saya, ia sangat berkaitan dengan keadaan yang berlaku kala ini. Apa kaitan nya? Sudahkah anda bersedia? 
‘Al-haqqah’ (saat atau kiamat yang pasti berlaku). Apakah ‘al-haqqah’ itu? Dan tahukah kamu apakah ‘al-haqqah’ itu?(1-3)
Hampir keseluruhan surah ini menceritakan tentang pemandangan pada hari Kiamat serta peristiwa pada hari yang ‘dahsyat’ itu. Oleh itu, surah ini dinamakan dengan nama kiamat iaitu Al-Haqqah iaitu suatu yang berhak berlaku dan pasti akan berlaku! Ia merupakan sesuatu ketetapan yang muktamad.

 Kemudian, ayat kedua merupakan suatu pertanyaan yang tegas dan memandang besar apakah peristiwa itu. “ Apakah ‘al-haqqah’(saat atau kiamat yang pasti berlaku) itu?”. Kemudian bertambah rasa dahsyat tentang peristiwa itu dengan muncul soalan yang bersifat memaksa rasa jahil, mengeluarkan masalah ini daripada sempadan ilmu pengetahuan iaitu “ Dan tahukah kamu apakah ‘al-haqqah’ itu?”.

Suka untuk saya bertanya kalian. Apakah kalian mempunyai jawapannya? Masih lagi berfikir saat ini? 

Kedua-dua persoalan itu tidak terjawab sebaliknya Allah taala memulakan bicara tentang kedahsyatan dan kemusnahan yang menimpa para pendusta hari Kiamat. Hal ini menunjukkan perkara ini adalah sangat serius dan tidak dapat didustakan kerana sesiapa yang mendustakannya tidak akan dapat menyelamatkan diri. 
(Kaum) Samud dan ‘Ad telah mendustakan hari (Kiamat) yang menggemparkan dan mengharukan itu. Adapun (kaum) Samud, maka mereka telah dibinasakan dengan (jeritan) yang melampau dahsyatnya. Adapun (kaum) ‘Ad, maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang. Ditimpakan ke atas mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus, maka kamu melihat kaum itu padanya mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul-tunggul tamar yang telah lapuk. Maka adakah kamu melihat seseorang yang tinggal antara mereka? (4-8) 
Al-Haqqah adalah satu nama dari hari kiamat. Dari segi bahasa ia bermaksud mengetuk dan memukul satu benda yang ‘keras’ dengan sesuatu yang sama sepertinya. Mengetuk hati dengan kedahsyatan dan kegerunan serta mengetuk alam dengan kehancuran dan kemusnahan. Kaum Samud merupakan kaum nabi Soleh. Mereka dimusnahkan dengan jeritan yang kuat. Dalam ayat ini, jeritan tersebut hanya disebut sifatnya iaitu ‘melampau dahsyatnya’. Ribut yang sangat dahsyat sehingga tiada tempat berlindung. 

Manakala kemusnahan kaum Aad’diperincikan kisahnya. Kemusnahan kaum tersebut berlarutan sehingga 7 malam 8 hari berturut-turut dengan angin yang sejuk dan kencang bersesuaian dengan kedegilan dan keganasan kaum Aad’. Maka ayat tersebut membayangkan seolah-oleh peristiwa tersebut berlaku di hadapan mata. “maka kamu melihat kaum itu padanya mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul-tunggul tamar yang telah lapuk. Maka adakah kamu melihat seseorang yang tinggal antara mereka?“(untuk mengetahui lebih lanjut tentang kemungkaran kaum Aad’, sila baca surah Hud: 50-60 ) 
Dan telah datang Fir’aun dan orang yang sebelumnya, dan negeri-negeri yang diterbalikkan kerana kesalahan. Maka mereka menderhakai rasul (yang diutuskan oleh) Rab (Tuhan) mereka, lalu Dia (Allah) menyeksa mereka dengan seksaan yang sangat keras.(9) 

Firaun merupakan zaman nabi Musa manakala ‘negeri-negeri’ ialah penduduk kampung Nabi Lut yang dimusnahkan. Dalam ayat tersebut, Allah taala menyebut secara ringkas bahawa mereka melakukan perbuatan yang salah yang menyebabkan mereka menderhakai rasul. terdapat ramai rasul namun mereka membawa risalah yang satu maka mereka seolah-olah rasul yang satu, membawa hakikat yang satu. Kemudian Allah menyebut kesudahan mereka dalam ungkapan yang tegas 

“ lalu Dia (Allah) menyeksa mereka dengan seksaan yang sangat keras.”(10) 

Seterusnya Allah Taala melakarkan pemandangan angin taufan dan bahtera yang berlayar, yang mengisahkan kemusnahan kaum Nabi Nuh yang mendustakan rasul dan mengingatkan manusia tentang nikmat Allah apabila menyelamatkan sekumpulan manusia bersama Nabi Nuh. Kisah ini diceritakan agar menjadi pengajaran bagi telinga yang bebal dan menyetuh hati-hati yang mati. 
Sesungguhnya Kami (Allah), tatkala air telah naik melimpah-limpah, Kami (Allah) angkut kamu di dalam bahtera. Agar Kami (Allah) menjadikannya peringatan bagi kamu, dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.(11) 

Kesemua kisah ini membuatkan saya terfikir akan pelbagai bencana alam yang kerapkali menimpa bumi sejak akhir-akhir ini. Tsunami, ribut taufan, banjir, gempa bumi dan banyak lagi. 

Dan jika diamati, pada masa dahulu kes-kes keruntuhan akhlak jarang berlaku namun pada masa kini kesemua itu sudah menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat. Banyak kemungkaran berlaku ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. 

Banyak persoalan yang timbul. Apakah kesemua ini ada kaitannya? Adakah tuhan sedang memberikan amaran bahawa kemungkaran sedang berleluasa? Apakah kita juga merupakan penyumbang kepada kemurkaan tuhan sehingga bencana demi bencana silih berganti? 

Baru-baru ini, negara kita digemparkan dengan kebangkitan Lesbian, Gay, transgender, Biseksual (seperti kemungkaran kaum terdahulu) yang menuntut hak mereka. Apa tindakan kita? Perhatikan saja! Dan apakah kita ingin menjadi senasib dengan kaum-kaum yang diceritakan dalam surah ini? Sama-sama renungkan dan koreksi diri… 

Suka untuk saya bertanya kembali apakah itu Al-Haqqah. Jawapannya ada pada ayat yang berikutnya dalam surah ini. Nantikan sambungannya… 

Sumber : Husam Hamidah. 2010. Keluasan Islam. Modul Pembangunan Insan. 



Pohon Semalu Berduri, 
Fakulti Sains dan Teknologi, UKM

Monday, 30 April 2012

BURUNG vs KAPAL TERBANG

 

Apa yang anda fikirkan bila melihat burung?

‘Oh aku nak terbang bebas seperti burung. Aku nak bebas’

‘Seronoknya jadi burung. Dapat terbang ke sana sini dengan cepat, tidak perlu  susah-susah naik motor kereta untuk bergerak’

‘SubhanAllah, hebatnya ciptaan Allah. Burung tu terbang tanpa jatuh. Ia milik Allah. Kerdilnya aku, tiada apa yang ada pada aku melainkan semuanya pinjaman dari Allah’

Apa pula  yang anda fikirkan bila melihat kapal terbang?

‘Hebat betul la adik beradik Wright yang mencipta kapal terbang ni. Dan hasilnya sekarang, semua orang mampu terbang’

‘Subhanallah, jika tidak Allah menghendaki kapal terbang ini dapat berada di udara, pastinya kapal terbang tidak wujud hari ini.’

Sedar atau tidak, pelbagai kata-kata atau fikiran manusia tentang sesuatu perkara. Hati yang sentiasa berzikir kepada Allah, Allah akan menganugerahkan pandangan dan fikirannya selari dengan apa yang Allah kehendaki manakala hati yang jauh dari Allah akan lupa untuk bersyukur dan pandangan dan fikirannya tentu lebih kepada ketakjuban pada dunia. Jika kita lihat, haiwan yang mempunyai populasi yang terbesar di dunia adalah antaranya burung. Mereka mampu berhijrah dari satu kawasan yang jauh apabila pertukaran monsun (aliran angin) berlaku. Malaysia juga merupakan salah sebuah negara yang menjadi persinggahan burung-burung yang berhijrah ini. Pernahkah kita berfikir, hebatnya burung ini berhijrah dari suatu kawasan yang jauh ke kawasan lain untuk kelangsungan hidupnya? Tentunya ada kuasa hebat mengatur semua ini! Subhanallah.

Allah telah membawa kita berfikir melalui ayatnya yang indah pada surah al-Mulk ayat 19:

“Apakah mereka tidak melihat burung-burung yang terbang di atas mereka dengan mengembang dan mengecutkan kepaknya? Tiada yang menahankan burung-burung itu dari jatuh melainkan Allah Yang Maha Penyayang. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.”

Dalam Tafsir al-Quran Fizilal oleh as-Syahid Syed Qutub telah menjelaskan, Allah menurunkan ayat ini supaya kita berfikir akan salah satu ciptaan Allah yang sangat hebat. Fenomena penerbangan burung yang diceritakan dapat ayat ini adalah berlaku di setiap saat dan detik. Terkadang kita merasakan fenomena ini sesuatu yang biasa dan tiada apa yang pelik. Oleh sebab fenomena yang sentiasa berlaku di depan mata, telah membuatkan kita lupa kepada qudrat dan kebesaran Allah.

 Perhatikanlah burung ketika ia mengembang dan meluruskan kedua-dua sayapnya kemudian mengecutkannya. Ketika ia melakukan dua gerakan mengembang dan mengecutkan kepak-kepaknya itu, ia tetap berada di udara dan terbang dengan mudah dan selesa. Seolah-olah menyaksikan pertunjukkan penerbangan jet. Betapa indahnya penerbangan yang menjunam turun dan menjulang naik yang dilakukan jet tidak ubah seperti yang dilakukan oleh burung.

Renungilah mekanisme ciptaan Allah ini dan perhatikanlah penerbangan yang unik dilakukan oleh beribu jenis burung yang wujud di dunia. Setiap orang yang memerhatikannya pasti tidak jemu mata dan tidak membosankan hati. Bila diamati, ia adalah suatu kenikmatan bagi mereka yang berfikir dan meneliti ciptaan Allah yang menakjubkan di mana bertemunya keindahan dan kesempurnaan.

Melalui ayat 19 surah al-Mulk ini, Allah memberi isyarat kepada kita supaya memerhatikan pemandangan menarik ini:

“Apakah mereka tidak melihat burung-burung yang terbang di atas mereka dengan mengembang dan mengecutkan kepaknya”

Kemudian Allah menyatakan bahawa di sebalik  penerbangan itu terdapat pentadbiran dan perencanaan Allah:

“Tiada yang menahankan burung-burung itu dari jatuh melainkan Allah Yang Maha Penyayang.”

Allah Yang Maha Penyayanglah yang menahan burung-burung itu dari gugur dangan undang-undang yang rapi dan pelik, di mana segala sesuatu sama ada yang kecil atau besar dijaga dengan teliti walau pembentukan dari sekecil sel dan atom. Ini menunjukkan adanya undang-undang alam dari Allah yang memelihara keseimbangan dan keselarasan di bumi, di udara dan juga kejadian burung itu sendiri. Ini membolehkan burung dapat terbang berulang kali dengan teratur.

Tiada yang dapat menahan burung-burung ini dari gugur dengan qudrat kuasa-Nya yang tidak lemah dan tidak terlepas dari pengawasan-Nya. Qudrat pengawasan Ilahi inilah yang memelihara undang-undang alam ini bertindak terus selama-lamanya dengan rapi dan teratur. Ia tidak pernah lemah dan tidak pernah kacau walaupun sekelip mata hingga ke masa yang dikehendaki Allah.

Allah melihat dan mengetahui segala sesuatu, kerana itu Dia menyedia, mengatur, memberi tenaga kekuatan dan memelihara segala-galanya di setiap saat dengan penuh ketelitian dan ilmu yang mendalam. Penahanan atau pemegangan binatang-binatang yang hidup di atas bumi yang berlegar di udara dengan segala penghuninya, dan sama dengan penahanan dan pemegangan seluruh jirim yang wujud di langit. Tiada yang menahannya dari gugur melainkan Allah. Seluruh ciptaan Allah itu adalah mukjizat, sangat indah dan memberi saranan dan ilham.

Apa pula kaitannya burung dengan kapal terbang? Ada sesetengah burung perlu berlari dahulu, kemudian mengepakkan sayapnya untuk terbang. Kapal terbang juga perlu untuk meluncur di atas landasan sebelum dapat terbang. Bentuk sayap burung adalah aerodinamik yang mana membantu untuk terangkat di udara dan ia serupa dengan sayap pada kapal terbang. Burung Kelicap (hummingbird) perlu mengepakkan sayapnya yang kecil dengan laju untuk terus kekal di udara ketika menghirup madu bunga. Fenomena ini juga diaplikasikan oleh manusia dalam penciptaan helikopter yang mana sayap atasnya bergerak dengan frekuensi yang sangat tinggi untuk terapung di udara.

Pelbagai lagi ciptaan Allah yang diambil oleh manusia dalam mencipta alat yang memudahkan manusia sendiri. Tiada apa yang perlu dibanggakan kerana semua ilham dan idea adalah datang dari Allah. Jika kita berbangga dapat mencipta sesuatu yang luar biasa, tapi ingatlah tiada yang mengizinkan melainkan Allah subhanahu wa ta’ala Tuhan yang menciptakan segala yang ada di bumi dan langit. Semua itu adalah pinjaman dari Allah dan akhirnya juga akan dikembalikan kepada-Nya semula. Ciptaan manusia adalah lemah tapi ciptaan Allah penuh dengan kesempurnaan. Jadilah seorang saintis yang ilmunya itu untuk melihat bukti kebesaran Allah yang mendekatkan diri kepada Allah bukan seorang yang menjadikan ilmunya itu untuk berbangga-bangga diri dan lupa dengan kewujudan Allah. Nauzubillahi min zalik.


Nur Raidah Rahmat
Pelajar Zoologi
Fakulti Sains Teknologi
UKM, Bangi.

Friday, 6 April 2012

Al-Baqarah Ayat 120: Penjajahan Yahudi




Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu

(Al-Baqarah: Ayat 120)

Sebab Turunnya Ayat 120

Berkaitan ayat ini, para ahli tafsir berkata:Mereka telah meminta Nabi SAW mengadakan genjatan senjata. Mereka berhasrat jika diberhentikan peperangan dan ditangguhkan, mereka akan mematuhi dan menyetujui Nabi SAW. Lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Ibn Abbas berkata bahawa ayat tersebut adalah berkaitan dengan Kaabah. Orang-orang Yahudi dan Nasrani di Najran mengharapkan agar Nabi SAW bersembahyang menghadap ke arah kiblat mereka. Mereka berputus asa kerana Nabi SAW tidak menyetujui agama mereka. Lantas Allah menurunkan ayat di atas.

Huraian maksud ayat 120 berdasarkan Tafsir al-Munir karangan Wahbah Zuhaili ialah peringatan kepada Nabi Muhammad dan umat supaya jangan mengikut Yahudi dan Nasrani.

Perkataan millah dalam ayat 120 bermaksud cara hidup yang disyariatkan untuk para hamba (Allah). kekufuran itu umumnya adalah satu millah. Ia juga dipanggil sebagai ‘din’ (agama dan anutan), kerana seluruh penganutnya tunduk mematuhi penggubal agama tersebut.

Sikap degil ahli kitab tersebut disanggah oleh Allah SWT dengan mengatakan bahawa petunjuk Allah dan agamaNya ialah Islam yang diturunkan kepada nabi-nabi. Itulah satu-satunya petunjuk yang wajib diikuti. Adapun ajaran yang kebanyakannya berdasarkan hawa nafsu semata-mata dan kehendak syahwat. Contohnya mereka telah meminda kalam Allah dari maksudnya yang sebenar dengan membuat andaian palsu.

Daripada ayat di atas dapat difahami bahawa usaha pihak kuffar tidak putus-putus ingin menghancurkan ummat Islam dalam segenap aspek. Maka benarlah firman Allah ini seperti yang kita maklum bahawa sebelum ini Barat telah menjajah dunia Islam dalam bentuk peperangan, namun mereka kalah. Kemudian, tanpa disedari oleh kita, ummat Islam sekarang masih lagi dijajah walaupun pada zahirnya kita berada dalam Negara yang merdeka. Kita telah dijajah dalam pelbagai bentuk seperti dalam pendidikan, politik, kemasyarakatan, budaya dan sebagainya.

Ayat ini adalah bukti bahawa usaha Yahudi dan Nasrani tidak putus-putus menyesatkan ummat Islam sehinggalah ummat Islam bangkit dari tidur mereka dan membuatkan pihak kuffar takut. Serangan pemikiran sejak akhir-akhir ini adalah liberalisme,plurarisme dan sebagainya yang berkaitan dengan ideologi barat sudah pun merebak dalam pemikiran masyarakat Islam seperti di Indonesia, Singapura dan lain-lain.

Dalam penulisan ini, penulis ingin berkongsi bahawa di sebalik idealogi ini tanpa kita sedar bahawa dalang-dalang penyebar idealogi ini adalah para cendikiawan-cendikiawan Islam tetapi pemikiran mereka diasuh  oleh puak yahudi atau Oreantalis.

Penjajahan Istilah Bahasa oleh Barat adalah salah satu bentuk penjajahan pemikiran tanpa kita sedari. Kaedah inilah yang dilakukan oleh para oreantalis dalam memutar belitkan penggunaan istilah dalam bahasa Inggeris untuk memberi pandangan bahawa Islam adalah agama pengganas dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan maksud dalam Islam. Cara mereka ialah dengan menerbitkan sebuah kamus Arab- Inggeris iaitu kamus al-Munjid. Pengarang kamus ini adalah pihak oreantalis yang cuba untuk memesongkan pemikiran ummat islam dengan mendatang maksud perkataan dalam kamus seperti Isa, Berhala, Muhammad, hari jumaat, sabtu dan sebagainya dengan merujuk kitab-kitab bible mereka. Maksud perkataan ini berbeza dengan apa yang kita faham seperti hari Jumaat. Kalau hari jumaat dalam Islam adalah penghulu bagi segala hari namun dalam kamus Munjid, jumaat diberi maksud hanya salah satu hari dalam seminggu.

Penulis juga mengaitkan penjajahan Istilah ini kerana para oreantalis cuba ingin memadamkan kefahaman sebenar ummat Islam terhadap al-Quran dan ilmu yang berkaitan dengannya iaitu ulum al-Quran. Perkataan seperti ablogation tidak sesuai diterjemahkan sebagai nasakh dan mansukh.

Perkataan lain yang diputar belitkan oleh barat iaitu:
  1. Terrorist (pengganas). Namun maksud dalam Islam sebagai mana diberikan oleh Islamic jerusalam (yang diharamkan PBB) ialah orang yang membunuh musuh Allah.
  2. Extremist (salah seorang yang berusaha mewujudkan Islamic state). Namun dalam Islam maksud sebenar ialah ‘isyan (orang yang melakukan berdosa), Fusuq (orang yang fasiq) dan orang kufur.
  3. Presint maksud sebenar adalah bahasa gereja (jalan untuk ke gereja) - sekarang digunakan sebagai tempat di putrajaya.
Perkataan di atas sebagai contoh, ia adalah perkataan yang kita sering dengar tetapi kita tidak tahu sebenar menurut pandangan Islam.

Ini adalah sedikit pengkongsian ilmu untuk membuka minda kita supaya bangkit melawan musuh kita. Kita didedahkan dengan idealogi-idealogi mereka seperti liberalism  namun tanpa kita sedar penggunaan bahasa kita juga turut dijajah oleh mereka. Segala fakta ini adalah benar kerana ia dinyatakan oleh pensyarah penulis Prof Tengku Ghani Tengku Jusoh (pensyarah bidang kesusasteraan di Scotland).


Penulis: Siti Nor Azizah binti Abdul Majid (UKM)

Saturday, 17 March 2012

Surah Al-Kahfi Ayat 1-8

  

“Segala pujian kepada Allah yang telah menurunkan kitab Al Quran kepada hamba Nya dan tidak menjadikan padanya ajaran yang berbelit-beli. Sebuah kitab yang lurus untuk memberi amaran keseksaan yang amat keras dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang mukminin yang mengerjakan amalan soleh bagi mereka ganjaran pahala yang baik …………….dan sesungguhnya ketika Qiamat kelak, Kami akan jadikan segala apa yang ada di atas bumi ini tanah rata yang keras dan tandus”. [ayat 1-8.]

18:1 

Ayat ini bemula dengan menonjolkan sifat lurus dan tegas didalamnya memuji Allah S.W.T yang menurunkan kitab suci al Quran kepada hamba Nya.Di dalamnya mengandungi ajaran yang lurus lagi istiqamah, tidak berbelit-belit dan tidak menyeleweng malah tidak bertujuan mencari helah dan tidak berusaha untuk menipu bahkan bertujuan “untuk memberi amaran yang amat keras dari sisi Allah”.

Sejak ayat pertama lagi sudah nyata garis-garis sifatnya yang jelas, tidak ada sebarang kekeliruan, tidak ada sebarang kesamaran dan kerumitan dalam aqidah. Segala pujian hanya kepada Allah S.W.T yang telah menurunkan al Quran.Muhammad adalah hamba Allah. Semua makhluk adalah hamba Nya belaka. Allah S.W.T sama sekali tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu.

Al Quran tidak membawa sebarang ajaran yang berbelit-belit. Ajarannya adalah “qayyiman”. Konsep istiqamah al Quran dijelaskan dengan;

Menafikan sifat berbelit-belit dalam ungkapan “laa i’waja fihi”
Menegaskan sifat kelurusan dalam ungkapan “qayyiman”


18:2 
18:3
18:4 


Tujuan penurunan Al Quran amat jelas sekali dengan firman Nya “untuk memberi amaran keseksaan yang amat keras dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang mukminin yang mengerjakan amalan soleh bagi mereka ganjaran pahala yang baik” [ayat;2.]

Suasana amaran yang amat keras itu merangkumi seluruh penjelasan ayat ini.Bermula amaran secara umum dan diikuti amaran secara khusus. Ini dapat diperhatikan dalam firman Allah;

Amaran umum “untuk memberi amaran keseksaan yang amat keras dari sisi Allah” [ayat;2]
Amaran khusus “dan untuk memberi amaran kepada orang-orang yang telah berkata bahawa Allah mempunyai anak” [ayat;4]


Di antara dua amaran itu diselit pula dengan berita gembira kepada orag-orang yang beriman dengan firman Allah

“yang mengerjakan amalan-amalan soleh” [ayat;2.]

Ikatan inilah yang menjadikan iman mempunyai bukti-bukti yang amali bersandarkan realiti yang kuat.

Selepas itu al Quran mula menjelaskan manhaj yang salah, yang mereka ambil dalam memutuskan persoalan yang amat besar dan amat penting dalam kehidupan mereka iaitu ‘isu aqidah’ dengan firman Allah ;

18:5 

“Sebenarnya mereka tidak mempunyai sebarang ilmu pengetahuan mengenai perkataan itu dan datuk nenek mereka juga tidak mempunyai ilmu” [ayat;5]

Alangkah keji dan buruknya perbuatan mereka meluahkan perkataan itu, tanpa berpandukan ilmu pengetahuan, malah secara sangkaan yang melulu. Perhatikan firman Allah yang bermaksud;

“Alangkah besar kata-kata yang terkeluar dari mulut mereka sedangkan apa yang dikatakan mereka tidak lain, melainkan hanya dusta semata-mata”. [ayat;5]

Semua perkataan dalam susunan ungkapan ayat ini dan semua bunyinya dalam pertuturan adalah saling berkait rapat untuk membesar-besarkan kejilikan perkataan yang mereka ucapkan. Ini dapat kita perhatikan perkataan;

Perkataan “Kaburat” untuk menunjukkan kepada pendengar betapa besar dan jeliknya perkataan itu sehingga memenuhi suasana. Perkataan itu juga sebagai tamyiz dengan ungkapan “kaburat kalimatan” untuk menambah tekanan bagi menarik perhatian mereka. Ia menjadikan perkataan itu terlepas keluar dari mulut mereka secara spontan dan terburu-buru.


Perkataan “takhruju min afwaahihim” kata-kata ini memyumbang bunyi yang istimewa dalam membesarkan kejilikan kata-kata yang terkeluar dari mulut mereka. Ini kerana orang yang melafazkan “afwaahihim” akan membuka mulutnya untuk menyebut mad pada potongan pertamanya “afwaa..” kemudian menyebut dua Ha’ yang berturut-turut menyebabkan seluruh mulut dipenuhi dua Ha’ sebelum ditutup mulut kerana mematikan huruf Mim diakhir perkataan “afwaahihim”. Semua susunan dan bunyi ayat ini menggambarkan maksud dan suasana.


Perkataan “In yakuuluuna illaa kaziban” Ini adalah satu kenyataan yang tegas melalui penafian ‘an nafi’ dan pengecualian ‘al istisnaa’. Pemilihan kata “In” bukan “maa” kerana “in” bunyi mati yang keras dan jelas. Sedangkan “ma” mempunyai bunyi lembut sebab mad. Tujuan pemilihan itu adalah untuk menambahkan kekerasan kecaman dan menegaskan pembohongan yang amat besar.


Ayat 6 seakan-akan ayat teguran. Allah S.W.T berbicara dengan Rasulullah s.a.w yang sedang kesedihan kerana kaumnya mendustakan al Quran, menolak hidayah dan memilih jalan yang membawa mereka pada kebinasaan. Allah berfirman kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

18:6 

“Mungkin engkau hendak membunuh dirimu kerana dukacita terhadap perbuatan mereka yang tidak mahu beriman dengan al Quran” [ayat;6]

Maksudnya mengapa engkau hendak membunuh dirimu kerana sedih dan berdukacita terhadap mereka yang tidak beriman pada al Quran. Memang sepatutnya kamu tidak wajar bersedih dan berdukacita terhadap mereka. Biarkan mereka begitu, kerana Kami telah menjadikan semua keindahan dan kenikmatan yang ada di atas bumi ini, termasuk harta kekayan dan anak –anak sebagai ujian dan cubaan, siapakah di antara mereka dan penghuni-penghuni nya yang melakukan amalan-amalan yang baik di dunia ini. Mereka wajar menerima nikmat dunia dan wajar pula menerima nikmat di akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud;

18:7 

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang lebih baik amalannya”. [Ayat;7]

Hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui siapakah mereka? Allah tetap akan membalas setiap perbuatan dan amalan yang telah dilakukan oleh para hamba Nya dalam kehidupan dunia ini. Al Quran tidak menyebut apa-apa tentang mereka yang tidak mengerjakan amalan-amalan yang baik kerana pengertian itu dapat difahami dengan jelas melalui ungkapan “li nabluwa hum aiyuhum ahsanu amalan”.

Penyudah bagi keindahan dan perhiasan dunia telah pun ditetapkan. Bumi akan menjadi kosong, semua penghuninya akan hancur dan binasa. Bumi akan jadi tandus, gersang, keras dan kering kontang menjelang hari Qiamat. Firman Allah yang bermaksud;

18:8 

“dan sesungguhnya Kami akan jadikan segala apa yang ada di atas bumi ini menjadi tanah tandus lagi kosong”. [Ayat;8]

Pada ungkapan dan pemandangan ayat ini mebayangkan satu keadaan yang dahsyat. Perkataan “juruzan” menggambarkan pengertian tandus dengan bunyi perkataan itu sendiri. Begitu juga perkataan “saie’dan’ menggambarkan pemandangan tanah yang keras dan kontang.






Penulis: Halimatun Saadiah (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting