Friday 29 March 2013

Di Sebalik Duri Jalanan

Di Sebalik Duri Jalanan



Kenapa ada golongan manusia sanggup bersusah payah melakukan kebaikan padahal perbuatan baik itu acapkali tidak mendapat balasan baik di dunia?

Kadang-kadang terasa ingin menyerah kalah dan tidak sanggup meneruskannya. Adakah kita pernah tertanya bahawa perbuatan kita akan di nilai oleh Allah s.w.t sama ada baik ataupun buruk? Perasaan yang tidak asing lagi bagi insan bernama manusia. Manusia yang sering berbolak balik hatinya. Manusia yang sering kali lupa akan tujuan dia dihidupkan di bumi dan perlu sentiasa di ingatkan.

Apabila iman rapuh, manusia akan mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan saudara Islamnya yang lain. Iman itu sesungguhnya berkadar terus dengan kasih sayang. Apabila iman mantap, pasti persaudaraan dan kasih sayang turut mantap.

Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara” – Al-Hujurat 49:10

Dan dalam menghadapi kehidupan dunia, manusia akan di uji. Ujian datang dengan banyak cara. Ada yang diuji dengan kemiskinan, bala bencana, ketakutan dan juga kekayaan. Setiap yang bernama manusia itu, tidak akan terlepas daripada ujian Allah saat hidup di muka bumi ini.
Cuma ujian bagi setiap insan berbeza dengan insan yang lain. Ada kalanya dalam melakukan perkara kebaikan pun kita akan di uji. Ada kalanya kita ditimpa musibah. Sesungguhnya Allah tidak akan membebani sesuatu kaum itu melainkan mereka mampu menghadapinya.

Bagaimana untuk menghadapi ujian yang datang. Sabar adalah kunci kehidupan yang tenteram. Musibah yang hadir tidak akan menggugat sekelumit iman yang tertanam di dalam hati. Rasulullah s.a.w bersabda:

..Dan apabila dia tertimpa kesusahan, dia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Seterusnya yakinlah akan ada hari pembalasan kelak dan setiap perbuatan yang dilakukan akan ditimbang. Sesungguhnya jalan menuju ke syurga dipagari dengan kesusahan dan jalan ke neraka dipenuhi dengan kesenangan.

Setiap kebaikan walau sebesar zarah akan mendapat pembalasan. Janji Allah bagi setiap kebaikan ialah pahala dan syurga serta keampunan-Nya pada hari akhirat. Biarlah manusia dan dunia tidak memberi pujian, ganjaran dan penghargaan tetapi Allah pasti akan membalasnya di ‘sana’.

Siti Solehah Bt Azaman
Aktivisme PEMBINA
UKM

poster promo ikhwah
picture hosting