Tuesday, 5 June 2012

Bicara Buku: Diari Hidup Rasulullah SAW

" Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"
(Al-Ahzab,33:21)

Dalam menjalani kehidupan seharian, tidak kisahlah sebagai seorang pendakwah mahupun seorang pelajar, menjadikan Rasulullah ﷺ sebagai contoh teladan seperti yang disarankan firman Allah di atas adalah cara hidup yang terbaik.

Saya percaya pada kata-kata, "Tak kenal maka tak cinta". Justeru keinginan untuk mengenali Baginda Rasulullah ﷺ dengan lebih mendalam telah menyebabkan saya tertarik untuk membaca apa-apa buku berkaitan Baginda ﷺ dan salah satunya adalah "Diari Hidup Rasulullah SAW" hasil penulisan Muhammad Abd Syukur, Muhammad Muslih Aziz dan Muhammad Syamsul Yakin yang berdasarkan isi penulisannya, dipercayai berasal dari Indonesia.


Sekilas lalu, buku ini mungkin kelihatan biasa. Menceritakan tujuh sunnah Rasulullah ﷺ yang saya pasti ramai sudah sedia maklum. Namun apa yang membuatkan buku nipis ini istimewa adalah kemampuan penulis untuk mengaitkan betapa relevannya 7 sunnah Rasulullah ﷺ ini diamalkan oleh umat Islam di zaman serba moden ini.



Sebagai contoh penulis telah mengaitkan kepentingan solat duha terhadap pembangunan ekonomi sesebuah negara Islam.

"Dalam konteks berbangsa dan bernegara, dengan mendirikan solat duha, diharapkan penduduk negara ini mampu kembali menjadi manusia berhati nurani, meninggalkan perspektif kebendaan, dan menyebar kecintaan, kasih sayang dan juga menolong satu sama lain. Kerana dalam harta orang kaya terdapat bahagian untuk mereka yang meminta dan yang tidak meminta-minta"
(muka surat 74)

Penulis cuba menjelaskan bahawa Solat Duha itu bukan sahaja menjadi pengukur peribadi orang yang yang melaksanakannya, tetapi juga ibarat senjata yang dapat digunakan bagi memohon supaya ekonomi negara menjadi lebih baik dan diperkukukan. Hal ini dapat tercapai sekiranya rakyat sesebuah negara Islam itu mengamalkan solat duha.

Selain itu, penulis turut kupas dengan menarik mengenai satu lagi sunnah Rasulullah ﷺ iaitu sedekah. 

Sesungguhnya memberi itu tidak semestinya material.Kita perlu yakin Allah yang akan membalas, bukan orang yang kita bantu. Allah akan memberi pertolongan dari arah yang tidak kita duga
(muka surat 91)

Kata-kata ini amat relevan bagi setiap insan yang menggelarkan diri mereka seorang Da'ie dimana tugas seorang da'ie ini seringkali menuntut mereka untuk memberi bantuan tidak kira dari segi harta mahupun keringat. Balasan tidak pernah diminta, hanya redha Allah yang dicari.InsyaAllah, itulah yang akan mereka diperolehi.

Istimewanya buku ini juga adalah kerana penulis turut menyelitkan pengalaman penulis sendiri untuk dikaitkan dengan kebaikan amalan sunnah ini. Penulis menceritakan pengalaman beliau menghadapi seorang sahabat yang kecewa dengan sikap manusia yang tidak membantunya di saat kesusahan sedangkan dia seringkali membantu mereka. Sikap negatif sahabatnya ini telah disangkal dengan kata-kata

"Kamu sudah tentu dapat merasakan kebahagiaan semasa memberi sesuatu kepada orang lain. Itulah keuntungan yang kita peroleh iaitu kita sendiri dapat merasakan kebahagiaan itu"

Benar bukan? Bantuan yang diberi dengan ikhlas akan membahagiakan diri si pemberi. Melihat kegembiraan si penerima turut akan membahagiakan si pemberi itu sendiri. Kebahagiaan yang seterusnya, menanti di akhirat kelak. InsyaAllah.

Penulis turut melahirkan harapannya agar negara kelahirannya yang dicintai dapat dibentuk oleh sebuah bangsa yang berzikir, dimana setiap kalamnya adalah DAKWAH, diamnya zikir, nafasnya tasbih, matanya rahmat, telinganya terjaga, fikirannya baik sangka, gerak hatinya doa,tangannya sedekah, kakinya jihad, kekuatannya silaturahim, kerinduannya tegaknya syariat Allah dan kesibukkannya asyik memperbaiki diri.

Allahuakbar,bayangkan setiap individu Islam di negara kita ini mengamalkan ketujuh-tujuh sunnah Rasulullah ﷺ. Negara ini pasti harmoni tanpa tuntutan hak yang bukan-bukan, tiada perselisihan faham antara pemimpin dan ekonomi negara membangun pesat dan hasilnya dapat dinikmati oleh rakyat dengan adil. Mungkin angan-angan ini terlalu tinggi untuk dicapai, namun dengan pertolongan Allah, dan kesedaran diri sendiri untuk melakukan pembaikan, InsyaAllah,negara idaman ini boleh diwujudkan.

Marilah sama-sama kita memulakan pembaikan diri dengan dengan mengamalkan 7 sunnah Rasulullah ﷺ. Kekasih Allah yang kita semua rindui.
Wallahualam.


Nani Rahayu Mohd Radzuan
Sains Haiwan, FST
UKM, Bangi


poster promo ikhwah
picture hosting