Thursday, 7 June 2012

HADIS 27: Antara Kebaikan dan Dosa


Dari An-Nawwas bin Sim'an r.a, dari Nabi SAW yang bersabda :

" Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik. Dan dosa pula adalah apa yang tersimpul di dalam diri engkau dan engkau benci bahawa ia diketahui manusia mengenainya. "(Riwayat Muslim)            


Dari Abi Wabishah bin Ma'bad r.a :
" Bahawa aku datang kepada Rasulullah SAW lalu baginda bertanya : ' Engkau datang bertanyakan erti kebajikan ? ' Aku menjawab : ' Ya '. Sabda Rasulullah SAW lagi : ' Tanyalah hati engkau. ' Kebajikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya serta mententeramkan hati. Manakala dosa pula ialah apa yang mengganggu jiwa dan meragui dalam dada, walaupun orang ramai telah memberikan engkau fatwa dan terus menfatwakan sesuatu’.” (Riwayat Imam Ahmad)

Berdasarkan dua hadis di atas, Nabi S.A.W menjelaskan bahawa kebaikan itu adalah merupakan akhlak yang baik, kerana sebaik-baik manusia adalah yang paling baik akhlaknya dan dalam akhlak yang baik ada kemaslahatan bagi individu dan masyarakat, kecil dan besar, lelaki dan perempuan.

            Antara akhlak yang baik ialah berbuat baik sesama manusia dan tidak menyakiti hati orang lain, bersopan santun, tutur kata yang baik dan bersabar atas gangguan orang serta pemaaf. Kebaikan itu adalah sesuatu yang dapat menenteramkan hati dan jiwa, sedangkan dosa itu mempunyai dua alamat. Pertama, yang membimbangkan dan meragukan jiwa, apabila pihak yang berkaitan tidak menyukai apabila orang lain tidak menyukai dan mencelanya. Meskipun Ulama memberi fatwa, janganlah dipatuhi fatwanya itu, selama mana masih ada keraguan dan kebimbangan dalam jiwa, kerana fatwa itu tidak boleh menghapuskan keraguan itu selama mana keraguan itu benar adanya.


Diriwayatkan bahawa akhlak terpuji itu merangkumi tiga perkara sebagaimana tersebut dalam firman Allah S.W.T:
Jadilah engkau seorang yang pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh." (Surah Al-A’raf,7: 199)


            Oleh itu, sebagai umat Islam kita seharusnya berusaha untuk menjadi umat yang terbaik sepertimana yang telah Allah sebutkan di dalam al-Quran. Perbezaan dosa dan pahala, baik dan buruk serta hak dan batil mesti diketahui dengan sedalam-dalamnya supaya setiap apa yang dilakukan berlandaskan syariat Allah S.W.T.  Berfatwalah kepada hatimu dengan keimanan supaya kamu merasa tenteram dan aman dengan setiap perkara yang membelenggu.


Oleh: Nurul Hajjar Atan (Ukhti Ansarullah) 
          Komunikasi Dasar Awam(FSSK)
          UKM,Bangi

poster promo ikhwah
picture hosting