Saturday 17 March 2012

Kenali Bilal Bin Rabah

Bilal bin Rabah dilahirkan di daerah as-Sarah yang terletak di pinggir Kota Mekah, 43 tahun sebelum hijrah. Ayahnya bernama Rabah dan ibunya bernama Hamamah, seorang wanita berkulit hitam. Kerana itu, Bilal dipanggil dengan gelaran Ibnus-Sauda’ atau putera wanita hitam. Bilal merupakan seorang hamba milik Umayyah bin Khalaf, tokoh terkenal kaum Quraisy. Beliau juga merupakan hamba pertama yang memeluk Islam dan yang terawal meyakini risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w secara bersembunyi. Begitu besar dugaan dan ujian yang dilalui oleh Bilal apabila keimanannya diketahui oleh Umayyah dan beliau diseksa dengan sangat kejam dan zalim. Mula-mula beliau dipukul, kemudian diarak keliling Kota Mekah.

Oleh sebab Bilal masih berdegil dan mempertahankan keimanannya, beliau dijemur di atas pasir tanpa diberi makan dan minum. Ketika matahari tegak di atas kepala, dan padang pasir panas membara, Bilal dipakaikan baju besi lalu dibiarkan berjemur di bawah terik cahaya matahari. Keadaan Bilal amat lemah dan tidak berdaya akan tetapi apabila ditanya oleh Umayyah, adakah beliau ingin berhenti daripada beriman kepada Muhammad, bibir Bilal tidak berhenti menyebut “ahad” iaitu Tuhan yang satu (Allah). Kekejaman itu berakhir apabila seorang hartawan yang dermawan iaitu Abu Bakar as-Siddiq telah melihat kejadian tersebut dan membeli Bilal daripada Umayyah dengan bayaran sebanyak sembilan uqiyah emas.


 
Sekadar Gambar Hiasan - Sehingga kini sesiapa yang mengumandangkan azan dipanggil sebagai 'Bilal' khususnya di Malaysia.

Selepas peristiwa itu, kehidupan Bilal semakin baik dan bahagia. Daripada seorang hamba menjadi seorang manusia merdeka yang disanjung dan dikasihi. Kecintaan Bilal terhadap Rasulullah s.a.w begitu mendalam sehingga selepas kewafatan Rasulullah, Bilal tidak mampu melaungkan azan kerana apabila tiba pada kalimah ‘Muhammad’ beliau berasa sebak. Ekoran kejadian itu, Bilal berhasrat dan bertekad untuk berhenti menjadi tukang azan. Sehingga Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab sendiri tidak mampu untuk memujuk beliau daripada menarik balik keputusan yang dibuat.

Umar al-Kattab telah bertanya kepada Bilal, “Adakah kamu seorang sahaja yang merasa sedih dengan kehilangan Rasulullah s.a.w? Air mata saya juga sudah kering kerana menangis! Jika boleh, saya mahu serahkan nyawa saya ini sebagai gantinya”. Bilal menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, kesedihan saya melebihi kesedihan tuan. Tuan lahir sebagai seorang merdeka. Berbanding saya seorang hamba. Tuan tidak pernah merasai bagaimana gembiranya seorang hamba apabila dimerdekakan. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membebaskan kami dari perhambaan. Dia memuliakan saya ketika orang lain menghina saya. Kemudian Rasulullah s.a.w melantik saya sebagai tukang azan. Rasulullah s.a.w juga pernah mengatakan, baginda terdengar hentakan sepatu saya di dalam syurga”. Kata Bilal dengan nada yang sedih dan hiba.






Penulis: Mariam Malek (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting