Wednesday, 28 March 2012

Syahadah Tak Serupa Bikin



Kisah ini tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati.

Budin adalah seorang mahasiswa Muslim yang berusia dalam lingkungan dalam 20-an yang melanjutkan pengajian ijazah di sebuah universiti tempatan. Keislamannya bukanlah semata-mata kerana agama di dalam kad pengenalannya tertera “Islam” tetapi kerana dia mengaku akan keEsaan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W itu adalah pesuruh Allah melalui kalimah syahadah.

Jika ditanya apa itu kalimah syahadah sudah pasti dia akan melenting dengan berkata:

Common la bro! Itu soalan tahap budak tadika lah…budak tadika pun boleh jawab…apa susah sangat, simple je kot…Asyhadu an lailaha illaAllah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasullullah”.

Begitulah…begitu mudah jawapan dari mulutnya.

Sepanjang pengajian berjalan, seakan ada beberapa perkara yang tidak kena dengan tingkah laku Budin yang membingungkan rakan roommatenya, Hafis. Pelbagai persoalan bermain di fikiran Hafis untuk mentafsirkan tindak tanduk Budin sepanjang berkawan dengannya.

Hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi azan subuh akan bergema, jam loceng berbunyi dengan nyaring. Hafis terjaga daripada tidurnya. Melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 5.55 pagi, lantas Hafis bangun membersihkan muka dan bersugi. Disusuli kemudian dengan mengambil air wuduk.

Tidak lama kemudian, azan subuh pun berkumandang. Hafis gegas mengejutkan Budin untuk bangun solat subuh berjemaah di surau. Namun, Budin tetap terus lena dibuai mimpi. Hafis agak tertekan melihat rakannya kaku tidak bangun, lalu menarik selimut Budin. Hafis pelik, kali ini Budin bergerak pula tapi hanya menarik semula selimutnya dan menyambung tidurnya. Memandangkan iqamah telahpun berbunyi, Hafis pasrah dan segera menuju ke surau.

Setelah selesai solat, Hafis pulang ke biliknya. Apabila pintu dibukanya, Hafis menggelengkan kepalanya melihat Budin yang masih enak tidur diselubungi dengan selimutnya. Melihat fajar semakin cerah, Hafis tidak berputus lalu terus berusaha membangunkan Budin dari tidurnya namun ternyata tidak membuahkan hasil.

Hari sudah kian cerah, semua mahasiswa sedang sibuk dengan kuliah masing-masing. Tidak lama kemudian, Hafis pulang ke biliknya setelah selesai kuliah di fakultinya. Apabila pintu dibukanya, Hafis sangkakan Budin masih tidur, rupanya dia sudah terpacak di hadapan  komputernya bermain game. Hafis pun bertanya…

“Kau tak ada kuliah ke Din pagi ni?”

Jawab Budin dengan slumber

“Ada….tapi aku suruh kawan aku je yang sign attendance untuk aku…tak ada mood la nak pergi kuliah hari ni”

Budin mengajak Hafis ke kafe. Kebetulan Hafis tidak sempat untuk bersarapan sebelum dia pergi ke kuliah pagi tadi. Hafis menerima ajakan Budin dan berkata “Jomlah bro…aku belanja kau makan free!”. Kata Hafis itu membuatkan Budin bertambah teruja untuk pergi ke kafe.

Tetapi, lain hal pula yang terjadi di kafe. Ketika di kaunter pembayaran, Hafis dengan tanpa segan silu berkata “Bro, ko bayar sendiri lah!” Wajah Budin yang tersenyum lebar tadi berubah menjadi kusam.

Sebaik sahaja meletakkan makanan di meja, Budin dengan rasa tidak puas hati meluahkan “Apa ni bro? Tadi kat bilik kau kata nak belanja makan free. Elok-elok sampai depan kaunter kafe…kau pusing cerita pula. CAKAP TAK SERUPA BIKIN!!”

Hafis tersenyum dengan sinis lalu membalas…

“Bro!…marah ke? Tapi Allah punya marah lagi dahsyat kalau SYAHADAH TAK SERUPA BIKIN”

Budin pelik dan tertanya-tanya apa yang cuba disampaikan Hafis padanya. Hafis menerangkan lagi…

“Aku hairan sebab kau ucap kalimah syahadah, kau yakin dan mengaku tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah TAPI kau tak mahu bangun subuh untuk sembah Allah yang kau katakan layak disembah dalam kalimah syahadah yang kau dah ucap…bukan ke ini SYAHADAH TAK SERUPA BIKIN?”

Kali ini, Budin diam tak terkata. Hafis menambah lagi..

“Aku tambah hairan lagi sebab kau ucap kalimah syahadah, kau yakin dan mengaku Nabi Muhammad S.A.W itu adalah utusan Allah TAPI kau tak follow apa Nabi Muhammad S.A.W sampaikan daripada Allah. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Barangsiapa menipu maka ia bukan dari (golongan) ku.” (Muslim no. 102).

“Tapi kau ponteng kelas lepas tu suruh kawan kau yang tandatangankan untuk kau, kau menipu pula pensyarah kau dan mak ayah kau,…bukan ke ini SYAHADAH TAK SERUPA BIKIN?

Begitulah al-kisahnya sedikit gambaran tentang 'Syahadah Tak Serupa Bikin'. Ia bukan sahaja terjadi pada Budin sahaja tetapi terjadi juga pada rata-rata masyarakat Islam sekarang. Begitu ramai yang mengucap kalimah syahadah tetapi  hanya sedikit sahaja yang perbuatannya mencerminkan kalimah syahadahnya. Begitu mudah mengucap kalimah syahadah tetapi tidak semudah apa yang diucapkan untuk menterjemahkannya kepada perbuatan (amal).

Tidak logik apabila kita mengucap kalimah syahadah, tetapi akhlak dan perbuatan kita tidak berpandukan akhlak dan sunnah Rasulullah S.AW. Tidak logik juga apabila kita mengucap kalimah syahadah, tetapi pemikiran kita mirip kepada pemikiran liberalismepluralisme dan yang sebanding dengannya.

Di sinilah perlunya 'Syahadatul Haq' (pengakuan dan penyaksian sebenar bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah). Dalam erti kata lain, kita bukan sahaja mengucap kalimah syahadah dengan mulut sahaja tetapi harus disertai dengan hati (keyakinan teguh tanpa ragu-ragu), dan diterjemah dalam bentuk pemikiran dan perbuatan berlandaskan Quran & Hadith, bukan berlandaskan ideologi barat.

Firman Allah S.W.T dalam Surah As-saff Ayat 2-3 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Marilah sama-sama kita muhasabah, dalam setiap hal seperti sosial, ekonomi, muamalat dan lain-lain lagi adakah SYAHADAH KITA SERUPA BIKIN?



Penulis: Mohd Hazwan Harun (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting