Saturday 7 September 2013

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DALAM BIBLE VERSI BAHASA MELAYU DI MALAYSIA : KESAN DARI SUDUT SYARAK DAN PERUNDANGAN DI MALAYSIA



Zaman ini terdapat banyak pihak atau aktivis seluruh dunia yang mula bergerak secara aktif menuntut hak dan kebebasan mereka secara mutlak di negara masing-masing. Dan Malaysia juga tidak terkecuali daripada terikut rentak gelombang gerakan ini. Banyak pihak mula berdiri untuk menyuarakan serta menuntut hak dan kebebasan secara mutlak dengan menggunakan alasan kebebasan bersuara dan hak demokrasi. Antara yang disuarakan adalah LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual), hak persamaan gender, penggunaan kalimah Allah dan sebagainya. Dan antara isu yang mendapat respon daripada pelbagai pihak adalah isu penggunaan kalimah Allah dalam tulisan dan bible versi bahasa Melayu.

Isu ini mula dibincangkan secara meluas setelah pada Pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawerence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah Allah pada 31 Disember 2007. Namun, kerajaan menegaskan bahawa larangan itu masih lagi kekal. Kemudian, pada 3 Januari 2008, kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar masing-masing. Sebelum ini Kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam mesyuarat pada 18 Oktober dan 1 November 2006.Kemudian pada 19 Mac 2008, Gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah Allah. Dan pada 5 Mei 2008, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman larangan tersebut dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly. Akhirnya, pada 31 Disember 2009, Hakim Datuk Lau Bee Lan telah memutuskan untuk membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald – The Catholic Weekly.

Dan yang terbaru, pada 25 Disember 2012, Lim Guan Eng telah membuat suatu kenyataan untuk menggesa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab bible versi bahasa Melayu dalam perutusan Hari Krismas. Oleh itu, penulisan ini dibuat bukan sekadar memenuhi tuntutan tugasan subjek Sistem Pemerintahan Islam, tetapi ia juga sebagai satu analisa ringkas berhubung kesan penggunaan kalimah Allah dalam bible versi Bahasa Melayu pada hukum Syara’ dan perundangan Malaysia.

 * PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DARI KACA MATA ISLAM

      # Allah Sebagai Nama Khas

Kalimah ‘Allah’ adalah kata nama khas berasal daripada Bahasa Arab. Ia tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Menurut nahu Arab, kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil, dilelaki, diperempuan atau diterbitkan nana-nama lain daripadanya. Kalimah Allah adalah bebas dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala korupsi. Kita tidak boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun dalam bahasa asalnya. Dari segi struktur linguistik, kalimah ‘Allah’ lebih superior daripada apa jua perkataan apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan  makna  ke-Esaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Oleh itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan ‘Allah’ kepada apa jua bahasa melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu ‘Allah’.

Penegasan nama Allah sebagai nama khas juga sangat jelas dalam al-Quran. Contohnya dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4, Allah berfirman yang bermaksud ;

“Katakanlah : “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”
[Al-Ikhlas 112:1-4]

Dalam menafsirkan ayat ini, Ibn Kathir dan para mufassirin yang lain mengatakan bahawa Allah adalah nama khas kepada Zat Allah (ism ‘alam li zhat Allah) dan ia adalah nama yang luhur (al ism al-a’zam). Oleh kerananya Ibn Kathir mengatakan : “dan tidak diberikan nama ini kepada seorangpun dalam bentuk pengesahan kecuali kepada Allah azza wajalla kerana hanya Dia-lah yang sempurna dalam sifat dan perbuatan”. Ibn Kathir juga menegaskan bahawa ayat tersebut turun untuk menyanggah dakwaan orang Yahudi, Nasrani, dan kafir Quraysh yang telah menyekutukan Allah.

Tambahan lagi, hakikat bahawa kalimah Allah ini adalah nama khas juga telah disepakati oleh ulama terdahulu. Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam al-Tafsir al-Kabir mengatakan ;

“Yang terpilih bagi kami bahawa lafaz ini (Allah) adalah nama khas (ism ‘alam) bagi Allah Ta’ala dan ia bukanlah perkataan yang dapat dipecahkan (mushtaq) sama sekali. Ini adalah pandangan al-Khalil (seorang yang berautoriti dalam bahasa) dan Sibawayh, dan majoriti pandangan ulama’ usul dan Fuqaha”.

Ibn ‘Ashur dalam Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir juga menegaskan bahawa nama Allah adalah nama khas. Dan ia juga turut dinyatakan oleh Ibn Manzur dalam kamusnya Lisan al-Arab dimana beliau menyatakan nama Allah yang teragung (ism Allah al-Akbar). Ia bukanlah daripada nama yang dipecahkan (memiliki akar kata) menjadi kata kerja (seperti nama Allah yang lain, al-Rahman dan al-Rahim boleh menjadi rahima yang bermaksud mengasihi).

  #  Masyarakat Jahiliyyah Menyebut Allah.

Terdapat beberapa ayat al Quran yang menyebut secara jelas menceritakan tentang masyarakat Arab Jahilyyah menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan yang menciptakan alam.

Antaranya adalah ;

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).”
[Luqman 31:25]

Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): "Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah: "(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?
[Yunus 10:31]

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).
[Al-‘Ankabuut 29:63]

Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa perkataan Allah telah digunakan oleh masyarakat Arab jahiliyyah di dalam keadaan mereka syirik. Namun demikian, perlu kita memahami bahawa apabila orang Arab jahiliyyah menyebut Allah, mereka secara langsung memahami dan meyakini bahawa Allah itu Esa, Allah itu Tunggal, Allah itu Zat yang mencipta, Zat yang menurunkan rezeki dan sebagainya. Mereka tidak mensyirikkan Allah dari sudut Rububiyyah dan sifat Allah sebagai pencipta tetapi mereka mensyirikkan Allah dari sudut hakimiyyah dan perundangan di mana mereka menyembah berhala kerana beranggapan bahawa berhala itu akan mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Ini dijelaskan oleh Allah dalam al Quran,

“… Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya",…”
[Az-Zumar 39:3]

“…Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah…"
[Yunus 10:18]


  *  PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DALAM BIBLE VERSI BAHASA MELAYU

     #  Kesan Dari Sudut Syarak

Terdapat beberapa ulama’ yang mengharuskan bukan Islam termasuk Kristian untuk menggunakan kalimah Allah. Namun bagaimana pula jika kalimah diimplimentasikan di dalam bible versi bahasa Melayu? Jika digunakan di dalam bible versi bahasa Melayu, ia sekaligus merosakkan terus makna kalimah Allah tersebut.

Firman Allah yang bermaksud ;

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[Al-Maaidah 5:73]

Ayat di atas dengan tegas menyatakan bahawa Allah menafikan golongan yang menyatakan Zat-Nya itu satu oknum daripada tiga oknum (Triniti). Malah Allah menganggap mereka sebagai kafir. Ini dengan terang bermakna perkataan ‘Allah’ yang keluar dari lidah golongan Kristian itu adalah sia-sia dan tiada nilai di sisi Allah kerana ia tidak merujuk kepada kalimah Allah yang sebenar. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa Allah itu bersifat Esa,  tidak beranak dan tidak diperanakkan seperti mana yang Allah jelaskan dalam al Quran,

“Katakanlah : “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”
[Al-Ikhlas 112 : 1-4]

Imam Al-Qurtubi menafsirkan seruan Al-Qur’an yang bermaksud:

 “…Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih…”

dengan berkata: “((jika mereka tidak berhenti…)) tidak berhenti daripada berkata tentang triniti tersebut, mereka akan disiksa di dunia dan di akhirat”.

Dengan erti kata lain, sekiranya orang Kristian mahu kalimah Allah digantikan atau ditukar kepada Jesus, atau kepada God ataupun Lord, mereka seolah menghina dan merendah-rendahkan keesaan Allah yang telah dinyatakan di dalam al Quran dan cuba melanggar syarak.

Ada juga pihak yang menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam bible versi bahasa Melayu telahpun digunapakai di negara Timur Tengah, di Indonesia bahkan di Malaysia Timur sendiri sejak 50 tahun lalu. Persoalan di sini, adakah apa yang berlaku di Sabah, Sarawak, Indonesia dan negara-negara lain itu betul dan selamat, lalu hendak dihujahkan boleh guna di Semenanjung Malaysia?

Jawapannya tidak, kerana di sana ada satu kaedah syarak,

al-urful fasid la yughaiyiru haqqaiqas syar’ie.”

Maknanya, uruf yang rosak tidak akan mengubah hakikat syarak yang merupakan suatu yang ditunjukkan di dalam Al-Quran.Mana-mana penggunaan, uruf ataupun kebiasaan tetapi kebiasaan yang merosakkan tetap tidak akan mengubah hakikat syarak. Walaupun telah diamalkan selama 10 kurun tetapi apabila syarak tidak membenarkan, maka ia tetap tidak boleh walau apa jua cara sekalipun.

     #  Kesan Dari Sudut Perundangan Malaysia

Mengikut perundangan Malaysia, perlu difahami bahawa hanya Islam sahaja satu-satunya  agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada agama lain disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara sahaja. Ini adalah jaminan Perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4) iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Umat Islam adalah umat majoriti di  negara kita. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Makna ‘boleh diamalkan dengan aman dan damai’ ialah agama lain selain agama Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan iaitu Islam. Inilah kedudukan istimewa Islam.

Kedudukan istimewa Islam ini bolehlah di fahami kerana terdapat peruntukan-peruntukan yang lain yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, antaranya

a)  Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.;

b) Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberikuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembagunan syiar Islam;

c) Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam.

d) Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Jika kalimah Allah bebas digunakan dalam penerbitan umum termasuk di dalam bible versi bahasa Melayu, ia memberi kesan yang amat ketara terhadap orang Islam walaupun ia di edarkan di kalangan orang bukan Islam. Disana akan timbul persoalan, apakah jaminan ianya tidak akan diedarkan kepada orang Islam? Penerbitan tersebut tidak hanya diedarkan di gereja sahaja. Sekaligus ia akan memberi kemungkinan tinggi untuk menggugat kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan.

Ditambah pula kewujudan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) tidak mempunyai signifikan secara realitinya. Enakmen ini telah wujud di beberapa negeri sejak berpuluh tahun namun masih tidak dilaksanakan. Malah ada negeri yang telah meluluskan enakmen ni masih tidak mewartakan dan memberi tarikh pelaksanaannya. Empat buah negeri pula iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang yang sama walaupun mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri semasa menjadi Perdana Menteri telah berjanji dan mengarahkan negeri-negeri ini menggubal undang-undang tersebut. Sememangnya kepentingan agama Islam akan tergugat sama ada dari sudut peruntukan undang-undang, mahupun dalam masyarakat Malaysia.

     #  Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.


   * KESIMPULAN

Secara tuntasnya, setiap anggota masyarakat perlu memperkukuhkan penghayatan Islam dalam diri dan keluarga masing-masing selain menyokong keputusan muzakarah Fatwa Kebangsaaan. Media pula hendaklah membantu menjadikan mana-mana tokoh ilmuwan Islam sebagai role model dan bukan artis.

Para ulama pula perlu sepakat menghalang penggunaan nama Allah bagi terjemahan di dalam bible versi Melayu.Manakala pihak kerajaan juga perlu segera melaksanakan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan bagi negeri-negeri yang belum menggubal undang-undang tersebut hendaklah berbuat demikian dengan kadar segera.

Majlis Raja –Raja Melayu sebagai ketua  agama negeri-negeri juga perlu membuat ketetapan yang tegas berkaitan dengan perkara ini selaras dengan sumpah jawatan baginda mempertahankan Islam pada setiap masa. Malah  Yang Di Pertuan Agong menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan  juga boleh merujuk  ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3.

  *  RUJUKAN

1. Mohd Aizam bin Mas’od. 2008. Hujah Menolak Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Oleh Kristian. Jurnal Penyelidikan JAKIM Bil. 21.

2. Prof. Madya Dr. Khalif Muammar. 2011. Isu Nama Allah : Mengapa Orang Bukan Islam Tidak Berhak Menggunakan Nama Allah. www.muftiwp.gov.my/v1/doc/Isu_Nama_Allah.pdf

3.Md. Asham B. Ahmad. 2008. Antara Nama dan Hakikat. Institut Kefahaman Islam Malaysia. http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/utusan-malaysia/8053-antara-nama-dan-hakikat (Mei 2008)

4.Wan Ahmad Fayhsal. 2013.In the Name of God: Disentangling the confusion in reaffirming the correct understanding of the name ‘Allāh’. http://hakim.org.my/blog/?p=501

5. Zainul Rijal Abu Bakar. 2010. Penghakiman Kes Kalimah Allah Memberi Kesan Terhadap Agama Persekutuan.http://membelaislam.wordpress.com/2010/01/02/penghakiman-kes-kalimah-allah-memberi-kesan-terhadap-agama-persekutuan/

6. Zaharuddin Abd Rahman. 2010. Larangan Kristian Guna Nama Allah : Ulasan Ringkas. http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/900-larangan-kristian-guna-nama-allah--ulasan-ringkas.html.

7. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. 2008. Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-tuntutan-penganut-kristian-terhadap-penggunaan-kalimah-allah


9. Akhbar Sinar Harian. 2012. DAP mahu Pusat benar guna kalimah ALLAH. http://www.sinarharian.com.my/nasional/dap-mahu-pusat-benar-guna-kalimah-allah-1.115162


10. Muhammad Fauzi Asmuni. 2013. Ceramah Isu Penggunaan Kalimah Allah. http://www.youtube.com/watch?v=SoNTmixOVYo



Hasil Kertas Kerja
AHMAD SHUKERY B. AZIZAN
Aktivis PEMBINA

poster promo ikhwah
picture hosting