Wednesday 18 September 2013

RAHSIAKU KINI MILIKMU

PUTRAJAYA, 14 SEPTEMBER – PEMBINA UKM telah menganjurkan program ‘Rahsiaku Kini Milikmu’ bertempat di Masjid Besi, Putrajaya. Program yang disertai oleh 50 orang pelajar perempuan tahun satu UKM ini bertujuan menjalin ukhuwah antara pelajar tahun satu dan pelajar senior, selain memberi pendedahan kepada pelajar tahun satu tentang kehidupan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta berkongsi rahsia kejayaan di dunia dan di akhirat.


                Program bermula dengan senaman ringkas dan diteruskan dengan sesi perkenalan setiap AJK Program. Lagu tema ‘Sebuah Pertemuan’ dinyanyikan bersama-sama bagi menjalin kemesraan antara peserta dan juga AJK program. Kemudian, peserta mengisi borang maklumat rakan-rakan mereka dalam sesi taaruf. Sesi ini memberi peluang kepada peserta berkenalan di antara satu sama lain dan mencari titik persamaan antara mereka.


                Program diteruskan lagi dengan slot perkongsian yang diberi tajuk ‘Langkah Bermula: Sebagai Seorang Mahasiswa’ oleh Prof.Nor Bahiah binti Misran, pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM. Prof Bahiah berkongsi rahsia kejayaan beliau mendapat gelaran profesor seawal umur 36 tahun dan cara-cara mengatasi halangan untuk berjaya di IPT. Prof juga mengajak para peserta mengikuti program-program yang dapat menjana kemahiran di samping menyertai usrah kerana program-program seperti ini dapat membantu seseorang itu mendapat kejayaan dunia dan akhirat. 


              Seterusnya, slot ‘Bersama PEMBINA’ disampaikan oleh Naib Presiden PEMBINA UKM, saudari Saidatul Akmal. Slot ini bertujuan memperkenalkan PEMBINA, fokus – fokus PEMBINA, dan aktiviti-aktiviti yang ditawarkan oleh PEMBINA.


                Aktiviti ‘Pop Kuiz’ menjadi selingan sebelum menyambung slot seterusnya. Soalan-soalan berkaitan ibadah, sirah, akhlak dan PEMBINA adalah antara yang ditanya kepada peserta. Seramai 19 orang peserta berjaya menjawab soalan dan mendapat hadiah. Slot yang terakhir ialah ‘Sharing is Loving’ di mana pelajar dibahagikan kepada enam kumpulan dan setiap kumpulan disertai dua atau tiga orang senior. Slot ini melibatkan perkongsian antara senior kepada junior. Akhir sekali, sesi bergambar diadakan dan juga makan tengah hari bersama-sama. Program ini berakhir selepas solat zohor.


Majoriti peserta memberikan pandangan yang baik tentang program ini dan berharap dapat menyertai program-program PEMBINA pada masa akan datang. PEMBINA berharap program ini dapat memberi pendedahan awal tentang kehidupan di IPT dan manfaat rohani kepada siswi khususnya pelajar UKM untuk menongkah arus di zaman serba mencabar ini.






NURSAIDATUL AKMAL MOHD PUAAD
Naib Presiden PEMBINA UKM




0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting