Wednesday 2 October 2013

ISU MESIR: KERANA KITA BERSAUDARA

BANGI, 25 September – “Jika kamu membuka Mesir, ambillah ahlinya sebagai tentera. Sesungguhnya mereka adalah sebaik-baik tentera di dunia dan mereka sentiasa berada di perbatasan sehingga hari kiamat.”

Program Jom Bina Hati (JBH) kini kembali lagi dengan siri pertamanya untuk sesi 2013/2014. Program ini telah diadakan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dihadiri oleh lebih 40 orang mahasiswi UKM. Dengan itu, pihak penganjur telah menjemput aktivis PEMBINA, saudari Fatin Halil yang merupakan seorang pelajar Sarjana Syariah di Universiti Kaherah, Mesir bagi menyampaikan pengisian. Beliau membuka tirai bicaranya dengan hadis di atas yang terdapat di dalam kitab Al Mu'talif wal Mukhtalif. 



“Tujuh fakta yang anda perlu tahu mengenai sosio-politik Mesir.” Dengan fakta-fakta yang dikemukakan ini, hadirin dibongkarkan dengan isu yang terjadi di Mesir. Adakah kejatuhan Morsi disebabkan oleh kebangkitan rakyat ataupun konspirasi dunia?

 “Bermula dengan Revolusi 12 Januari 2011, tentera memilih untuk mengundurkan Mubarak dan menghadapkannya ke mahkamah setelah gagal meredakan keadaan dengan pelantikan Umar Sulaiman sebagai Timbalan Presiden. Setelah itu, berlangsungnya pilihanraya Presiden yang melibatkan proksi Majlis Tentera dan puak Islamis. Akhirnya kemenangan berpihak kepada puak Islamis di mana Dr. Morsi meraih kemenangan 52% ke atas Ahmad Syafiq yang memperoleh undian sebanyak 48%.”



“Hayat pemerintahan presiden Morsi hanya berlangsung selama setahun sahaja iaitu sehingga 3 Julai 2013. Di mana, penggulingannya telahpun dirancang sejak pelantikannya sebagai presiden pada 30 Jun 2012. Kemuncaknya berlangsung dua bulan sebelum penggulingannya. Pada waktu terbabit, minyak disembunyikan, elektrik dipotong, gandum disembunyikan, harga barang dan keadaan jalan raya dalam keadaan teruk. Berikutan ini, Morsi dijadikan ‘kambing hitam’ atas semua masalah.”

“Tanggal 30 Jun 2013 (genap setahun pemerintahan Morsi), penentang Morsi berdemonstrasi di Dataran Tahrir, manakala penyokong Morsi berada di Medan Rabaah. Bilangan mereka lebih ramai daripada penentang. Sementara itu, Ahmad Baradaie, Syeikh Al-Azhar, Ahmad Taib dan Ketua Gereja, Tawadros bertemu General Sisi untuk menyampaikan kononnya hasrat umat Mesir. General Sisi memberi tempoh 48 jam untuk Morsi meletakkan jawatan disusuli dengan keengganan Morsi dan penangkapannya pada 3 Julai 2013. Majlis Tentera mengambil alih dan melantik Adli Mansur sebagai Presiden dan Baradaie sebagai Timbalan Presiden, serangan terhadap Sinai dan terowong Gaza serta penangkapan pemimpin berpengaruh.”



Kesan daripada kronologi ini, ribuan dibunuh dan mayat mereka yang syahid di Rabaah dibiar membusuk oleh tentera walaupun Rabaah hanya 15 minit dari tanah perkuburan. Kejatuhan Morsi dikaitkan dengan Kerajaan Askar Tawadros, pengaruh Syiah, hubungan Amerika-Israel-Tentera Mesir. Konspirasi semakin jelas dengan pembebasan Mubarak dari segala tuduhan yang pernah dilaporkan saat penggulingannya. Hal ini ditambah pula dengan pihak tentera yang mengubah jalan cerita. Oleh itu, jelas berlaku konspirasi demi menjatuhkan Islam. Justeru, hadirin diseru untuk memahami Islam yang sebenar dan Wasatiy, memberi sumbangan dari segi pemikiran dan amal, dan paling utama umat Islam perlu bersatu.

Semoga program ini berjaya membina hati anak-anak muda dan seterusnya melahirkan generasi hebat pada masa akan datang. Bersama meneraju arus mahasiswa!




Maisarah Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM




0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting