Sunday 20 October 2013

Pengorbanan…..

Ibadah Korban

Perayaan besar bagi umat Islam selain Hari Raya Aidilfitri adalah Hari Raya Aidiladha atau disebut juga Hari Raya Haji. Korban atau dalam bahasa arabnya ‘Udhiyyah’ merupakan ibadah sunat muakkad, ibadat yang sangat digalakkan bagi setiap orang Islam yang sempurna akal, cukup umur dan berkemampuan. Ibadah korban menjadi wajib sekiranya ia adalah nazar.

Kenapa ia juga disebut Hari Raya Haji? Hal ini kerana ibadah korban mempunyai waktu-waktu yang tertentu untuk dilaksanakan iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dan pada tarikh-tarikh ini umat Islam sedang melaksanakan rukun Islam kelima, ibadah haji. Dalil yang menunjukkan bahawa ibadah korban mempunyai kedudukan yang tinggi adalah:

Firman Allah SWT dalam surah Al-Kauthar ayat 2, “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Tidak semua binatang boleh dijadikan korban. Binatang yang boleh dibuat korban adalah:-


  • Unta yang telah berumur lima tahun
  •  Lembu atau kerbau yang telah berumur dua tahun
  •  Kambing biasa yang telah berumur dua tahun
  •  Biri-biri yang telah berumur satu tahun atau sudah berganti gigi
Peristiwa Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih Nabi Ismail merupakan permulaan syariat bagi ibadah korban. Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: Suatu hari, sahabat Rasulullah SAW bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?”

“Ia sunnah bapa kamu, Ibrahim.”

Mereka berkata, “Apa yang kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?”

“Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.”

Mereka berkata, “Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?”

“Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Riwayat Ahmad)

Pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS

Dalam surah As-Saffat dari ayat 102 hingga 110, kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS telah diabadikan.

Atas dasar ketaqwaan, seorang bapa sanggup mengorbankan anak yang sekian lama dinantikan kehadirannya, juga merupakan anak tunggal yang dikasihinya. Demikian juga Nabi Ismail, sanggup mengorbankan nyawanya dalam mentaati perintah Allah SWT. Betapa hebatnya dua figura ini, berkorban demi rasa cinta kepada Allah. Kecintaan mereka kepada Allah melebihi daripada segala-galanya.

Firman Allah SWT, “Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya (Ibrahim) berkata, ‘Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!’ Dia (Ismail) menjawab, ‘Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, insya Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” (Surah As-Saffat:102)

Pengorbanan jiwa amatlah sukar bagi manusia seperti kita tetapi keimanan yang mantap dan sifat ketaqwaan yang ada dalam diri Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membolehkan mereka redha dan taat melaksanakan tugas yang diberi. Sirah aqung ini dapat dijadikan contoh keikhlasan yang unggul dalam melaksanakan perintah Allah. Kesan daripada keikhlasan dalam diri kedua-dua Nabi yang mulia ini, Allah memberi mereka seekor kibas bagi menggantikan Nabi Ismail sebagai korban.

Allah SWT berfirman, “Setelah kedua-duanya berserah diri (menjunjung perintah Allah), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya atas pelipis(nya), lalu Kami panggil dia, ‘Wahai Ibrahim! Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu.’ Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar; dan Kami kekalkan baginya dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian, ‘Salam sejahtera kepada Ibrahim.’ Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.” (Surah As-Saffat: 103-110)

Ibadah korban membentuk keluhuran diri manusia. Ia mendidik manusia dengan sifat ikhlas, suka bersedekah, bersyukur dan mengeratkan hubungan persaudaraan antara umat Islam itu sendiri. Pengorbanan perlu dilakukan untuk sesuatu yang dicintai. Seperti pengorbanan ibu bapa mencari rezeki untuk anak-anaknya, pengorbanan seorang pelajar untuk berjaya dan pengorbanan orang yang beriman untuk menggapai keredhaan Allah dan syurga-Nya.


Kejayaan Seorang Pelajar dan Da’i

Untuk berjaya, seorang pelajar juga perlu melakukan pengorbanan. Pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit,  emosi, kerehatan dan keinginan. Pengorbanan masa daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah  dan keseronokan yang berlebihan seperti main game, menonton drama korea, dan melepak. Ilmu itu seperti cahaya. Mana mungkin cahaya dapat melepasi satu benda yang legap. Jadi, jika kita sering melakukan perbuatan yang  boleh menggelapkan hati, pasti sukar untuk ilmu menembusinya. Tempoh masa 24 jam perlu digunakan sebaiknya untuk keperluan diri, belajar dan untuk orang lain juga. Seorang da’i perlu bijak membahagikan masanya.

Tenaga dan wang ringgit turut dilaburkan demi mencari ilmu. Kepenatan dalam menuntut ilmu pasti dibayar dengan kejayaan jika pelajar bersungguh-sungguh menunaikan amanah tersebut. Sebagai seorang da’i, kepenatan dalam urusan dakwah adalah kenikmatan! Akademik dan dakwah perlu seiring kerana kedua-duanya adalah kewajipan. Tanpa pengorbanan, sukar mendapat kejayaan. Selain itu, pengorbanan juga memerlukan keikhlasan hati. Tanpa rasa ikhlas, pengorbanan adalah sia-sia.



Nursaidatulakmal Binti Mohd Puaad
Naib Presiden PEMBINA UKM







0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting