Sunday 25 September 2016

CERPEN I HIDAYAH ITU MILIK ALLAH


Dalam mencari keredhaan manusia, perlu mencari keredhaan-Nya dahulu. Itulah ayat yang disemat di dalam lubuk hati Putri. Sebak dan sendu terasa hatinya bila dapat meluahkan segalanya kepada yang Maha Mengetahui.
Hidupnya dahulu sentiasa dikelilingi orang yang tidak pernah melihat agama sebagai sesuatu yang tiada ukurannya jika dibandingkan dengn harta benda. Pernah suatu ketika, ibu dan bapanya pulang ke rumah dengan keadaan yang tidak waras akal fikirannya disebabkan oleh minuman yang telah jelas haram di dalam Al-Quran. Melihat yang demikian dia lantas terus memeluk erat kedua ibu bapanya sambil berdoa kepada-Nya supaya mereka meninggalkan perbuatan yang dilaknat itu. Walaupun dia jahil tentang identitinya sebagai seorang muslim, dia masih lagi boleh berfikir baik dan buruk sesuatu perkara.
Bagaikan tersedar dari lena yang panjang sambil dibuai dengan alunan muzik, ketika itulah dia telah dikejutkan dengan suatu perasaan aneh yang tidak dapat digambarkan. Perasaannya, di mana dia menginginkan belajar tentang agama yang dia tidak pernah ambil peduli sebelum ini. Akan tetapi, dia masih terasa kosong tanpa kehadiran keluarga di sisi dalam perjalanan menuju Ilahi.
Ibu bapanya masih seperti dahulu dan tidak dapat menerima perubahan puteri tunggal mereka  itu. Sudah berbuih mulutnya berusaha menasihati kedua ibu bapanya, namun perkara yang sama kerap berulang. Putri telah redha akan ketentuan ini, namun dia tidak pernah mengalah untuk memohon hidayah kepada-Nya.
Sehingga, suatu hari, kedengaran sayup suara kedua ibu bapanya mengalunkan bait-bait daripada Al-Quran yang diajar oleh seorang ustaz. Terduduk tanpa kata dia dibalik pintu yang dikuak sedikit itu. Kini, mereka telah bersama-sama berada dalam jalan perjuangan agama yang penuh panca roba ini tanpa menoleh kebelakang walaupun seringkali diungkit kisah silam mereka, dimaki dan dicaci.
Tidakkah kita ingin hidup seperti keluarga Putri masa kini? Ramai yang berkata, “aku tak kuat”, “aku tak mampu”, “kau boleh la keluarga kau baik-baik”. Jangan! Jangan sama sekali berputus asa sebelum mencuba. Bukankah kita telah diajar untuk tidak putus asa? Sejak bayi, kita telah jatuh berkali-kali, namun kita cuba bangkit walaupun dalam keadaan menangis.
Betapa cekalnya kita dahulu, adakah kita mahu kalah dengan bayi yang masih tidak tahu apa-apa? Jangan disebabkan ego diri kita sendiri membuatkan kita sombong kepada Tuhan kita. Jangan patah semangat, cuba lihat kembali. Adakah kita terpelihara dari segala ujian sebelum ini?
Jangan pernah mengatakan “engkau tak rasa apa yang aku rasa”, ya! Ini kerana dia telah merasakan sesuatu ujian yang lebih hebat daripada dirimu wahai saudaraku. Di sini rumus mudahnya,
Ujian dari Allah = Iman
Apa maksudnya? Jika bertambah ujian, maka makin tinggi keimanan seseorang. Ini kerana Allah ingin melihat apakah benar kita ini seorang hamba yang taat ataupun hanyalah sekadar ingin mendapatkan sesuatu. Jangan risau, Allah tak akan membebani hamba-Nya dengan ujian yang tidak tertanggung. Jadi sabarlah walaupun seberat manapun ujian hidup kita. Jika kita merasakan hidup ini berat, fikirkanlah bagaimana umat zaman dahulu yang lagi berat ujiannya.


Nur Nadirah Binti Yohyi
Biro Rekreasi PEMBINA UKM.

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting