Saturday 15 October 2016

ARTIKEL I PEMUDA ITU WARGA EMAS


Kita sering kali mendengar perkataan warga emas dalam bualan masyarakat. Warga emas yang dimaksudkan ialah warga tua. Betul tak ? Tapi pada saya maksudnya lain.

Nak tahu apa tak apa yang saya maksudkan ? Kalau nak tahu,  ayuh ikut bersama-sama saya melayari bahtera warga emas ini.

Baiklah,  warga emas yang maksudkan di sini ialah orang muda.

Warga Emas orang muda ? Biar betul ! Betul lah.

Usia emas ialah usia muda. Kenapa saya berkata begitu  ? Ini kerana apa yang dimiliki oleh seorang pemuda itu,  tidak ada pada golongan atau warga lain.

Ada empat perihal yang diperkatakan oleh Hassan Al-Banna berkenaan ciri pemuda yang tidak apa pada orang lain.  Empat ciri tersebut ialah keimanan,  keikhlasan,  semangat dan usaha.

Malah,  terdapat satu potongan hadis Nabi S.A.W berkenaan rebutlah lima perkara sebelum lima perkara. Salah satunya ialah ‘Muda sebelum Tua.’ Kenapa muda sebelum tua juga diperkatakan sedangkan perkara hidup sebelum mati sudah cukup menyimpulkan keseluruhan kehidupan manusia? Ini kerana pentingnya memanfaatkan usia muda.

Dalam era modenisasi ini, kita lihat bagaimana pemuda kita memanfaatkan masa dalam kehidupannya? Adakah berada pada tahap yang baik atau sebaliknya?  Saya berpandangan keadaan pemuda pada hari ini semakin menuju ke arah yang buruk kerana banyak gejala sosial yang berleluasa,  budaya ‘couple’,  dan budaya hiburan yang melampau.

Pernah suatu ketika, ditanyakan kepada seorang pemuda berkenaan lafaz syahadah,  pertanyaan tersebut dibalas dengan jawapan ‘tidak tahu’. Apabila ditanyakan pula soal rukun iman,  juga ‘tidak tahu’. Ini baru seorang, bagaimana pemuda yang lain? Adakah mereka sama atau lebih baik atau lebih menyedihkan lagi.

Suatu kata-kata yang sehingga hari ini terpahat di fikiran saya ialah ‘untuk melihat generasi akan datang, maka lihatlah generasi hari ini’. Bagaimanakah keadaan generasi hari ini?
Usia muda seharusnya diisikan dengan hal-hal atau amal-amal kebaikan yang banyak. Bukannya dipenuhi dengan perkara mungkar. Makanya,  beruntunglah orang yang usia mudanya lagi dipilih oleh Allah untuk menempatkan dirinya dalam kehidupan dakwah dan tarbiyyah iaitu dikelilingi oleh biah solehah.

Bila mana kita berada dalam persekitaran tarbiyyah yang betul,  ianya akan membentuk kepercayaan dan tindakan kita terhadap Islam yang sebenar. Contohnya kisah Ashabul Kahfi, golongan muda yang lari bersembunyi dari kekejaman pemerintah pada waktu itu, demi menyelamatkan akidah mereka.

Dari kisah itu, Allah menurunkan dalam surah Al-Kahfi ayat 13, yang bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk."

Bukan sekadar kisah Ashabul Kahfi tetapi Allah juga telah membawakan kepada kita kisah-kisah para rasul dan nabi yang pada usia mudanya sudah diterima amanah, dugaan dan segala macam kepayahan hidup. Akan tetapi kehebatan mereka menjangkaui realiti masyarakat pada ketika itu.

Contohnya kisah Nabi Ibrahim yang berselisih faham dengan ayahnya sendiri dalam soal ketuhanan sehinggakan beliau disisih oleh ayahnya. Nabi Yusuf turut mendapat cubaan yang hebat iaitu disisihkan oleh adik-beradiknya, dijadikan hamba, difitnah oleh wanita dan juga dimasukkan dalam penjara. Apatah lagi nabi kita iaitu Nabi Muhammad yang sejak dari kecilnya telah banyak dugaan yang dihadapi. Walau bagaimanapun tanda kasih dan sayang Allah, Allah telah memberikan wahyu, mukjizat dan kelebihan kepada rasul-rasul dan nabi-nabiNya.

Wahai warga emas, wahai pemuda! Adakah  kamu ingin dihanyuti nikmat duniawi semata-mata? 

Masihkah lagi kamu ingin menempah ke lembah binasa? Masihkah lagi kamu ingin mengikuti jalan yang sesat selamanya?

Bangunlah! Jangan biarkan dirimu dibayangi mimpi. Jangan biarkan masa emasmu ini tenggelam dalam sepi. Teruskan perjalanan membina kekuatan diri dan mencari identiti dirimu yang sebenar. 

Siapa lagi kalau bukan dirimu? Kamu lah pemudah yang bakal mewarisi pemerintahan dunia kerana pemuda hari ini adalah cerminan kepimpinan akan datang.


Muhammad Firdaus Hamdan,
Timbalan Presiden PEMBINA UKM.

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting