Friday 21 October 2016

Sayonara Hijrah..Bangkit Sebelum Rebah!


UKM, 17 OKT – ‘Sayonara Hijrah, Bangkit Sebelum Rebah!,’ begitulah tema yang dibawa pada Sambutan Hari Ahli PEMBINA (HAP) kali ke-2 yang dijalankan seiring dengan sambutan Maal Hijrah. Program yang telah berlangsung ini mengumpulkan seramai lebih 80 peserta yang terdiri dari ahli PEMBINA UKM itu sendiri.

Majlis pada awalnya dimulakan dengan tayangan video aktiviti yang telah dianjurkan oleh PEMBINA UKM sepanjang semester lepas dan pada awal semester ini.  Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan presiden PEMBINA UKM , saudara Wafiq Azman yang menerangkan mengenai  objektif HAP di mana beliau sedikit sebanyak menyentuh tentang sindrom ‘4K’.

 “Perubahan itu tidak akan berlaku melainkan kita sendiri yang menginginkannya,” begitulah sedikit ungkapan perasmi, Dr Hazlin Hazrin Chong iaitu merupakan salah seorang pensyarah di UKM sendiri.

Selesai upacara perasmian, ceramah mega dimulakan oleh Ustaz Syed Israa di mana dalam isi ceramah beliau mengajak para mahasiswa untuk mengambil pengajaran daripada sejarah yang lalu bermula dari zaman sahabat-sahabat Rasulullah lagi iaitu ketika mana ramai golongan yang masih muda tetapi berjuang membawa agama Islam itu sendiri.

“Apa kata kalau kita tukarkan 4K itu kepada 4M?,” begitulah seruan beliau dalam ceramah yang disampaikan di mana beliau merujuk 4M itu kepada murabbi, mutarabbi, manhaj, dan muhib. Malah, beliau juga berharap mahasiswa yang hadir kelmarin mampu memegang prinsip masing-masing.

Program yang dijalankan ditutup dengan tayangan video pengenalan majlis tertinggi dan ketua-ketua biro PEMBINA UKM kemudian diikuti dengan cabutan bertuah dan sesi fotografi.

“Pengisian yang disampaikan sangat menarik dan pada saya PEMBINA ini bukan sekadar gah pada namanya sahaja tetapi program yang dianjurkan ini turut membina semangat saya untuk terus bangkit dan maju,” kata salah seorang peserta yang pertama kali mengikuti program yang dianjurkan PEMBINA ini.


Disediakan oleh,
Siti Nur Fatin bt Azni
Media PEMBINA UKM

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting