Monday 28 November 2016

ARTIKEL : DUKA UMMAH


Sakit telinga kerana sering terdengar dek tangisan anak-anak kecil di sekelilingku dan terdengar sayup tangisan sengsara penuh derita anak-anak di Rohingya., yang mengharapkan pengakhiran sebuah penderitaan. Hati rapuh tak tertahan sedih, pilu, duka mendengar tangisan mujahid dan mujahidah.

Allah, kuatkan fizikal mereka, kuatkan iman mereka, kuatkan hati mereka supaya mereka  diberi kudrat, kekuatan, dan kemenangan bagi menangkis kezaliman sang pemerintah yang angkuh.

Allah. Rimbunan nikmat yang Kau Berikan saat ini menjerumuskan aku kepada lautan kelekaan. Aku malah tidak cakna dengan masalah ummatku sendiri.

Rohingya kini terus berdarah bersulam tangisan airmata. Di tanah Myanmar, hak dan kebebasan dinafikan dek kerana manusia yang berhati syaitan, rakus dengan nafsu binatang. Anak kecil dibunuh, darjat wanita direndahkan, warga emas, pemuda dizalimi semahunya.

Allah, Tuhanku yang Maha Melihat lagi Maha mendengar, Kau tekadkanlah hati mujahid dan mujahidah Rohingya agar terus bertahan dan berjuang demi mempertahankan akidah mereka kepadaMu. Sesungguhnya aku di sini tidak mampu menyumbang tenaga, apatah lagi mengangkat senjata demi bersama mereka berjuang menghapus derita.

            Allah, betapa Islam semakin tenat. Islam hari ini dizalimi, Islam hari ini ditindas seakan tiada nilai. Sakitnya di hati melihat Islam agama nan suci diperkotak-katikkan, dihina, dikeji bahkan dituduh ekstrim dan bahaya. Namun, di sebaliknya tuduhan yang melampau, umat Islam sedang menderita.

Allah, aku hanya mampu tunduk sayu, mengenangkan nasib anak kecil, wanita-wanita yang lemah, dan pemuda harapan negara Rohingya yang jauh bezanya dengan kanak-kanak di negara aku sendiri.

            Allah, terdetik keraguan di hatiku. Di manakah pihak yang menghujahkan peranan mereka itu penting sehingga ke tahap global dunia? Di mana? Terus dan terus diam membisu, tanpa bicara. Membutakan mata dan hati isu Muslim di Rohingya. Ditindas seperti tiada titik penghujung. Di mana perginya mereka yang membela hak-hak manusia? Allah, aku kecewa asbab yang harus diperjuangkan, dipinggirkan.

Wahai insan yang bergelar manusia, jangan dibiarkan ZOPFAN membunuh kepedulian ummah. Parah lah ummah jika terbiar. Kembalilah kepada sejarah.

            Masihkah kau ingat? Tahukah engkau wahai khalifah ciptaan Tuhan? Saat pemerintahan Islam yang dinaungi kerajaan Moghul masih subur gagah dek kerana pemerintahan yang adil memaut nurani manusia kepada agama fitrah ini. Saat itu, nasib saudaraku tidak sepedih ini. Mereka hidup aman dan harmoni. Namun sayangnya suntikan Pax-Britannica menjatuhkan empayar Islam. Ketidakadilan berlaku.

            Wahai hamba Allah, saudara kita saat ini dimusuhi, menjadi orang asing di tanah sendiri. Mereka dipinggarkan, pendidikan, perniagaan tidak dipedukan. Hak sebagai seorang manusia diperlekehkan.

            Allah, Kau berikanlah mereka kekuatan dalam jihad sepertimana yang telah Kau Berikan kepada kekasih-Mu, Muhammad S.A.W. Allah, Kau berikanlah mereka sinar harapan untuk terus berjuang dan terus bernafas di atas bumi-Mu ini dan Kau datangkanlah kepada meraka yang mempunyai kuasa dan daya untuk membebaskan mereka dari belenggu kezaliman.

Hasbunallah wa ni’mal maula, wa ni’mal wakil, wa ni’man nazhir..


Siti Zulaikha Rashid
PEMBINA UKM

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting