Monday, 5 November 2012

TARBIYAH SEPARUH MASAK



Pernah atau tidak kita terfikir, kenapa kita perlu di tarbiyyah? Kemudian kita tanya diri kita lagi, sejauh mana kita membumikan tarbiyyah yang kita terima dalam kehidupan seharian? Seterusnya kita tanya lagi diri kita, sejauh mana kita telah menjadi qudwah (ikutan) dan contoh kepada orang lain?

Kita yang terlupa

Sebahagian besar aktivis dakwah atau pendakwah jika berbicara mengenai sirah Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para pejuang Islam, maka meluncur laju bibir bercerita apa yang di fahami dan di hafal daripada pembacaan. Ayat-ayat suci al Quran dan hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w. di hafal dengan elok ibarat ada hard disk drive  didalam kepalanya. Jika ada usrah atau program-program tarbiyyah, maka dialah orang pertama yang berada di situ. Jika dalam mukhayyam atau tamrin, maka dia lah orang yang paling sabar dan cekal dalam menghadapi segala rintangan. Dan apabila di lihat dokumen penilaian, penuh dengan angka-angka positif yang memenuhi ruang-ruang yang ada.

Tetapi kita terlupa suatu perkara, adakah semua itu cukup untuk membuktikan dia sudah lengkap di tarbiyyah? Bagaimana pula dengan alam realiti?

Apalah ertinya sekiranya mahir berbicara mengenai sirah Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para pejuang Islam, tetapi bila akhlaq mereka tidak di contohi, apabila berada di medan dan ketika berseorangan, futhur gugur lalu tersungkur.

Apalah ertinya sekiranya menghafal ayat Quran dan hadis dengan baik, namun amal kurang atau tidak di lakukan.

Apalah ertinya sekiranya menepati masa menghadiri program tarbiyyah, namun apabila solat berjemaah dan berjanji, tidak dapat menepatinya dengan baik.

Apalah ertinya sekiranya mampu bersabar dan cekal ketika dalam program tarbiyyah,namun apabila berhadapan masyarakat, apabila di fitnah dan di hina, hilang semua kesabaran yang di pelajari.

Apalah ertinya dokumen penilain penuh dengan angka-angka positif, namun angka-angka itu hanya sekadar angka yang kosong.

Apalah ertinya mengetahui dan memahami mengenai tarbiyyah ukhuwwah, namun apabila di kritik, di marahi, dan sebagainya, hilang semua sifat berlapang dada dan bersangka baik.

Kita tidak mendidik malaikat

Ya, manusia bukan malaikat. Iman akan ada turun dan naik. Namun jika pendakwah itu mengikut jalan tarbiyyah, maka jika futhur sekalipun tidak lah jatuh tersungkur sampai tidak mampu untuk bangun.

Tarbiyyah ini bukan hanya retorik, ia adalah pembuktian dengan amal. Kita dapat lihat sirah para sahabat bagaimana mereka membuktikan tarbiyyah yang mereka hadam di medan amal. Contohnya ketika perang Ahzab ketika mana berduyun-duyun musuh Islam datang menyerang. Namun keyakinan kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi segala-galanya. Tidak lari dari medan perang, bahkan mara sedia untuk syahid.

Cerita mengenai sirah Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para pejuang Islam bukan sekadar cerita untuk memenuhi masa lapang dan mengisi program sahaja, tetapi ia adalah cerita untuk di ambil iktibar daripadanya. Ia bukan seperti kisah Alice in Wonderland!

Inilah jalan kita.

Saya sedar dan yakin bahawa kemenangan Islam itu pasti akan hadir. Pasti dan pasti, tinggal lagi sama ada kita mahu atau tidak menjadi sebab kepada kebangkitan dan kemenangan Islam. Namun sebelum menerima semua itu, perlu kita lalui jalan dakwah dan tarbiyyah ini. Dan jalan ini bukan seperti jalan raya ataupun jalan yang di hamparkan red carpet ataupun di tabur dengan bunga-bunga, tetapi jalan ini di tabur dengan duri dan paku, di hamparkan dengan sweat, tears and blood.

Tarbiyyah kita bukan tarbiyyah separuh masak, hanya hebat teori namun gagal praktikal. Hanya sekadar hebat berbicara namun gagal beramal. Hanya cantik di luaran namun cacat di dalam. Namun tarbiyyah kita adalah tarbiyyah yang sejati, yang melahirkan insan yang meletakkan dunia di tangan dan akhirat di hati, dan mengimpikan kemenangan atau mati syahid.

Semoga kita kekal dan thabat dalam jalan ini sehingga ke akhirnya. Amin.

Moga Allah redha.


Ahmad Shukery Bin Azizan
Sains Kimia Tahun 2
UKM BANGI




poster promo ikhwah
picture hosting