Wednesday 7 November 2012

Ada Apa Dengan Hati?

Tanya pada hati, apa sebab resah,
Nanti jawab hati, kurang ingat Allah… ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Apa khabar hatimu? Sihatkah ia? Sudah buat rohani check-up? Jika belum mari sama-sama muhasabah diri.
     
     Kenapa hati sangat penting untuk dijaga? Tak boleh ke kalau tak jaga? Jawapannya boleh. Boleh, bagi sesiapa yang tidak takut akan seksaan Allah S.W.T. Segala amal perbuatan kita akan dihitung di akhirat kelak, sama ada yang baik mahupun yang buruk dan kita akan mendapat balasan setimpal  daripada perbuatan-perbuatan tersebut.  
     
Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya. (Surah Al-Isra’:36)

‘Hati itu ibarat raja, akal adalah perdana menterinya.’ Dalam diri manusia itu, hati dianggap seperti seorang raja. Dimana semua keputusan dibuat olehnya, perintahnya perlu ditaati oleh rakyat, dilayan sebaik-baiknya, makan yang sedap-sedap dan dikawal keselamatannya. Begitulah juga dengan hati, semua anggota tubuh akan dikawal olehnya dan apa jua keputusan ditentukannya. Akal hadir sebagai pembimbing dan penasihat. Lihat, hati perlu ada pembantu tapi tidak bagi Allah. Hebat bukan Allah? 
    
     Tapi mahukah kita taat pada raja yang tidak adil, kejam dan mempunyai akhlak yang buruk? Tidak mahu bukan. Samalah seperti hati, jika hati kotor, sentiasa ada dendam dan mempunyai sifat yang tidak baik maka anggota yang lain juga akan menjadi tidak elok. Akhirnya pelbagai masalah akan timbul terutamanya masalah dalam kalangan umat Islam itu sendiri.
 
     Nabi bersabda dalam hadis Ibnu Mas’ud:
    “Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh terdapat segumpal daging yang jika daging itu baik maka akan baik pula seluruh tubuh itu. Sebaliknya, jika daging itu buruk, maka buruklah seluruh anggota tubuh. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati.” (Muttafaqun ‘alaih)

     Manusia itu diciptakan bersifat lemah.
     Dalam Surah An-Nisa’ ayat 28, “Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah.”

     Sebagai manusia yang bukan tergolong dalam kalangan para Nabi, para Rasul, para Sahabat dan para Wali, sudah tentu kita agak sukar menjaga hati. Sudah tentu akan ada yang menghidap penyakit ‘sindrom down’ dalam waktu-waktu tertentu. ‘Sindrom down’ di sini bermaksud ‘Iman down’ dan pastinya hati juga akan dihidapi penyakit iaitu penyakit hati. Seperti seorang raja tadi, yang perlu dilayan sebaiknya, dihidangkan makanan yang lazat dan dijaga keselamatannya, hati juga perlu dirawat, diberi vitamin-vitamin iman dan dibekalkan dengan antibodi rohani sebagai perisai daripada anasir-anasir jahat.

      Penyakit hati perlulah dirawat segera agar tidak merebak ke anggota yang lainnya. Hal ini kerana, apabila diri dijangkiti virus penyakit hati, anggota-anggota yang lain akan terdorong untuk melakukan maksiat dan kemungkaran kepada Allah serta yang paling utama sekali timbul rasa malas untuk beribadah. Analoginya, kita sakit gigi geraham yang amat sangat sehingga gusi dan pipi membengkak. Adakah kita akan membiarkan kesakitan tersebut atau memilih untuk merawatnya? Pasti kita akan mencari ikhtiar untuk merawatnya bukan? Apabila gigi sakit, anggota yang lain juga akan terasa sakit seterusnya tiada selera makan serta tidak mahu membuat sebarang aktiviti atau kerja. Oleh sebab itu, hati yang sakit perlu dirawat segera bukan tunggu sehingga kronik.

     Kata Imam Ghazali, “Carilah hati di tiga tempat. Carilah ketika membaca Al-Quran. Sekiranya tidak menjumpai hatinya di situ, carilah ketika sedang menunaikan solat. Sekiranya tidak menjumpainya, carilah ketika sedang duduk bertafakur mengingati mati. Sekiranya masih tidak jumpa, maka mintalah hati yang baru daripada Allah kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.”

 Cara-cara merawat hati :-

 -Mujahadah dalam memperbaikinya
-Banyak mengingat kematian dan hari akhirat
-Bergaul dengan orang-orang yang soleh
 -Hatinya selalu berdamping dengan Penciptanya
-Mengerjakan amalan soleh
-Memanfaatkan penciptaan hati sesuai dengan tujuan penciptaannya
-Berzikir kepada Allah

Hidup di dunia ini adalah sebagai jalan atau ruang untuk kita melaksanakan misi-misi kita sebagai khalifahNya bagi mencapai visi utama iaitu mardhotillah, mendapat keredhaan Allah. Hati adalah suis utama dalam litar badan kita. Semaikanlah baja-baja takwa dan hiasilah hati dengan iman supaya dapat melahirkan individu muslim yang hebat dari segi akhlaknya, ibadahnya, pemikirannya dan kehidupannya.

 “Wahai manusia! Sungguh , telah datang kepadamu pelajaran (Al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus:57)

 Nur Cahaya
Pembina UKM

poster promo ikhwah
picture hosting