Thursday, 15 November 2012

Saya Ingin Berubah...




Bagaimana nak berubah?

Pertama sekali, siapa yang baca nota saya kali ini, saya yakin mesti ada niat hendak berubah menjadi baik, yang baik menjadi lebih baik, dan yang dah terbaik, ingin terus kekalkan kebaikan dan menyebarkan kebaikan. Tahniah, moga niat kita untuk berubah diganjari pahala oleh Allah. Fitrah manusia, ramai yang ingin berubah menjadi baik, tetapi ramai yang buntu, tidak jumpa cara untuk kembali ke pangkal jalan.

Belajar dari kesilapan

Ada seorang murabbi saya memberitahu,

“Kalau kita tidak mahu tersadung kaki, bukan jawapannya “jangan berjalan”. Kalau kita tidak mahu bercerai, bukan jawapannya “jangan berkahwin”. Kalau tidak mahu tergigit lidah, bukan jawapannya “jangan mengunyah”. Belajar daripada kesilapan hari ini, agar mampu berjaya di masa depan. Itu pendekatan yang kurang tepat. Yang tepat ialah belajar daripada kesilapan orang terdahulu, agar kita mampu melangkah lebih jauh daripada mereka. Itulah keseronokan belajar berterusan. Ianya bagi mereka yang bersemangan dan berani untuk melangkah, bukan untuk mereka yang sudah berpada. Tetapi jangan sekali-kali mengulangi kesilapan.”

Ya, belajar daripada kesilapan orang terdahulu. Siapa orang terdahulu?

Antara orang terdahulu ialah golongan-golongan yang telah diceritakan oleh Allah di dalam al Quran yang agung. Juga kisah-kisah Salaf As Soleh. Dan yang paling terdekat, kisah ibu bapa atau keluarga kita sendiri. Kita tidak pernah tidak melakukan kesilapan, maka daripada kesilapan itu kita belajar bagaimana untuk berubah. Bahkan yang lebih baik, kita belajar daripada kesilapan generasi sebelum kita.


Tips untuk berubah

Saya hanya mampu berikan tips, dan ianya berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya sendiri. Semua ini hanya menjadi teori semata-mata selagi mana ia tidak diamalkan. Dan saya yakin, tidak semua orang mampu melakukan, tetapi lakukan apa yang mampu agar kita tidak menangis di akhirat kelak.

1.  Walau apa pun jua perkara, niat itu penting. Kerana ia permulaan sesuatu amal. Ibarat kunci kepada sesuatu kenderaan. Pasang niat kerana Allah semata-mata.

2. Niat sahaja tidak cukup, tetapi pasang matlamat atau target yang membakar tetapi munasabah. Sebagai contoh, dari yang tidak bertudung ingin bertudung. Pasang matlamat, mulai esok akan pakai tudung sampai bila-bila. Tidak mahu “on-off” lagi. Tetapi “one-off” terus.

3. Buang tanggapan atau prasangkan negatif terhadap diri. Contohnya, buang perasaan “aku tak mampu”, “aku tak layak”, “aku tak kuat”, dan sebagainya. Yakinlah, Islam diturunkan untuk semua manusia, dan selayaknya semua manusia mampu mengamalkan Islam. Bukankah Allah tahu kemampuan hamba-hambaNya?

4. Buang perasaan negatif terhadap semua perkara di sekeliling. Contohnya, “kalau aku berubah, mesti ramai kutuk aku”, “kalau aku berubah, nanti tiada siapa nak kawan dengan aku”, “kalau aku berubah, nanti ramai unfriend dengan aku” dan sebagainya. Setiap kata-kata itu doa, adakah kita nak perkara itu semua berlaku? Kalau tak mahu, tak perlu fikir. Kita buat perkara baik, bukan nak merompak.

5. Awal-awal lagi, persiapkan diri dengan perisai “kalis maki”, “kalis caci” dan “kalis dibenci”. Kerana apa? Kerana kemungkinan besar semua ini akan berlaku selepas kita berubah menjadi baik. Maka, kena kuatkan kesabaran untuk bersabar.

6. Ini yang penting, lakukan langkah demi langkah, jangan tergopoh gapah! Contohnya, kalau sebelum ini tak pernah solat, mulakan solat bersendirian di bilik 5 waktu. Tetapi kalau mampu, solatlah berjemaah di surau atau masjid.

7. Tekad! Jangan tangguh-tangguh lagi dengan alasan, “belum sampai seru”,  “aku belum bersedia lagi”, dan sebagainya. Kematian tidak menunggu kita, kita tak mampu mengubahnya. Tetapi kita mampu mengubah diri kita. Siapa mampu jamin boleh hidup sampai esok?

8. Laksanakan sesuatu perubahan itu istiqomah dalam tempoh masa kurang lebih 40 hari. Insya Allah, biasanya sesuatu tabiat baru dapat dibentuk dalam jangka masa tersebut.

9. Anda dah bersedia untuk berubah? Maka saya cadangkan, kita pergi ambil wudu’, kemudian buat solat sunat taubat dua rakaat. Pastikan solat pada waktu yang dibenarkan!
10. Akhir sekali, selepas solat, dan setiap kali selepas solat fardhu, banyaklah istighfar dan berdoa serta bertawakal agar Allah menetapkan hati kita untuk kekal sampai jadi mayat. “Wahai Tuhan pemilik hati-hati manusia, janganlah Kau memperbolak balikkan hati-hati kami setelah Kau memberi hidayah kepada kami..”

Penambah perisa

Setiap manusia perlukan sokongan, terutama sekali ketika kita berseorangan. Sedangkan Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam perlukan teman dan sahabat-sahabat baginda, inikan kita insan biasa yang penuh dosa. Maka, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan selepas berubah, antaranya ;

1. Mencari sahabat-sahabat yang baik. Sahabat yang baik ibarat penjual minyak wangi, kalau kita dekat pada dia, insya Allah kita akan mendapat tempias wangiannya. Macam mana tanda sahabat yang baik? Kalau lelaki, dia rajin berjemaah di surau atau masjid, menjaga al Quran dan sebagainya. Kalau perempuan, dia menjaga solat 5 waktu, menjaga auratnya dengan sempurna, menjaga batas pergaulannya dan sebagainya. Yang lain-lain itu, kita boleh nilai sendiri.

Dan seperkara lagi, jangan beranggapan, “ala, dia tu iman plastik, luaran nampak baik, tapi perangai macam haram”, dan lain-lain. Bersangka baik sentiasa. Itu penting!

2. Rajinpergi majlis-majlis ilmu. Berubah sahaja tidak cukup, baca blog sahaja pun tidak cukup, kena ada pengorbanan untuk pergi ke majlis-majlis ilmu. Kita mahukan cinta Allah kan? Sedangkan cinta itu sifatnya menagih pengorbanan. Maka berkorbanlah untuk Allah!

3. Cari persekitaran atau suasana yang soleh.

Perjalanan yang panjang bermula dengan langkah pertama

Hidup ini sekitar 50 hingga 60 tahun sahaja. Tak lama, walaupun ada yang hidup lebih lama dari itu, dan ada yang lebih singkat dari itu! Sekarang ini mungkin ada yang berusia belasan tahun, ada yang 20-an, bahkan ada yang mencecah 50 tahun.
 Kita tiada masa untuk berfoya-foya lagi.  Tambahan, kita pun tidak tahu bila kita akan mati.

Perubahan itu memerlukan masa, ia berperingkat. Tetapi walau banyak mana pun peringkatnya, ia pasti bermula dengan langkah pertama. Dan langkah pertama itulah, yang perlu kita manifestasikannya dengan tindakan, bukan sekadar perkataan!

Jom kita berubah menjadi baik!


Moga Allah Redha
Ahmad Shukery Bin Azizan
Sains Kimia / 3

poster promo ikhwah
picture hosting