Wednesday 19 June 2013

CUTI SEMESTER NI NAK BUAT APA?

Mutakhir ini, mahasiswa sibuk menghabiskan sisa-sisa kehidupan mereka di universiti dengan menjalani peperiksaan atau menyiapkan segala tugasan yang masih tertangguh. Tak kurang juga yang telah habis semua tugasan dan peperiksaan, hanya menghitung hari dan packing pakaian untuk pulang ke pangkuan ayahanda dan bonda.
            “Cuti semester? Wow, bestnya!” Siapa yang tak suka cuti. Cuti merupakan suatu nikmat yang sangat berharga. Kadang-kadang nikmat cuti ini disalahertikan. Ada yang menganggap cuti adalah tempat untuk membalas dendam kerana sudah penat bersusah payah di universiti. Waktu cuti adalah waktu untuk tidur dan tidak perlu memberatkan kepala untuk banyak berfikir. Cukuplah, sudah banyak berfikir dan menelaah di universiti. Betul ke mindsetting begini?


            Seorang mahasiswa yang proaktif di universiti tidak akan mensia-siakan waktu cuti mereka. Jadilah mahasiswa yang sentiasa bersyukur dan memanfaatkan masa cuti yang ada adalah untuk perkara yang berfaedah, lebih-lebih lagi cuti semester pada kali ini jatuhnya bersamaan dengan bulan yang Barakah iaitu Ramadan. Sedarlah akan hikmah yang Allah berikan tentang kemunculan Ramadan kali ini sangat bermakna bagi kita kerana ia hadir ketika waktu kita sangat lapang. Tiada tugasan, tiada peperiksaan dan tiada kenakalan rakan yang selalu mengajak kita untuk berbuat perkara yang kurang memberi manfaat.
            Didik diri untuk berkata, “Cukuplah, kali ini aku akan menguasai diriku bukan lagi nafsu yang menguasainya.” Tapi ingat, jangan sesekali menjadi hamba kepada Ramadan, jadilah hamba yang sebenar-benarnya kepada Azza wa jalla.
            Di samping menjalani hari-hari yang bermakna sepanjang bulan Ramadan kelak, masih banyak aktiviti lain yang boleh kita lakukan bagi memenuhi kelompangan masa yang belum ditutupi. Semasa cuti semester nanti, cubalah mencari pekerjaan separuh masa yang dapat menambah wang saku untuk diri kita sendiri bagi menampung kehidupan akan datang di universiti. Dengan itu, kita dapat mengurangkan beban ibu bapa sebelum wang pinjaman dan biasiswa masuk ke dalam akaun bagi semester akan datang.
            Seterusnya, membantu ibu bapa di rumah juga merupakan suatu perkara yang sangat bermanfaat. Apabila berada di rumah, ingatlah bahawa melihat wajah kedua ibu bapa juga akan diberikan pahala oleh Allah. Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah dan menghargai masa-masa kita bersama mereka sementara mereka masih ada.
            Akhir kalam, cuti semester adalah masa yang sangat produktif bagi mahasiswa. Sentiasa memperbaharui niat dan bermujahadah melawan nafsu adalah sebaik-baik perkara yang dituntut pada manusia. “Majulah mahasiswa demi Islam yang tercinta.”




NURUL HAJJAR BINTI ATAN
Universiti Kebangsaan Malaysia
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

poster promo ikhwah
picture hosting