PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Friday, 21 October 2016

Sayonara Hijrah..Bangkit Sebelum Rebah!


UKM, 17 OKT – ‘Sayonara Hijrah, Bangkit Sebelum Rebah!,’ begitulah tema yang dibawa pada Sambutan Hari Ahli PEMBINA (HAP) kali ke-2 yang dijalankan seiring dengan sambutan Maal Hijrah. Program yang telah berlangsung ini mengumpulkan seramai lebih 80 peserta yang terdiri dari ahli PEMBINA UKM itu sendiri.

Majlis pada awalnya dimulakan dengan tayangan video aktiviti yang telah dianjurkan oleh PEMBINA UKM sepanjang semester lepas dan pada awal semester ini.  Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan presiden PEMBINA UKM , saudara Wafiq Azman yang menerangkan mengenai  objektif HAP di mana beliau sedikit sebanyak menyentuh tentang sindrom ‘4K’.

 “Perubahan itu tidak akan berlaku melainkan kita sendiri yang menginginkannya,” begitulah sedikit ungkapan perasmi, Dr Hazlin Hazrin Chong iaitu merupakan salah seorang pensyarah di UKM sendiri.

Selesai upacara perasmian, ceramah mega dimulakan oleh Ustaz Syed Israa di mana dalam isi ceramah beliau mengajak para mahasiswa untuk mengambil pengajaran daripada sejarah yang lalu bermula dari zaman sahabat-sahabat Rasulullah lagi iaitu ketika mana ramai golongan yang masih muda tetapi berjuang membawa agama Islam itu sendiri.

“Apa kata kalau kita tukarkan 4K itu kepada 4M?,” begitulah seruan beliau dalam ceramah yang disampaikan di mana beliau merujuk 4M itu kepada murabbi, mutarabbi, manhaj, dan muhib. Malah, beliau juga berharap mahasiswa yang hadir kelmarin mampu memegang prinsip masing-masing.

Program yang dijalankan ditutup dengan tayangan video pengenalan majlis tertinggi dan ketua-ketua biro PEMBINA UKM kemudian diikuti dengan cabutan bertuah dan sesi fotografi.

“Pengisian yang disampaikan sangat menarik dan pada saya PEMBINA ini bukan sekadar gah pada namanya sahaja tetapi program yang dianjurkan ini turut membina semangat saya untuk terus bangkit dan maju,” kata salah seorang peserta yang pertama kali mengikuti program yang dianjurkan PEMBINA ini.


Disediakan oleh,
Siti Nur Fatin bt Azni
Media PEMBINA UKM

Tuesday, 17 May 2016

KUALITI GAMBAR SEBAGAI WARTA MENCAKNA UMMAH


UKM, 14 MEI – Keindahan Ciptaan Tuhan, begitulah tema bagi program Media Circle Slot Fotografi yang berlangsung di Bilik Seminar, Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM kelmarin. Program anjuran Biro Media PEMBINA UKM ini dihadiri seramai 12 orang peserta yang terdiri dari pelajar UKM dan juga seorang peserta dari UiTM Shah Alam.

Program yang diadakan ini mempunyai tiga slot yang mana slot pertama merupakan slot pengisian yang disampaikan oleh saudara Wafiq Azman selaku Presiden PEMBINA UKM. Dalam slot pengisian ini, beliau sangat menekankan kepada tema yang dibawa program ini iaitu Keindahan Ciptaan Tuhan.

 Beliau berkata, kemahiran dalam bidang fotografi ini merupakan satu medium yang penting bagi kita menghasilkan gambar yang menzahirkan keindahan alam ciptaan Tuhan. Jadi, disebabkan itu sangat penting teknik dan kemahiran dalam fotografi supaya melalui gambar tersebut maka akan timbulnya rasa kesyukuran dengan keindahan ciptaan Tuhan.

Slot yang kedua adalah slot fotografi yang disampaikan oleh saudara Najmuddin yang merupakan mantan Ketua Biro Media PEMBINA UKM sesi 2014/2015. Dalam slot ini, para peserta banyak didedahkan dengan segala kemahiran yang perlu  ada bagi menjadi seorang jurugambar yang terlatih.

 “Kalaulah jurugambar di Syria itu tidak pandai mengambil posisi gambar yang betul mana mungkin ada rasa simpati bagi orang yang melihatnya,” ujar saudara Najmuddin dalam slot fotografi berkenaan kepentingan posisi dan komposisi yang disampaikan.

Program ini kemudiannya disambung dengan slot praktikal di mana para peserta diberikan tugasan mengambil gambar-gambar yang memaparkan keindahan ciptaan Tuhan. Jelas dalam slot ini, para peserta kelihatan teruja menjalankan tugasan yang diberikan.

“Saya rasa ini adalah satu program yang sangat menarik di samping kita menambah ilmu pengetahuan dalam bidang fotografi, kita juga sedar bahawa sangat pentingnya gambar yang berkualiti itu sebagai medium menyampaikan maklumat.”, ujar  salah seorang peserta yang hadir iaitu saudari Nur Haazimah, pelajar dari jurusan undang-undang UKM.

Program berakhir dengan sesi ‘review’ dan kemudian sesi penyampaian cenderamata kepada pengisi.
Sesi penyampaian cenderamata kepada pengisi


Nordiana Mat Salleh
Wartawan PEMBINA UKM.

Monday, 25 April 2016

SYAHADAH TERAKHIR TANGGUNGJAWAB KITA


Kajang, 23 April - “Tanggungjawab kita sebagai seorang muslim adalah untuk mengajar syahadah kepada orang yang hampir kepada kematian,”ujar Puan Asral Widad,40 sewaktu berucap kepada mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sewaktu lawatan mereka ke rumah jagaan warga tua Darul Insyirah.


Puan Asral Widad (kiri) bersama Sumayyah (kanan) sebagai wakil peserta program Kasih D'Insyirah menghulurkan sumbangan
   Lambakan warga tua muslim yang dihantar ke rumah jagaan warga tua non-muslim menyuntik semangatnya untuk menubuhkan rumah jagaan warga tua muslim yang bersih,sihat sistematik dan mampu berdikari bagi menjaga kebajikan warga tua muslim yang kian dipinggir semakin hari.

   Beliau berucap di dalam program Kasih D’Insyirah anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kebangsaan Malaysia yang berlangsung di Darul Insyirah 2, Sungai Ramal Dalam, Kajang yang dihadiri 17 peserta mahasiswa dari pelabagi fakulti.

   “Selain Darul Insyirah, kami juga menubuhkan program pendidikan seperti kelas hafazan dan tuisyen untuk anak yatim  di bawah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Umah (PACU),” kata Puan Asral Widad yang menjadi Pengerusi bagi kedua-dua agensi PACU dan Darul Insyirah.

   “Kami di PACU  menawarkan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan sumbangan dari segi idea, tenaga dan wang ringgit untuk sama-sama menjaga kebajikan masyarakat seperti golongan anak yatim dan warga tua,”tambahnya lagi.



Najmuddin M. Faudzir
Wartawan PEMBINA UKM


MAHASISWA BELAJAR MENYELAMI HATI WARGA EMAS


Kajang, 23 April-Sebuah program bakti kemasyarakatan bernama ‘Kasih D’Insyirah’ anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung di rumah kebajikan warga emas Darul Insyirah bertempat di Sungai Ramal Dalam, Kajang.

                Program ini bertujuan menggerakkan aktivisme mahasiswa untuk kembali berkhidmat kepada masyarakat warga emas secara khususnya selari dengan hasrat asal penubuhan UKM iaitu dari masyarakat kepada masyarakat.

“Program bakti ini sangat menepati hasrat saya yang ingin berdakwah kepada masyarakat pelbagai lapisan sesuai dengan jurusan saya dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan,” ujar Suhail Sukri, 22 sebagai salah seorang peserta program yang hadir.

                “Kami mengalu-alukan sebarang idea  bagi menggalakkan mahasiswa agar beraktivisme secara sihat disamping menambah nilai jati diri dalam hidup mahasiswa,” kata pengarah program Rais Borhan, 22 sewaktu ditemubual.

                “Kami berharap agar program ini dijadikan program jangka masa panjang dan berimpak tinggi bukan sahaja kepada Darul Insyirah malah kepada peserta jua,” tambahnya lagi.

                Program yang membabitkan 17 mahasiswa dari pelbagai fakulti termasuk Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Fakulti Sains dan Teknologi ini memberi impak positif kepada para peserta mengenai kesedaran sosial kebajikan warga tua di Malaysia terutama masyarakat islam.

Wartawan PEMBINA UKM,
Najmuddin M. Faudzir

Tuesday, 15 December 2015

Ahli PEMBINA UKM antara peserta perbincangan meja bulat TPPA

Bangi, 15 Dis – Tiga wakil Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dari PEMBINA UKM telah menghadiri diskusi PFAA Roundtable Series : The Youth Perspective on TPPA anjuran Perdana Fellows Alumni Asscociation (PFAA) di Kuala Lumpur dua hari lepas.

Diskusi yang berkonsepkan perbincangan meja bulat telah dihadiri oleh belia-belia yang mewakili persatuan-persatuan belia di seluruh Malaysia. Antara persatuan yang terlibat dalam diskusi tersebut ialah Parlimen Belia, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, DAP Youth, MIC Youth, Pemuda Amanah Negara dan Pemuda IKRAM.

Menurut Ketua Perunding Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) Datuk J. Jayasiri, dalam ucapan alu-aluan, beliau menyambut baik usaha PFAA dalam membawa suara belia yang cakna di dalam rundingan TPPA. 

Objektif perbincangan meja bulat ini adalah untuk penerangan yang lebih terperinci rundingan TPPA dan pandangan oleh para belia tentang rundingan yang sedang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Program diskusi ini juga turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mustapa Mohamed. “Terima kasih dan tahniah kepada para belia yang mewakili persatuan masing-masing, kecaknaan anda semua akan dipertimbangkan oleh pihak perunding kerajaan,” katanya dalam ucapan penutup yang santai.

Ahli PEMBINA UKM yang terlibat sebagai delegasi ialah Siti Aisyah Sulaiman, Penolong Ketua Biro Kepimpinan dan peserta Siti Nur Amirah Mohd Asri, Setiausaha dan Nur Arina Mohd Azmi, Penolong Ketua Biro Media. 


                                                                                                                                                    
Wartawan PEMBINA UKM,
Nur Sabihah Nawi.

Friday, 6 December 2013

Syiah Mengancam Akidah dan Negara



BANGI, 4 Disember – Syiah bukan sekadar bahaya dari sudut akidah ataupun fekah, bahkan ia boleh menggugat keselamatan negara sekiranya dibiarkan penganutnya mengembangkan ajaran syiah di seluruh negara.

Naib Presiden 1, Ikatan Muslimin Malaysia Ustaz Muhammad Fauzi Bin Asmuni berkata demikian semasa memberikan penyampaiannya dalam program ceramah “Bahaya Syiah – Suatu Pendedahan Eksklusif”, yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) UKM dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Bangi di Dewan Kuliah 3B 301 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) di sini semalam.

Ujar Ustaz Muhammad Fauzi lagi, Syiah ini perlu dilihat dengan teliti sejarah pengembangannya di seluruh dunia kerana ia bersifat ingin menguasi takhta dan kekuasaan.



“Kita lihat sejarah Khilafah terdahulu, sebagai contoh semasa penaklukan semula Kota Al Quds, antara perkara yang paling utama Sultan Salahuddin al Ayubi lakukan adalah menewaskan Kerajaan Fathimiyyah yang berpusat di Kaherah, Mesir. Kerajaan Fathimiyyah ini adalah kerajaan Syiah.”

“Kemudian sekiranya kita melihat sejarah kejatuhan Baghdad, pada masa itu Baghdad adalah suatu kota yang tidak akan terbayang akan musnah begitu saja. Tenteranya adalah tentera terkuat di dunia, kerajaannya adalah kerajaan terkaya di dunia, pertahanannya adalah pertahanan terkebal di dunia. Tetapi bagaimana boleh ditewaskan oleh bangsa nomad yang dikenali sebagai tentera Monggol atau Tartar dalam sekitar tempoh 40 tahun. Punca utamanya adalah golongan Syiah. Orang syiah yang membuka pintu kota Baghdad dari dalam, orang Syiah juga yang menjadi penasihat kepada pemimpin tentera Monggol,” katanya

Selain itu, Ustaz Muhammad Fauzi turut memberitahu antara faktor utama kenapa Syiah terlalu inginkan kuasa adalah berdasarkan akidah yang dianuti oleh golongan Syiah.

“Syiah, ada 5 rukun Syiah, yang pertama solat fardhu, kedua berpuasa, ketiga menunaikan zakat, keempat menunaikan haji di Baitullah, dan kelima adalah al wilayah, iaitu kekuasaan.” Ujar beliau lagi.
Ustaz Muhammad Fauzi turut menegaskan bahawa Syiah adalah terkeluar daripada golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini kerana perbezaan yang sangat ketara dan berlanggaran dengan nas yang sahih dari pelbagai sudut seperti rukun iman, rukun Islam, fekah seperti nikah mut’ah, taqiyyah, dan sebagainya.




Ceramah Bahaya Syiah ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran peserta sekitar 150 orang daripada dalam dan luar UKM.

Klik link untuk menonton respon Ceramah Bahaya Syiah:



Wartawan
PEMBINA UKM Production

Monday, 11 November 2013

Hari Ini dan Semalam: Pengajaran Buat Kita

Gambar Hiasan

Cemas membaca berita di Sinar Harian semalam berkenaan dengan pelajar perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia yang disahkan meninggal dunia akibat tertekan dan stres. PEMBINA UKM mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa di atas musibah yang berlaku. 

Dr. Zainur Rashid, Pensyarah dari International Medical University (IMU) berkata, “ini bukanlah kisah yang pertama kerana telah ada beberapa kes yang berlaku sebelum ini di beberapa tempat yang lain. Itu tidak termasuk di kalangan mereka yang menghidap kemurungan (depression) dan terpaksa dirawat pakar psikiatri disebabkan tidak boleh menjalani kerjaya yang mulia tetapi cukup membebankan.”

Beliau berkata lagi, “pengajaran kepada kita semua terutamanya kepada para ibu bapa agar melihat dan menilai perkembangan anak-anak yang sedang membesar dengan hati yang terbuka. Kita boleh menggalakkan anak-anak kita menceburi apa-apa bidang kerjaya yang baik dan dalam masa yang sama kita harus memastikan kesesuaian dan kemampuan anak-anak kita yang akan bergelumang dengan kerjaya tersebut di sepanjang hidupnya.”

Setiap bidang kerjaya mempunyai syarat dan keperluannya yang tersendiri dan tidak semuanya sesuai dengan minat dan kemampuan anak-anak kita yang berbeza di antara satu sama lain. Pesanan beliau, "pilihan hidup ini sebenarnya sangatlah luas dan buatlah pilihan dengan hati yang terbuka dan jangan lupa untuk berusaha gigih, rajin berdoa dan kemudian bertawakkal kepada-Nya."

Walau bagaimanapun, sebagai mahasiswa, kita harus tahu akan pengurusan emosi yang sebaiknya untuk berhadapan dengan pelbagai situasi. Sebagai seorang Muslim pula, berdoa merupakan senjata bagi memohon pertolongan Allah. Amalan-amalan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah juga perlu diamalkan supaya setiap saat kehidupan kita mendapat perlindungan dari-Nya.

Akhir kalam, tulisan ini bukanlah berniat untuk mengaibkan sesiapa akan tetapi ia merupakan suatu pengajaran buat kita agar sentiasa memandang masa hadapan dan berhati-hati agar kita tidak menyesal dikemudian hari. PEMBINA UKM sekali lagi mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan di atas musibah yang berlaku.

Sila klik berita di sini: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-perubatan-ditemui-mati-1.219293#.Un7MxAJpldo.facebook

‘Meneraju Arus Mahasiswa’


Nurul Hajjar Atan
JK Media dan Promosi
PEMBINA UKM



Sunday, 20 October 2013

HIMPUNAN MAHASISWA 2.0 (HIMMAH 2013)



UPM, 19 Oktober – Debaran yang ditunggu-tunggu telah tiba saat HIMMAH 2.0 memulakan acaranya yang bertemakan ‘Aktivisme dan Kepimpinan’. Bertempat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), seramai 1000 mahasiswa hadir dalam majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). Kehadiran ini juga bermakna mereka adalah pemimpin ummah.

Majlis dimulakan dengan sesi menghangatkan suasana oleh saudara Hasan Syahidi selaku ‘Informal Master of Ceremony (MC)’. Ternyata aura dan semangatnya dapat dirasakan oleh hadirin yang berada di dalam dewan apabila suara mahasiswa berjaya menggegarkan dewan ini. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh pengarah, disusuli ucaptama oleh Presiden PEMBINA, Ustaz Ibrahim Hassan. Setelah itu, video ditayangkan seterusnya, merasmikan HIMMAH 2013.

Agenda himpunan ini diteruskan lagi dengan video kemunduran umat Islam. Kemudian, diteruskan dengan persembahan pidato oleh saudara Azlan Wildan yang berjaya mencuri perhatian para hadirin. Seterusnya, hadirin dibentangkan dengan kertas kerja pertama oleh Ustaz Fauzi Asmuni yang bertajuk ‘Kepentingan Penguasaan Islam dalam Pertembungan Tamadun’. Hadirin memberikan tindak balas yang baik sekali apabila ramai yang bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab.



Begitulah himpunan ini diteruskan, di mana video, pidato, dan pembentangan kertas kerja silih berganti. Pidato kedua disampaikan oleh saudara Aidil Idham bertajuk ‘Kita Adalah Harapan Ummah’ setelah hadirin dipertontonkan dengan video motivasi dan diperdengarkan dengan pembentangan kertas kerja kedua oleh Encik Iqbal Hakim iaitu, ‘Beraktivisme dan Memimpin Suatu Tuntutan Muslim’. Kemudian, hadirin dihiburkan dengan persembahan oleh Fetya yang menyampaikan lagu rasmi PEMBINA, HIMMAH (Sujud Merdeka), dan Obor Semangat. Setelah itu, Ustaz Dr Aznan membentangkan kertas kerja yang ketiga, ‘Transformasi Minda: Kita Adalah Pemimpin’.

Majlis ditangguh sebentar pada jam 1.30 petang bagi memberi ruang kepada para hadirin untuk solat dan makan tengah hari, serta membeli-belah di gerai-gerai yang dibuka di dalam dewan. Kemudian, majlis diteruskan pada jam 2.20 petang dengan pidato ketiga oleh saudari Saidah bt. Suharto – Kemunduran Umat Islam Tinggal Kenangan. Setelah itu, forum mengambil-alih dengan barisan panelis hebat iaitu Norzafry Norhalim, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal, dan Farah Alina Abdul Aziz bersama moderator, Azril Hanafi.
Majlis ditutup dengan pembacaan Resolusi HIMMAH 2013 oleh Ustaz Salman Abdul Rahman. Semoga dengan himpunan ini, dapat membakar semangat anak muda, belia seumpamanya dalam menerajui arus kepimpinan pada zaman ini.

HIMMAH - Pemimpin Ummah!


Maisarah Binti Mohd Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM

Wednesday, 2 October 2013

ISU MESIR: KERANA KITA BERSAUDARA

BANGI, 25 September – “Jika kamu membuka Mesir, ambillah ahlinya sebagai tentera. Sesungguhnya mereka adalah sebaik-baik tentera di dunia dan mereka sentiasa berada di perbatasan sehingga hari kiamat.”

Program Jom Bina Hati (JBH) kini kembali lagi dengan siri pertamanya untuk sesi 2013/2014. Program ini telah diadakan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dihadiri oleh lebih 40 orang mahasiswi UKM. Dengan itu, pihak penganjur telah menjemput aktivis PEMBINA, saudari Fatin Halil yang merupakan seorang pelajar Sarjana Syariah di Universiti Kaherah, Mesir bagi menyampaikan pengisian. Beliau membuka tirai bicaranya dengan hadis di atas yang terdapat di dalam kitab Al Mu'talif wal Mukhtalif. 



“Tujuh fakta yang anda perlu tahu mengenai sosio-politik Mesir.” Dengan fakta-fakta yang dikemukakan ini, hadirin dibongkarkan dengan isu yang terjadi di Mesir. Adakah kejatuhan Morsi disebabkan oleh kebangkitan rakyat ataupun konspirasi dunia?

 “Bermula dengan Revolusi 12 Januari 2011, tentera memilih untuk mengundurkan Mubarak dan menghadapkannya ke mahkamah setelah gagal meredakan keadaan dengan pelantikan Umar Sulaiman sebagai Timbalan Presiden. Setelah itu, berlangsungnya pilihanraya Presiden yang melibatkan proksi Majlis Tentera dan puak Islamis. Akhirnya kemenangan berpihak kepada puak Islamis di mana Dr. Morsi meraih kemenangan 52% ke atas Ahmad Syafiq yang memperoleh undian sebanyak 48%.”



“Hayat pemerintahan presiden Morsi hanya berlangsung selama setahun sahaja iaitu sehingga 3 Julai 2013. Di mana, penggulingannya telahpun dirancang sejak pelantikannya sebagai presiden pada 30 Jun 2012. Kemuncaknya berlangsung dua bulan sebelum penggulingannya. Pada waktu terbabit, minyak disembunyikan, elektrik dipotong, gandum disembunyikan, harga barang dan keadaan jalan raya dalam keadaan teruk. Berikutan ini, Morsi dijadikan ‘kambing hitam’ atas semua masalah.”

“Tanggal 30 Jun 2013 (genap setahun pemerintahan Morsi), penentang Morsi berdemonstrasi di Dataran Tahrir, manakala penyokong Morsi berada di Medan Rabaah. Bilangan mereka lebih ramai daripada penentang. Sementara itu, Ahmad Baradaie, Syeikh Al-Azhar, Ahmad Taib dan Ketua Gereja, Tawadros bertemu General Sisi untuk menyampaikan kononnya hasrat umat Mesir. General Sisi memberi tempoh 48 jam untuk Morsi meletakkan jawatan disusuli dengan keengganan Morsi dan penangkapannya pada 3 Julai 2013. Majlis Tentera mengambil alih dan melantik Adli Mansur sebagai Presiden dan Baradaie sebagai Timbalan Presiden, serangan terhadap Sinai dan terowong Gaza serta penangkapan pemimpin berpengaruh.”



Kesan daripada kronologi ini, ribuan dibunuh dan mayat mereka yang syahid di Rabaah dibiar membusuk oleh tentera walaupun Rabaah hanya 15 minit dari tanah perkuburan. Kejatuhan Morsi dikaitkan dengan Kerajaan Askar Tawadros, pengaruh Syiah, hubungan Amerika-Israel-Tentera Mesir. Konspirasi semakin jelas dengan pembebasan Mubarak dari segala tuduhan yang pernah dilaporkan saat penggulingannya. Hal ini ditambah pula dengan pihak tentera yang mengubah jalan cerita. Oleh itu, jelas berlaku konspirasi demi menjatuhkan Islam. Justeru, hadirin diseru untuk memahami Islam yang sebenar dan Wasatiy, memberi sumbangan dari segi pemikiran dan amal, dan paling utama umat Islam perlu bersatu.

Semoga program ini berjaya membina hati anak-anak muda dan seterusnya melahirkan generasi hebat pada masa akan datang. Bersama meneraju arus mahasiswa!




Maisarah Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM




Friday, 6 September 2013

MAKLUMAN LALUAN BAS YANG BARU DI UKM



Bermula 19 ogos 2013 perkhidmatan bas kampus telah diambil alih oleh Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Sdn. Bhd (Nadi Putra) menggantikan syarikat Trans Rengit Sdn. Bhd yang telah tamat perkhidmatan pada 18 ogos 2013.

Berikut merupakan jadual perjalanan dan masa yang baru untuk perkhidmatan bas kampus yang dibekalkan oleh Unit Kenderaan UKM :

1) Laluan bagi bas zon 2 akan dipanjangkan sehingga ke Stadium UKM.
( Masa perjalanan adalah bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 12.00 malam )

2) Laluan bagi bas zon 3 & zon U akan digabungkan menjadi zon 3U,di mana bas ini akan sampai ke Fakulti Undang - undang.
(Masa perjalanan adalah bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 12.00 malam )

3) Laluan bagi bas zon 6K & 6Z pula akan bergabung jadi bus 6, di mana bas ini akan bertolak dari Kolej Keris Mas dan akan sampai ke Kolej Pendeta Za' ba .
(Masa perjalanan adalah bermula dari pukul 7.30 pagi sampai 11.00 malam )

4) Pada hari Jumaat, pada masa 1 hingga 2 petang tidak akan ada sebarang perkhidmatan bus , kecuali bas Majlis yang baru dibentuk dimana akan bertolak dari kolej Pendeta Za'ba hingga ke Masjid.

P/S : Setiap hari pada masa 1.30 petang merupakan masa rehat bagi pemandu bus kampus , jadi masa itu , tidak akan ada sebarang perkhidmatan bus .


Sumber:
Chinese Community Council 

Wednesday, 21 August 2013

KENALI UKM : AHLAN WASAHLAN JUNIOR!

Usai SPM, laungan merdeka pasti dilaungkan oleh pelajar-pelajar menandakan mereka sudah bebas dari alam persekolahan. Namun, debaran keputusan SPM pula yang menjengah di hati. Apabila keputusan dalam genggaman, satu lagi penantian penuh seksa oleh pelajar lepasan SPM, iaitu keputusan UPU.
Tahniah diucapkan buat yang berjaya mendapatkan keputusan SPM yang cemerlang seterusnya melayakkan diri ke IPTA. Buat pelajar yang bakal memasuki UKM, selamat datang kami ucapkan. Maka, dengan ini, PEMBINA UKM akan melakukan sedikit orientasi tidak formal, dengan melawat sekitar UKM secara maya. Ayuh!


Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR)


Cawangan UKM & Kursus yang Ditawarkan

1     UKM Bangi, Selangor – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pendidikan, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Teknologi Sains dan Maklumat serta Fakulti Undang-undang.

2     UKM Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur – Fakulti Perubatan Jabatan Pra-Klinikal, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi.

3    UKM Cheras, Selangor – Fakulti Perubatan, Institut Pengajaran Hosital dan Institut Perubatan Biologi Molekular.

Kolej Kediaman

   UKM Bangi, Selangor – Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Ungku Omar, Kolej Ibrahim Yaakub, Kolej Aminuddin Baki, Kolej Ibu Zain, Kolej Pendeta Za’aba, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Dato’ Onn, Kolej Rahim Kajai dan Kolej Keris Mas.
*setiap kolej mempunyai cafeteria masing-masing, tetapi kafe kolej keris mas beroperasi lebih lama berbanding kolej-kolej lain.

      UKM Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur – Kolej Tun Syed Nasir

      UKM Cheras, Selangor – Kolej Tun Dr Ismail

Sistem Pengangkutan

Bagi pelajar yang mendapat kolej kediaman yang berdekatan dengan fakulti, cara mereka pergi ke kuliah adalah dengan berjalan kaki. Namun, bagi penghuni kolej-kolej yang jauh dan terasing daripada fakulti dan kolej-kolej lain, pengangkutan utama adalah bas.

Kemudahan Bas untuk Para Pelajar


Bas utama yang mengangkut pelajar-pelajar ke kuliah-kuliah adalah bas milik UKM sendiri yang akan datang setiap setengah jam. Bagi pelajar yang mahu ke KTM, boleh menggunakan bas NADI PUTRA (Zon 6). Sekiranya mahu ke sekitar Kajang, perkhidmatan RAPID KL ada disediakan. Ketiga-tiga bas ini beroperasi setengah jam sekali.

Pelajar tahun satu selalunya menggunakan perkhidmatan bas ini kerana dilarang membawa kenderaan sendiri. Setelah memasuki tahun dua baru pelajar-pelajar dibenarkan membawa kenderaan sendiri.

Kemudahan Perpustakaan

Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL), UKM merupakan sebuah perpustakaan yang terbesar di Asia Tenggara. Ia memuatkan pelbagai jenis buku, majalah dan bahan-bahan rujukan yang lengkap dan sangat membantu para pelajar dan pensyarah bukan sahaja di UKM bahkan di seluruh Malaysia.

Pintu Masuk Perpustakaan UKM


Kemudahan Bank dan Pos

Perkhidmatan ATM seperti Bank Islam, Maybank, BSN, dan CIMB Bank ada terdapat di Pusanika yang di apit oleh bangunan Canselori dan Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL).
Terdapat juga mesin ATM Bank Islam di kolej Keris Mas, kolej Pendeta Za’aba dan juga di aras bawah bangunan Canselori yang berhadapan dengan kafeteria. Mesin ATM Maybank dan BSN terdapat di Pusanika  aras 5, berdekatan dengan pejabat pos dan Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPEL). 

Pusat Kemudahan Pelajar (Pusanika)


Kemudahan Kafe dan Kiosk

Seperti sedia maklum, setiap kolej mempunyai kafe masing-masing. Begitu juga dengan fakulti. Cuma bezanya, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) tidak mempunyai kafe, sebaliknya kiosk. Di Pusanika juga terdapat kafeteria yang terletak di aras 2 serta terdapat gerai-gerai kecil di tingkat atas sekali. Gerai-gerai kecil ini ada menjual makanan sampingan seperti ice blended, sausage, sweet corn dan sebagainya.
Di FEP, terdapat enam kiosk yang beroperasi, antaranya menjual nasi kukus, nasi ayam, soto, nasi tomato, nasi arab, nasi campur, ice blended, waffle dan makanan-makanan ringan yang lain.


Kafe Kolej Kediaman


Kemudahan Kedai

Setiap kolej mempunyai kedai runcit yang dinamakan seperti ‘H-mart’, ‘B-mart’, dan sebagainya. Di Pusanika juga turut menyediakan kemudahan kedai-kedai seperti menjual alat tulis (UNIKEB) di aras 3, kedai buku di aras 5 dan kedai-kedai lain di aras 4.

Pusat Kemudahan Pelajar (UNIKEB)


Kemudahan Lain

Selain daripada kemudahan kolej, kafe, pengangkutan dan lain-lain yang dinyatakan di atas, terdapat juga kemudahan wifi, masjid UKM yang berkubah kuning keemasan di sebelah kanan pintu masuk utama UKM, stadium, gelanggang tenis, squash, padang, rumah tetamu, Kelab Danau (padang golf, kolam renang, dsb), Puri Pujangga, dan banyak lagi.

Masjid UKM


Sistem Pembelajaran

Setiap subjek di UKM dikira dengan jam kredit. Kebanyakan jurusan mengambil jumlah jam kredit di antara 16 hingga 23 jam kredit. Penyesuaian jadual waktu terbahagi kepada dua iaitu jadual waktu fakulti dan jadual waktu universiti. Jadual waktu universiti bergantung kepada subjek-subjek yang ditawarkan oleh universiti dan wajib bagi semua pelajar UKM mengambilnya. Sebagai contoh seperti subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS), Hubungan Etnik, Pembangunan Diri dan sebagainya.

Masa selalunya fleksibel. Manakala jadual waktu fakulti, bergantung kepada penawaran oleh fakulti masing-masing. Pendaftaran perlu dibuat sendiri oleh pelajar secara online di laman sesawang http://www.smpweb.ukm.my untuk melatih para pelajar mengurus masa sendiri. Selain itu, di dalam sistem pembelanjaran juga,  terdapat satu sistem yang digunakan oleh para pelajar dan pensyarah untuk berinteraksi antara satu sama lain iaitu i-folio. I-folio ini juga memuatkan nota-nota kuliah daripada para pensyarah setiap subjek yang diambil untuk memudahkan urusan pembelanjaran. I-folio boleh di layari di http://www.ifolio.ukm.my.


­­­­­­­­­­­­­­Semoga perkongsian sedikit ini membantu anda dalam mengenali sedikit sebanyak mengenai UKM. Sebarang info lanjut boleh diketahui dengan melayari laman sesawang rasmi UKM di http://www.ukm.my/v5/.

Semoga segalanya dipermudahkan oleh Allah dan selamat menempuh alam universiti.

PEMBINA UKM mengalu-alukan kedatangan semua pelajar junior sesi 2013/2014 ke UKM. Mari kenali PEMBINA, dan sertai kami  dalam menjayakan aktiviti-aktiviti Islami di UKM.


Like Fan page kami di PEMBINA UKM dan layari laman sesawang kami di http://www.pembinaukm.com.

SEMOGA BERJAYA! J




Maisarah Shahrain
JK Media Pembina UKM

Sunday, 27 May 2012

Forum Hak Asasi Manusia




UKM,Bangi, 17 Mei. - Undang-undang Malaysia tidak akan terikut dengan acuan hak asasi manusia yang dicadangkan oleh barat kerana kita mempunyai perundangan yang kukuh iaitu Islam adalah agama Persekutuan. Tegas Abdul Rahim Sinwan, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia. Beliau juga menyeru supaya slogan ‘Islam adalah agama rasmi negara’ diperbetul kepada Islam adalah agama Persekutuan. Hal ini  menunjukkan  apa-apa  yang bertentangan dengan Islam akan ditolak.
 Hak asasi bukanlah satu perundangan yang mesti diikuti oleh semua negara, ia hanyalah satu deklarasi, tegas beliau lagi, ketika menjadi panel Forum Hak Asasi Manusia Kebebasan atau Cengkaman di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM.
 Menurut Mejar Nazri Musman, wakil Ikatan Muslimin Malaysia, (ISMA) yang  turut menjadi ahli panel forum tersebut, Hak Asasi yang diperjuangkan oleh barat adalah berat sebelah, hal ini dibuktikan dengan pencabulan  hak asasi manusia yang dilakukan oleh sekutu barat, Zionis terhadap Palestin.  Apabila ditanya tentang pengalaman beliau ketika berkunjung ke Gaza beru-baru ini, beliau mengatakan amanat yang diberikan oleh Menteri Kesihatan Palestin .

“Penduduk Palestin adalah pejuang Islam yang berada di barisan paling hadapan dan sedang menentang musuh utama Islam itu sendiri. Janganlah sibukkan kami dengan usaha mencari dana untuk bekalan perubatan, makanan dan sebagainya. Tugas mencari dana adalah tugas umat Islam lain di luar sana."

Forum yang dianjurkan oleh PEMBINA Cawangan Bangi ini juga menjemput Ustaz Dr Khairuddin Aman Razali, Pengasas Darul Fuqoha’ sebagai ahli panel. Beliau menyatakan manusia mempunyai hak dalam 5 asas yang digariskan dalam Islam. Iaitu hak dalam menjaga agama, memelihara kehidupan, menjaga maruah, harta dan akal. Jika hak ini tidak ditunaikan, maka sesuatu individu itu berhak menuntutnya. Jika kita menuntut hak lebih dari 5 asas tersebut, maka kita telah  mengambil hak orang lain, tegas beliau lagi.

Forum yang dilangsungkan dengan kerjasama Unit Perhubungan Sumber Manusia UKM ini,  berjaya menarik hampir 200 orang  mahasiswa,  khususnya dari  IPT di sekitar Bangi.

Majlis ditutup dengan penyampaian cenderahati oleh saudara Mohd Rusman Arief b Abd Rahman selaku Ketua PEMBINA Cawangan Bangi kepada moderator, saudara Norzafry bin Norhalim dan semua panel jemputan.

PEMBINA berharap, dengan adanya forum ini, masyarakat dapt memahami dan menilai hak-hak yang sesuai dituntut selaku waganegara Malaysia yang berpayung dibawah Perlembagaan Persekutuan.  

poster promo ikhwah
picture hosting