Monday 30 April 2012

BURUNG vs KAPAL TERBANG

 

Apa yang anda fikirkan bila melihat burung?

‘Oh aku nak terbang bebas seperti burung. Aku nak bebas’

‘Seronoknya jadi burung. Dapat terbang ke sana sini dengan cepat, tidak perlu  susah-susah naik motor kereta untuk bergerak’

‘SubhanAllah, hebatnya ciptaan Allah. Burung tu terbang tanpa jatuh. Ia milik Allah. Kerdilnya aku, tiada apa yang ada pada aku melainkan semuanya pinjaman dari Allah’

Apa pula  yang anda fikirkan bila melihat kapal terbang?

‘Hebat betul la adik beradik Wright yang mencipta kapal terbang ni. Dan hasilnya sekarang, semua orang mampu terbang’

‘Subhanallah, jika tidak Allah menghendaki kapal terbang ini dapat berada di udara, pastinya kapal terbang tidak wujud hari ini.’

Sedar atau tidak, pelbagai kata-kata atau fikiran manusia tentang sesuatu perkara. Hati yang sentiasa berzikir kepada Allah, Allah akan menganugerahkan pandangan dan fikirannya selari dengan apa yang Allah kehendaki manakala hati yang jauh dari Allah akan lupa untuk bersyukur dan pandangan dan fikirannya tentu lebih kepada ketakjuban pada dunia. Jika kita lihat, haiwan yang mempunyai populasi yang terbesar di dunia adalah antaranya burung. Mereka mampu berhijrah dari satu kawasan yang jauh apabila pertukaran monsun (aliran angin) berlaku. Malaysia juga merupakan salah sebuah negara yang menjadi persinggahan burung-burung yang berhijrah ini. Pernahkah kita berfikir, hebatnya burung ini berhijrah dari suatu kawasan yang jauh ke kawasan lain untuk kelangsungan hidupnya? Tentunya ada kuasa hebat mengatur semua ini! Subhanallah.

Allah telah membawa kita berfikir melalui ayatnya yang indah pada surah al-Mulk ayat 19:

“Apakah mereka tidak melihat burung-burung yang terbang di atas mereka dengan mengembang dan mengecutkan kepaknya? Tiada yang menahankan burung-burung itu dari jatuh melainkan Allah Yang Maha Penyayang. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.”

Dalam Tafsir al-Quran Fizilal oleh as-Syahid Syed Qutub telah menjelaskan, Allah menurunkan ayat ini supaya kita berfikir akan salah satu ciptaan Allah yang sangat hebat. Fenomena penerbangan burung yang diceritakan dapat ayat ini adalah berlaku di setiap saat dan detik. Terkadang kita merasakan fenomena ini sesuatu yang biasa dan tiada apa yang pelik. Oleh sebab fenomena yang sentiasa berlaku di depan mata, telah membuatkan kita lupa kepada qudrat dan kebesaran Allah.

 Perhatikanlah burung ketika ia mengembang dan meluruskan kedua-dua sayapnya kemudian mengecutkannya. Ketika ia melakukan dua gerakan mengembang dan mengecutkan kepak-kepaknya itu, ia tetap berada di udara dan terbang dengan mudah dan selesa. Seolah-olah menyaksikan pertunjukkan penerbangan jet. Betapa indahnya penerbangan yang menjunam turun dan menjulang naik yang dilakukan jet tidak ubah seperti yang dilakukan oleh burung.

Renungilah mekanisme ciptaan Allah ini dan perhatikanlah penerbangan yang unik dilakukan oleh beribu jenis burung yang wujud di dunia. Setiap orang yang memerhatikannya pasti tidak jemu mata dan tidak membosankan hati. Bila diamati, ia adalah suatu kenikmatan bagi mereka yang berfikir dan meneliti ciptaan Allah yang menakjubkan di mana bertemunya keindahan dan kesempurnaan.

Melalui ayat 19 surah al-Mulk ini, Allah memberi isyarat kepada kita supaya memerhatikan pemandangan menarik ini:

“Apakah mereka tidak melihat burung-burung yang terbang di atas mereka dengan mengembang dan mengecutkan kepaknya”

Kemudian Allah menyatakan bahawa di sebalik  penerbangan itu terdapat pentadbiran dan perencanaan Allah:

“Tiada yang menahankan burung-burung itu dari jatuh melainkan Allah Yang Maha Penyayang.”

Allah Yang Maha Penyayanglah yang menahan burung-burung itu dari gugur dangan undang-undang yang rapi dan pelik, di mana segala sesuatu sama ada yang kecil atau besar dijaga dengan teliti walau pembentukan dari sekecil sel dan atom. Ini menunjukkan adanya undang-undang alam dari Allah yang memelihara keseimbangan dan keselarasan di bumi, di udara dan juga kejadian burung itu sendiri. Ini membolehkan burung dapat terbang berulang kali dengan teratur.

Tiada yang dapat menahan burung-burung ini dari gugur dengan qudrat kuasa-Nya yang tidak lemah dan tidak terlepas dari pengawasan-Nya. Qudrat pengawasan Ilahi inilah yang memelihara undang-undang alam ini bertindak terus selama-lamanya dengan rapi dan teratur. Ia tidak pernah lemah dan tidak pernah kacau walaupun sekelip mata hingga ke masa yang dikehendaki Allah.

Allah melihat dan mengetahui segala sesuatu, kerana itu Dia menyedia, mengatur, memberi tenaga kekuatan dan memelihara segala-galanya di setiap saat dengan penuh ketelitian dan ilmu yang mendalam. Penahanan atau pemegangan binatang-binatang yang hidup di atas bumi yang berlegar di udara dengan segala penghuninya, dan sama dengan penahanan dan pemegangan seluruh jirim yang wujud di langit. Tiada yang menahannya dari gugur melainkan Allah. Seluruh ciptaan Allah itu adalah mukjizat, sangat indah dan memberi saranan dan ilham.

Apa pula kaitannya burung dengan kapal terbang? Ada sesetengah burung perlu berlari dahulu, kemudian mengepakkan sayapnya untuk terbang. Kapal terbang juga perlu untuk meluncur di atas landasan sebelum dapat terbang. Bentuk sayap burung adalah aerodinamik yang mana membantu untuk terangkat di udara dan ia serupa dengan sayap pada kapal terbang. Burung Kelicap (hummingbird) perlu mengepakkan sayapnya yang kecil dengan laju untuk terus kekal di udara ketika menghirup madu bunga. Fenomena ini juga diaplikasikan oleh manusia dalam penciptaan helikopter yang mana sayap atasnya bergerak dengan frekuensi yang sangat tinggi untuk terapung di udara.

Pelbagai lagi ciptaan Allah yang diambil oleh manusia dalam mencipta alat yang memudahkan manusia sendiri. Tiada apa yang perlu dibanggakan kerana semua ilham dan idea adalah datang dari Allah. Jika kita berbangga dapat mencipta sesuatu yang luar biasa, tapi ingatlah tiada yang mengizinkan melainkan Allah subhanahu wa ta’ala Tuhan yang menciptakan segala yang ada di bumi dan langit. Semua itu adalah pinjaman dari Allah dan akhirnya juga akan dikembalikan kepada-Nya semula. Ciptaan manusia adalah lemah tapi ciptaan Allah penuh dengan kesempurnaan. Jadilah seorang saintis yang ilmunya itu untuk melihat bukti kebesaran Allah yang mendekatkan diri kepada Allah bukan seorang yang menjadikan ilmunya itu untuk berbangga-bangga diri dan lupa dengan kewujudan Allah. Nauzubillahi min zalik.


Nur Raidah Rahmat
Pelajar Zoologi
Fakulti Sains Teknologi
UKM, Bangi.

poster promo ikhwah
picture hosting