Saturday, 8 December 2012

PEMBINA Sepakat Tolak Liberalisme!



Mungkin ramai yang apabila ditanya apa itu liberalisme,mereka tidak mampu menghuraikannya dengan baik malah ada juga yang mungkin pertama kali mendengar perkataan liberalisme. Oleh sebab itu,tidak hairanlah jika generasi pada hari ini ada yang makin jauh kehidupannya dengan Pencipta. Mereka tidak sedar bahawa fahaman ini kian menular hebat tanpa mereka mengetahuinya dan sebab itulah kita perlu mengetahui dengan lebih teliti apa itu liberalisme.

Liberalisme adalah satu fahaman yang bertunjangkan hak kebebasan individu dengan mengenepikan pandangan agama. Fahaman ini menekankan hak peribadi serta kesamarataan peluang. Fahaman ini datangnya daripada barat dengan mementingkan suara sendiri tanpa berpandukan apa-apa sumber. Sebagai seorang individu yang beragama, kita harus memandang berat perkara ini kerana hidup muslim yang bertaqwa adalah hidup berpandukan al-quran dan as-sunnah. Gaya hidup dan cara fikir fahaman ini secara keseluruhannya harus ditolak oleh kita yang mengaku sebagai Islam.Fahaman ini dibawa oleh mereka iaitu pendokong dan penganut Islam Liberal yang menjadikan ideologi liberalisme sebagai pegangan mereka dan mula menyampaikan ideologi-ideologi kufur yang bertuhankan selain Allah dengan menempelkan ideologi-ideologi ini pada Islam. Mereka hanya mengunakan Islam itu untuk mengaburi mata-mata kita sedangkan mereka mempunyai misi yang lebih besar dari itu iaitu agenda Kristianisasi yang sangat halus. Kristianisasi ini bukanlah semata-mata mengkristiankan orang Islam, tetapi sudah cukup dengan mengeluarkan orang Islam daripada pegangan mereka yang asal.

Ekoran daripada fahaman ini, pelbagai masalah akidah makin berlaku di kalangan orang Islam. Sebagai contoh,isu kedatangan Irsyad Manji ke Malaysia untuk mempromosikan buku tulisannya yang bertajuk “Allah,Liberty and Love”. Irsyad ManjI secara terang-terangan berani menyatakan suaranya mengenai kebebasan dalam hubungan LGBT iaitu Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender. Berikut adalah satu bukti kuat bahawa agenda barat sudah berani masuk ke Malaysia dan sedang berusaha meneruskan rencana mengelirukan pemikiran orang Islam.

Puak-puak ini secara mudahnya mengambil potongan ayat al-quran dan menterjemahkan dengan mengikut kehendak dan kemahuan sendiri. Mereka memutar-belitkan tafsiran ayat-ayat al-quran sehingga ada yang terpengaruh dengan pemikiran mereka. Contoh pertama,konsep “Islam Moderate” telah diperkenalkan oleh puak-puak tersebut dengan mengambil potongan ayat daripada surah al-Baqarah iaitu ayat ke 143 yang ada menyebut perihal “umat pertengahan”. Jika diteliti dengan dalam,ayat ini bukanlah seperti yang mereka tafsirkan namun tujuan mereka menyalah tafsirkan cuma satu iaitu mahu menyiramkan ideologi yang salah itu kepada kita. Kesannya,jika kita tidak mahu keluar dari kepompong sendiri dengan hanya duduk belajar ilmu dunia untuk peperiksaan, kita bakal terpengaruh. Ya,kita perlu berubah mulai sekarang dengan mulai cakna isu dunia, isu dunia Islam.

Ayuh anak muda! Kita perlu buka mata. Islam itu agama yang sangat luas pengertiannya bahkan besar nikmatnya. Di celah-celah itu, Allah memudahkan beberapa perkara supaya kita tidak terasa berat untuk memikulnya. Namun, setelah itu bersyukurlah atas segala-galanya. Jangan sampai Allah tarik semula nikmat itu barulah kita mahu buka mata. Mungkin isu Liberalisme ini dianggap isu yang agak berat untuk dihadam namun jika isu itu mampu mengugat keimanan, langkah pencegahan perlu dilaksana. Ayuh anak muda! Mula bergerak sekarang,perlahan-lahan tetapi konsisten.

Munirah binti Ismail
Sains Sekitaran
Aktivis Pembina UKM

poster promo ikhwah
picture hosting