Wednesday, 15 March 2017

ARTIKEL: REMAJA BERKETRAMPILAN ASET NEGARA




“Berikan aku sepuluh orang pemuda, nescaya aku mampu menggegarkan dunia” merupakan kata-kata presiden Indonesia yang pertama, iaitu Soekarno. Ungkapan tersebut menunjukkan betapa hebatnya penangan generasi muda sebagai pemangkin masa depan sesebuah negara. Frasa menggegarkan itu menunjukkan bahawa mereka mampu menghasilkan satu kejutan yang mampu membuka mata rakyat seantero dunia. Namun demikian, untuk melahirkan generasi yang mampu menempatkan diri dalam kategori sepuluh pemuda tersebut bukanlah mudah. Usaha yang mapan perlulah diambil untuk membentuk dan memenuhi ciri-ciri remaja yang berketerampilan. Persoalannya, apakah kriteria-kriteria remaja yang berketerampilan dan apakah prakarsa yang perlu diguna pakai bagi membentuk golongan tersebut?

            Antara ciri remaja yang berketerampilan ialah remaja yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dan berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipikul. Bagi membentuk kriteria tersebut, remaja hendaklah melibatkan diri secara aktif dalam organisasi kepimpinan di sekolah seperti Lembaga Disiplin dan Pengawas dan Majlis Pemimpin Asrama. Hal ini demikian kerana, setiap anggota dalam organisasi tersebut akan diklasifikasikan mengikut exco-exco yang dibentuk, sesuai dengan perwatakan yang dimiliki. Penglibatan tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat kepimpinan, bahkan mampu menjadi entiti dalam membentuk kemahiran insaniah dalam diri para pelajar. Sememangnya harimau ditakuti kerana giginya. Jadi, pemimpin pelajar hendaklah menggunakan kuasa yang dimiliki dengan penuh amanah, bukannya memanipulasi peraturan yang ada untuk kepentingan peribadi. Jika tugas dijalankan dengan penuh amanah, nescaya statistik masalah disiplin di sekolah akan menurun di samping melahirkan generasi yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dalam diri.

            Di samping itu, prihatin dan mempunyai sifat empati dalam diri juga merupakan salah satu perwatakan yang dimiliki oleh remaja yang berketerampilan. Selain peranan pihak sekolah dalam mengadakan aktiviti kemasyarakatan, ibu bapa turut  memainkan peranan yang dominan dalam membentuk peribadi tersebut. Hal ini demikian kerana, anak-anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya. Justeru, antara langkah awal yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah dengan menyemai sifat kasihkan anak yatim dari peringkat akar umbi lagi. Ibu bapa haruslah menjadikan lawatan ke rumah anak yatim sebagai acara berkala ataupun acara bulanan. Seperti kata bijak pandai, “hidup di dunia hendaklah menekur ke bawah, pandang bagaimana kesusahan orang lain berpuluh kali daripada kita”. Besesuaianlah dengan jiwa anak kecil yang penuh dengan kejujuran dan keluhuran, jika sajak kecil lagi sudah diajarkan untuk bersimpati dengan nasib anak yatim, nescaya sifat empati akan semakin memekar dalam jiwa mereka apabila mereka dewasa kelak. Maka, akan terlahirlah generasi yang bersifat asertif dan sentiasa mengambil berat tentang masyarakat sekeliling seterusnya meningkatkan lagi keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita.

            Disingkap dari perspektif yang lain, remaja yang berketerampilan mestilah cakna dengan perkembangan isu semasa baik dari dalam mahupun luar negara. Hal ini demikian kerana, isu semasa merupakan salah satu wadah yang tepat untuk kita teladani kebijaksanaan seseorang pemimpin dalam menangani permasalahan yang timbul. Sebagai tamsilan, ketika peristiwa cubaan rampasan kuasa di Turki, Recep Tayyib Erdogan selaku presiden Turki telah merakam video dengan menggunakan aplikasi Face Time Apple bagi menggesa rakyat Turki untuk turun ke jalan bagi menyekat kemaraan kudeta. Video tersebut telah disiarkan secara langsung melalui CNN Turk. Bukan itu sahaja, gesaan tersebut turut diperluas melalui jaringan rangkaian Facebook dan Twitter. Memang tidak dapat disangkal bahawa media sosial umpama pisau bermata dua, boleh mendatangkan maslahat dan impak negatif dalam satu-satu masa. Justeru, remaja hendaklah bijak menggunakan dunia maya untuk pekara yang bermanfaat. Remaja perlulah bijak dalam memilih laman-laman yang perlu diikuti untuk mendapatkan maklumat yang terkini seperti mengikuti Astro Awani, CNN News, The New York Times, The Wall Street Journal dan lain-lain lagi. Hasilnya, bakal pewaris negara kita tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung di samping melahirkan generasi yang mampu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.

            “Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah”. Sesuai dengan kata mutiara tersebut, remaja yang berketerampilan ialah remaja yang mampu menghayati ilmu yang dipelajari dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Dalam usaha melahirkan remaja yang perwatakannya sedemikian, penghayatan para pelajar terhadap ilmu yang dipelajari hendaklah dipertingkat. Jika dilihat isi kandungan subjek Pendidikan Agama Islam tingkatan lima yang bertajuk Adab Memelihara Alam, antara elemen yang ditekankan adalah cara-cara menjaga alam sekitar daripada kekotoran dan pencemaran. Antara sikap yang perlu diamalkan oleh para pelajar adalah membuang sampah di tempat yang disediakan. Malangnya, isu sampah dibuang merata-rata masih lagi menjadi permasalahan di sekolah malahan perbuatan tersebut bertentangan dengan visi sekolah untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi sesi pembelajaran. Hal tersebut membuktikan bahawa penghayatan para pelajar terhadap ilmu yang dipelajari masih lagi rapuh kerana sifat ihsan terhadap alam sekitar masih belum berjaya diterapkan. Oleh itu, guru-guru hendaklah bijak menangani situasi tersebut dengan mengaitkan perbuatan membuang sampah merata-rata dengan silibus yang dipelajari di samping mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya. Jika penghayatan tersebut dapat diterapkan ke dalam diri para pelajar sejak di bangku sekolah, nescaya sikap ihsan terhadap alam sekitar akan diamalkan biarpun berada di luar kawasan sekolah. Hasilnya, interaksi antara manusia dan alam sekitar dapat dimurnikan lagi di samping meningkatkan lagi ekonomi negara dek kelestarian alam yang boleh dijadikan tarikan kepada para wisata.
            
                Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat banyak kriteria yang dimiliki oleh remaja yang berketerampilan dan terdapat pelbagai langkah yang pragmatik boleh diambil bagi membentuk golongan tersebut. Remaja yang berketerampilan merupakan permata yang amat berharga buat negara kerana mereka bukan sahaja mendatangkan impak positif kepada rakan sebaya, malahan mampu memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada pembangunan negara kelak, seiring dengan pertambahan usia dan kematangan mereka. Oleh hal yang demikian, semua pihak tanpa mengira usia mahupun pangkat, hendaklah bergabung sinergi bagi memastikan pewaris yang berkredibiliti tinggi dan berkemampuan untuk memacu negara ke persada global dapat dihasilkan. Andai semua pihak bersatu menggembleng tenaga, nescaya negara kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain dan disegani oleh seluruh dunia.

Pemikir Kritis, 2017.

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting