Wednesday, 6 June 2012

BELAJAR DARIPADA BURUNG HELANG


Siapa yang tidak kenal burung helang. Selain kuat dan tinggi, ia juga memiliki penglihatan yang sangat tajam sehingga mangsa yang jauh berpuluh kilometer pun dapat dikesan. Sebab itulah burung helang dijadikan sebgai simbolik oleh beberapa negara di dunia. 

Namun, ada beberapa fakta penting tentang burung helang yang sangat menarik untuk kita ketahui dan dijadikan pengajaran. Burung helang mampu hidup lebih lama daripada umur manusia pada umumnya iaitu 70 tahun. Namun untuk mencapai umur seperti ini, helang harus berjuang dengan kuat. Ketika umur helang mencapai 30 tahun, kukunya sudah mulai panjang. Sayapnya pun sudah mulai lebat sehingga susah untuk terbang tinggi. Begitu juga dengan paruhnya yang semakin panjang sehingga sangat susah untuk menerkam mangsanya. Bahkan beberapa sumber mengatakan bahawa pada umur tersebut, panjang paruh helang boleh mencecah ke dadanya. Adakah riwayat burung helang akan tamat?

Pada keadaan ini, burung helang akan pergi mencari bukit yang tinggi untuk berehat. Kemudian ia akan menghentam paruhnya ke batu sehingga paruhnya tercabut. Mungkin boleh dibayangkan betapa sakit dan menderitanya burung helang tersebut. Darah pun terus mengalir membasahi batu-batu di bukit itu. Apa yang terjadi? Apa yang difikirkan oleh burung helang sehingga dia sanggup melakukan hal ini? Pengkaji yang pertama kali melihat hal ini sangat terkejut. Pengkaji ini berfikir bahwa burung helang tersebut telah berputus asa dan sedang membunuh diri. 

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Kini, paruh helang sudah mulai tumbuh yang baru. Paruh itupun ia gunakan untuk mencabut satu persatu bulu-bulu pada sayapnya. Setelah itu, kuku-kukunya pun dipatahkan. Setelah sampai satu tahun, bulu-bulu sayap pun sudah mulai tumbuh yang baru, begitu juga dengan kuku-kuku yang ada pada kakinya. Sekarang burung helang memiliki paruh yang baru, sayap yang kuat dan kuku yang tajam. Kini, burung helang sedia untuk terbang mencari mangsa baru dan meneruskan kehidupan sampai 70 tahun. Jika burung helang itu malas dan tidak mampu menahan derita, maka ia akan mati kerana tidak mampu mencari mangsa lagi. 

Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah  burung helang ini? Burung helang memiliki keberanian untuk menderita dan menahan rasa sakit selama satu tahun. Setelah itu, ia boleh menikmati kehidupannya dengan senang selama 40 tahun. Burung helang memiliki prinsip “Pay Now, Play Later”. Bagaimana dengan manusia? Allah SWT telah memberikan umur 60 tahun  di dunia untuk mencari bekal yang boleh dibawa ke akhirat. 60 tahun bukanlah waktu yang lama tetapi ramai orang yang menggunakan umurnya hanya melakukan kerja yang sia-sia, bersenang lenang, dan menghiburkan diri. Mereka lalai pada perintah Allah dan lebih memilih mengikuti hawa nafsu dan kehendak syaitan. Padahal setelah 60 tahun itu, manusia harus meninggalkan dunia ini dan bersedia untuk menjalani kehidupan yang kekal di neraka atau syurga.

Rasulullah SAW bersabda, “Syurga dipagari dengan kesusahan sedangkan neraka dipagari dengan keseronokan”. Beranikah kita menggadaikan umur kita yang 60 tahun itu untuk mendapatkan kehidupan yang kekal di syurga? Adakah kita memilih untuk menjadi helang yang malas dan takut menderita yang akhirnya mati pada umur 30 tahun atau helang yang boleh bertahan sampai usia 70 tahun.


Mastang Tanra
Pelajar FKAB
UKM Bangi

poster promo ikhwah
picture hosting