HABIB BIN ZAID R.A. – Lambang Kecintaan dan
Pengorbanan
Habib
bin Zaid r.a. merupakan seorang mukmin generasi pertama yang bersama-sama
ayahandanya, Zaid bin ‘Ashim dan ibundanya, Nusaibah binti Ka’ab terlibat dalam
baiah Aqabah kedua. Semenjak hijrah Rasulullah ke Madinah, Habib sentiasa di
samping baginda dan tidak pernah ketinggalan dalam satu peperangan dan tidak
pernah lalai dalam menunaikan kewajipan.
Pada
suatu ketika, muncullah golongan yang mendakwa diri mereka sebagai nabi di
Selatan Jazirah Arab. Seorang di antara mereka muncul di San’a iaitu Al-Aswad
bin Ka’ab Al-‘Ansi dan seorang lagi di Yamamah iaitu musailamah Al-Kazzab.
Kedua-dua pendusta ini menghasut manusia untuk memusuhi orang beriman. Lebih
dahsyat lagi, mereka mendustai serta memandang ringan kenabian itu sendiri, dan
membuat bencana serta menyebar kesesatan di muka bumi.
Pada
suatu hari, Rasulullah didatangi seorang utusan yang dihantar oleh si pendusta Musailamah.
Utusan itu membawa sepucuk surat yang tertulis:
“Dari Musailamah Rasulullah kepada Muhammad
Rasulullah, terkirim salam… Kemudian, ketahuilah bahawa saya telah diangkat
sebagai sekutu engkau dalam hal ini, hingga kami beroleh separuh bumi sedang
bagi Quraisy separuhnya lagi. Tetapi ternyata orang-orang Quraisy bersikap aniaya….!”
Rasulullah membalas surat itu sebagai jawapan kepada
Musailamah:
“Bismillahirrahmanirrahim…Dari Muhammad s.a.w. kepada
Musailamah si pendusta. Salam bagi orang yang mahu mengikuti petunjuk...
Kemudian daripada itu, ketahuilah bahawa bumi itu
milik Allah, diwariskanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara
hamba-hambaNYa, sedang akhir kesudahan akan berada di pihak orang-orang yang
bertaqwa…”
Namun, Musailamah tidak mengendahkannya dan tetap
menyebarkan kebohongan serta kepalsuan kerasulannya. Hasutan dan penganiayaan
terhadap orang-orang beriman dilakukan tanpa henti.
Maka Rasulullah
s.a.w. menghantar surat kepada Musailamah bagi menyuruhnya menghentikan
pendustaan dan penyelewengannya. Pembawa utusan yang dipilih Rasulullah adalah
Habib bin Zaid r.a. Berangkatlah Habib melangkahkan kakinya dengan cepat dan
berbesar hati menerima tugasan yang diamanahkan oleh Rasulullah s.a.w.
tercinta. Dalam pada menyusun langkah menuju Yamamah, Habib menaruh harapan
besar agar Musailamah terbuka hatinya untuk menerima kebenaran.
Sesampai
Habib ke tempat tujuannya, diserahkan surat itu kepada Musailamah. Namun,
Musailamah tetap ingkar, semakin tenggelam dalam kesesatan. Tanpa
perikemanusiaan, Musailamah si pendusta itu menawan Habib dan menyeksanya
dengan seksaan yang keras. Musailamah mengarahkan rakyatnya untuk berkumpul, lalu
Habib bin Zaid dengan kesan seksaan yang dahsyat dibawa kehadapan khalayak
ramai dengan tujuan menjatuhkan semangatnya dan terus kalah pada pendustaan
Musailamah.
Habib dipaksa mengakui beriman kepada Musailamah bagi
membuktikan mukjizat palsu kerasulannya. Kata Musailamah kepada Habib:
“Apakah kamu mengakui bahawa Muhammad itu utusan
Allah?”
“Benar.” Jawab Habib. “Saya mengakui bahawa Muhammad itu utusan Allah.”
Merah membakar wajah Musailamah. Lalu ditanya lagi
kepada Habib:
“Dan kamu mengakuiku sebagai utusan Allah?”
“Tidak pernah saya mendengar tentang itu!” kata Habib.
Musailamah
menjadi sangat marah. Dia gagal menjatuhkan keimanan Habib kepada Muhammad
Rasulullah dan tindakannya menyeksa utusan itu sia-sia. Musailamah bagaikan
menerima tamparan hebat yang menjatuhkan wibawanya di hadapan rakyatnya sendiri.
Musailamah bangun dengan kemarahan dan memanggil orang suruhannya agar segera
datang dan membunuh Habib. Tertusuklah hujung pedang ke tubuh Habib.
Kebuasannya menyayat dan memotong tubuh Habib dengan rakusnya tanpa ada secebis
rasa simpati dan perikemanusiaan. Pahlawan sejati itu terus-menerus mengulang-ulang
ucapan “Lailahaillallah MuhammadurRasulullah” sehingga ke akhir hayatnya.
Berita
tentang syahidnya utusan Rasulullah sampai kepada baginda. Dengan hati yang
tabah, baginda menyerahkan kepada Allah kesudahan Musailamah pendusta itu.
Namun, ibunda Habib, Nusaibah binti Ka’ab, berjanji akan menuntut bela atas
kematian puteranya. Ketika perang Yamamah yang diketuai Khalifah Abu Bakar
r.a., Musailamah si pendusta berjaya dibunuh dan Nusaibah turut serta dalam
peperangan itu. Nusaibah berdiri dengan tubuh penuh luka akibat tebasan pedang
dan tusukan tombak. Ia melihat wajah puteranya tercinta Habib, tersenyum penuh
kemenangan pada panji-panji Islam yang berkibar dengan megahnya.
Pesanan buat sahabat…
Dan dia antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya. (Al-Baqarah:207)
Sama-sama kita menelusuri sirah tokoh besar Islam dalam
pada kita mempersiapkan diri mengikuti langkah mereka sampai masanya nanti.
Moga diri dan sahabat sekalian mampu menjadi seorang hamba yang sentiasa
bersyukur dengan kurniaan dan rahmat Allah serta terus tegar dalam
memperjuangkan agama suci ini. Wallahualam.
Mariam Malek (UKM)