Monday 14 May 2012

Asabiyah dibenarkan atau dilarang?



Pada zaman berteknologi tinggi ini, semakin banyak kumpulan atau pertubuhan yang muncul yang menjadikan salah satu matlamatnya adalah untuk mengangkat bangsanya menjadi lebih baik. Semangat ingin membangkitkan sesama bangsa akan dikata sebagai asabiyah. Benarkah sebenarnya pendapat masyarakat kita sekarang ini terhadap isu asabiah? Adakah kita memahami assabiah secara menyeluruh?

Asabiyah mengikut pandangan hadis ialah “(Asabiyah yang dilarang itu) adalah engkau menolong kaum engkau dalam melakukan kezaliman  (kepada orang lain atau kepada kaum lain).” Riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Ibn Majah.  ‘Menolong kaum melakukan kezaliman’ ertinya taksub dengan kaumnya walhal mereka itu zalim, maka jadilah ia membantu mereka (dalam kezaliman).

Asabiyah yang positif pula diterangkan oleh Mulla ‘Ali al-Qari dalam Mirqat al-Fawatih yakni wajib atas kamu mengikut yang hak tanpa melihat kepada mulazah al-hak; kerana  itu maka kata Ali mengikut yang diriwayatkan oleh Darimi dan Ibn ‘Asakir daripada Jabir, marfu’, “Hendaklah menolong saudara anda baik ia zalim atau terkena zalim; kalau ia zalim maka tolak ia daripada perbuatan zalimnya, kalau ia terkena zalim maka tolonglah ia.

Berdasarkan riwayat Ubadah bin Kathir al-Shami, Abu Fasilah bertanya kepada Rasulullah s.a.w : “Wahai Rasulullah, adakah termasuk ke dalam asabiyah (yang dilarang) sifat seseorang lelaki yang sayang amat sangat kepada kaumnya?” Baginda menjawab  : “Tidak, tetapi asabiyah (yang dilarang) ialah engkau menolong kaum engkau dalam melakukan kezaliman  (kepada orang lain atau kepada kaum lain)”. Ini menunjukkan kecintaan kepada bangsa adalah asabiyah yang positif dan tidak termasuk dalam asabiyah yang dilarang dalam Islam.

Melayu dan Islam sudah tidak dapat dipisahkan dan ini merupakan faktor kekuatan yang nilainya sangat besar. Pada Melayu, asas identitinya adalah agamanya iaitu Islam. Dengan itu, kebangsaannya tidak berpisah dengan agamanya.

Badiuzzaman Said Nursi pernah menyatakan dalam Khutbah Damsyiknya yang terkenal:
“Pada kita Muslimin, agama dan kebangsaan menjadi bersatu walaupun ada perbezaan dari segi teori yang kelihatan pada lahiriah dan bersifat kebetulan pada kedua-duanya. Sesungguhnya agama adalah hayat dan roh bagi bangsa. Apabila kedua-duanya dilihat berlainan dan berpisah antara satu sama lain, semangat keagamaan merangkumi orang awam dan orang kelas atasan, manakala semangat kebangsaan dirasai oleh orang yang bersedia untuk mengorbankan kepentinga-kepentingan dirinya demi untuk bangsanya. Maka, apabila semangat keagamaan mesti menjadi asas hubungan dengan hak-hak semua orang, manakala semangat kebangsaan menjadi pihak yang memberi khidmat kepadanya dan menjadi benteng baginya.”
 
Ibn Khaldun telah memberi keabsahan bagi asabiyah yang positif dan Ibn Khaldun meletakkan asas kejayaan dengan kenyataan yang dibuatnya iaitu bahawa apabila semnagat keagamaan yang sebenar bergabung dengan asabiyah, itu akan menjadi kekuatan yang tidak boleh dikalahkan. Beliau mendasarkan huraian di atas hadis; “Tuhan tidak membangkitkan nabi melainkan ia berada dalam dukungan kekuatan kaumnya.”

Dalam konteks negara Malaysia khususnya bagi masyarakat melayu, jelas bahawa perjuangan kebangsaan dan semangat kebangsaan membawa kepada kemerdekaan, perpaduan dan kemajuan walaupun banyak lagi ruang yang perlu dipenuhkan dan sepatutnya tidak timbul keperluan untuk menolak asabiyah yang positif. Perbuatan menolak asabiyah yang sedemikian adalah menyalahi perjalanan para rasul alaihimussalatu wassalam.

Wallahu a’alam.




Penulis: Amirul Hakimi (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting