Monday 14 May 2012

Bagaimana nak bersabar?


Sebelum ini , ada seorang sahabat saya yang kehilangan motorsikal di fakulti semasa sedang berusrah. Yang sedihnya, motorsikal itu baru sahaja dibeli dalam lebih kurang tempoh sebulan, yang mana hutang bulanan pun belum sempat bayar lagi. Tambahan pula, duit untuk membeli motor itu diberi oleh ayahnya yang mana ayahnya pula sedang sakit dan berada di hospital untuk melakukan pembedahan kerana menghidapi diabetis.  Pembedahan sahaja dah memakan ribuan ringgit sedangkan dia pula bukan dari keluarga mewah.

Ketika hilang itu, saya dan seorang sahabat lagi terus bawa dia ke balai polis untuk buat laporan (report). Semasa perjalanan, saya cuba menenangkan dia dan suruh bersabar. Namun, tidak sempat untuk nasihat sampai habis, dia kata ;

“Akhi, takpelah. Ini baru sikit ujian Allah bagi, sedangkan kat luar sana ramai lagi yang terima ujian lagi dasyat dari ana. Allah nak tengok sejauh mana keimanan ana dan Allah sayang ana. Dia nak naikkan darjat ana. InsyaAllah, Allah akan ganti dengan lebih baik..”

Allahu Rabbi.. Lebih kurang macam begitu kata-katanya. Saya terdiam dan hampir nak mengalir air mata.

Kemudian tidak lama selepas itu, ada kecurian lain berlaku dalam bilik sahabat saya yang lain di kolej kediaman kami. Sahabat saya ini yang merupakan pelajar tahun satu telah kehilangan laptop bersama rakan sebiliknya sekali. Bukan bilik di sahaja, ia termasuk bilik di hadapannya sekali. Maka, dalam sehari, 4 buah laptop hilang dalam masa anggaran 15 minit.

Dan lepas solat maghrib, saya berjumpa sahabat saya ini, dan ingin mengucapkan takziah kepadanya. Dan responnya ;

“Takpe lah, ini ujian kecil je. Sedangkan Allah dah bagi banyak sangat nikmat. Tak terkira nikmatnya.”

Allahu Allah.. Tergamam saya dan tersenyum.

Sebenarnya, bukan mereka berdua yang saya temui dalam menghadapi situasi getir seperti ini. Namun, saya tertanya bagaimana mereka semua ini boleh SABAR dan REDHA..?

Disini ada beberapa tips yang boleh dikongsikan untuk sabar dan belajar untuk redha atas sesuatu perkara.

1) Jika sedang marah, atau di timpa musibah, atau mendengar kematian tentang orang tersayang dan apa-apa jua situasi yang memerlukan kesabaran, segera ambil wudu’ dan solat sunat taubat 2 rakaat. Kemudian istighfar dan sujud syukur pula.

Kenapa solat sunat taubat dan kemudian sujud syukur pula?

Pertama – wuduk itu menghilangkan kemarahan. Rasulullah pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud :

“Bahawa kemarahan itu dari syaitan. Dan sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadam dengan air. Apabila marah oleh seseorang kamu maka hendaklah ia berwudhuk”. (Rujuk kitab Hadis 40 : Hadis ke 16)

Kedua – Solat sunat taubat dan bersyukur kerana kemungkinan ujian yang dihadapi tu datang kerana dosa-dosa kita.

Dan bersyukurlah kerana Allah masih sayang pada kita untuk hapuskan dosa-dosa kita. Kalau Allah tidak ampunkan, nak minta ampun pada siapa?

Daripada Abu Said al-Khudri RA dan Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak menimpa seorang mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kemudian, firman Allah pula yang bermaksud :

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (iaitu) orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Tuhannya dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya”. (Al-Baqarah: 45-46)

Firman Allah yang lain pula bermaksud :

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku. Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar“.
 (Al-Baqarah: 152-153)

2) Jika menghadapi ujian, capailah al Quran terjemahan, dan bertadabbur lah al Quran. Bertaddabur ini ertinya kita membaca al Quran, lihat terjemahan dan kalau ada tafsir, baca sekali. Kemudian renungkan sementara mengenai apa yang Allah firmankan.

Dicadangkan baca :

1. Surah al Baqarah ayat 152 – 157
2. Surah ali Imran ayat 133 – 139
3. Surah At Taghabun ayat 11 – 18

Atau baca surah-surah pilihan lain, terpulang. Bertaddabur lah dengan hati yang sabar dan tenang.

3) Pada mula-mula menerima ujian, pasti kita akan menangis (jika tidak tahan). Ia fitrah, tetapi jangan menangis macam terlampau-lampau. Semasa menangis, maka cuba pandang cermin, dan renung wajah lama-lama sambil bisikkan

“Allah sayang pada aku.. Allah nak uji aku..Allah masih perhatikan aku. Alhamdulillah..”

Firman Allah yang bermaksud :

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
(Surah al Ankabut : 2)

Kemudian carilah sahabat-sahabat baik yang menangis sama-sama untuk minta nasihat mereka.

Kenapa tidak minta nasihat sahaja tadi?

Kerana, sekurang-kurangnya kita sudah ada usaha untuk tenangkan diri sendiri sebelum orang lain menenangkan kita. Antara ketenangan yang paling kuat mencengkam dalam diri apabila kita yang berusaha sendiri untuk menenangkan diri sendiri menggunakan “Will Power”, selain membaca ayat Quran.

Nabi s.a.w. ada bersabda yang bermaksud:

“Seorang yang kuat bukanlah orang yang menang dalam bertumbuk. Akan tetapi, orang yang kuat adalah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.(HR Bukhari dan Muslim)
Dan terakhir, apabila di timpa musibah, atau apa-apa jua keadaan, kalau sedang berdiri, duduk sebentar, kalau duduk, baring sebentar. Kemudian, fikir tentang masalah orang yang lebih besar ujiannya.

Siapa yang perlu difikirkan?

Fikirlah perjuangan dan penat lelah Nabi Muhammad s.a.w. , para sahabat r.ajmain dan mereka-mereka yang menuruti mereka itu dari semasa ke semasa hingga hari kiamat.

Kemudian, fikirkan akan nasib saudara-saudara kita di Palestin, Syria, dan negara-negara yang ummat islamnya di tindas.

Kalau dihayati, insyaAllah kita akan merasakan bahawa ketika itu ujian yang dilalui hanyalah secebis ujian yang sekadar berada di bawah tapak kaki kuda para sahabat r.ajmain dan hanyalah sekecil semut jika dibandingkan dengan saudara-saudara Islam kita yang di tindas, di bunuh dan di seksa.

Allahu Rabbi..

Dan seperkara lagi, sentiasa fikirkan yang Allah hendak menggantikan atau memberikan sesuatu yang baru dan lebih baik pada masa akan datang.

Allah tidak akan memberi apa yang kita mahu, tapi Allah memberi apa yang kita perlu.

Sesungguhnya Allah sahaja yang tahu apa yang kita perlu. Kita semua pun tak tahu.


Penulis: Ahmad Shukery B. Azizan (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting