Sunday 27 May 2012

Sebaik-baik raja itu, ternyata pemuda

“Mahu sentiasa bersemangat? Baca sirah nabi dan sahabat”
 -Khadijah Khalilah bt Abd.Rashid-

Berikut adalah kata-kata dari seorang penulis yang menulis di majalah Gen-Q bagaimana sesuatu kisah sirah itu dapat menjadikan diri kita kuat dari segi jasmani dan rohani.Kisah-kisah perjuangan para Khalifah sebenarnya dapat memberikan ilham secara tidak langsung kepada akal yang mahu berfikir.Ayuh,kita soroti kisah seorang Khalifah yang telah diungkapkan sebagai sebaik-baik raja berdasarkan Hadis Nabi saw.

“Sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali Parit Khandaq;
“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” 
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

     Semasa zaman Kerajaan Umayyah,Abu Ayyub Al Ansary R.A iaitu seorang sahabat Nabi saw telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu kota Constintinople di atas wasiatnya sendiri.Ketika ditanya kenapa beliau mahu berbuat demikian,jawapannya adalah, 
“Kerana aku ingin mendengar  derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”.
     Kejayaan dalam merealisasikan Hadis Nabi saw ini adalah ketika 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih ketika baginda menjadi khalifah ke-7 kerajaan Uthmaniyah bersama 150,000 orang tenteranya.




BIODATA DIRI BAGINDA

Baginda dilahirkan pada 26 Rejab 835 Hijriah(29 Mac 1432) di Adrianapolis iaitu antara sempadan Turki dan Bulgaria.Baginda mendapat gelaran Muhammad Al Fatih setelah berjaya membebaskan Constantinople.Ketika berusia 19 tahun,baginda telah menaiki takhta dan menjadi Khalifah ke-7 selama 30 tahun (855 – 886H / 451 – 1481M).Baginda telah pergi buat selama-lamanya pada hari Khamis, 4 Rabiul Awal 886 (3 Mei 148) kerana sakit gout namun ada ahli sejarah berpendapat bahawa Baginda telah diracun.

      Baginda mendapat pendidikan dari semua aspek.Baginda mempunyai guru dalam bidang keagamaan iaitu Syeikh Shamsuddin Al Wali yang dikatakan adalah dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A.Baginda mempelajari pelbagai teknik peperangan oleh panglima-panglima tentera.Baginda juga mahir berbahasa Arab,Latin, Greek,  Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.Selain itu,ketika ayahandanya, Sultan Murad II,memencilkan diri di Pulau Magnesia dan melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun  memangku jawatan Khalifah. Perlantikan ini  bertujuan memberi pendidikan kepada Baginda akan hal-hal yang berkaitan politik. 

      Keperibadian Muhammad al-Fatih sangat indah.Baginda mementingkan kekuatan ruh dan jasmani para tenteranya.Sentiasa bertawaduk dan rendah diri adalah sifat Baginda yang sangat disegani. Ketika sedang membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda tanpa rasa malu membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir menghulurkan bantuan hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja.Selain itu,Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda cintakan para ulamak dan selalu mengajak mereka berbincang mengenai permasalahan negara.




PERSIAPAN MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Sebelum melancarkan peperangan untuk membebaskan Constantinople,Baginda telah merancang dengan pelbagai strategi yang cukup kuat dan kukuh.Strategi tersebut bukanlah sekadar kekuatan luaran,namun kekuatan rohani juga.Sungguh,manusia itu hanya mampu merancang,dan Allah lah sebaik-baik Perancang.Ya,dan akhirnya,kota Constantinople berjaya dibebaskan.



       Baginda bermula dengan mengkaji pelan kota Constantinople setiap malam untuk mengenalpasti titik-titik kelemahannya.Baginda turut berbincang dengan panglima-panglima perangnya untuk mencari strategi yang terbaik dalam kempen yang Baginda akan lancarkan nanti.Di antara strategi hebat Baginda adalah membina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari turut dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople. Untuk membakar semangat jihad tenteranya,Baginda telah membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang.Strategi Seterusnya, Baginda mengarahkan supaya menggunakan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan mampu memuatkan ratusan tentera. Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Pada malamnya,Baginda memberikan kata-kata semangat serta mengingatkan tenteranya akan Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt. Pada saat tenteranya telah berputus asa, Baginda berucap menaikkan semangat mereka dengan berkata , 
“Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”. 




PENAWANAN CONSTANTINOPLE 

Pada 20 Jumadil Awwal 857 / 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.



PEMUDA-PEMUDI

Pada akal yang mahu berfikir,marilah kita mulakan langkah yang pertama dalam berjuang memartabatkan Islam dengan membaiki niat masing-masing.Biarlah apa yang kita niatkan itu adalah yang pertamanya untuk meraih rahmat dan cinta Allah.Mari,kita baiki semula niat kita,tujuan kita selama ini ketika mulut kita lantang bersuara inginkan satu kebenaran.Jangan terlepas pandang,kadang-kadang kekalahan kita kerana kita terlupa akan pesan Nabi yang pertama di dalam Hadis 40 Baginda iaitu:
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu”.

       Wahai hati-hati yang mencintai Allah,perjuangan itu memerlukan satu pengorbanan yang terpaksa kita tempuh dengan susah payah.Susah payah tersebut kerana kita terpaksa menghadapi halangan-halangan yang datangnya daripada pelbagai penjuru.Sama ada dari aspek mental dan fizikal.Oleh itu,untuk menghadapi semua halangan tersebut,persiapan yang rapi perlu dilakukan supaya tidak tercicir di tengah jalan.Dibawakan kisah Sultan Muhammad Al Fatih bukanlah suka-suka tetapi mahu semua mata yang membaca turut membuka hati mempelajari betapa kekuatan dalaman itu perlu seiring ketika berjuang.Baginda memulakan segalanya dengan perancangan yang rapi tanpa tergesa-gesa dan tidak pula berlengah-lengah.

       Sungguh,jika pada hari ini pemuda-pemudi bergerak serentak berjuang dengan ilmu yang penuh di dada dan bukan hanya nafsu untuk menang sahaja,dunia luar sudah gentar melihat betapa bersedianya kita menghadapi mereka.Akhlak yang kita bawa ketika berjuang perlu diberi perhatian.Jangan menganggap dengan membawa perkara yang betul itu sudah satu tiket untuk buat semua orang setuju dengan kita tanpa membawa akhlak yang dituntut ketika berjuang.Rasullullah sendiri berdakwah menggunakan kelembutan,jangan kita pula begitu lantang berkata ini salah dan itu salah tanpa membawa akhlak yang dituntut dalam Islam.

    Islam itu cara hidup,biarlah Islam itu dilihat dan difahami bukan sekadar di dalam  tulisan tangan,bukan sekadar di dalam buku islamiah dan  bukan juga di dalam laman sesawang tetapi biarlah Islam difahami dengan hanya memandang cara hidup yang kita bawakan.Mahu tarik minat orang bukan Islam begitulah,jangan pula guna kekerasan,tapi gunakan pendekatan.Ayuh orang muda,gunakan masa muda untuk berjuang mencari cinta Allah sungguh-sungguh.Jangan tinggalkan sunnah Nabi yang paling besar iaitu berdakwah.Berdakwah dengan sebaik-baik dakwah.Nabi tinggalkan dua pusaka hebat untuk umatnya,iaitu Al-Quran dan As-Sunnah supaya kita tidak terbabas ketika mengemudi.Syurga Allah sudah pasti,insyaAllah.

Karya:
Munirah Ismail.
Pelajar
Fakulti Sains dan Teknologi
UKM, Bangi.

poster promo ikhwah
picture hosting