Nama aku Hanis. Aku bukanlah seorang yang suka menilai seseorang daripada luaran tetapi kalau bab lelaki ini, aku agak sensitif. Apa sahaja keburukan yang mereka lakukan, aku akan membenci mereka keseluruhannya. Ikuti kisah aku.
“Hanis, kau ada dengar cerita tak pasal ada budak baru masuk kelas kita?”, tanya Syarifah. Syarifah ini kawan baik aku di kolej.
“Tak ada pula. Awat? Lelaki ka perempuan?”
“Lelaki.”
Hari itu, ada seorang pelajar lelaki baru mendaftar dalam kelas aku. Pada awalnya, perilakunya sangat baik padaku, tutur katanya yang sopan, datang awal ke kelas malah dia juga pernah menolong aku dalam projek ujikaji bagi subjek kimia aku. Sejak dia menolong aku. Aku sentiasa memuji-muji dia kepada Syarifah.
“Sya, si Talha tu baik betul! Aku ‘respect’ dia, Sya. Bukan senang nak jumpa lelaki yang suka tolong orang macam dia itu.”
“Ya Hanis, ya. Dah beribu kali aku dengar benda yang sama keluar daripada mulut kau.”
Genap seminggu, Talha seakan-akan sudah menunjukkan belangnya. Dia selalu datang lambat ke kelas. Dia juga tidak menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah. Seperkara lagi, dia sangat suka sangat mengusik aku. Macam-macam gelaran dipanggilnya aku. Perlakuannya itu membuatkan aku jadi meluat dan tak sukakannya. Talha ini seorang lelaki yang nakal dan tidak menjaga pergaulan. Berbeza dengan aku, seorang perempuan yang agak menjaga pergaulan dengan lelaki tetapi apabila aku lalu sahaja melintasinya, dia suka sangat membuat aku terkejut dari belakang. Bila aku berada di tempat yang agak jauh daripada dia, dan apabila ternampak sahaja aku, dia akan menjerit memanggil nama aku, Hanis.
Pernah sekali itu, dia menjerit daripada kompel lelaki bila dia ternampak aku jalan menuju ke kawasan perkarangan kompel itu. Malu betul aku apabila ramai lelaki melihat. Aku berasa seperti, jatuhlah martabat aku sebagai seorang muslimah.
Suatu hari di makmal fizik, aku sibuk menyiapkan laporan ujikaji. Tiba-tiba, Talha bersuara,
“Eh, korang! Bulan puasa nak dekat dah. Nanti kita pergi bazaar Ramadhan satu kelas nak?”
“Mana boleh pergi sama-sama lelaki perempuan. Mula-mula pergi bazaar, nanti entah ke mana pulak melencong. Jaga ikhtilat boleh?”, Aku mula bersuara kepada Talha dalam keadaan tegas.
“Kenapa pula tak boleh? Bukannya nak pergi peluk-peluk pun.”
Aku senyum sambil menggeleng tetapi selepas itu aku terdengar suara perlahan Talha.
“Weyh, ikhtilat itu apa?”, tanya Talha kepada ketua kelas aku.
“Ikhtilat tu pergaulan antara lelaki perempuan. Ha engkau, kan dah kena!”
“Ah, bukan nak pergi buat apa pun.”
……………………………………………………
Setelah beberapa hari berlalu, perkara yang sama terus berulang. Tidak lama kemudian, ada lagi seorang pelajar lelaki baru mendaftar masuk ke kelas aku. Kali ini, aku memang malas untuk ambil tahu tetapi dengar-dengar dia itu bekas pelajar dari sekolah agama.
Lelaki yang baru masuk mendaftar ini namanya , Amir. Pada aku, dia memang seorang berperilaku baik dan sopan sahaja. Sememangnya, bukan seseorang yang hanya berpura-pura seperti Talha. Aku pernah melihat Amir menundukkan pandangannya apabila pelajar perempuan membuat pembentangan di hadapan kelas. Hanya sesekali sahaja dia mengangkat kepalanya untuk melihat pembentangan mereka. Aku terpesona !
“Sya, hang tengok Amir tu, baik ja kan?”
“Haah, baik sahaja. Dia tak nakal macam Talha itu dan aku jarang nampak dia bercakap dengan perempuan.”
“Itulah, aku macam ‘respect’ gila dekat dia. Jarang jumpa lelaki macam itu.”
“Tak habis-habis dengan ‘respect’ kau tu.”
Suatu hari, sewaktu aktiviti ‘mentor-mentee’, aku dan Syarifah ditugaskan untuk memberi usrah kepada perempuan manakala bagi usrah antara lelaki diasingkan tetapi aku ada mencetak beberapa helai kertas mengenai penerangan tentang ikhtilat. Aku telah memberikan kertas-kertas tersebut kepada Talha.
“Nah, Talha! Ini ada sikit penerangan pasal ikhtilat. Aku harap kau baca dan cuba fahamkan.”
“Terima kasih, Hanis. Aku akan baca.”, Talha mengangguk dan patuh.
………………………………………………..
Sejak aku menegur Talha berkenaan ikhtilat. Talha lebih mengawal pergaulannya. Dia tidaklah 100% menjaga tetapi dia tidak berlebih-lebihan seperti sebelum ini. Aku juga kerap nampak dia ke surau setiap kali aku ingin menuju ke surau sebelum Maghrib.
Talha juga pernah membantu aku dan ahli kumpulan aku dalam projek kelas Bahasa Inggeris. Pernah sekali itu, pensyarah pernah memarahi kumpulan kami dengan sangat teruk dan tidak mahu menerima projek kami kerana beberapa kesilapan tetapi disebabkan Talha mempunyai hubungan baik dengan pensyarah tersebut, dia berjaya memujuk pensyarah itu untuk menerima projek kami semula.
Aku masih ingat lagi dia sanggup menolong walaupun kerjanya sendiri masih belum siap.
Sejak itu, tanggapan aku terhadap Talha berubah. Walaupun dia seorang yang nakal dan tidaklah arif dalam bab agama, namun dia sangat baik dan suka menolong orang di sekeliling.
………………………………………………….
Suatu hari, sedang aku melihat gambar-gambar di Instagram, tiba-tiba aku ternampak akaun Instagram Amir. Aku ternampak Amir meninggalkan komen di gambar-gambar ‘selfie’ perempuan. Dia mungkin tidak memuji gambar-gambar tersebut tetapi gayanya penulisan komen itu sangat membuatkan perempuan tertarik untuk berbalas-balas komen. Aku juga terdengar cerita daripada kawan-kawan kelas aku yang berbeza kelab dengan aku. Mereka mengatakan bahawa Amir sangat aktif dalam ‘WhatsApp Group’ dan kerap bergaul dengan pelajar perempuan daripada kelas lain. Aku sendiri pernah melihat perbualan-perbualan mereka.
Sewaktu minggu teater di kolej aku, Amir telah menyertai kumpulan teater. Malam persembahan teater, aku pergi untuk menyokong rakan sekelas tetapi hormat aku kepada Amir terus hilang apabila ternampak Amir berpegangan tangan dengan watak heroin dalam teater tersebut.
“Mana lelaki yang aku respect selama ni Sya? Kenapa dia jadi macam tu?”
“Kenapa yang kau nak marah sangat?”
“Yalah, tengoklah dia Sya! Kononnya kita ingat dia tunduk pandangan lah bagai. Kita siap gelar dia budak jaga ikhtilat kot!”
“Sekarang kau nak salahkan siapa?”
“Tak, aku tak salahkan siapa-siapa. Hmm, salah aku?”
“Kau yang salah. Siapa suruh kau letak ‘expectation’ kepada manusia? Siapa kita ni nak ‘expect’ orang tu macam ni macam tu. Kita takkan pernah kenal manusia. Tanggapan tu datang bila kau sendiri yang nak anggap sesuatu macam itu. Kau tengok kes Talha. Mula-mula kita sendiri yang nak anggap Talha itu baik sebab dia buat itu buat ini tapi lepas dia dah tunjuk perangai sebenar dia, kita cakap dia mengarutlah bagai. Tapi lepas dia dah tolong kita, kita letak lagi tanggapan yang dia dah baik apa semua sedangkan kita tahu memang dari awal dia suka tolong orang walaupun dia nakal. Kita nampak sendiri dia suka tolong orang sebelum ini, tapi kita sendiri yang nak anggap dia mengarut sebab perangai nakal dia. Macam Amir ni pulak, kita baru nampak yang dia jarang sembang dengan perempuan. Kita nampak dia tundukkan pandangan tapi kita tak nampak macam mana pergaulan dia dalam media sosial atau pergaulan sebenar dia. Mungkin dia sebenarnya tengah cuba nak berubah, siapa tahu?”
“Betul cakap kau. Aku terlalu cepat letak tanggapan pada seseorang.”
“Dalam hidup ni, apa yang kita nak nampak depan mata kita, itulah yang kita akan nampak. Macam kita nak nampak keburukan Talha sahaja, sebab itulah kita tak pernah nampak kebaikan dia. Macam Amir pulak, kita nak nampak kebaikan dia sahaja, sebab itulah kita tak pernah nampak keburukan dia sampai dia aktif dalam media sosial pun kau boleh tak perasan sedangkan dah lama dah dia follow aku dalam ‘insta.’”
“Ha? Dia follow kau? Kau tak cerita pun kat aku.”
“Buat apa aku nak cerita benda tak penting macam tu. Bukannya aku ‘approve’ pun ‘request’ dia. Ish, kau ni! Kan dah lari tajuk.”
“Hehehe. Maaflah, aku melawak ja. Terima kasih sahabat sebab ingatkan aku.”
“Terima kasih jugak sebab buat aku nampak benda realiti macam ni. Baru aku boleh ambil ibrah daripada kisah kau ni. Lepasni, kita kena pandang semua orang baik baru kita akan kerap nampak kebaikan orang dan takkan pandang rendah kat orang lain. Biar kita nampak buruk kita sahaja baru kita sedar diri kita ini banyak kesalahan.”
“Baik Sya, In shaa Allah. Jom pergi usrah, dah lewat ni!”
“Jom!”
Anoii, 2017, Pembina UKM.
3 comments:
Jazakillah ukhti.. Teruskan menulis & memberi inspirasi untuk muhasabah diri bersama.. (^^,)
Jazakillah ukhti.. Teruskan menulis & memberi inspirasi untuk muhasabah diri bersama.. (^^,)
Very good article. Keep it up!
Post a Comment